Feb 28, 2011

Bila Abil belajar 3M

Autism atau Autisme (dalam bahasa Melayu)sering dikaitkan dengan 'genius' atau 'savant'. Genius atau savant, tahap IQ yang tinggi atau kebolehan mental yang luar biasa. Bagaimanapun, tak semua individu autisme seorang genius atau savant. Hanya beberapa peratus sahaja yang menjadi insan terpilih. Kalau anda mahu tahu dan kenal dengan savant, boleh baca di sini.

Saya memang suka baca/dengar/ikuti kisah-kisah/dokumentari tentang savant sebab ia buat saya rasa happy. Savant-kah anak saya? Genius-kah anak saya? Mungkin Ya. Mungkin Tidak. Tapi saya tak kisah. Yang penting, saya dapat inspirasi. Saya faham dan tahu yang mereka ini ada BANYAK potensi, ada 'aset' tersembunyi. Paling koman tidak pun, saya tahu mereka bukan bodoh, bukan lembam, bukan 'kurang upaya'.

Berbalik cerita Abil belajar 3M, apa-kah? 3M: Membaca, Menulis, Mengira.



Ada yang berpendapat, sebelum masuk darjah 1, anak-anak dah kena ada kemahiran 3M ini. Ya, zaman sekarang memang zaman 'kena pandai semua'. Kena dapat A,A,A,A,A,A dan A. Zaman dulu, ramai yang hanya pandai membaca atau mengira pada umur yang lewat, mungkin 9 tahun, mungkin 12 tahun. Ramai juga yang berjaya walaupun dulu lambat membaca. Apa pun senario-nya, lagi cepat pandai 3M, lagi bagus. Tapi, kalau masih belum pandai, masih belum terlambat, dunia belum berakhir.Better late than Never.

Abil dah boleh menulis. Boleh tengok di sini. Menulis secara tracing (dot-to-dot) pada umur 4-5 tahun, free writing sejak 5-6 tahun sehingga kini. Sekarang, saya sedang ajarnya menulis atas garisan. Seboleh-bolehnya, biar PANDAI menulis. Cantik atau tidak bukan ukuran. Asalkan kemas dan tulisannya boleh dibaca.

Seorang kawan (juga jurulatih OT) menunjuk ajar saya bagaimana melatih Abil menulis di atas garisan. Selain praktis menulis, Abil juga praktis meniru. Tekniknya, copy writing. Mula-mula tiru tulisan daripada buku di depan mata sehinggalah akhirnya anak pandai meniru daripada tulisan di papan putih/hitam/papan kenyataan di dinding hadapan.

Tugas mudah dan automatik untuk kebanyakan anak-anak. Tapi, untuk anak autisme (mungkin juga anak-anak istimewa lain), kemahiran ini perlu diajar step-by-step, dari A-Z.

Membaca? Sikit-sikit. Abil kenal huruf sejak 4 tahun. Boleh membaca sukukata sejak tahun lepas. Sudah kenal lebih kurang 100-150 patah perkataan (BM dan BI). Dia menghafal. Jadi, masih belum boleh baca buku/teks sepenuhnya.

Setakat ini, Abil agak 'lambat' bab mengira dan nombor. Sudah lancar dengan No 1-10 (angka dan perkataan). No 11-30 masih berdikit-dikit. Ada yang dia ingat, ada yang masih teragak-agak. Boleh mengira, tapi selalu seperti tidak berminat. Operasi tambah, tolak, darab dan bahagi masih 'jauh'. Jangan bimbang, saya akan pastikan dia menguasai. Biar pun lambat, asal selamat pandai.

Misi 'pandai membaca' yang tertunda daripada tahun lepas diteruskan lagi. Salah saya. Mengajar, tapi tak konsisten. Melatih, tapi tak ada sistem. Main hentam keromo saja.

Alhamdulillah, seorang kenalan mencadangkan set buku Bacalah Anakkku. Serasi dengan Abil, dan Zarif juga. Sudah 3 minggu kami bermula, Abil sudah Buku 3. Adik Zarif pula Buku 2. Semuanya ada 8 buku. InsyAllah, dalam masa beberapa minggu lagi, anak-anak saya akan pandai/mahir membaca.

