Nov 30, 2009

Jom Berbalas Pantun :p

Throwback percutian kami di PD tempoh hari :)




Adik Zarif si Ben10 jadian,
Kecil-kecil cili api,
Main pasir aktiviti kegemaran,
Tak padan kecik, sangat kuat bergusti!


Kak Dina kuat berangan,
Mulut becok, kuat merajuk dan ratu muncung,
Adik Zarif rakan seangkatan,
Kalau bergaduh, dua-dua macam angin puting beliung!


Adik Zarif, kak Dina dan mama,
3 member dalam hobbit family,
Inilah dia, dua orang pembantu kanan saya,
kalau dua orang ni takde, hidup saya senyap sunyi...


TukAyah tauke besar Harom Kasturi,
Kak Dina merangkap tukang rasa dan tukang perabih nasi,
Main pasir together-gether sambil gelak suka hati,Time cuti sajalah nak bergurau senda macam ni.


Abil, oh Abil, waris TukAyah yang comel lagi istimewa,
Mempunyai aura yang cukup disenangi,
Menjaganya tidak boleh sambil lewa,
Dengan Abil, hidup kami penuh warna warni.


Oh adik, oh kakak,
seronoknya bercuti di PD,
Di mana sahaja, adik dan kakak kuat bertekak,
Bila bergaduh, rasa macam nak baling dengan baldi!
hehehe...


Encik suami, Dina, Zarif, Abil,
Aset saya yang paling berharga,
Kepada Tuhan saya berserah,
Moga bersama hingga ke Syurga.....


Kak Dina si lincah, suka melompat
Ketua pengawas dalam famili,
suka posing dengan senyum kelat,
agaknya sebab nak cover gigi!


Suka menghafal irama dan lagu,
Bukan calang-calang orang boleh menjaga,
Nampak saja senyap, tapi semuanya dia faham, dia tahu,
Abil si hiper, otaknya bergeliga!


Love life and life will love you back,
Love people and they will love you back.

-Arthur Rubinstein
You don't choose your family, they are God's gift to you,
as you are to them!

-Desmond Tutu


Nov 29, 2009

Pesta Buku Popular 2011

imej google
Hari ni, saya rasa tak sedap badan. Mengantuk sepanjang hari. Hari Ahad yang ceria di sebelah pagi, tetapi bertukar muram menjelang petang. Semuanya berjalan lancar dengan juadah sarapan istimewa, air tangan mak dan ayah mertua saya. Laksa Johor dan Nasi Serai yang sangat sedap! Selepas saya siap 2 round men-dobi dan kenit-kenit sekalian selesai disuap makan pagi, kami ke pameran buku Popular di Danga City Mall, JB.



Tiba di sana, jam sudah hampir 12 tengahari. Orang ramai sudah mula berpusu-pusu memasuki ruang pameran tapi tidaklah sesesak yang saya jangkakan. Mungkin kerana ruang dewan yang agak luas dan selesa, suasana orang yang agak ramai pun hampir tak terasa. TukMi terus menuju ke kawasan buku-buku resepi untuk memenuhi pesanan TukAyah. Menu-menu lama di Harom Kasturi boleh diperbaharui dan di-inovasi dengan himpunan resepi-resepi baru.


imej google
Saya dan kak Dina pula ke ruangan buku-buku untuk kanak-kanak 'dewasa' atau 'pra-remaja'. Anak saya ni dah mula berjinak-jinak dengan novel. Dah tak mahu lagi buku-buku cerita bergambar kanak-kanak ribena atau kisah Sang Kancil, cerita-cerita dongeng dan yang sewaktu dengannya. Akhirnya kak Dina memilih novel ringan "Sayalah Puteri Raja" karya Aizam Aiman dan beberapa buku Arts & Craft. "Adik nak buku Ben10!" jerit adik pula dengan slang pelat-nya.


imej google
Suami dan Abil pula ke ruangan lain. Kami bertemu semula di kawasan buku-buku kanak-kanak pra-sekolah. Adik Zarif pun dengan terujanya terus pilih buku. Saya ambil 1 lagi set buku yang serupa tapi tak sama dengan buku adik untuk bacaan Abil. Untuk saya, 2 buah buku menjadi pilihan "Buat Duit dengan Blog" dan "Buat Duit dengan Tuisyen", masing-masing hasil tulisan Yazid Yahaya dan Osman Affan.


imej google

Pulang saja ke rumah, saya terus mulakan membaca. Tak sampai 10 mukasurat, dah separuh terlena.haha memang pantang letak bantal bawah kepala. Saya cancel niat membaca, terus suap anak-anak makan tengahari . Selesai menyuap, saya sambung baca lagi....rupa-rupanya saudara Osman Affan adalah senior saya semasa belajar A-Level di Kolej PPP/UiTM, Shah Alam. 

Sambil-sambil lepak baca buku, suami ambil-alih tugas layan anak-anak. Gelak ketawa Abil bermain kejar-kejar dengan Ayah sementara adik Zarif menyibuk di celah-celah. Kak Dina pula leka dengan kerja-tangannya. "Ayah kejar!Ayah kejar!", jerit Abil. Sesekali dia berkata, "Laju!laju!" dengan harapan ayahnya yang yang dah letih akan terus mengejarnya. Dialog-dialog yang cukup ringkas dan pendek tapi cukup membanggakan saya. Puas main kejar-kejar, encik suami keluar sebentar membeli syampu kereta.

Tiba-tiba, Abil muntah-muntah selepas minum air. Kali pertama muntah, saya sangkakan mungkin tersedak kerana terlalu gelojoh. Masuk kali kedua, saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Abil muntah lagi buat kali ketiga ketika bermain di luar sambil-sambil memerhatikan ayah cuci keretanya. Terus saya ajak encik suami ke klinik selepas maghrib. Malangnya, dua tiga buah klinik berdekatan tutup semuanya. Akhirnya kami singgah farmasi untuk beli garam ORS, untuk elakkan dehidrasi.

Sehingga saat ini, sudah lebih 10 kali Abil muntah. Semasa maghrib tadi, suhu badan agak tinggi. Alhamdulillah, selepas buat sponging pada Abil, temperature-nya sudah kembali normal. Mujurlah saya simpan thermometer di rumah, dapatlah pantau suhu anak-anak dengan tepat setiap kali anak-anak tak sihat. Setakat ni, Abil hanya muntah-muntah dan tiada cirit birit. Yang susahnya, Abil langsung tak mahu makan bubur dan minum air garam ORS. Dia agak trauma kerana setiap kali minum air, mesti semuanya keluar semula. Kesian tengok Abil muntah-muntah hingga keluar air mata.

Ini semua aftermath acara sukaria 2 hari lepas. Memang begitulah kebiasaannya. Lepas program bercuti, anak-anak cukup senang jatuh sakit. Kadang-kadang berjangkit-jangkit. Mungkin kerana banyak makan makanan rapu, waktu makan dan tidur tidak menentu, ke sebab banyak tertelan air semasa mandi manda? Saya pun tak pasti.

Esok saya terpaksa 'cuti'kan Abil dan ke klinik berjumpa doktor. Sementara itu, saya sendiri kena tambah stamina dan ambil zat besi supaya lebih segar, sihat dan berseri-seri. hehe


Health is like money, we never have a true idea of its value
until we lose it.
~Josh Billings

Nov 28, 2009

Selesa Beach Resort, PD

imej google


Alhamdulillah. Aidiladha tiba lagi :)

Teringat semasa kecik-kecik dulu, pernah juga saya tengok orang-orang masjid sembelih lembu sempena hari raya haji. Entah bila la saya nak tunjuk pula pada kak Dina, Abil dan adik Zarif upacara korban ni.

Walaupun seluruh Malaysia bercuti sempena Aidiladha ni, Abil pula ke HappyLand seperti biasa pagi-pagi. Berbezanya pada hari ini, Abil segak berbaju melayu dan nampak hensem sekali. Kebetulan, kami hanya menyambut Aidiladha di Majidi.


