Dec 29, 2009

Oh! Spiderman

























Throwback semasa konsert di Happyland Special Education Centre :)

Every child is gifted. They just unwrap their packages at different times.~Unknown



Dec 20, 2009

Jom Riadah!


Ok.Bercakap pasal riadah ni, semalam saya baca satu artikel menarik di autism.about.com. yang menyebut tentang jenis-jenis sukan yang sesuai untuk kanak-kanak autistik. Menurut penulisnya Lisa Jo Rudy, sukan yang sesuai adalah Individual sports seperti renang, menunggang kuda, acara trek, bowling, menunggang basikal, hiking, memancing dan seni mempertahankan diri (martial arts).

Sukan-sukan ini sesuai kerana ianya tak memerlukan banyak komunikasi di antara pemain-pemainnya, nama pun individual sports kan? Sesetengah aktiviti, seperti menunggang kuda mempunyai manfaat lain seperti kesan theraupatic ke atas penunggangnya. Secara amnya, menunggang kuda memberi kesan yang baik kepada koordinasi otot-otot dan tubuh. Individu autistik juga dikatakan lebih mudah 'memahami' haiwan berbanding manusia.hahaha...Manusia ni sememangnya sangat kompleks dan sukar difahami.





Kalau tak silap saya, di kelas Pendidikan Khas Sekolah Putrajaya, murid-murid istimewanya diberikan 'terapi' menunggang kuda. Wah! bertuahnya. Kos untuk sukan berkuda agak tinggi. Kalau berpeluang, memang rezeki.


Menunggang basikal mungkin sukan yang lebih ekonomi. Abil sendiri sudah pandai berbasikal, tapi masih dengan roda kecil di belakang. Ambil masa juga untuk Abil mahir berbasikal. Masalah balancing adalah cabaran utamanya. Anak istimewa mempunyai sedikit kesukaran dalam menyeimbangkan badan mereka. Bagaimanapun, setelah dilatih dan dilepaskan berbasikal selalu, kini Abil dah mahir pegang handle sendiri. Lepas ni mungkin boleh practise dua tayar pula.

Bowling pula sesuai kerana ciri-ciri repetitive-nya. Baling bola 2 kali, kemudian duduk dan tunggu giliran sekali lagi. Dah lama tak main bowling. Masa belajar dulu, selalu saya dan suami main bowling sama-sama. Rasanya, kali terakhir main bowling ialah tahun lepas, dengan adik beradik saya.

Saya selalu membayangkan Abil beraksi dalam acara trek. Lari pecut mungkin? Ataupun lompat jauh. Kalau berlari, Abil memang pecut tak hingat! cuma mungkin nak kena train untuk mula berlari di garis permulaan dan brek di garisan penamat...hehe. Saya juga pernah tengok Abil melompat macam atlet acara lompat jauh....agaknya ni pewaris jaguh lompat jauh encik suami saya ni!

Renang?Kalau dihantar ke swimming class mungkin juga bisa jadi champion...hehe.Tapi buat masa ini, masih belum jumpa instructor yang faham dan boleh tackle Abil. Setakat ni, kelecaq-kelecaq main air (bak kata Makcik Meem), boleh la...

Lain-lain sports; hiking, memancing dan martial arts belum pernah Abil libatkan diri. Mungkin juga Abil ada potensi tapi ini saya tak pasti, kena tunggu dan lihat. Apa-apa pun, saya rasa sukan adalah aktiviti yang baik untuk semua golongan, tak kira tua atau muda, normal mahupun istimewa. Bagi anak-anak autistik sendiri, sekalipun jenis sukan yang sesuai untuk mereka adalah individual sports, mereka sebenarnya berlatih untuk berkomunikasi dan bersosial dengan dunia luar secara automatik apabila mereka bersukan, betul tak?


Just play. Have fun. Enjoy the game. ~ Michael Jordan


Dec 19, 2009

Gotong-royong di dapur













Lasagna kegemaran kak Dina. "Lagi sedap dari lasagna Pizza Hut" katanya.haha 


Disebabkan ini bukan blog resepi, saya hanya akan ceritakan secara ringkas tentang bahan-bahan dan cara penyediaan lasagna ni.Saya pun cuma assistant chef jer bab-bab masak lasagna ni, merangkap tukang potong dan tukang rasa. Yang pastinya, kena ada kepingan lasagna, daging hancur (minced meat), tomato pasta sauce, white lasagna sauce, butter dan cheese (mozarella & parmesan).

Bermula dengan menyediakan kuah tomatonya (gaul dengan daging hancur, bawang, sedikit rempah kari dan cili kalau nak pedas berapi). Diikuti dengan kuah white sauce (kami beli yang segera, campurkan butter dan cheese atas api). Masukkan kepingan lasagna, selapis demi selapis. Akhir sekali, masuk dalam oven. Bakar la dalam 25-30 minit sehingga cheese di lapisan paling atas menjadi garing. Hasilnya, Yummy! *sangat tak ada gambar...


Kalau beli kepingan lasagna tu, pada kotaknya siap instruction semua. Kami pun main redah saja. Sedap la pulak.hehe

One should eat to live, not live to eat ~Cicero Rhetoricorum LV


Dec 18, 2009

Tahun Baru Hijrah

Alhamdulillah, semalam sempat baca doa penutup dan awal tahun. Malam ni, anak-anak tidur lewat kecuali Abil yang sudah 'pengsan' lebih kurang jam 9 lebih tadi. Adik Zarif pun baru saja tumbang beberapa minit yang lepas. Saat ini, jam sudah hampir 12 tengah malam tapi kak Dina masih segar melayan games di Facebook-nya.

Malam-malam begini, biasanya saya pasang ayat Al-Quran semasa anak-anak tidur. Amalan ni dimulakan sejak tahun lepas bila Abil selalu sangat tantrum . Lalu, saya pun cuba.

