Jan 31, 2011

Jom membaca! (episod 3)

ihsan google


Membaca. Di atas katil. Bersama secawan Neslo. Nikmat!
Oh ya, sebut tentang membaca, dua tiga hari lepas, saya hubungi rakan saya dari sini, untuk meminjam buku. Sebenarnya, separuh daripada buku-buku Autisme koleksi saya pun diperolehi daripada sini. Saya pinjam, saya baca, saya suka, saya cari dan beli.

Kawan-kawan sekalian,

Sekiranya mampu, jangan 'lokek' melabur untuk buku-buku ya! Selain dapat pelepasan cukai sehingga RM1000, ilmu yang anda dapat tak ternilai harganya.

Ok. Saja nak kongsi koleksi buku Autisme saya. Belum sempat nak review satu persatu. Kalau ada soalan, bolehlah pm saya. Nak senang, google saja. Oh ya, semua visual buku adalah dari google.

Buku Autisme yang pertama saya beli

Yang ini favourite saya, kisah benar oleh seorang Ibu (sekarang di Singapura).
Perwatakan Sebastien banyak persamaan dengan Abil.
Yang ini pun saya suka.
Penulisnya; Judith Bluestone, seorang autistik juga (macam Temple Grandin).
Banyak info menarik.

Yang ini pun tulisan seorang ibu tentang anak autismenya.
Lynn Hamilton berkongsi pengalaman.
Saya dah lama tak baca. Kena baca sekali lagi.

Buku panduan Autisme yang 'padat'. Foreword oleh Temple Grandin.

Saya juga sokong penulis tempatan. Buku yang agak ringkas, tapi mudah difahami.
Sangat sesuai untuk mereka yang baru mengenali Autisme.


Sekian, saya mahu 'cuti-cuti' Tahun Baru Cina.
Semangat 1Malaysia.

Jumpa lagi minggu depan!

Jan 28, 2011

Belajar Meniru

Meniru. Kemahiran penting untuk belajar secara semulajadi.

Anak autisme biasanya kurang atau tiada kemahiran meniru. Berita baiknya ialah kemahiran ini boleh diterapkan dan dilatih.

Sekarang, kemahiran meniru Abil agak baik (berbanding 4-5 tahun dulu). Visual di atas menunjukkan salah satu program untuk melatih anak meniru. Nama program Block Imitation. Selain program ini, ada 1 lagi program untuk menerapkan kemahiran meniru, iaitu Non-Verbal Imitation (meniru pergerakan/perbuatan tanpa suara).

Untuk kedua-dua program ini, Abil menunjukkan prestasi baik. Bila meniru, saya sukakan eye contact yang diberikan. Setiap kali berjaya (walaupun dengan bantuan) akan diberikan reward.

Reward
(ganjaran) adalah faktor motivasi yang sangat kuat dan berkesan. Bila mereka ikut arahan (walaupun terpaksa dan dibantu) anda harus puji. Kalau mereka patuh dengan sukarela, anda MESTI puji lebih lagi. Biar over. Cubalah dan anda akan lihat betapa SUKAnya mereka.


Untuk anak-anak yang tak ada asas meniru, block imitation dimulakan dengan hanya seketul dua blocks sahaja. Letakkan jenis blok yang sama di atas meja. Anda mulakan menyusun dahulu. Kemudian, mereka ikut. Proses ini berterusan dengan dua, tiga, empat atau lima blocks apabila anak semakin mahir pada setiap peringkat.


Selepas pandai meniru pergerakan anda menyusun blocks satu persatu, mereka harus pandai pula menyusun mengikut contoh yang diletakkan di depan mereka (seperti gambar di atas). Peringkat seterusnya ialah meniru susunan blocks daripada gambar (2D). Abil dah pun sampai ke tahap ini (maaf, gambarnya lain kali ye..)



Kenapa perlu pandai meniru?
Semasa belajar di dalam kelas, harus meniru tulisan guru pada papan hitam/putih di depan atau meniru latihan di dalam buku.

Waktu belajar pendidikan Jasmani/bersenam, harus tahu mengikut pergerakan-pergerakan badan oleh instructor di hadapan.


Ketika belajar solat (bagi muslim), mesti pandai mengikut imam di saf hadapan.