Seperti yang dirancangkan, selepas solat raya dan menikmati laksa utara sebagai juadah istimewa, kami terus ambil Abil dari sekolah dan menuju ke Port Dickson, untuk acara cuti-cuti. Kak Dinalah yang paling teruja sebab dah hampir setahun tak berkelah di tepi pantai. Tak habis-habis kak Dina bertanya, "Dah sampai mana? dah sampai mana?..." Perjalanannya agak panjang kerana banyak kenderaan di lebuhraya. Adik Zarif pula tak habis-habis menyapa, "adik nak main air...adik nak main air...". Ini semua gara-gara si kakak bercerita betapa kita akan mandi-manda di swimming pool dan tepi pantai. Pening juga bila asyik diasah dengan soalan dan skrip yang sama.

Walaupun hanya 1 hari bermalam di Selesa Beach Resort, rasanya cukup untuk meninggalkan kenangan manis buat anak-anak. Alhamdulillah, kini kami dah pun balik ke rumah bersama-sama kulit yang sudah terbakar dek matahari PD. Kami dah jadi geng 'budak itam' kecuali encik suami dan Abil yang masing-masing, cuma kemerah-merahan macam udang kena panggang.

Penatnya mak aiii...yang pastinya, kalau boleh kak Dina dan Adik Zarif nak tinggal terus di PD. Dah main air berjam-jam pun masih tak puas lagi. Agaknya Abil pun begitu juga.Masa berendam di laut, Abil paling berani. Pandai sungguh main ombak dan tak mahu dipegang langsung, kononnya nak main sendiri. Nasib baik TukAyah pun sama-sama terjun juga, kalau tidak susah juga saya dan suami nak kelola tiga-tiga hobbit kenit dalam satu masa....

"Kenapa air laut masin ye mak??" seperti biasa kak Dina bertanya.....TukAyah pun menyampuk, "sebab semua orang kencing kat dalam laut....air kencing kan rasanya masin."Berkerut-kerut kak Dina bila dengar jawapan TukAyah. "Eiiiiiiiii...geliiiiiiii"jeritnya. hahaha...kami gelak besar.

Seronok tengok semua orang happy. Bergurau. Ketawa. Semua seronok mandi manda di laut, kecuali Zarif yang lebih teruja main pasir ditemani TukMi. Adik Zarif agak takut main air, kurang exposure rasanya. Sekali-sekala, encik suami 'tangkap' juga Zarif ke laut. Abil pun dulu nangis-nangis juga. Kak Dina memang tak boleh nak cakap apa la, ikan duyung yang terperangkap di dalam badan manusia gamaknya..kehkeh.

Puas bergelumang dengan pasir dan air masin, kami terjun pool pula. Buat membilas badan dan menghabiskan masa. Saya suka tengok Abil yang berusaha mengapungkan diri di kawasan pool yang aras airnya agak tinggi. Seronok-seronok juga, tapi tak boleh leka. Sesekali saya lihat Abil 'meniru' kanak-kanak lain. Bila nampak ada yang melompat dari tebing pool, dia pun melompat juga.Bila tengok ada yang buat gaya terjun dari papan anjal, eh...dia pun ikut sama. Itu petanda baik bagi Abil sebenarnya, kemahiran meniru atau 'imitate' dari orang lain menunjukkan Abil memerhati keadaan di sekelilingnya. Selain, ia adalah kemahiran penting dalam proses perkembangan oral-nya.

Secara keseluruhannya, kami puas hati dengan percutian kali ini. Walaupun di bilik hotel, Abil tak henti-henti menekan suis, main di toilet dan melompat sana sini. Mood-nya baik sepanjang hari dan tiada langsung tantrum semasa di PD. Nampaknya kena pergi cuti-cuti lagi.hehe

Jumpa lagi!

Nov 25, 2009

Oh! Carly


imej google
Ok. Saya nak kongsikan serba sedikit tentang seorang remaja autisme, Carly Fleischmann.
Uniknya tentang Carly ialah, beliau berjaya mengatasi kekurangannya berkomunikasi dengan cara menaip di komputer. Kalau dulu beliau harus dibantu untuk menaip, kini dia mahir menaip sendiri malah menggunakan kemahiran ini untuk mengekspresi diri. Melalui website http://carlysvoice.com, anda boleh baca sendiri coretan-coretan Carly. Tulisan-tulisannya sangat lancar, langsung tak menggambarkan dirinya yang sebenar.

Macam-macam soalan telah ditanyakan kepada Carly, kebanyakannya daripada mereka yang ada pertalian dengan individu autistik. Bak kata Carly, "If a horse is sick, you don’t ask a fish what’s wrong with the horse. You go right to the horse’s mouth." Jadi, kelebihan Carly ini sebenarnya memberi peluang kepada semua untuk mengetahui tentang perasaan sebenar apabila dilahirkan dengan autisme dan apa sebenarnya yang dilalui oleh mereka disebalik perlakuan-perlakuan serta tabiat mereka yang sangat 'berbeza'.


Paling menyentuh perasaan apabila Carly memberitahu tentang perasaan sedihnya apabila golongan autistik sering dilabel dan dipandang rendah seolah-olah mereka ini tidak berupaya memberi sebarang sumbangan dan idea. Beliau juga kesal apabila ramai yang memberi komen negatif di hadapan anak-anak autistik, dengan sangkaan bahawa anak-anak ini tidak tahu apa-apa. Sedangkan, anak-anak ini faham semuanya walaupun wajah mereka seringkali 'blur', walaupun mereka tidak boleh berkata-kata. "We all have feelings even if we don’t often show it at times."-Carly


imej google
Bila diimbas kembali, sebenarnya banyak tanda-tanda yang menunjukkan Abil sebenarnya peka dengan apa yang berlaku disekelilingnya walaupun nampak seperti dia berada dalam 'dunia'nya sendiri. Saya masih ingat waktu saya berdiskusi dengan Mrs.Kanthan di Lumos dahulu, adakalanya saya lihat Abil tersenyum-senyum dan tersengih-sengih, seolah-olah Abil faham akan topik perbincangan kami.  Sememangnya kami sedang berbual tentangnya. Terus saja Mrs. Kanthan menyedari, lantas berkata, "See....he's smiling all over. He knows that we are talking bout him..."


Saya juga ingat sewaktu Aidilfitri yang lalu, saya terpaksa meninggalkan Abil bersama TukMi dan suami di rumah selepas maghrib untuk pergi ke open house ustazah kak Dina.Saya bawa kakak dan adik Zarif sahaja.Sempat saya beritahu Abil dan berpesan supaya jadi good boy sementara kami keluar. Sampai saja di rumah, terus saya cari Abil. Bila dengar saja suara saya memanggil, terus Abil hentam pintu bilik. "Marah kerana ditinggalkan agaknya..." bisik hati saya. 



dari google
Menyelami tulisan-tulisan Carly juga membuatkan saya sedar bahawa semua 'kenakalan' Abil bukanlah disengajakan, tetapi didorong oleh masalah organ sensori dan juga ketidakupayaan Abil untuk mengawal diri daripada berterusan melakukan perlakuan-perlakuan tersebut. Tantrum yang berlebihan pula kerana Abil cuba mengekspresi kehendak serta saya pula gagal memahami.


Sejujurnya, saya boleh terima jika orang kata anak saya luar biasa, tapi saya tak suka bila orang kata "anak akak ni ok ker??" ...excuse me! anak saya tak gila. Rasa nak menjerit pun ada. Itulah respons cik jurugambar masa saya bawa Abil untuk mengambil gambar passport di kedai gambar. Berpeluh-peluh saya cuba bantu Abil beri 'eye contact' pada kamera. Tak henti-henti saya pesan pada cik jurukamera supaya cepat-cepat snap apabila matanya fokus pada lensa. Mujurla Abil berjaya juga selepas lebih kurang 30 snap diambil tanpa henti.Fuhh..