Kesannya sangat memuaskan. Alhamdulillah. Anak-anak nampaknya lebih mudah mendengar kata. Sekali sekala degil tu adatlah, tapi degil yang tak keterlaluan dan masih 'makan saman'. Emosi Abil pun nampaknya lebih tenteram dan lebih senang dipujuk.

Sebelum ni, saya pernah baca di Berita Minggu tentang bagaimana ayat-ayat AlQuran diperdengarkan kepada ternakan lembu dan kesannya yang sangat positif ke atas produktiviti lembu-lembu tersebut. Maaf, tak ingat pula tarikh artikel tersebut ditulis. 



imej google


Kesimpulannya, kalau haiwan pun boleh ditingkatkan hasil ternakannya dengan bacaan AlQuran, inikan pula kita manusia. Selalu juga diuar-uarkan bagaimana surah-surah tertentu boleh digunakan untuk melembutkan hati, mengeratkan hubungan suami isteri dan keluarga, selain merawat pelbagai jenis penyakit, yang ringan mahupun yang kronik dan juga pendinding dari segala jenis gangguan, bencana dan malapetaka.

Jom terapi al-Quran :)

Dimulakan dengan Bismillah
Disudahi dengan Alhamdulillah
Begitulah sehari dalam hidup kita
Mudah mudahan dirahmati Allah
~Raihan


Dec 15, 2009

M.e.m.o.r.i


Alhamdulillah for the sweet memories in Tadika Pelangi (Montessori)


The difference between school and life;
In school, you are taught a lesson and given a test.
In life, you are given a test that teaches you a lesson.
~Tom Bodett

Dec 10, 2009

Macam-macam

imej google

Tadi, semasa kelas tuisyen Matematik Darjah 3, seperti biasa saya rasa sedikit mengantuk semasa menunggu anak-anak murid buat latihan. Pelajarnya pun hanya 4 orang, termasuk kak Dina. Salah seorang daripada mereka ni,saya dapati agak 'lambat' kebolehan Matematiknya. Kesian juga saya tengok. Terkial-kial dia mengira, sambil kadangkala termenung dan termangu, mungkin kerana tidak tahu tapi malu untuk bertanya. Ada masa-masanya dia diejek-ejek oleh murid yang lain kerana lambat dan tak hafal sifir. Anak ini hanya diam saja setiap kali dipandang sinis. Saya tegur murid yang mengejek.


imej google

Mungkinkah ini yang dikatakan slow learner? Slow learner dan autisme adalah dalam kategori yang sama iaitu masalah pembelajaran, namun sebenarnya simptomnya berbeza.

Saya terpaksa 'asingkan' anak ini kerana dia agak ketinggalan. Hikmah mempunyai anak istimewa .Belajar bersabar.

Apabila melihat anak ini diejek-ejek di dalam kelas, saya sering terbayang bagaimana agaknya kalau anak saya yang diperlakukan sedemikian. Nauzubillah.

Memikirkan bagaimana Abil akan survive di luar sana saja cukup menakutkan . Tapi saya tak boleh terlalu protective. Protective yang keterlaluan boleh menjahanamkan masa depan anak-anak. Mereka perlu belajar menghadapi semuanya. Buruk, baik, manis, pahit mesti dirasa. huhu


Saya pernah lihat bagaimana seorang ibu sanggup 'menyimpan' anak istimewanya di rumah tanpa sebarang persekolahan semata-mata kerana tidak tahan anaknya dibuli. Ini tindakan yang tidak betul. Banyak lagi cara untuk mengatasi masalah tersebut. Akhirnya, pertumbuhan mental dan fizikal anak tersebut jadi tidak seimbang. Anak yang sepatutnya menjadi aset paling berharga kini menjadi liabiliti yang tidak dikehendaki. Masalah lembam tidak sepatutnya dijadikan isu. Sedangkan belakang parang pun, kalau diasah akan tajam akhirnya....


Itulah resam manusia. Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Ok.Sedikit panduan untuk hari ini. Berikut adalah tanda-tanda awal autisme;
~Tiada 'eye contact'
~Tiada komunikasi dalam bentuk percakapan atau suara
~Kelihatan seperti tiada emosi, sentiasa 'blur'
~Menunjukkan sebarang pergerakan yang sama dan berulang-ulang
~Tidak sukakan perubahan pada rutin hariannya, sukar menyesuaikan diri dengan rutin baru
~Tiada respons pada individu lain, samada melalui pandangan mata (eye contact) atau suara.
~Kehilangan sebarang kemahiran (skill) secara tiba-tiba
~Sangat attach pada sesuatu objek, tidak boleh berenggang dengan objek tersebut

(dari google)



It is a thousand times better to have common sense without education than to have education without common sense ~Robert G.Ingersoll

Dec 7, 2009

5 minit

dari google

"5 minutes of doing your 'own' thing can revive a tired mummy "(www.mumbloggersplanet.com)


Semalam, sempat saya baca tentang 'Top 10 tips for Handling guilts' hasil tulisan Lisa Jo Rudy dari www.autism.about.com. Sangat relevan dengan saya. Antara intipati artikelnya ialah....



I somehow caused this problem!

Stigma yang mengatakan bahawa Autisme berpunca daripada kurangnya perhatian dan kasih sayang ibubapa adalah satu dongeng semata-mata. Bahkan punca sebenar terjadinya autisme juga masih belum dapat dikenalpasti. Adakah ianya kerana pemakanan semasa mengandung atau pemakanan setelah dilahir dan dibesarkan? Mungkin juga masalah toksin dari persekitaran atau vaksin MMR yang dikatakan menjadi dalang?

Pakar-pakar perubatan juga ada berkata, kebarangkalian autisme berpunca dari masalah genetik adalah sangat besar. Pada saya, bukan salah ibu mengandung, Manusia merancang, Tuhan menentukan.