Kemahiran verbal (bercakap) dan membaca juga bermula daripada asas meniru.


Untuk meniru, yang penting adalah tumpuan dan fokus penglihatan. Ada anak autisme yang langsung tidak boleh memberi eye contact. Tak mengapa, jangan dipaksa. Tak perlu tarik muka mereka atau menjerit memanggil nama mereka. Hanya mulakan dengan arahan-arahan pendek, seperti "Do This (Buat Ini)" atau "Copy This (Tiru Ini) dan lain-lain arahan yang mudah difahami. Asalkan mereka meniru apa yang diajar, lama kelamaan eye contact akan 'datang sendiri'.


Latihan meniru biasanya dilakukan di meja (tabletime). Abil tak suka main blocks sebenarnya.Tapi selepas belajar Blocks Imitation, saya cuba ajak dia main blocks ketika playtime (secara bebas) dan inilah hasilnya!

'Kejayaan' kecil tapi saya suka hati. Cukup puas hati.



Jan 27, 2011

Senyumlah


ihsan google



Bagi anda yang mengikuti warkah sejak mula, anda mungkin perasan turun naik emosi saya bersama entri yang dipaparkan saban minggu dan saban hari. Ya, seorang ibu memang penuh emosi. Kalau anda ada anak istimewa, aura emosinya lebih tinggi. Namun kebelakangan ini, banyak emosi yang positif insyAllah ;)

Persepsi masyarakat. Salah satu punca tekanan pada ibubapa. Salah siapakah jika ramai memandang sinis pada anak-anak autisme? Entahlah. Mentaliti dan kesedaran sivik di kalangan rakyat Malaysia masih 'kelas ketiga'. Ramai yang tahu tapi buat-buat tak tahu. Media sudah mula memainkan peranan (walaupun masih belum cukup) tapi ramai yang malas ambil tahu. Kisah Fasha Sandha dan Jejai lebih pantas menangkap minat dan lekat di kotak fikiran, berbanding info tentang kanak-kanak autisme atau kisah 'kejayaan' mereka yang dianggap remeh.


Kadang-kadang ibu bapa sendiri 'lepas tangan' dalam mendidik anak autisme mereka. Yang putus harap, yang putus asa, yang malas membimbing dan menambah ilmu serta lebih suka ambil ringan saja. Kesannya, anak-anak ini dibiarkan berkelakuan di luar kawalan. Tiada terapi, tiada rawatan. Kalau alasannya kesempitan kewangan, masih boleh diterima. Tapi, kalau tak ada RM, akal masih ada untuk berfikir. Kudrat tenaga masih ada untuk dijana.Di mana ada kemahuan, di situ ada highway.


Saya suka bila anda membaca cerita-cerita gembira tentang anak autisme. Mereka seperti kita. Ada hati, ada naluri, ada perasaan. Perhatian pada mereka biar dilebihkan tapi kasih sayang biarlah secukup rasa. Terlebih sayang, anak jadi manja dan boleh 'hilang' masa depannya. Kurang kasih sayang, anak tidak boleh 'berkembang' dan rosak minda dan emosi. Yang pasti, jangan ada rasa benci. Bila benci, mereka dipersendakan. Bila benci, mereka dibuli.

Kawan-kawan,

Terima kasih kerana mengikuti warkah saya. Sokongan dan kefahaman anda tentang autisme SANGAT bermakna buat insan autisme (secara amnya). Sokongan anda SANGAT saya hargai :)))


Jan 25, 2011

Bila Abil bermain (episod 7)

Sesi saya bersama Abil masih berjalan. Sekali sekala kena juga tiupan angin m.a.l.a.s, saya tetap adakan sesi walau setiap 2-3 hari.

Dalam sesi bermain, ada juga sesi 'belajar' (tabletime). Saya pernah sebut sebelum ini, katakan dalam satu sesi 1 jam, mungkin ada 4 sesi bermain dan 4 sesi tabletime yang berjalan secara bergilir-gilir, setiap 5-10 minit. Sesi 'belajar' pun sebenarnya bukanlah belajar cara konvensional. Buat masa sekarang, Abil masih diterapkan dengan kemahiran meniru, memberi tumpuan dan fokus, serta menajamkan sensori melihat dan mendengar melalui teknik-teknik yang telah saya pelajari bersama ANDI Initiative. Kadang-kadang ada juga saya selitkan sedikit pengisian akademik.