Berbalik kisah Carly, beliau amat suka sekali bercampur dengan mereka yang normal. Pengalaman bersama individu normal sangat menarik dan membuka mindanya kepada banyak perkara. Bagaimanapun, individu normal sering salah faham tentang autisme dan selalu menuduh dan bertanyakan yang bukan-bukan. Beliau juga hairan, mengapa di sekolah, autistik dan normal perlu diasingkan? Baginya, tinggi atau rendahnya IQ bukan ukuran, yang penting peluang dan pendedahan sama rata diberikan. Jadi, yang di 'belakang' boleh maju ke depan. Manakala, yang di 'depan' tak semestinya sudah cukup ilmu dan pengalaman, masih banyak yang mereka boleh 'belajar' dari yang dibelakang.


Sesungguhnya Carly adalah satu inspirasi. Non-verbal bukan penamat kepada sebarang komunikasi. Mereka tidak bisu, malah keupayaan audio mereka juga baik, tapi mereka tidak mampu. Ada yang menggunakan sign language, ada yang menggunakan kad-kad bergambar, ada pula yang boleh berkata-kata, tapi hanya sepatah dua. Yang pandai bercakap pula, belum tentu boleh berbual secara dua hala. Ada pula seperti Carly, yang menggunakan tulisan untuk meyampaikan buah fikiran. Yang 'berbeza' dari kita, janganlah dipandang serong. Kurangkan simpati, lebihkan dorongan. Begitulah uniknya ciptaan Tuhan.Pelbagai bentuk, gaya dan rupa. Subhanallah.


If Albert Einstein was around in this century, fifty out of a hundred doctors say he would be diagnosed with learning disabilities and Attention Deficit Disorder. The other fifty say he would have been on the autism spectrum. When Albert went to school, he was in a one classroom school house and was given a chance to learn. - Carly Fleischmann



Nov 20, 2009

Google Autism!

No. 1: Inappropriate laughing or giggling
Saya diberitahu, individu Autisme sering ketawa sendiri bila teringatkan insiden lucu. Kadang-kadang apa yang kita lihat nampak biasa, tapi mengingatkan mereka pada sesuatu (yang lucu). Lantas, mereka ketawa sedangkan kita tak rasa apa-apa.

No.2: No Real fear of danger
Tidak faham konsep 'bahaya'. Contohnya, melintas jalan secara melulu tanpa melihat kepada kenderaan yang sedang melalui jalan tersebut atau melompat daripada tangga yang tinggi. Menggunakan gunting dan pisau tanpa rasa takut.

Oleh itu, anak autisme perlukan pengawasan ketat. Mungkin curiosity yang terlalu tinggi juga menyebabkan mereka langsung tidak ada rasa takut.

No.3: May Avoid eye contact
Ini adalah ciri utama individu autistik. Mereka akan memberikan eye contact yang sangat minima atau biasanya, tiada eye contact langsung.Apabila dipanggil, bukan saja tiada sahutan diterima, malahan renungan mata pun sangat sukar dilihat.

No.4: Unusual or repetitive play
Mengenjut-enjutkan badan (rocking) untuk tempoh masa yang agak lama. Mengepak-ngepakkan tangan (hand-flapping). Menghayunkan anggota badan tertentu. Tabiat yang berbeza bagi setiap individu Autisme. Boleh dilatih dan dikawal agak tidak keterlaluan dan nampak janggal.

No.5: May not want cuddling, may prefer to be alone
Tidak suka bersosial. Lebih suka bersendirian. Mengelak daripada berkomunikasi dengan individu lain, terutamanya yang baru dikenali. Latihan dan pendedahan boleh membantu individu Autisme belajar bersosial dan bergaul.

No.6 : Echoes words or phrases
Mengulang semula soalan-soalan yang ditanya. Mengulang atau menyebut perkataan yang pernah didengar berkali-kali. Echolalia. Ini sebenarnya satu petanda baik kerana ia satu proses belajar untuk individu Autisme.

Bagaimanapun, mereka perlu dibimbing untuk belajar menggunakan perkataan dan frasa pada masa yang sesuai. Terapi pertuturan yang konsisten boleh membantu.

No.7:Inappropriate attachments to objects
Biasanya mereka ada objek-objek tertentu yang disukai. Jarang mereka mahu berenggang dengan objek tersebut. Objek tersebut boleh membantu individu Autisme membebaskan diri daripada tekanan dan menenangkan mereka.

No.8: Spins object or self
Individu Autisme memang gemarkan objek berpusing. Kadang-kadang, mereka suka memusingkan diri sendiri. Ini juga mungkin menunjukkan mereka ada masalah sensori, kerana mereka tidak pening atau mabuk walaupun berpusing untuk jangkamasa yang lama.

No.9: Difficulty in expressing needs/interacting, use gestures
Ada individu Autisme yang non-verbal. Tidak bisu tapi tidak boleh mengekpresi diri melalui pertuturan. Ada juga yang verbal tapi lebih suka menggunakan gerak geri badan untuk meluahkan permintaan dan kehendak.

No.10: Insistence on sameness
Anak autistik biasanya sangat berpegang ketat kepada rutin dan akan menjadi 'restless' jika rutin mereka ditukar. Kadangkala mereka sangat rigid walaupun untuk perkara-perkara kecil. Contohnya; hanya mahu minum daripada cawan/gelas yang sama setiap hari, marah apabila kita melalui jalan yang berlainan untuk ke destinasi rutin seperti sekolah dan rumah, tidak suka memakai baju baru dan banyak lagi.


Dengan sesi terapi yang konsisten dan berterusan, keadaan ini boleh diperbaiki. Biasanya, mereka perlukan masa untuk adapt pada rutin/persekitaran baru .

No.11: Inappropriate response or no response to sound
Kanak-kanak autistik biasanya sensitif terhadap bunyi-bunyi tertentu. Salah satu cabaran sensori juga. Biasanya, mereka akan menekup telinga mereka atau menjerit-jerit apabila mendengar bunyi-bunyi seperti blender, mesin pemotong rumput, motosikal, bunyi helikopter/kapal terbang dan banyak lagi.

Untuk membantu mereka menjadi lebih tolerant , dedahkan mereka kepada bunyi-bunyian ini secara perlahan-lahan. Mereka akan kelihatan seperti 'pekak' walaupun sebenarnya mempunyai pendengaran yang normal.

Einstein Pictures, Images and Photos
dari google

Nov 19, 2009

Kisah Jett & Evan

Jan 2, 2009, Jett Travolta (anak kepada pelakon terkenal Hollywood, John Travolta & Kelly Preston) telah meninggal dunia semasa sedang menikmati percutian bersama keluarganya di Bahamas. Jett Travolta telah 'pergi' seawal usia 16 tahun selepas diserang sawan (seizure) dan gagal diselamatkan.

Pada 23 September yang lalu, lebih kurang sembilan bulan selepas pemergian anaknya, buat pertama kalinya, John Travolta telah membuat pengakuan terbuka bahawa anaknya adalah seorang autistik. "He was autistic. He suffered from seizure disorder." adalah pernyataan yang diberikan oleh John Travolta semasa sesi perbicaraan dua individu yang dituduh cuba mengugut beliau berkenaan dengan kes kematian mengejut anaknya. Kenyataan ini sekaligus mengesahkan khabar angin yang selama ini mempersoalkan samada anaknya, Jett adalah seorang penghidap autisme.