I can't leave any stones unturned!
Sehingga kini, penawar autisme masih belum ditemui.....Tapi, setiap penyakit bukankah ada ubatnya?? Ada pula teori yang menjawab, Autisme bukan sejenis penyakit sebaliknya satu sindrom kekal yang hanya boleh diminimakan dengan terapi, program intervensi awal dan bantuan makanan tambahan serta diet GFCF.

Pastinya setiap ibubapa/penjaga anak autistik mahukan anak-anak mereka menjadi 'normal' dalam wishlist mereka.Termasuklah saya . Sana sini pelbagai produk dan perkhidmatan diuar-uarkan. Transfer Factor, Acupuncture, HydroAroma Therapy, malah berjumpa Ustaz Harun Din pun pernah saya pertimbangkan. Terbaru, Stem Cell juga dikatakan boleh mengubati autisme.

Dulu memang saya pernah terburu-buru untuk mencuba. Tapi, sebelum ambil sebarang keputusan dan apa jua tindakan, saya tak pernah lupa bertanya pada yang pakar dan berpengalaman. Setiap penawar pasti ada kesan sampingannya. Testimoni-testimoni yang diberikan, terutama di internet dan helaian pamphlet, tidak mustahil kalau ia hanya rekaan. So, saya berpegang pada yang logik dan praktikal. Latihan dan senaman-senaman sensori perlu diamalkan, selain pemberian vitamin-vitamin penting untuk antibodi Abil yang tidak begitu memuaskan. Bacaan ayat-ayat suci AlQuran juga saya perdengarkan. Sesi terapi juga Abil tidak pernah ketinggalan. Hasilnya, biarpun lambat tapi nampaknya berkesan.

I should be spending this time on therapy! I should be working faster!
Dulu, memang selalu rasa guilty setiap kali saya cuba berehat-rehat sambil baca majalah atau lena untuk beberapa minit sambil membiarkan Abil baring-baring sambil lewa. Rasa 'berdosa' membiarkan Abil bermalas-malasan walaupun untuk seketika dan mama pula tidak membuat apa-apa. Hakikatnya, anak autisme tidak akan menjadi lebih teruk kalau sekali-sekala kita membiarkan mereka 'berehat' dari sebarang aktiviti. Cuma, harus diingat, kalau senario bermalas-malasan menjadi-jadi dan mereka sering dibiarkan 'belajar' sendiri, dah tentulah anak-anak autistik ini tak akan 'menjadi'.

Sedangkan mesin pun ada waktunya berhenti. Masa berkualiti lebih penting dari kuantiti. Biarpun sesi bersama Abil 15-30 minit sahaja sehari, yang penting ada pengisiannya dan tercapai objektifnya. Tak guna drill Abil berjam-jam, hingga akhirnya mental dan emosinya terseksa. Kadang-kadang sambil bersantai pun, saya boleh mengajar Abil sambil selak-selak buku dan bercerita. Learn thru play adalah kaedah yang sangat bagus sebenarnya. Anak-anak enjoy, kita pun tidaklah stress sentiasa....


I should be spending this money on therapy!
Ini memang sentiasa bermain di kepala.....susahnya nak membeli atau membayar untuk selain daripada buku-buku, learning toys, yuran terapi dan apa jua yang bermanfaat untuk Abil. Sekarang, setiap kali Abil berjaya menunjukkan progress, saya bagi treat pada diri sendiri.Biarpun hanya peruntukan yang kecil, tetap berbaloi! hehe

I should be making time for my other kids and my spouse!
Ahh....susahnya menjadi ibu. Itulah yang saya rasa. Saya perlu belajar uruskan masa, sesi bersama Abil boleh disertai dengan kakak dan Adik, cuma perlu bijak dan saksama. Sesekali sesi bersama encik suami mesti dianjurkan, untuk merapatkan silaturrahim dan kasih sayang yang sedia ada. Family outing sebenarnya paling bermakna. Pepatah inggeris ada berkata, The more, the merrier! Saya hanya perlukan stamina yang tinggi dan kekuatan luar biasa.Aduhhh....

Other people do more for their autistic child! I should give up more for my child!
Membandingkan usaha mama sendiri dengan usaha ibu-ibu lain untuk anak autisme mereka sangat sukar dielakkan. Selalu saya rasa yang usaha saya tidak mencukupi serta masih jauh dari yang terbaik. Sering saya rasa rugi sebab tak dapat hantar Abil untuk banyak lagi kelas-kelas terapi dan lain-lain kerana kemampuan kewangan yang terhad dan banyak liabiliti.

Bagaimanapun, setiap orang pasti ada masalah dan kekurangan dalam hidup mereka. In every cloud, there is a silver lining. Jadi, usah buang masa dengan fikiran-fikiran negatif dan tidak berguna, kata mereka. Lebih baik masa itu digunakan secara produktif dan menjana sesuatu yang positif.

I should be pushing for more! I should be learning more on Autism!
Semakin banyak saya tahu tentang autisme, semakin banyak saya baca tentang autisme, semakin saya rasa tidak cukup dan didatangi pelbagai kehendak dan idea. Memang sangat mudah untuk menjadi obses dengan autisme, terutamanya bagi ibubapa yang mempunyai anak-anak autistik. Sekarang mama sering ingatkan diri sendiri, jangan sampai tertekan dan terganggu emosi. Yang penting relaks dan buat sedikit demi sedikit setiap hari.

Kita perlu sedar hidup bukan semata-mata untuk autisme. Masih banyak lagi perkara yang perlu diberi komitmen selain autisme walaupun ia masih isu yang paling utama dalam hidup saya. Sekali sekala bersantai dan membebaskan diri daripada tekanan perlu ada dalam agenda. Barulah hidup lebih bermakna...there's more to life than autism!

While we try to teach our children all about life,our children teach us what life is all about.

Dec 3, 2009

Urut?