Semasa playtime, Abil (atau anak yang terlibat) bebas melakukan aktiviti yang mereka suka. Bermain dengan alat permainan, menyanyi, membelek buku atau lain-lain aktiviti interaktif. Kiranya ini adalah 'waktu rehat' dalam sesi terapi.

Untuk Abil (yang dah nak masuk 8 tahun), kadang-kadang permainan bukan satu tarikan. Jadi, saya suka selitkan aktiviti arts and craft sebab dia suka menggunting dan menampal. Saya buat yang simple saja.



Sambil suka-suka, sambil praktis kemahiran menggunting.
Nampaknya semakin baik.

set gunting (dengan mata gunting pelbagai corak) yang saya beli pada harga RM10 . 10 dalam 1.

khusyuk

bersemangat menampal

guna magic colour pulak

Hasilnya.
Tak ada tema. Aktiviti tampal +gunting+conteng. Sesuka hati.
Objektif: belajar fokus dan meningkatkan saya tumpuan (attention span)
30 minit pun dia boleh duduk berterusan, kalau diberi gunting dan gam ;)


Nama aktiviti: File Folder
Abil melakukan aktiviti matching
. Kertas kerja (hanya sehelai pada satu-satu masa) diselitkan ke dalam fail. Saya hanya jadi 'pemerhati'.
Segalanya dilakukan sendiri, membuka fail, membuat tugasan, menutup dan
menyerahkan fail kembali.
Objektif: melatih menyiapkan tugasan secara berdikari

Menggunakan cat warna dan krayon (secara bebas).
Kegemaran anak-anak saya, termasuk Abil.

oh ya, Nurhan Zarif tak mahu ketinggalan.
"Ini gambar monster" Zarif merujuk pada lukisannya :)

Saya akan kembali bersiaran.

Stay tuned!

Tentang Homeschooling

gambar hiasan (google)

5 Main Benefits of Homeschooling and Why Homeschooling is an option.

Saya tidak homeschool anak saya sepenuhnya. Sekali-sekala melakukan intervensi di rumah, tapi bukan 100% homeschool. Tapi, idea homeschool memang sentiasa di hati. Untuk anak-anak normal, banyak pilihan sekolah. Tidak ada isu dan masalah untuk belajar dan menyesuaikan diri dengan mudah. Mereka boleh mengikuti apa pun sistem pembelajaran dan pengajaran (P &P). Ibubapa juga bebas memilih sekolah, banyak pilihan. Malangnya, untuk anak-anak berkeperluan khas, situasinya berbeza. Oleh itu, homeschooling adalah salah satu alternatif yang sesuai.

Di Malaysia, homeschooling sebenarnya sudah dipraktikkan oleh ramai ibubapa. Bagi yang berfikiran 'old school', 'pergi ke sekolah' bermaksud menghadiri sesi pembelajaran di satu persekitaran pembelajaran dengan bangunan, barisan cikgu-cikgu dan satu sistem persekolahan. Pendapat peribadi saya, pemikiran ini sudah tidak relevan lagi pada zaman sekarang.Samada menerima pendidikan secara formal (pergi ke sekolah) atau tidak formal (homeschool), yang penting anak-anak diberi peluang untuk belajar dan menerima ilmu.

Di bandar-bandar besar seperti di KL/Selangor, sudah wujud kumpulan-kumpulan ibubapa yang mempraktikkan homeschooling. Bila belajar secara berkumpulan sebegini, keperluan bersosial untuk anak-anak homeschool boleh dicapai.

Di luar negara, homeschool sudah menjadi satu budaya. Silibus pembelajaran secara homeschool boleh didapati di mana-mana. Mengambil peperiksaan secara persendirian juga dibenarkan. Kewujudan mereka diiktiraf dan tiada masalah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi walaupun sekadar homeschool. Kita di Malaysia masih belum sampai ke peringkat ini. 