Jett & John Travolta
dari google

"One in four children with autism has a seizure disorder." -http://autism.about.com
Berdasarkan statistik di atas, Abil sangat-sangat bertuah kerana tidak termasuk di dalam kelompok anak autisme yang turut mengalami simptom sawan atau seizure. Pastinya sukar sekiranya berlaku simptom ini. Tentunya pemerhatian yang rapi, penjagaan kesihatan yang teliti di samping kemahiran serta ilmu untuk mengendalikan situasi di mana berlakunya sawan sangat penting bagi anak-anak yang diserang sawan. Mengikut pembacaan dan pemerhatian saya, seizure bukan sahaja berlaku di kalangan anak autistik tetapi sangat common di kalangan anak-anak istimewa yang lain.

imej google


Selain daripada John Travolta, seorang lagi selebriti Hollywood, Jenny McCarthy juga mempunyai seorang anak autistik, Evan yang kini berumur 7 tahun. Jenny McCarthy merupakan antara selebriti wanita yang pernah menghiasi majalah Playboy. Bagaimanapun, sewaktu anaknya disahkan sebagai autistik selepas diserang sawan berkali-kali, McCarthy merasakan bahawa ia membawa satu perubahan 'baru' dalam hidupnya. 

"Holding my convulsing baby as he tried to breathe, from that day on, I was not who I was before." McCarthy telah menulis tentang kisah 'pemulihan' Evan di dalam bukunya yang bertajuk. "Louder Than Words: A Mother's Journey in Healing Autism." Menurut McCarthy, kunci utama yang membawa keluar anaknya dari autisme adalah diet GCFC dan program intervensi awal.

Sebenarnya ramai lagi selebriti-selebriti terkenal yang dikatakan autistik. Albert Einstein, Adolf Hitler, Mozart, Isaac Newton dan Bill Gates adalah antara tokoh-tokoh terkemuka yang dikatakan mempunyai sebahagian ciri-ciri autisme. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan. Ada sesetengah sumber turut menamakan Michael Jackson dan Keenu Reeve sebagai autistik, betul atau tidak? wallahualam.

Yang pastinya, senarai nama mereka yang benar-benar disahkan autistik mempunyai pelbagai kareer hebat seperti penulis buku, pelukis, ahli politik , saintis, komposer, ahli matematik dan juga ahli sukan. 

Kesimpulannya, autisme mungkin dianggap satu kekurangan pada mata kasar, tapi ia sebenarnya adalah satu keistimewaan tersembunyi yang hanya akan ditemui sekiranya ia 'diterokai'.

Senyum selalu :)


Nov 18, 2009

Obsesi


Obsesi Abil.  Sukakan suis. Abil suka menekan suis-suis di dalam rumah secara berulang-ulang kali. Habis semua suis sitekannya, on-off...on-off...tanpa henti. Bila ditegur, Abil berhenti seketika. Selang beberapa minit, Abil sambung lagi.

"Ni sapa yang off-kan fridge ni? "
"Eh,dah berapa lama suis iron ni on?mujur tak terbakar....."
"Abil, jangan tekan main suis!!!bahayaaaa!!"

Begitulah dialog-dialog kami. Gara-gara kesukaan Abil pada suis. Semua suis-suis yang boleh dicapainya (samada dengan berdiri, memanjat atau melompat) akan ditekannya. Agak bahaya. Kami perlu sentiasa pantau keadaan suis-suis dan peralatan elektrik di rumah. Yang paling merisaukan saya, main switch di dalam kotak fius pun berjaya dicapai nya. Tugas memerhatikan Abil setiap saat memang mencabar.

Secara amnya, memang setiap kanak-kanak autistik mempunyai kecenderungan luar biasa pada sesuatu objek. Minat luar biasa ini juga sinonim dengan perlakuan 'idiosyncratic behaviour' atau tabiat melakukan perkara yang sama secara berulang-ulang. Yang berbeza di antara setiap kanak-kanak ini ialah kekerapan, tahap kecenderungan, jangkamasa dan jenis perlakuan.

Anak autisme tidak begitu berminat atau tidak berminat langsung untuk bersosial atau berkomunikasi dengan rakan sebaya mereka, tetapi lebih berminat pada objek berbanding manusia. Mereka tidak pandai bermain, lebih-lebih lagi permainan secara 'pretend play' seperti main cikgu-cikgu, masak-masak atau tembak-tembak. Apabila anak-anak ini diberikan permainan, biasanya mereka akan memasukkannya ke dalam mulut, atau menyusun toys tersebut secara selari (horizontal) atau memusing-musingkan toys tersebut (spin).


Kanak-kanak ini juga tidak pandai berkongsi minat mereka dengan orang lain. Contohnya, adik Zarif akan sentiasa memanggil mama apabila keluar iklan atau trailer movie Ben10 keluar di kaca TV, "Ma !Ma! Ben10 ma....". Kakak pula akan sentiasa menunjukkan pada mama apa jua perkara yang diminatinya di dalam suratkhabar,majalah atau TV. "Ma,tengok ni.....ada movie baru, Planet 51!"kata kakak. Tapi, tidak bagi Abil.

Baru-baru ni, saya lihat Abil agak berminat dengan aktiviti "Arts & craft". Kebetulan, dengan cuti sekolah yang hampir tiba sehari dua lagi, masa Abil di Montessori banyak dihabiskan membuat kerja-kerja tangan seperti membuat topi Santa Claus, membuat windmill, membuat sandwich dan macam-macam lagi.


"Life is not THAT serious. Let's take humour more seriously."

Nov 13, 2009

Kisah Abil dan Kim Peek

Sehingga hari ni, sudah 4 hari berturut-turut rutin tandas Abil terganggu. Aduhhh...pening kepala. Nampaknya , "Fear Factor" musim baru dah bermula.haha 


Ayah saya selalu pesan, jaga anak-anak kena ikhlas...tak boleh ungkit-ungkit atau keluar sebarang kata-kata keluhan yang negatif....Tuhan saja nak test, nak tengok sejauh mana mak ayah boleh bertahan.

Saya agak risau, bagaimana di sekolah nanti? Kalau berterusan macam ni, takut cikgu-cikgu tak mampu bertahan. Berdepan dengan masalah rutin tandas bukan perkara kecil. Nampaknya, kena buat sesi 'hati ke hati'.


Saya teringat dulu, masa Abil baru-baru masuk ke Tadika Montessori, Abil yang sangat suka panjat tangga.Risaukan keselamatan Abil, cikgu tadika minta saya nasihatkan Abil di rumah. Saya pun buatlah sesi 'hati ke hati' dengan Abil...di dalam kereta, sebelum tidur, selepas mandi.....saya 'slow talk' baik-baik, tunjuk gambar tangga, terangkan apa yang akan berlaku kalau Abil jatuh dan sebagainya. Alhamdulillah, berkesan juga taktik saya walaupun semasa bercakap dengan Abil, dia cuma mendiamkan diri..untuk hari-hari yang berikutnya, Abil berhenti sekejap bermain tangga di sekolah.

2005


Ok....sambungan kisah Kim Peek, seorang "autistic savant" yang kini telah pun berumur 58 tahun. Nickname-nya adalah 'Kimputer', kerana kekuatan memori dan daya hafalan-nya yang sangat tinggi (photographic memory). Dilahirkan dengan saiz kepala yang agak besar dari saiz normal atau istilah sainsnya 'encephalocele'. Saiz kepala yang agak besar sangat sinonim dengan ciri-ciri anak istimewa sewaktu mereka di peringkat bayi dan kanak-kanak. Tapi, ini tak bermakna, mereka yang dilahirkan berkepala besar akan mempunyai sebarang kecacatan apabila meningkat dewasa. Kebetulan, Abil juga mempunyai saiz kepala yang agak besar (melebihi saiz 'average') rakan-rakan sebaya-nya waktu berumur 2-3 tahun.

Walaupun mempunyai sedikit 'defect' di bahagian otaknya, Kim Peek BUKAN seorang terencat akal (retarded). Umumnya, terdapat peratusan kanak-kanak autistik yang juga terencat akal TETAPI individu autistik tidak semestinya juga mempunyai terencat akal, sekaligus individu terencat akal juga tidak semestinya seorang autistik.