Minggu ini nampaknya seakan-akan menjadi 'Minggu Sakit Sedunia'. Bermula dengan Abil yang dijangkiti 'stomach flu' lebih kurang tiga hari lepas, semalam adik Zarif dan ayahnya pula yang tak sihat. 


imej google
"Hari Gayung Sedunia". Nak tahu kenapa?? Abil tak suka dibawa ke tandas setiap kali mahu muntah. Saya sediakan pula baldi di sebelah katil, tapi dia masih degil, tak mahu membongkok untuk muntah ke dalam baldi. Jadi, saya dan suami bergilir-gilir menjadi bodyguard Abil sambil memegang gayung. Setiap kali Abil bergerak atau cuba bangun, setiap kali itulah juga kami menjadi bayang-bayang Abil sambil menadah gayung. Abil belum pandai beritahu atau bagi 'signal' apabila terasa nak muntah. Kami kena pandai-pandai sendiri melihat setiap pergerakannya. Nak tergelak pun ada bila teringat balik kisah gayung. Mujurla setakat muntah-muntah sahaja, cirit birit tiada.

Zarif pula nampaknya dah kembali lincah sejak petang tadi. Alhamdulillah, demamnya dah kebah. Saya tak risau lagi. Tinggal suami menunggu giliran untuk sihat. "Sakit ni sebab banyak dosa...." Saya setuju. Sakit itu penghapus dosa. 


Ok.Nak cerita sikit tentang urut. Dah 3 hari saya tak sempat urut Abil sebelum tidur. Sebenarnya, urut adalah aktiviti 'wajib' bagi Abil (seperti yang disyorkan Teacher Eva, Happyland). Sebelum tidur, saya biasanya mengurut anak-anak sambil berbual-bual ringan, berzikir atau mengucapkan dialog-dialog positif pada mereka.Memang bagus kalau dilakukan sentiasa dan berterusan.

Kadang-kadang, kalau saya tak sempat urut mereka sebelum tidur, saya urut semasa mereka mandi. Sambil gosok-gosok badan dengan sabun, sambil usap dan gosok jari jemari pada tubuh anak-anak. Biasanya saya urut ketiga-tiga anak-anak secara bergilir-gilir. Itupun kalau sempat..

Kalau mengikut teori, memang ada teknik dan cara-caranya. Tapi selalunya saya ikut logik saja. Taklah hentam semata-mata. Asasnya perlu ada, yang penting, urut dengan hati yang ikhlas dan penuh kasih sayang.


imej google

Touch is a wonderful way to communicate caring. Massage therapy fulfills our basic human need for safe and nurturing touch. It often produces wonderful results and the effects hold lifelong benefits.

Urut sangat bermanfaat untuk dipraktikkan kepada semua golongan, khususnya bayi dan kanak-kanak. Faedah urut adalah untuk semua, namun penekanan khusus diberikan kepada kanak-kanak istimewa. Kanak-kanak autisme contohnya, sangat tidak gemarkan sentuhan dan pelukan. Urut adalah salah satu cara untuk mendekati anak-anak ini.

Mengikut kajian, anak-anak autisme menunjukkan positive progress selepas sesi massage therapy yang berterusan. Rutin tidur yang lebih panjang dan kurang gangguan, pengurangan stress dan tantrum, sensory improvements dan simptom-simptom autisme lain juga berjaya diminimumkan.

Tak ramai yang tahu bahawa kadar hormon oxytocin di dalam tubuh individu autistik sangat kurang berbanding mereka yang normal. Untuk pengetahuan, hormon oxytocin adalah hormon yang dikaitkan dengan kestabilan emosi dan perasaan kasih sayang. Kehadiran hormon oxytocin yang secukupnya di dalam tubuh manusia akan melahirkan individu yang sihat emosi, sentiasa tenang dan bebas tekanan. Hormon ini pula terhasil semasa, atau selepas tubuh menerima sentuhan atau belaian kasih sayang.


Menurut kajian pada 2007, hormon oxytocin membantu golongan autistik untuk memahami kepentingan speech dalam kehidupan sehari-sehari, selain dapat membantu mengurangkan perlakuan aktiviti yang sering dilakukan secara berulang-ulang (repetitive behaviour), sumber: http://www.liddlekidz.com

Someone with autism really is like you, just more extreme.~Dr Winnie Dunn

Google Autism (p2)!

imej google

"Nak roti bakar!...nak roti bakar!" Abil bersuara.

"Nak sirap!...nak sirap!" dialog Abil juga.

"Cikgu, tadi saya tanya anak cikgu, tapi dia tak jawab.." adalah jawapan yang diberikan Hidayah (anak murid saya) ketika saya bertanya kenapa dia tak memanggil saya di luar untuk dibukakan pintu.

Dialog Abil dalam tiga situasi yang berbeza.

Buat masa ini, Abil seorang yang verbal, tapi belum sepenuhnya. Biasanya dia hanya respon pada ahli keluarga dan yang rapat dengannya.




dari google

Boleh bercakap sehingga 3 patah perkataan. Frasa-frasa seperti 'nak sirap', 'nak tandas', 'aircond!, 'bukak pintu!', 'nak nasi!' sangat biasa digunapakai. Intonasi dan nada suara Abil ketika bercakap sedikit luar biasa, agak mengejut atau kuat percakapannya tetapi BUKAN marah. Bagi mereka yang terperanjat dengan kebolehan Abil bercakap (walaupun hanya seperti anak kecil yang baru berusia 3 tahun belajar bercakap), saya selalu katakan bahawa sememangnya Abil pandai dan boleh bercakap tapi dia mengeluarkan kemampuan sebenarnya.

Kebolehan Abil berkata-kata, walaupun sedikit, sangat membantunya untuk meminta keperluannya dengan cara yang mudah difahami serta mengurangkan episod tunjuk perasaan bila permintaan atau kehendaknya tak diketahui, apatah lagi difahami.