Menarik tentang artikel ini ialah, ia juga membincangkan tentang kelemahan homeschooling, faktor yang perlu diambil kira jika homeschooling mahu dipraktikkan sepenuhnya. Adat kehidupan, tiada yang sempurna. Pilihannya di tangan anda.




An investment in knowledge always pays the best interest.
~Benjamin Franklin

Jan 24, 2011

Bila saya baca suratkhabar

pinjam dari google

Program Integrasi, Guru Pendamping (teacher aide) dan murid Autisme

Tahukah anda? -petikan artikel
NASOM menyediakan kemudahan guru pendamping (pembantu) untuk program integrasi di sekolah bagi membolehkan anak autisme belajar di kelas aliran perdana (mainstream).

Kemudahan ini masih belum meluas. Sangat terhad. Menurut artikel, sehingga kini, hanya terdapat lebih kurang 30 guru pendamping untuk membantu lebih kurang 70 orang murid autisme di sekolah biasa (rasanya jumlah permintaan sebenar melebihi 70 orang). Anak ini adalah salah seorang yang berpeluang mengikuti program ini.

Selalu saya dengar tentang kebaikan 'mencampurkan' anak autisme (kategori ringan ke sederhana) di dalam kelas perdana (bersama anak-anak bukan autisme). Anak autisme yang berpeluang didedahkan dengan rakan sebaya yang normal sejak awal di sekolah mempunyai peluang yang lebih cerah untuk belajar berdikari dan meningkatkan potensi mereka. Bagaimanapun, peranan guru pendamping sangat penting. Dengan bantuan, pengawasan dan sokongan, anak autisme dapat belajar dengan selesa dan efektif.

Malangnya, tak semua anak autisme dapat akses kepada kemudahan ini.Setakat ini, yang ada hanya di Lembah Kelang.

Tahukah anda?-petikan artikel
Sebagai langkah menambah bilangan guru pendamping dan guru-guru pendidikan khas yang berkelayakan, NASOM mengendalikan program Diploma bidang autisme untuk mereka yang berminat.
Syaratnya, dikehendaki bekerja dengan NASOM selama 3 bulan sebelum memutuskan untuk meneruskan pengajian atau tidak.

Yang ini saya baru tahu. Hmm menarik!

Tahukah anda?-petikan artikel
Anak autisme bukan golongan berisiko atau bodoh tidak pintar, cuma guru dan ibubapa yang tak tahu cara mendekati mereka.Perkembangan anak autisme lebih perlahan daripada anak normal kerana masalah perlakuan, pemikiran dan tak pandai bersosial. Bagaimanapun, melalui latihan dan bimbingan yang betul, mereka boleh belajar di sekolah biasa dan berjaya dalam akademik. Malangnya kurang pengetahuan di kalangan ibubapa dan guru menyebabkan ramai anak autisme membesar di bawah aras kemampuan sebenar.


Tahukah anda? -petikan artikel
Sempena bulan Autisme April ini, NASOM akan menganjurkan program
Autism Walk: Take the Step Forward, Support the Cause
pada 2 April, jam 8 pagi.

Saya mahu pergi. Nak! nak! nak!

Untuk anda yang mencari inspirasi, yang prihatin dan rajin membaca,
dipersilakan klik artikel-artikel ini;


Pengalaman Ibu dan anak sulung (Autisme)
Bukan satu hukuman
Menyelami individu Autisme

Jumpa lagi! :-)

Jan 22, 2011

Saya seorang cikgu tuisyen


gambar hiasan dari pakcik google


Dah 3 tahun saya mengajar, dari rumah.

Anak murid saya tak ramai. Maksimum sekelas pun cuma 8-10 orang. Kebanyakan kelas saya hanya ada 2-5 orang. Saya cuma ajar bahasa Inggeris dan Matematik. Subjek sains hanya untuk murid upsr saja.

Yuran saya berpatutan, saya caj murah saja.Tak sampai hati nak kenakan yuran mahal. Kebanyakan ibubapa (di kawasan tempat tinggal saya) berpendapatan rendah tapi masih punya inisiatif untuk hantar anak-anak mereka belajar.

Ini entri orang yang tak ada idea pagi-pagi tapi terpanggil untuk menulis juga.