Menurut ayahnya, Fran Peek, Kim berupaya menghafal semua buku-buku yang dibacanya semasa umurnya baru berusia 16-20 bulan. Sememangnya Kim Peek seorang 'genius' yang istimewa. Tetapi, Kim hanya pandai berjalan apabila umurnya mencecah 4 tahun. Beliau sangat obses dengan nombor dan arithmetik, serta sangat suka membaca dan menghafal nombor-nombor telefon di dalam direktori telefon. Kim juga sangat gemar mengira jumlah angka-angka pada plet kenderaan. Tanpa bantuan kalkulator, Kim bekerja menyediakan helaian-helaian penyata gaji pekerja.

Kini, Kim dan sedang bercuti bagi membolehkan beliau dan ayahnya aktif melakukan kerja-kerja amal udan ceramah-ceramah motivasi ntuk komuniti kurang upaya di US dan Kanada.




~Dari YouTube

Dokumentari ringkas tentang Kim Peek, The Real Rain Man.



"Recognizing and respecting differences in others, and treating everyone like you want them to treat you, will help make our world a better place for everyone. Care...be your best. You don't have to be handicapped to be different. Everyone is different!" - Kim Peek.


Nov 12, 2009

Aznil & Rain Man

Rasa kurang sihat pagi ni.

So, untuk menyegarkan diri, saya pun bersantai-santai sekejap dengan kak Dina sambil menonton siaran ulangan 'Jangan Lupa Lirik'. 

Sempat kak Dina bercerita tentang aktiviti di sekolah agamanya semalam...."Ustaz Daniel ajar kitorang solat dhuha, pastu, solat hajat dan solat taubat.." Saya bertanya, "Apa lagi ustaz ajar?" Kak Dina pantas menyambung, "Ustaz suruh doa..minta apa2 yang kita nak....Dina doa mintak Abil jadik normal" Saya terdiam. Terharu dan sejuk hati mendengar kata-katanya.

Alhamdulillah, nampaknya kak Dina faham sikit sebanyak tentang Abil. Kak Dina memang selalu beralah kalau dengan adik Abil. Selalu juga kak Dina sebut, "Best la kalau jadik Abil.....sekolah dia best, cantik, pastu semua orang sayang kat Abil..." hahaha...ayat-ayat yang berbau cemburu gitu. Saya selalu pula jawab,"Abil tu kalau boleh nak jadi macam kak Dina, pandai, boleh belajar dengan senang, cepat faham..."


Kalau kak Dina bersikap 'protective' terhadap Abil, adik Zarif lain pula caranya. Abil dan Zarif, buat masa ini, selalu dalam keadaan perang dingin. Belum pernah lagi saya nampak Abil peluk-peluk adik walaupun kadang-kadang adik Zarif ada inisiatif untuk berkasih-sayang dengan abang. Biasanya, saya akan suruh adik Zarif peluk dan cium pipi abang Abil masa dia tidur. Sebab waktu tu saja, Zarif boleh peluk-peluk abang dengan aman dan tenteram, no rejections whatsoever...

Dah banyak juga perubahan, kalau dulu Abil langsung tak mau dekat dengan Zarif. Sekarang dah boleh juga senyum-senyum, pegang-pegang tapi masih tak boleh main sama-sama. Lagipun, adik Zarif suka main 'pretend play'. Dengan sebatang pembaris saja, adik Zarif berimaginasi kononnya dia tengah memancing dan dapat tangkap ikan besar..terhoyong-hayang adik Zarif tarik mata kail....kadang-kadang dia berangan jadik Ben10. Sibuk dia menekan jam tangan Ben10 di tangan kirinya...macam real jer,padahal semuanya invisible di mata saya....habis semua 'ditembaknya'..

Kata ayahnya, biarkan. Pretend play ni bagus. Biarkan dia bermain dengan imaginasi-nya. Anak autistik pula agak ketinggalan dalam hal berimaginasi dan tidak berupaya untuk terlibat dalam 'pretend play'. Sebab itulah, kita kena selalu duduk dan bermain dengan mereka. Secara tidak langsung, boleh ajar mereka cara bermain dengan betul. Tarik mereka 'keluar' dari dunia mereka. Tunjukkan mereka fungsi setiap permainan, bukan setakat dipusing-pusingkan atau dipegang saja.

Oh ya! sedikit ulasan tentang filem "Rain Man" arahan Barry Levinson, sekitar tahun 1988. Watak Raymond Babbitt atau Ray, lakonan Dustin Hoffman adalah hasil inspirasi seorang autisme sebenar yang bernama Kim Peek. Pada tahun 1989, Anugerah Oskar yang dimenangi oleh Barry Morrow, penulis asal cerita Rain Man telah diserahkan kepada Kim Peek sebagai tanda penghormatan. Anugerah Oskar bagi Pelakon Lelaki Terbaik (Dustin Hoffman) , Pengarah Terbaik (Barry Levinson) dan Filem Terbaik (Mark Johnson-Produser) juga telah dimenangi menerusi filem ni.

Jalan ceritanya sangat simple, tentang dua beradik yang bertemu kembali setelah kematian ayah mereka. Menariknya, si adik, Charlie Babbit (lakonan Tom Cruise) mencari semula abangnya, Raymond selepas mengetahui tentang harta pusaka ayahnya, yang mana kesemuanya diwasiatkan kepada Raymond. Tanpa mengetahui tentang keistimewaan Raymond, Charlie melarikan Raymond dari pusat jagaan khas dengan niat untuk mengaut harta-harta ayahnya atas alasan menjaga abangnya. Dari sinilah bermula-nya episod-episod menarik apabila sedikit demi sedikit, Charlie menyedari tentang sifat sebenar Ray. Lucu, sedih, geram, semua ada dalam filem ni.

Bagi anda yang kurang jelas atau tidak pernah bertemu dengan seorang autisme sebelum ini, Rain Man is a must-watch movie!






Sedikit sedutan dari "Rain Man" sewaktu Raymond, tiba-tiba hilang dari pandangan Charlie sementara beliau membuat panggilan telefon. Perhatikan perlakuan Raymond yang kelihatan robotik, cara beliau bercakap, berjalan dan sebagainya. Juga perhatikan bagaimana Raymond meng-interpretasi arahan yang ditunjukkan oleh papan isyarat jalanraya sewaktu melintas....

Harus diingat bahawa setiap individu autistik adalah berbeza. Malah, tahap autisme setiap mereka juga pada spektrum yang berbeza (dari 'mild' ke 'severe'). Walaupun pada spektrum yang serupa, tidak akan ada dua individu autistik yang mempunyai ciri-ciri yang 100% sama. Secara am-nya, setiap individu autistik akan bersifat ala-ala robotik, tapi 'mild autistic' yang dilatih dan dibesarkan dengan cara yang betul mempunyai peluang cerah untuk diminimumkan ciri-ciri autistik mereka apabila dewasa. 

Next, saya akan bercerita pula tentang Kim Peek, seorang genius autistik, watak Rain Man di dalam dunia realiti.Tunggu ye!


We only got 86 400 seconds in a day
To turn it all around or to throw it all away
We gotta tell them that we love them while we got the chance to say,
Gotta live like we're dying

You never know a good thing until it's gone
You never see a crash until it's head on
All these people right when we're dead wrong,
You never know a good thing till it's gone....


~ Kris Allen ~

Nov 11, 2009

Sampai termimpi-mimpi


Abil di pusat intervensi NASOM

Hari ni, saya nak berkongsi cerita. Dua tiga hari ni, saya bermimpi yang pelik-pelik. Agaknya sebab banyak berfikir atau mungkin juga sebab tidur yang tak begitu lena, asyik terjaga setiap 1-2 jam.

Mimpi pertama. Saya tiba-tiba jadi seorang pemandu bas. Bas besar pulak tu, bukan bas mini. Kemudian, dalam mimpi tu, saya memandu pandu bas dalam sebuah pasar, di celah-celah lorong kecil. ..isk..isk...berhempas pulas tekan minyak, brek dan clutch. Realitinya, saya bukannya pemandu mahir , drive secara automatik boleh la. Rasa macam tunggang keldai pun ada....asyik terhenjut-henjut....macam naik kuda kepang pun ye juga....hahaha...terasa 'penat' bila tiba-tiba saya terjaga daripada mimpi.