Autisme masih satu perkara asing bagi kebanyakan individu. Ramai yang tahu tentang keistimewaan autisme adalah di kalangan mereka yang mempunyai pertalian dengan individu autistik. Bagaimanapun, kesedaran tentang autisme sedang meningkat kebelakangan ini seiring dengan peningkatan kes autisme yang semakin bertambah iaitu 1 bagi setiap 150 kanak-kanak. Autisme juga lebih kerap berlaku di kalangan lelaki, iaitu setiap 4 daripada 5 orang. (sumber daripada http://www.autisticchild.org).

Berikut adalah misconception atau SALAH FAHAM yang sering timbul tentang autisme; Autism is schizophrenia. Autisme dan skizofrenia adalah dua entiti yang berbeza. Autisme bukanlah satu masalah psikologi tetapi ia adalah simptom yang timbul akibat masalah fizikal, iaitu perbezaan di dalam struktur otak manusia. 'Perbezaan' ini sering disebut sebagai 'defect' atau kecacatan. Apapun istilah yang digunakan, autisme BUKAN skizofrenia, punca dan kesan daripada kedua-dua autisme dan skizofrenia adalah sangat berbeza.

Autism is caused by lack of maternal affection. Autism is the result of a 'cold' mother. Ini adalah antara teori awal yang diberikan oleh Dr. Bruno Bettelheim berkenaan punca autisme. Kononnya, ia timbul kerana sikap ibu atau bapa yang kurang memberikan kasih sayang atau perhatian pada anak mereka. Kurangnya ransangan serta belaian daripada ahli keluarga terdekat dikatakan sebagai penyebab kepada autisme. Bagaimanapun, teori ini telah disangkal kerana pelbagai kajian telah membuktikan bahawa autisme bukanlah lahir akibat ketidakseimbangan psikologi atau emosi tetapi ketidakseimbangan fizikal (otak). Teori ini terus menjadi misteri yang menghantui kebanyakan ibubapa individu autistik yang menyalahkan diri mereka sebagai punca autisme. Hakikatnya, ramai autistik yang 'muncul' di dalam persekitaran rumahtangga yang sihat, keluarga yang mengambil berat dan penuh perhatian dan kasih sayang.

Autistic people are mentally retarded. Autisme dan kecacatan mental adalah dua disorder yang berlainan walaupun kajian membuktikan bahawa 80% daripada mereka yang menerima diagnosis autisme juga mempunyai kecacatan mental. Autistik tidak bermakna terencat akal, begitu juga sebaliknya. Abil adalah antara autistik yang sangat-sangat bertuah kerana mempunyai mental yang sihat dan cemerlang. Alhamdulillah....

Autistic people are usually geniuses or have a savant ability. Savant adalah istilah yang digunakan untuk mereka yang mempunyai perkembangan fizikal yang lambat (seperti mula berjalan dan bercakap pada usia yang lewat berbanding individu normal) tetapi mempunyai kebolehan mental luar biasa (daya hafalan yang tinggi, kepakaran matematik, bakat bermain muzik hanya dengan mendengar 'play music by ear').
Secara umumnya, autistik biasanya mempunyai kemahiran luar biasa di dalam SATU bidang tetapi agak ketinggalan di dalam bidang-bidang lain. Bagaimanapun, sebenarnya lebih ramai genius yang lahir di kalangan mereka yang normal berbanding mereka yang mempunyai sindrom 'mild autism'. Autistic savant seperti Kim Peek (yang mama ceritakan sebelum ini), adalah individu istimewa dan sangat luar biasa. Tidak semua autistik dilahirkan dengan tahap IQ yang tinggi.

Autistics are incapable of giving affection. Benar, kebolehan mereka berinteraksi dan berkomunikasi agak terbatas berbanding mereka yang normal. Bagaimanapun, dengan langkah-langkah intervensi awal, latihan dan pendedahan, mereka boleh diajar untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan. Individu autistik juga mempunyai cara tersendiri untuk menzahirkan perasaan mereka.
Saya pernah melihat bagaimana Abil dan rakan-rakan autistik yang lain 'berinteraksi'. Mereka menyentuh sesama sendiri, samada mengusap-usap bahu atau pipi, berpelukan, memberikan senyuman dan ekspresi muka yang tersendiri. Ianya seperti satu magik dan saya rasa kagum . Mungkin benar kata pepatah yang menyebut Love is a verb.

Autistics cannot function in society. Masih belum ada penawar untuk autisme tetapi simptom-simptom autisme boleh 'dikawal' dan diminimumkan walaupun ianya adalah satu sindrom sepanjang hayat. Bagaimanapun, ramai individu autistik membuktikan bahawa mereka MAMPU berdikari, menguruskan kehidupan sendiri, menjalinkan hubungan dengan rakan dan keluarga, malah ada yang mendirikan rumahtangga. Semuanya bergantung kepada tahap spektrum autisme mereka dan sejauh mana didikan, bantuan terapi, latihan dan pendedahan diberikan kepada mereka.Mereka mampu untuk pergi jauh dan mempunyai banyak potensi untuk diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari, InsyAllah...




"Autism is NOT a puzzle, nor a disease. Autism is a CHALLENGE but certainly NOT a devastating one. Autism is about having a pure heart and being very sensitive.....It is about finding a way to survive in an overhelming, confusing world....It is about developing differently, in a different pace and a different leaps. Autistics develop and bloom if their spirits, talents and self-esteem are NOT destroyed by bullies,prejudice and being forced to be normal. "
-Trisha Van Berkel


Nov 30, 2009

Jom Berbalas Pantun :p

Throwback percutian kami di PD tempoh hari :)




Adik Zarif si Ben10 jadian,
Kecil-kecil cili api,
Main pasir aktiviti kegemaran,
Tak padan kecik, sangat kuat bergusti!