Berbalik kisah saya seorang cikgu tuisyen, saya sebenarnya jenis yang 'tak percaya' pada kelas tuisyen. Bagaimanapun, hari ini, kelas tuisyen sudah jadi satu budaya. Ada baik dan ada buruknya.

Kadang-kadang kasihan tengok anak-anak. Pengisian di sekolah dari pagi hingga ke petang, sebelah malam/hujung minggu ke kelas tuisyen pula. Berkesan lagikah belajar kalau fizikal sudah penat, minda sudah letih? Sebenarnya, lebih baik kalau ibubapa pantau sendiri anak-anak di rumah. Lebih personal, lebih sentimental. Anak-anak pula lebih elok bertanya cikgu-cikgu di sekolah.

Tapi salahkah mereka kalau masih mahu ke kelas tuisyen? Tak juga. Sebab memang sistem pendidikan kita sudah terlalu 'taksub' dengan sistem peperiksaan. Belajar bukan untuk ilmu, tapi untuk dapat A dalam penilaian. Disebabkan itu, ramai cikgu-cikgu yang 'ramal' soalan. Yang dipelajari adalah teknik dan strategi menjawab soalan, bukan ilmu pelajaran itu sendiri.

Jadi, apakah kesimpulannya? Tak salah kalau mahu tuisyen, tapi biarlah kerana keperluan dan bukan kerana ianya satu perlumbaan. Janganlah kerana terikut-ikut atau mengikut-ikut. Yang lemah memang perlukan lebih perhatian. Yang cergas dan bijak rasanya sudah memadai dengan bimbingan di sekolah. Yang penting kena rajin, baik cikgu mahupun anak murid dan mak ayah juga.

T.A.M.A.T

Jan 13, 2011

Bila Abil bermain (episod 6)

Sesi terapi saya bersama Abil, ada masa bermain (playtime) dan ada masa untuk aktiviti meja (tabletime). Ia dilakukan secara bergilir-gilir dan berulang-ulang. Contohnya, dalam masa 45 minit ke 1 jam, ada 4 sesi playtime dan 4 sesi tabletime bersama Abil.


Masa bermain, kami akan lakukan apa saja, samada toy play atau bergurau senda (interactive play). Untuk aktiviti meja pula, ada pelbagai jenis program. Antaranya ialah 'sorting' (mengasingkan).


Sebelum saya 'membebel' dengan lebih lanjut, sila tengok aksi-aksi Abil melakukan sorting.


Objektif program ini ialah untuk belajar mengasingkan. Seperti yang anda lihat, mudah saja Abil asingkan setiap objek daripada selonggok yang diberikan. Untuk permulaan, kemahiran ini diajar daripada A-Z, dengan hanya satu bekas dan juga beberapa (hanya 1-3) objek yang 100% sama. Kemudian, setelah mahir, barulah bilangan objek dan bekas untuk mengasingkan ditambah. Dalam gambar di atas, Abil mengasingkan objek yang serupa tapi TAK sama (non-identical object).


Ini sebenarnya adalah asas kemahiran mengasingkan sebarang objek/perkara mengikut kategori. Sedikit masa lagi, saya akan mula melatih Abil mengasingkan jenis-jenis haiwan, pakaian, alatulis, serangga, makanan dan macam-macam lagi. Dah sampai masa untuk mengajarnya mengenal kategori. Saya sedang gigih menyediakan bahan. Tunggu!

Abil suka dengan aktiviti sorting ini. Saya guna apa sahaja yang sesuai, sepit baju, pensil, sudu. Bagus juga untuk melatih fokus dan konsentrasi. Abil boleh duduk diam mengasingkan objek sehingga siap semuanya. Kalau mahu mengasah kemahiran motor halus (fine motor), boleh gunakan objek yang agak kecil seperti klip kertas, duit syiling, pemadam, brooch atau butang baju.

Sekian. Jumpa lagi minggu depan! ;D

Sehari sebiji kurma

pinjam dari google

Sejak Ramadhan lepas, saya latih Abil makan kurma. Kak Dina dan Zarif juga. Sudah masuk bulan Safar dan Abil masih makan kurma setiap hari. Tabiat yang sebenarnya satu 'paksaan' pada minggu-minggu awal. Semalam, dia sudah pandai minta kurmanya sendiri.