Mimpi kedua pula sampai mengigau-ngigau dibuatnya. Mujurla anak-anak tidur pengsan semuanya. Terjerit-jerit saya bila disergah dengan seekor tikus besar, lebih kurang sebesar tupai. Takut!

Nampak tikus rumah saja pun, saya dah ngeri. Inikan pulak tikus sebesar itu, tikus "mutant" agaknya. Banyak sangat menonton Ben 10 dengan Zarif la ni. haha

Entah berapa lama saya mengigau sorang-sorang hingga akhirnya saya terbangun dikejutkan suami yang kebetulan baru balik kerja, kira-kira pukul 2.30 pagi. Bila saya buka mata, saya nampak suami tergelak sorang-sorang. Kemudian dia tanya saya, "mimpi apa pulak malam ni?" hehe

Hari ini saya ada temujanji dengan Teacher Eva. Saya nak bincang tentang persekolahan Abil tahun depan. Semalam saya borak dengan guru Abil semasa di Lumos, Mrs.Kanthan. Dah agak lama mama tidak jumpa Mrs Kanthan, walaupun jarak antara rumahnya dan rumah Maktuk cuma sekangkang gorilla (hehe...sekangkang kera tu tak cukup). Puas berbincang, saya menelefon pula seorang kawan rapat yang juga ada seorang anak istimewa, anaknya tua 2 tahun daripada Abil. Beliau mencadangkan sekolah anaknya sekarang.

Kelas pendidikan khas di Malaysia masih agak baru dan sedang diperhalusi perkembangannya semenjak kebelakangan ini. Sebaik sahaja Abil disahkan autisme, Teacher Aini (pakar terapi pertuturan Abil) nasihatkan saya supaya segera daftarkan Abil di Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM). Katanya, usaha ini penting bukan kerana kita hendaklah melabel atau merendah-rendahkan golongan-golongan ini, tapi supaya Kerajaan tahu akan jumlah sebenar kumpulan istimewa ni dan seterusnya, berusaha untuk menyediakan prasarana-prasarana yang diperlukan. Salah satu daripadanya ialah kelas atau Sekolah Pendidikan Khas.

Saban tahun, saya lihat makin banyak kelas Pendidikan Khas untuk peringkat menengah dan rendah dibuka. Bilangan guru-gurunya juga mungkin bertambah cuma bilangan guru terlatih masih belum cukup. Guru pakar dalam pendidikan khas juga masih kurang. Pra-sekolah khas(kerajaan) juga boleh dibilang dengan jari sedangkan fasa prasekolah sangat kritikal dalam perkembangan kanak-kanak, khususnya anak-anak istimewa. Walaupun ada prasekolah yang dibuka oleh pihak swasta dan NGO, golongan-golongan yang berpendapatan rendah masih belum mampu untuk hantar anak-anak mereka ke institusi-institusi ini. Alhamdulillah, bermula bajet tahun 2009 kalau tak silap saya, semua golongan OKU diberi elaun bulanan RM150 (asalnya hanya RM50). Walaupun jumlah ini tak dapat memenuhi keperluan golongan OKU sepenuhnya, sekurang-kurangnya dapat juga ringankan beban kewangan mereka/penjaga mereka. Kalau elaun ni disimpan atau dilaburkan dengan baik, insyAllah masa depan mereka akan lebih terjamin. Bagi anak-anak istimewa, asalkan mereka berdaftar dengan JKM dan memiliki kad OKU, mereka layak menerima elaun sebaik sahaja mereka memasuki sekolah kerajaan.

Bagi saya, kelas Pendidikan Khas yang bagus mempunyai kelas-kelas yang berasingan, ikut kategori "keistimewaan" pelajar-pelajarnya. Keistimewaan di sini merangkumi semua kecacatan fizikal (cacat anggota, masalah pendengaran, bisu, buta, berpenyakit kronik) dan juga masalah pembelajaran (slow learner, sindrom down, celebral palsy atau kecederaan otak, autisme, ADHD atau Attention Deficit, Hyperactive Disorder, ADD atau Attention Deficit Disorder serta Dyslexia). Pelajar-pelajar istimewa yang mempunyai potensi untuk 'berdiri sama tinggi ,duduk sama rendah' dengan pelajar normal biasanya akan diberi bimbingan akademik lebih berbanding rakan-rakan istimewa yang lain. Penekanan lebih diberikan kepada kemahiran mengurus diri, kerja-kerja tangan seperti memasak, bercucuk tanam, membuat hasil seni kraf dan sebagainya. Mereka juga digalakkan untuk aktif bersukan dan melibatkan diri dalam pertandingan sukan OKU.

Usaha ini sangat bagus dan perlu dimanfaatkan oleh semua . Bagaimanapun di Malaysia, masih banyak yang perlu ditambah baik dan diperbaiki. Lebih menyedihkan lagi, ada ibubapa yang membiarkan anak mereka tinggal sahaja di rumah tanpa didedahkan kepada aspek-aspek di atas. Ada ibubapa yang lebih suka anak mereka belajar secara 'homeschool'.Saya agak bersetuju dengan konsep 'homeschool' cuma di Malaysia, ia masih satu perkara asing. Bagaimanapun, tidak salah kalau ia dipraktikkan asalkan anak-anak belajar sesuatu dan mempunyai aktiviti bermanfaat dalam kehidupan mereka sehari-hari. Anak-anak istimewa yang hanya dijaga makan pakainya, tanpa sebarang pengisian rohani dan jasmani akan mempunyai masalah di masa hadapan. Bagaimanakah nasib mereka nanti semasa ketiadaan ibubapa dan keluarga terdekat mereka??

Banyak juga cerita-cerita kurang enak tentang kelas pendidikan khas yang saya dengar. Cerita-cerita inilah yang menyebabkan saya kusut dan bingung memikirkan hal persekolahan Abil.

Yang saya lihat, kelas Pendidikan Khas yang bagus mempunyai 'Program Transisi', dimana pelajar-pelajar yang berpotensi akan diserapkan dari kelas khas ke kelas Normal secara perlahan-lahan. Contohnya, jika mereka dapati ada anak-anak autisme atau ADHD yang boleh duduk diam dan mengikuti sesi pembelajaran, mereka akan masukkan anak-anak ini untuk 1 atau 2 subjek dahulu di kelas Normal, sehingga akhirnya mereka boleh mengikuti kelas Normal sepenuhnya dan mengambil peperiksaan. Laporan akhbar mengenai anak autisme yang mendapat keputusan UPSR yang baik pernah juga mama baca dan lihat. Mudah-mudahan anak saya juga akan cemerlang suatu hari nanti insyAllah...

Saya terpaksa berhenti di sini. Saya selitkan klip trailer, filem "Rain Man" lakonan Tom Cruise dan Dustin Hoffman. Esok saya akan sambung ulasan tentang cerita ini.




Nov 10, 2009

Abil dan Sekolah


semasa Abil 4 tahun (di Lumos)

Dua tiga hari ni, saya sibuk bertelefon sana sini, berat berfikir tentang persekolahan Abil tahun depan. Lepas mendengar tentang perkembangan Abil di Tadika Montessori seminggu dua yang lepas, saya dalam dilema samada Abil patut meneruskan persekolahan di kelas Pendidikan Khas di Sekolah Rendah, atau tangguhkan kemasukan tersebut dan meneruskan rutin di Tadika Montessori. Saya diberitahu, kanak-kanak bermasalah pembelajaran boleh diberi penangguhan untuk masuk sekolah. Bagaimanapun, ini bergantung juga kepada budi bicara pihak pengurusan sekolah.

Abil mula ke 'sekolah' sejak berumur 3 tahun. Waktu tu, Abil baru sahaja menerima diagnosis, selepas pelbagai siri pemeriksaan doktor, pakar psikologi kanak-kanak, ujian audio dan terapi sensori.