Kak Dina kuat berangan,
Mulut becok, kuat merajuk dan ratu muncung,
Adik Zarif rakan seangkatan,
Kalau bergaduh, dua-dua macam angin puting beliung!


Adik Zarif, kak Dina dan mama,
3 member dalam hobbit family,
Inilah dia, dua orang pembantu kanan saya,
kalau dua orang ni takde, hidup saya senyap sunyi...


TukAyah tauke besar Harom Kasturi,
Kak Dina merangkap tukang rasa dan tukang perabih nasi,
Main pasir together-gether sambil gelak suka hati,Time cuti sajalah nak bergurau senda macam ni.


Abil, oh Abil, waris TukAyah yang comel lagi istimewa,
Mempunyai aura yang cukup disenangi,
Menjaganya tidak boleh sambil lewa,
Dengan Abil, hidup kami penuh warna warni.


Oh adik, oh kakak,
seronoknya bercuti di PD,
Di mana sahaja, adik dan kakak kuat bertekak,
Bila bergaduh, rasa macam nak baling dengan baldi!
hehehe...


Encik suami, Dina, Zarif, Abil,
Aset saya yang paling berharga,
Kepada Tuhan saya berserah,
Moga bersama hingga ke Syurga.....


Kak Dina si lincah, suka melompat
Ketua pengawas dalam famili,
suka posing dengan senyum kelat,
agaknya sebab nak cover gigi!


Suka menghafal irama dan lagu,
Bukan calang-calang orang boleh menjaga,
Nampak saja senyap, tapi semuanya dia faham, dia tahu,
Abil si hiper, otaknya bergeliga!


Love life and life will love you back,
Love people and they will love you back.

-Arthur Rubinstein
You don't choose your family, they are God's gift to you,
as you are to them!

-Desmond Tutu


Nov 29, 2009

Pesta Buku Popular 2011

imej google
Hari ni, saya rasa tak sedap badan. Mengantuk sepanjang hari. Hari Ahad yang ceria di sebelah pagi, tetapi bertukar muram menjelang petang. Semuanya berjalan lancar dengan juadah sarapan istimewa, air tangan mak dan ayah mertua saya. Laksa Johor dan Nasi Serai yang sangat sedap! Selepas saya siap 2 round men-dobi dan kenit-kenit sekalian selesai disuap makan pagi, kami ke pameran buku Popular di Danga City Mall, JB.



Tiba di sana, jam sudah hampir 12 tengahari. Orang ramai sudah mula berpusu-pusu memasuki ruang pameran tapi tidaklah sesesak yang saya jangkakan. Mungkin kerana ruang dewan yang agak luas dan selesa, suasana orang yang agak ramai pun hampir tak terasa. TukMi terus menuju ke kawasan buku-buku resepi untuk memenuhi pesanan TukAyah. Menu-menu lama di Harom Kasturi boleh diperbaharui dan di-inovasi dengan himpunan resepi-resepi baru.


imej google
Saya dan kak Dina pula ke ruangan buku-buku untuk kanak-kanak 'dewasa' atau 'pra-remaja'. Anak saya ni dah mula berjinak-jinak dengan novel. Dah tak mahu lagi buku-buku cerita bergambar kanak-kanak ribena atau kisah Sang Kancil, cerita-cerita dongeng dan yang sewaktu dengannya. Akhirnya kak Dina memilih novel ringan "Sayalah Puteri Raja" karya Aizam Aiman dan beberapa buku Arts & Craft. "Adik nak buku Ben10!" jerit adik pula dengan slang pelat-nya.


imej google
Suami dan Abil pula ke ruangan lain. Kami bertemu semula di kawasan buku-buku kanak-kanak pra-sekolah. Adik Zarif pun dengan terujanya terus pilih buku. Saya ambil 1 lagi set buku yang serupa tapi tak sama dengan buku adik untuk bacaan Abil. Untuk saya, 2 buah buku menjadi pilihan "Buat Duit dengan Blog" dan "Buat Duit dengan Tuisyen", masing-masing hasil tulisan Yazid Yahaya dan Osman Affan.


imej google

Pulang saja ke rumah, saya terus mulakan membaca. Tak sampai 10 mukasurat, dah separuh terlena.haha memang pantang letak bantal bawah kepala. Saya cancel niat membaca, terus suap anak-anak makan tengahari . Selesai menyuap, saya sambung baca lagi....rupa-rupanya saudara Osman Affan adalah senior saya semasa belajar A-Level di Kolej PPP/UiTM, Shah Alam. 

Sambil-sambil lepak baca buku, suami ambil-alih tugas layan anak-anak. Gelak ketawa Abil bermain kejar-kejar dengan Ayah sementara adik Zarif menyibuk di celah-celah. Kak Dina pula leka dengan kerja-tangannya. "Ayah kejar!Ayah kejar!", jerit Abil. Sesekali dia berkata, "Laju!laju!" dengan harapan ayahnya yang yang dah letih akan terus mengejarnya. Dialog-dialog yang cukup ringkas dan pendek tapi cukup membanggakan saya. Puas main kejar-kejar, encik suami keluar sebentar membeli syampu kereta.

Tiba-tiba, Abil muntah-muntah selepas minum air. Kali pertama muntah, saya sangkakan mungkin tersedak kerana terlalu gelojoh. Masuk kali kedua, saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Abil muntah lagi buat kali ketiga ketika bermain di luar sambil-sambil memerhatikan ayah cuci keretanya. Terus saya ajak encik suami ke klinik selepas maghrib. Malangnya, dua tiga buah klinik berdekatan tutup semuanya. Akhirnya kami singgah farmasi untuk beli garam ORS, untuk elakkan dehidrasi.