Abil: Nak kismisss... (balang kurma di depan mata)
Saya: ??? (
blank)

Abil: Nak kosmosss...(masih memandang bekas kurma)
Saya: ??? (masih buat-buat
blank, walaupun dah tahu dia nak apa..)

Abil: Nak kurma..
Saya: ok!
(sambil tersenyum membuka bekas kurma. Dalam hati,
Yesss! Yes! Yes! Abil-ku berjaya request..hehe)

Saya bermula dengan hanya 'mencalit' rasa kurma pada lidahnya. Saya lakukan ini setiap hari. Ya, hanya calitan rasa. Tak ada secebis pun kurma masuk ke mulutnya. Itu pun muka dah 1001 macam.

Lepas beberapa minggu, saya cubit sikit-sikit dan cecahkan ke mulut Abil. Rasanya manis, tak mungkin dia
reject rasa kurma. Yang mungkin dia kurang berkenan, adalah teksturnya. Abil hanya mahu kurma lembut kulitnya dan senang dikunyah.

Sesetengah anak autisme sukar 'menerima' makanan baru. Salah satu isunya, masalah sensori.
Picky eater adalah istilah yang biasa digunakan untuk anak-anak ini. Boleh baca di sini.Sehari sebiji kurma, bukannya banyak pun. Ada masanya, separuh biji di sebelah pagi dan bakinya di sebelah petang. Saya harap Abil akan terus makan kurma selepas ini. Saya hanya perlu risau tentang stok kurma saya. Susah betul nak jumpa Yusuf Taiyob selepas Ramadhan di sini.

Bagi saya, tabiat makan kurma sangat praktikal. Harganya berpatutan dan agak mudah didapati. Tak perlu berbelanja mahal untuk makanan tambahan yang serba lengkap.


Bak kata omputih ,
An Apple a Day, keeps the doctor away


Saya kata,
A kurma a Day, keeps you Up up and away!! *hehe


The Next Best Medicine

from google

They say, laughter is the BEST medicine.
The next best medicine is a HUG.

Try it and you will 'see'.


When your child throws a tantrum and you just don't know what to do,
hug them.

It's your loved ones' birthday and you need the most ideal gift,
hug them.

You scolded your child or your spouse and you want to seek forgiveness,
hug them.

You feel down. You are scared. You need someone to lift your spirit.
Go get a hug!


It is AMAZING what a hug can do.
Safe. Free. Perfect!


"A hug overcomes all boundaries.
It speaks words within the mind that cannot be spoken."
~unknown

Jan 6, 2011

Oh! Laminator



Saya sudah ada laminator sendiri. Tengok ni, macam-macam saya boleh buat. hehe



Dah laminate, cantumkan sebelah menyebelah, lekat guna selotape.




Jan 4, 2011

Moving and Spinning

He likes moving and spinning objects.


'For success in science and art, a dash of autism is essential.'
~Hans Asperger.


Jan 3, 2011

Serupa tapi tak sama

seperti biasa, dari google

Ok. Kita belajar sedikit lagi tentang Autisme.

Tiada dua individu autisme yang serupa.

Semalam, saya terbaca artikel ini. Mengenai Ping Lian, seorang autistik yang sangat berbakat melukis. Bakatnya mengingatkan saya kepada Stephen Wiltshire, seorang savant (manusia genius yang berkebolehan luar biasa, seperti Albert Einstein, Mozart, Kim Peek dan ramai lagi). Oh ya, saya tengok dia di kaca TV semalam, rancangan Discovery Science.

Berbalik kisah Ping Lian, bakat melukis luar biasa di kalangan individu autistik sebenarnya adalah fenomena biasa. Selain melukis, biasanya mereka juga berbakat dalam bidang muzik. Anda tentu masih ingat anak ini, dia adalah salah satu contoh terdekat. Satu lagi contoh boleh dilihat di sini atau sini.


Setakat ini, saya masih belum lihat potensi Abil samada dalam seni lukisan, atau pun muzik. Encik suami kata, kita tunggu dan lihat. Jangan dipaksa. Biar minat itu datang sendiri.
Oh ya, nak tengok Abil mewarna? Jom!


Kesimpulannya, Abil tak suka mewarna. hehe