Oleh sebab waiting list untuk sesi terapi pertuturan di hospital kerajaan agak panjang, ditambah faktor pakar terapi di situ tak begitu "child friendly", doktor sarankan agar Abil dihantar ke tadika/pusat jagaan khas (Early Intervention Centre-EIC). Menurut pembacaan saya dan juga nasihat doktor, program "early intervention" sangat penting untuk kanak-kanak istimewa dan mesti dimulakan seawal mungkin supaya perkembangan Abil selari atau sekurang-kurangnya tak begitu jauh ketinggalan berbanding kanak-kanak normal.

Alhamdulillah, memang dah rezki Abil agaknya.Kebetulan, sebuah tadika khas (LUMOS EIC) baru dibuka berhampiran rumah makTuk waktu itu. Abil merupakan pelajar mereka yang ketiga. Yurannya memang agak mahal tapi sangat berbaloi-baloi.....bayangkan, daripada seorang anak yang teramatlah hiper dan tak boleh fokus walau sesaat sekalipun, Abil diajar untuk mengawal diri dan duduk diam ketika makan, belajar dan pelbagai aktiviti lain. Di Lumos juga, Abil belajar pegang pensel dengan betul, belajar asas-asas menulis, melukis dan mewarna selain diberi terapi urutan, yoga dan lain-lain yang bersesuaian dengan peringkat umur Abil.

Semua ini bukan senang untuk dicapai. Sebulan dua yang pertama dihabiskan tanpa sebarang aktiviti 'berat' tetapi semata-mata untuk tempoh penyesuaian diri. Kalau di peringkat awal Abil sentiasa mahu 'lari' sebaik sahaja tiba di pintu pagar sekolah, lama -lama Abil jadi sangat mesra dan sangat "enjoy" berada di Lumos. Saya senang hati melihat perkembangan Abil. 'Outing' bersama Abil yang dulunya hanya satu misi yang mustahil dan "mimpi ngeri" kini menjadi satu aktiviti yang tidak begitu membebankan.

Di Lumos juga, Abil diajar rutin ke tandas sebaik sahaja mencecah umur 4 tahun. Saya tabik pada komitmen dan perhatian rapi yang diberikan oleh tenaga pengajar Lumos. Tidak terbalas jasa -jasa Mrs. Kanthan, Suntrry dan suaminya Alex (seperti di dalam gambar, Mrs Kanthan tidak kelihatan).

Kini, Lumos tidak lagi beroperasi. Selepas Lumos, saya cuba menempatkan Abil di sebuah Tadika Islamik. Cikgu-cikgunya cukup memahami. Tapi entah kenapa, Abil tak serasi di situ. Sayang, saya sangat sukakan persekitaran sekolah yang begitu islamik.

Akhirnya, Abil didaftarkan di EIC yang dikendalikan oleh NASOM (Persatuan Autisme Kebangsaan).Tiga bulan di situ, tiada perkembangan ketara dapat dilihat. Saya terpaksa menerima hakikat bahawa kini Lumos sudah tiada dan saya masih belum berjumpa pusat pembelajaran setandingnya.

Selepas NASOM, saya masukkan Abil ke Happyland Special Education Centre. Sebelum berjaya 'menemui' sekolah ni, setiap ceruk saya jejaki. Waktu itu, kami baru sahaja buat keputusan untuk menetap di JB. Awalnya saya bimbang tak ada tempat yang sesuai untuk Abil. Saya tanya sana sini.Saya cari di internet, suratkhabar. Saya pergi ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Sudahnya, saya jumpa sebuah Tadika Montessori dan merekalah yang telah cadangkan agar Abil diasuh dahulu di Happyland sebelum belajar di Tadika Montessori tahun berikutnya.

Alhamdulillah, dah hampir 2 tahun Abil di Happyland. Di Tadika Montessori pula, Abil bersekolah di sana sejak awal April yang lepas. Secara keseluruhannya, kemahiran-kemahiran mengurus diri seperti mandi, memakai pakaian sendiri dan makan, masih perlu dibantu walaupun tidak sepenuhnya. Bagaimanapun, di sekolah memang Abil 'dikerah' untuk buat semuanya sendiri. Di rumah, kerana mengejar masa, jadi, kebanyakan aktiviti Abil masih dibantu. Dari segi akademik , prestasi Abil tak jauh ketinggalan berbanding perkembangan kanak-kanak berumur 4 tahun. Buat masa ni, saya tak mahu tekankan sangat prestasi akademik. Faktor masa saja yang jadi penentunya. Saya tahu, lambat laun Abil akan sampai juga ke 'destinasi'.

Yang agak merisaukan saya, perkembangan pertuturannya. Setakat ini, Abil cuma mahu bercakap sepatah dua perkataan bila dipaksa. Komunikasi dengan Abil masih berbentuk sehala tanpa sebarang respons melainkan memek muka dan tindak-tanduk Abil. Inilah yang dikatakan, "Action speaks louder than words..." 

"Sabar, jangan give up!". Komunikasi dengan Abil sangat penting. Walaupun tak ada respons setakat ni, saya perlu terus 'berborak' dan melayan Abil sepertimana mama layan kakak dan adik.

Apa yang saya harap ialah, di mana pun Abil bersekolah, Abil akan terus dimurahkan rezki mendapat guru-guru yang baik dan understanding, guru-guru yang tabah dan dedikasi. Walau sebanyak mana pun perhatian dan bimbingan yang dapat saya beri pada Abil di rumah, saya masih perlukan sokongan guru-guru di sekolah.

Semoga dipermudahkan.Amiin..


Nov 9, 2009

Kisah situ, sana, sini

Petang semalam, setelah sekian lama, tercapai juga hasrat nak bawa anak-anak keluar beriadah. Kononnya nak pergi sebelah pagi....akhirnya tertangguh ke sebelah petang sebab masing-masing bangun lewat. Alhamdulillah, cuaca cantik.

Seronok tengok semua berlari-lari. Masing-masing lepas gian memanjat, melompat dan sebagainya. 


Bersenam dan beriadah memang bagus....apalagi untuk anak istimewa seperti Abil. Menghirup udara segar, sambil menggerakkan otot-otot badan, barulah otak boleh bergerak dengan lebih cerdas. Kalau ikut keperluan,(seperti yang disarankan oleh cikgu Happyland), Abil perlu berjalan sejauh sekurang-kurangnya 2km setiap hari. Kanak-kanak autisme perlu keluarkan peluh (toksin dalam badan) setiap hari. Saya juga diberitahu, bila setiap sendi dan otot-otot tubuh digerakkan, semua toksin-toksin yang terperangkap di celah-celah sendi atau otot akan dilancarkan pergerakannya dan dapat dinyahkan daripada badan dengan lebih mudah. Kalau dapat dipraktikkan selalu, memang sangat ideal untuk semua termasuk golongan dewasa.

Kata cikgu Abil, tak semestinya berjalan 2 km itu di taman, tapak jogging atau seumpamanya, jika berjalan di dalam rumah yang ulang-aliknya berkadaran dengan 2 km pun sudah memadai. wahh!Jenuh juga tu....kesimpulannya, Abil tak boleh dibiarkan hanya berbaring atau duduk saja, sambil bermalas-malasan. Dulu, saya selalu juga buat sesi senamrobik dengan anak-anak. Saya beli mini trampoline, kadang-kadang kami bersenamrobik.

Tapi sayangnya, sejak saya bekerja sendiri di rumah, jarang sekali dapat buat sesi senamrobik dengan anak-anak. Selalu juga kak Dina mengeluh. "Sabarlah kakak..." jawab saya. Ini tahun pertama projek tuisyen saya, InsyAllah tahun depan kurang sikit sibuknya. Tahun depan, sibuk atau tak, kena paksa diri untuk produktif semula bersama anak-anak.