Sehingga saat ini, sudah lebih 10 kali Abil muntah. Semasa maghrib tadi, suhu badan agak tinggi. Alhamdulillah, selepas buat sponging pada Abil, temperature-nya sudah kembali normal. Mujurlah saya simpan thermometer di rumah, dapatlah pantau suhu anak-anak dengan tepat setiap kali anak-anak tak sihat. Setakat ni, Abil hanya muntah-muntah dan tiada cirit birit. Yang susahnya, Abil langsung tak mahu makan bubur dan minum air garam ORS. Dia agak trauma kerana setiap kali minum air, mesti semuanya keluar semula. Kesian tengok Abil muntah-muntah hingga keluar air mata.

Ini semua aftermath acara sukaria 2 hari lepas. Memang begitulah kebiasaannya. Lepas program bercuti, anak-anak cukup senang jatuh sakit. Kadang-kadang berjangkit-jangkit. Mungkin kerana banyak makan makanan rapu, waktu makan dan tidur tidak menentu, ke sebab banyak tertelan air semasa mandi manda? Saya pun tak pasti.

Esok saya terpaksa 'cuti'kan Abil dan ke klinik berjumpa doktor. Sementara itu, saya sendiri kena tambah stamina dan ambil zat besi supaya lebih segar, sihat dan berseri-seri. hehe


Health is like money, we never have a true idea of its value
until we lose it.
~Josh Billings

Nov 28, 2009

Selesa Beach Resort, PD

imej google


Alhamdulillah. Aidiladha tiba lagi :)

Teringat semasa kecik-kecik dulu, pernah juga saya tengok orang-orang masjid sembelih lembu sempena hari raya haji. Entah bila la saya nak tunjuk pula pada kak Dina, Abil dan adik Zarif upacara korban ni.

Walaupun seluruh Malaysia bercuti sempena Aidiladha ni, Abil pula ke HappyLand seperti biasa pagi-pagi. Berbezanya pada hari ini, Abil segak berbaju melayu dan nampak hensem sekali. Kebetulan, kami hanya menyambut Aidiladha di Majidi.


Seperti yang dirancangkan, selepas solat raya dan menikmati laksa utara sebagai juadah istimewa, kami terus ambil Abil dari sekolah dan menuju ke Port Dickson, untuk acara cuti-cuti. Kak Dinalah yang paling teruja sebab dah hampir setahun tak berkelah di tepi pantai. Tak habis-habis kak Dina bertanya, "Dah sampai mana? dah sampai mana?..." Perjalanannya agak panjang kerana banyak kenderaan di lebuhraya. Adik Zarif pula tak habis-habis menyapa, "adik nak main air...adik nak main air...". Ini semua gara-gara si kakak bercerita betapa kita akan mandi-manda di swimming pool dan tepi pantai. Pening juga bila asyik diasah dengan soalan dan skrip yang sama.

Walaupun hanya 1 hari bermalam di Selesa Beach Resort, rasanya cukup untuk meninggalkan kenangan manis buat anak-anak. Alhamdulillah, kini kami dah pun balik ke rumah bersama-sama kulit yang sudah terbakar dek matahari PD. Kami dah jadi geng 'budak itam' kecuali encik suami dan Abil yang masing-masing, cuma kemerah-merahan macam udang kena panggang.

Penatnya mak aiii...yang pastinya, kalau boleh kak Dina dan Adik Zarif nak tinggal terus di PD. Dah main air berjam-jam pun masih tak puas lagi. Agaknya Abil pun begitu juga.Masa berendam di laut, Abil paling berani. Pandai sungguh main ombak dan tak mahu dipegang langsung, kononnya nak main sendiri. Nasib baik TukAyah pun sama-sama terjun juga, kalau tidak susah juga saya dan suami nak kelola tiga-tiga hobbit kenit dalam satu masa....

"Kenapa air laut masin ye mak??" seperti biasa kak Dina bertanya.....TukAyah pun menyampuk, "sebab semua orang kencing kat dalam laut....air kencing kan rasanya masin."Berkerut-kerut kak Dina bila dengar jawapan TukAyah. "Eiiiiiiiii...geliiiiiiii"jeritnya. hahaha...kami gelak besar.

Seronok tengok semua orang happy. Bergurau. Ketawa. Semua seronok mandi manda di laut, kecuali Zarif yang lebih teruja main pasir ditemani TukMi. Adik Zarif agak takut main air, kurang exposure rasanya. Sekali-sekala, encik suami 'tangkap' juga Zarif ke laut. Abil pun dulu nangis-nangis juga. Kak Dina memang tak boleh nak cakap apa la, ikan duyung yang terperangkap di dalam badan manusia gamaknya..kehkeh.

Puas bergelumang dengan pasir dan air masin, kami terjun pool pula. Buat membilas badan dan menghabiskan masa. Saya suka tengok Abil yang berusaha mengapungkan diri di kawasan pool yang aras airnya agak tinggi. Seronok-seronok juga, tapi tak boleh leka. Sesekali saya lihat Abil 'meniru' kanak-kanak lain. Bila nampak ada yang melompat dari tebing pool, dia pun melompat juga.Bila tengok ada yang buat gaya terjun dari papan anjal, eh...dia pun ikut sama. Itu petanda baik bagi Abil sebenarnya, kemahiran meniru atau 'imitate' dari orang lain menunjukkan Abil memerhati keadaan di sekelilingnya. Selain, ia adalah kemahiran penting dalam proses perkembangan oral-nya.

Secara keseluruhannya, kami puas hati dengan percutian kali ini. Walaupun di bilik hotel, Abil tak henti-henti menekan suis, main di toilet dan melompat sana sini. Mood-nya baik sepanjang hari dan tiada langsung tantrum semasa di PD. Nampaknya kena pergi cuti-cuti lagi.hehe

Jumpa lagi!

