Nov 10, 2009

Abil dan Sekolah


semasa Abil 4 tahun (di Lumos)

Dua tiga hari ni, saya sibuk bertelefon sana sini, berat berfikir tentang persekolahan Abil tahun depan. Lepas mendengar tentang perkembangan Abil di Tadika Montessori seminggu dua yang lepas, saya dalam dilema samada Abil patut meneruskan persekolahan di kelas Pendidikan Khas di Sekolah Rendah, atau tangguhkan kemasukan tersebut dan meneruskan rutin di Tadika Montessori. Saya diberitahu, kanak-kanak bermasalah pembelajaran boleh diberi penangguhan untuk masuk sekolah. Bagaimanapun, ini bergantung juga kepada budi bicara pihak pengurusan sekolah.

Abil mula ke 'sekolah' sejak berumur 3 tahun. Waktu tu, Abil baru sahaja menerima diagnosis, selepas pelbagai siri pemeriksaan doktor, pakar psikologi kanak-kanak, ujian audio dan terapi sensori.

Oleh sebab waiting list untuk sesi terapi pertuturan di hospital kerajaan agak panjang, ditambah faktor pakar terapi di situ tak begitu "child friendly", doktor sarankan agar Abil dihantar ke tadika/pusat jagaan khas (Early Intervention Centre-EIC). Menurut pembacaan saya dan juga nasihat doktor, program "early intervention" sangat penting untuk kanak-kanak istimewa dan mesti dimulakan seawal mungkin supaya perkembangan Abil selari atau sekurang-kurangnya tak begitu jauh ketinggalan berbanding kanak-kanak normal.

Alhamdulillah, memang dah rezki Abil agaknya.Kebetulan, sebuah tadika khas (LUMOS EIC) baru dibuka berhampiran rumah makTuk waktu itu. Abil merupakan pelajar mereka yang ketiga. Yurannya memang agak mahal tapi sangat berbaloi-baloi.....bayangkan, daripada seorang anak yang teramatlah hiper dan tak boleh fokus walau sesaat sekalipun, Abil diajar untuk mengawal diri dan duduk diam ketika makan, belajar dan pelbagai aktiviti lain. Di Lumos juga, Abil belajar pegang pensel dengan betul, belajar asas-asas menulis, melukis dan mewarna selain diberi terapi urutan, yoga dan lain-lain yang bersesuaian dengan peringkat umur Abil.

Semua ini bukan senang untuk dicapai. Sebulan dua yang pertama dihabiskan tanpa sebarang aktiviti 'berat' tetapi semata-mata untuk tempoh penyesuaian diri. Kalau di peringkat awal Abil sentiasa mahu 'lari' sebaik sahaja tiba di pintu pagar sekolah, lama -lama Abil jadi sangat mesra dan sangat "enjoy" berada di Lumos. Saya senang hati melihat perkembangan Abil. 'Outing' bersama Abil yang dulunya hanya satu misi yang mustahil dan "mimpi ngeri" kini menjadi satu aktiviti yang tidak begitu membebankan.

Di Lumos juga, Abil diajar rutin ke tandas sebaik sahaja mencecah umur 4 tahun. Saya tabik pada komitmen dan perhatian rapi yang diberikan oleh tenaga pengajar Lumos. Tidak terbalas jasa -jasa Mrs. Kanthan, Suntrry dan suaminya Alex (seperti di dalam gambar, Mrs Kanthan tidak kelihatan).

Kini, Lumos tidak lagi beroperasi. Selepas Lumos, saya cuba menempatkan Abil di sebuah Tadika Islamik. Cikgu-cikgunya cukup memahami. Tapi entah kenapa, Abil tak serasi di situ. Sayang, saya sangat sukakan persekitaran sekolah yang begitu islamik.

Akhirnya, Abil didaftarkan di EIC yang dikendalikan oleh NASOM (Persatuan Autisme Kebangsaan).Tiga bulan di situ, tiada perkembangan ketara dapat dilihat. Saya terpaksa menerima hakikat bahawa kini Lumos sudah tiada dan saya masih belum berjumpa pusat pembelajaran setandingnya.

Selepas NASOM, saya masukkan Abil ke Happyland Special Education Centre. Sebelum berjaya 'menemui' sekolah ni, setiap ceruk saya jejaki. Waktu itu, kami baru sahaja buat keputusan untuk menetap di JB. Awalnya saya bimbang tak ada tempat yang sesuai untuk Abil. Saya tanya sana sini.Saya cari di internet, suratkhabar. Saya pergi ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Sudahnya, saya jumpa sebuah Tadika Montessori dan merekalah yang telah cadangkan agar Abil diasuh dahulu di Happyland sebelum belajar di Tadika Montessori tahun berikutnya.

Alhamdulillah, dah hampir 2 tahun Abil di Happyland. Di Tadika Montessori pula, Abil bersekolah di sana sejak awal April yang lepas. Secara keseluruhannya, kemahiran-kemahiran mengurus diri seperti mandi, memakai pakaian sendiri dan makan, masih perlu dibantu walaupun tidak sepenuhnya. Bagaimanapun, di sekolah memang Abil 'dikerah' untuk buat semuanya sendiri. Di rumah, kerana mengejar masa, jadi, kebanyakan aktiviti Abil masih dibantu. Dari segi akademik , prestasi Abil tak jauh ketinggalan berbanding perkembangan kanak-kanak berumur 4 tahun. Buat masa ni, saya tak mahu tekankan sangat prestasi akademik. Faktor masa saja yang jadi penentunya. Saya tahu, lambat laun Abil akan sampai juga ke 'destinasi'.

Yang agak merisaukan saya, perkembangan pertuturannya. Setakat ini, Abil cuma mahu bercakap sepatah dua perkataan bila dipaksa. Komunikasi dengan Abil masih berbentuk sehala tanpa sebarang respons melainkan memek muka dan tindak-tanduk Abil. Inilah yang dikatakan, "Action speaks louder than words..." 

"Sabar, jangan give up!". Komunikasi dengan Abil sangat penting. Walaupun tak ada respons setakat ni, saya perlu terus 'berborak' dan melayan Abil sepertimana mama layan kakak dan adik.

Apa yang saya harap ialah, di mana pun Abil bersekolah, Abil akan terus dimurahkan rezki mendapat guru-guru yang baik dan understanding, guru-guru yang tabah dan dedikasi. Walau sebanyak mana pun perhatian dan bimbingan yang dapat saya beri pada Abil di rumah, saya masih perlukan sokongan guru-guru di sekolah.

Semoga dipermudahkan.Amiin..


2 comments:

norasyikin said...

Juz continue our pray to God, kak..
we always pray da best for dearest abil..aku pn stuju klu ko postpone dulu sethn 2 ni tuk abil develop more n better prepared b4 msk sek betul.

Syahida said...

it's a big dilemma la keen...
kalo aku delay pon,most probably x continue kt montessori coz eventho he learned something there, aku rs cam potential abil x dimaksimumkan sgt....tp aku suka la sbb abil dpt exposure dengan normal kids...also, if delay another year,he wud still hv to go thru changes in primary school in the following yr which might be even more difficult coz dia da bsr sikit...everything depends on how good the teachers in special education class kt primary school tu nanti...i'll hv to do my 'homework' before i make any final decisions.Anyways,pls pray for Abil ya!