Sebenarnya, dah lama juga merancang nak beli threadmill. Kalau ikut hati, macam-macam nak beli. huhu

Oklah.Time to go. Jumpa lagi!

Nov 7, 2009

Jam 5 pagi

Jam sudah pukul 5 pagi waktu saya terbangun dari tidur.

"Basaaaahhh...basaaaahhh..."kata adik Zarif sebaik sahaja dia sedar semalam. Aduhhh.si kenit ni sudah 'kemalangan kecil'. Terpekik-pekik saya bila nampak Abil melompat-lompat atas tilam sementara saya bersihkan adik Zarif di bilik air.

Kebelakangan ni, agak kerap juga adik Zarif 'membasahkan' tilamnya waktu tidur. Puas juga saya suruh adik ke tandas sebelum tidur, kadang-kadang saya kejutkan pula untuk buang air di tandas...tak larat juga kalau selalu macam ni.

Bab membersihkan 'kemalangan' ni sudah jadi perkara biasa bagi kami.  Semuanya kami lalui dalam proses melatih Abil tanpa 'pampers'. Melatih Abil rutin tandas memang satu pengalaman yang cukup 'mahal'.

Dulu, rutin tandas Abil masih belum stabil. Perlahan-lahan kemahiran tandasnya meningkat dan maju setapak lagi. Ketika ini, masih berbantu tapi sudah jauh lebih baik dari dulu. Mujurlah saya ada 'pembantu-pembantu' yang boleh diharap. Kak Dina dan adik Zarif lah yang sering jadi "tukang report". Tak lupa juga encik suami yang tak pernah gagal membantu bila melihat saya bekerja keras 'membibikkan' diri.

Dalam hidup ini, kita kena sentiasa positif. Mak mertua saya pernah sebut, entah-entah esok lusa, Abil lah yang akan jaga saya dan suami di hari tua nanti. InsyaAllah..


Semalam, waktu kak Dina pulang dari sekolah, ada berita gembira."Dina dapat no 3 mak... " Alhamdulillah. Kelmarin, waktu kak Dina serahkan kertas-kertas peperiksaan yang sudah bertanda, saya katakan padanya "Agaknya kakak ni dapat no 3 kot, susah nak dapat no 1 ni...sebab tak banyak kertas yang markahnya seratus" Hah! masin mulut saya. Menyesal pulak tak sebut No.1. hehe

Apapun nombornya tak penting, kakak dah berusaha.Untuk masa akan datang, harap-harap kak Dina usaha lebih lagi.

Baru saya teringat, hari ni ada jemputan majlis bercukur jambul di rumah sepupu Majlisnya bermula lepas Isya'. "Seeloknya kita pergi awal..." bisik saya pada suami. Sama cadangkan untuk pergi sebelah tengahari atau petang. Hadir sebagai tanda hormat. Duduk diam di dalam majlis bukan satu perkara mudah bagi Abil.

Atas alasan itu juga, selalu saya tolak pelawaan untuk hadir majlis-majlis tahlil dan sebagainya. Saya risau karenah Abil mengganggu ketenteraman. Jadi, langkah terbaik,kami cuma akan hadir ke majlis-majlis tertentu, yang saya rasakan sesuai untuk dipenuhi jemputannya.

Selalu juga kami ke majlis kenduri kahwin. Setiap kali berkunjung, saya sarat berdoa. Harap-harapnya anak-anak saya akan duduk diam. Harap-harapnya mereka akan dengar arahan. Kadang-kadang doa saya makbul, ada masanya juga mata saya yang tersembul.hehe

Ahh..nampaknya dah hampir sejam saya blogging. Terpaksa berhenti di sini. Kena bersiap untuk sesi terapi Abil.



Peringatan untuk diri sendiri;

"La haula wala quwwata illa billah"
Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan kekuatan Allah.


Buanglah kesedihan dan kerisauan. Bergembiralah dan jangan putus harapan. Mintalah pada-Nya dan bertawakkal-lah pada-Nya. Sesungguhnya kejadian-kejadian yang tidak menyenangkan itu yang mengajarmu erti Nikmat...Wassalam.

Nov 6, 2009

Abil si Burung hantu


Fuhh penatnya hari ni.

Rasa agak letih lepas berbuka tadi. Alhamdulillah, kenyang perut berbuka dengan air tangan suami. Kebetulan hujan sepanjang hari ni .Perjalanan pulang dari ambil Abil di sekolah saja dah makan masa 2 jam sebab traffic jam. Perjalanan biasa cuma lebih kurang 20 minit. Entah kenapa hari ni rasa lapar berpuasa agak luar biasa. Kesian Abil, terpaksa menahan lapar masa terperangkap atas jalan. Sampai di rumah, terus saja saya suapkan makan . Masa tu jam dah hampir 5 petang.Encik suami pula terus saja siapkan lasagna-nya sebelum bergegas keluar untuk ambil kakak di sekolah lebih kurang pukul 6 tadi.

Sudah 6 hari saya membayar hutang puasa. 3 hari lagi untuk 'dibayar'. Azam saya tahun ni, nak bayar hutang dengan Allah ni secepat mungkin. Dah tak mahu jadi macam tahun-tahun lepas. Dah hampir sangat Ramadhan yang seterusnya, baru terkial-kial nak bayar hutang puasa. 

FYI, pukul 3 pagi semalam, Abil dah bangun tidur. Simptom 'burung hantu' hehe. Ini senario biasa bagi Abil. Corak tidur yg tak sekata dan terganggu memang fenomena biasa di kalangan kanak-kanak autistik. Biasanya saya dan suami akan suruh Abil tidur kembali. Jarang sekali dia lena semula. Biasanya saya dan suami akan 'paksa' Abil tidur semula atau sekurang-kurangnya berbaring di atas katil. Tapi, sebaik saja kami terlena, mesti Abil sambung balik aktivitinya. Secara purata, Abil akan bangun awal pagi sekali atau 2 kali seminggu. Lebih kerap lagi kalau diet-nya tak dijaga, mungkin banyak makan donut, coklat, aiskrim, sosej atau lain-lain makanan segera.

Kes Abil mungkin tak begitu kronik. Saya dan encik suami selalu cuba untuk 'mematikan' tabiat abnormal ni. Seboleh mungkin, permintaan untuk main atau pasang lampu bilik kami abaikan. Dulu, rajin juga saya ajar Abil bersenam waktu siang. Setiap hari, saya pastikan Abil buat aktiviti fizikal yang memenatkan, samada kayuh basikal atau skuter; atau bersenamrobik dengan adik dan kakak. Selalu juga saya lompatkan Abil atas bola besar-nya atau minta Abil merangkak dalam rumah sambil main kejar-kejar. Paling kurang pun, saya akan hayun-hayunkan Abil macam bergayut di 'monkey bar' cuma bezanya sayalah yang akan jadi tiang 'monkey-bar'nya.

Tapi kebelakangan ini,dah jarang sangat saya lakukan rutin-rutin ini, sibuk dengan komitmen kelas tuisyen. Susah juga bila terlalu komited nak mengajar anak-anak tuisyen hingga terpaksa 'curi' masa anak-anak sendiri. Saat ini, kelas-kelas tuisyen saya 'dibekukan' sementara tunggu cuti semester akhir bermula. Dalam masa 2 minggu dari sekarang, kelas-kelas masa cuti akan berjalan atas permintaan ibu ayah yang prihatin. Berita baiknya, jadual kelas masa cuti taklah sesibuk biasa.

Ok.Katil dah memanggil-manggil. Wassalam :)


"Ibubapa seringkali memusuhi atau membunuh langsung kesusahan daripada hidup. Ini hanya akan mewariskan penyakit kepada anak-anak. Kesusahan adalah guru sebenar yang menjadikan kita manusia yang sedar. Kesusahan memberikan kita pelajaran. Kesusahan memanusiakan kita. Didik anak-anak membatasi kemahuan dan keinginan. Belajarlah mengutamakan apa yang perlu..."



Selamat malam!