Nov 25, 2009

Oh! Carly


imej google
Ok. Saya nak kongsikan serba sedikit tentang seorang remaja autisme, Carly Fleischmann.
Uniknya tentang Carly ialah, beliau berjaya mengatasi kekurangannya berkomunikasi dengan cara menaip di komputer. Kalau dulu beliau harus dibantu untuk menaip, kini dia mahir menaip sendiri malah menggunakan kemahiran ini untuk mengekspresi diri. Melalui website http://carlysvoice.com, anda boleh baca sendiri coretan-coretan Carly. Tulisan-tulisannya sangat lancar, langsung tak menggambarkan dirinya yang sebenar.

Macam-macam soalan telah ditanyakan kepada Carly, kebanyakannya daripada mereka yang ada pertalian dengan individu autistik. Bak kata Carly, "If a horse is sick, you don’t ask a fish what’s wrong with the horse. You go right to the horse’s mouth." Jadi, kelebihan Carly ini sebenarnya memberi peluang kepada semua untuk mengetahui tentang perasaan sebenar apabila dilahirkan dengan autisme dan apa sebenarnya yang dilalui oleh mereka disebalik perlakuan-perlakuan serta tabiat mereka yang sangat 'berbeza'.


Paling menyentuh perasaan apabila Carly memberitahu tentang perasaan sedihnya apabila golongan autistik sering dilabel dan dipandang rendah seolah-olah mereka ini tidak berupaya memberi sebarang sumbangan dan idea. Beliau juga kesal apabila ramai yang memberi komen negatif di hadapan anak-anak autistik, dengan sangkaan bahawa anak-anak ini tidak tahu apa-apa. Sedangkan, anak-anak ini faham semuanya walaupun wajah mereka seringkali 'blur', walaupun mereka tidak boleh berkata-kata. "We all have feelings even if we don’t often show it at times."-Carly


imej google
Bila diimbas kembali, sebenarnya banyak tanda-tanda yang menunjukkan Abil sebenarnya peka dengan apa yang berlaku disekelilingnya walaupun nampak seperti dia berada dalam 'dunia'nya sendiri. Saya masih ingat waktu saya berdiskusi dengan Mrs.Kanthan di Lumos dahulu, adakalanya saya lihat Abil tersenyum-senyum dan tersengih-sengih, seolah-olah Abil faham akan topik perbincangan kami.  Sememangnya kami sedang berbual tentangnya. Terus saja Mrs. Kanthan menyedari, lantas berkata, "See....he's smiling all over. He knows that we are talking bout him..."


Saya juga ingat sewaktu Aidilfitri yang lalu, saya terpaksa meninggalkan Abil bersama TukMi dan suami di rumah selepas maghrib untuk pergi ke open house ustazah kak Dina.Saya bawa kakak dan adik Zarif sahaja.Sempat saya beritahu Abil dan berpesan supaya jadi good boy sementara kami keluar. Sampai saja di rumah, terus saya cari Abil. Bila dengar saja suara saya memanggil, terus Abil hentam pintu bilik. "Marah kerana ditinggalkan agaknya..." bisik hati saya. 



dari google
Menyelami tulisan-tulisan Carly juga membuatkan saya sedar bahawa semua 'kenakalan' Abil bukanlah disengajakan, tetapi didorong oleh masalah organ sensori dan juga ketidakupayaan Abil untuk mengawal diri daripada berterusan melakukan perlakuan-perlakuan tersebut. Tantrum yang berlebihan pula kerana Abil cuba mengekspresi kehendak serta saya pula gagal memahami.


Sejujurnya, saya boleh terima jika orang kata anak saya luar biasa, tapi saya tak suka bila orang kata "anak akak ni ok ker??" ...excuse me! anak saya tak gila. Rasa nak menjerit pun ada. Itulah respons cik jurugambar masa saya bawa Abil untuk mengambil gambar passport di kedai gambar. Berpeluh-peluh saya cuba bantu Abil beri 'eye contact' pada kamera. Tak henti-henti saya pesan pada cik jurukamera supaya cepat-cepat snap apabila matanya fokus pada lensa. Mujurla Abil berjaya juga selepas lebih kurang 30 snap diambil tanpa henti.Fuhh..

Berbalik kisah Carly, beliau amat suka sekali bercampur dengan mereka yang normal. Pengalaman bersama individu normal sangat menarik dan membuka mindanya kepada banyak perkara. Bagaimanapun, individu normal sering salah faham tentang autisme dan selalu menuduh dan bertanyakan yang bukan-bukan. Beliau juga hairan, mengapa di sekolah, autistik dan normal perlu diasingkan? Baginya, tinggi atau rendahnya IQ bukan ukuran, yang penting peluang dan pendedahan sama rata diberikan. Jadi, yang di 'belakang' boleh maju ke depan. Manakala, yang di 'depan' tak semestinya sudah cukup ilmu dan pengalaman, masih banyak yang mereka boleh 'belajar' dari yang dibelakang.


Sesungguhnya Carly adalah satu inspirasi. Non-verbal bukan penamat kepada sebarang komunikasi. Mereka tidak bisu, malah keupayaan audio mereka juga baik, tapi mereka tidak mampu. Ada yang menggunakan sign language, ada yang menggunakan kad-kad bergambar, ada pula yang boleh berkata-kata, tapi hanya sepatah dua. Yang pandai bercakap pula, belum tentu boleh berbual secara dua hala. Ada pula seperti Carly, yang menggunakan tulisan untuk meyampaikan buah fikiran. Yang 'berbeza' dari kita, janganlah dipandang serong. Kurangkan simpati, lebihkan dorongan. Begitulah uniknya ciptaan Tuhan.Pelbagai bentuk, gaya dan rupa. Subhanallah.


If Albert Einstein was around in this century, fifty out of a hundred doctors say he would be diagnosed with learning disabilities and Attention Deficit Disorder. The other fifty say he would have been on the autism spectrum. When Albert went to school, he was in a one classroom school house and was given a chance to learn. - Carly Fleischmann