Anak orang dah berzaman-zaman pandai, tak apa lah. Yang penting pandai juga akhirnya kan? Jangan tak pandai-pandai...hehe.

Sebelum ini, saya cuma gunakan flash card suku kata. Beli di Giant, RM10 je (kalau tak silap). Sesuai untuk kak Dina, dalam masa 1-2 minggu dia dah cekap. Tapi tidak untuk Abil dan Zarif. Lain anak, lain tahap, lain pendekatan.

Kalau ada mismatch teknik dan kebolehan anak, progress memang akan jadi perlahan. Mungkin juga anda tidak akan nampak progress.

Tapi, bila teknik sesuai dengan keupayaan anak, anda akan lihat progress dengan agak cepat sekali.

Mengira? Masih mencari-cari kaedah yang sesuai.Masih 'tercungap-cungap'.

Ada yang cadangkan belajar dengan CD dan komputer. Ya, Abil gila SANGAT suka komputer. Tapi bila disuruh mengikut arahan dan menggunakan aplikasi dengan betul, dia kurang gemar. Saya pula, selalu hilang sabar. Saya rasa, buat masa ini, belum boleh lagi belajar dengan komputer. Dia belum bersedia. Saya cuma boleh gunakan komputer sebagai reward. Belajar dulu, kemudian komputer. Ok. Dia patuh (walaupun untuk tempoh yang singkat-singkat saja). Tak apa, ini baru permulaan.

Selain reward, saya juga sudah berjumpa teknik belajar mengira yang agak sesuai. Nanti saya cerita lain kali.

Dulu, setiap kali nak suruh Abil belajar, menangis itu wajib. 'Dipaksa' dan dipangku .Sekarang tidak lagi. Paling teruk pun, bila dipanggil, dia lari-lari (sambil ketawa). Tapi, makin hari, makin senang karenahnya semasa belajar. Makin patuh dan dengar kata.

Proses belajar setiap hari tak lama. Paling lama pun, 30-40 minit. Diselang-seli, duduk belajar dan bermain/berehat. Ya, ini sesi untuk 3M semata-mata. Sesi terapi bermain lain program dan masanya.Kaedah lebih kurang sama. Cuma sejak saya cuba jalankan kedua-duanya secara konsisten, saya terpaksa pandai-pandai bahagi ma

Saya gunakan sistem token. Macam sistem reward juga. Cuma, bila guna sistem token, kekerapan reward dikurangkan. Kalau dulu, setiap SATU tugasan satu reward.

Dengan sistem token, hanya selepas 3,4,5,6 tugasan baru boleh claim reward. Jumlah tugasan yang perlu dibuat untuk dapat reward biarlah bermula dengan 2-3 dulu, biar anak-anak dapat motivasi. Biar mereka faham dan percaya dengan sistem token dan anda dulu. Bila dah ok, barulah jumlah tugasan dinaikkan ke jumlah yang lebih tinggi (dan sesuai).



ok. Dah boring menaip, jom tengok gambar!


Token board Abil. Boleh gunakan apa saja.
Nak guna buku/jadual/sticker saja pun boleh.
Ikut kreativiti.
Bintang-bintang disusun sebelah kiri. Bila berjaya siapkan 'kerja', bintang yang diberi dipindahkan ke sebelah kanan. Jumlah bintang = jumlah tugasan.


Bintang-bintang ni ada kuasa 'magika' (hehe).
Setiap kali dapat 1 bintang, Abil tersenyum lebar.

Gambar Abil dan kotak hadiah untuk memberi Abil gambaran yang lebih jelas.
Token board untuknya. Cukup jumlah bintang, dapat HADIAH.



Coklat Rocky. Hadiah pertama yang saya cuba pada Abil. Dia jarang-jarang dapat makan coklat ini. Kegemarannya. Pantang jumpa.

Ada yang kata, tak elok bagi reward makanan (terutama yang manis dan bergula). Ada yang risau, takut 'terbiasa'. Cuma buat bila ditawarkan hadiah serupa. Sebenarnya tidak. Hadiah macam ni hanya untuk tarik minat. Permulaan saja. Lagi pun, bukan bagi sekotak sekaligus. Hanya sebatang setiap kali berjaya. Kadang-kadang, saya bagi setengah batang je(hehe) .Lama-lama nanti, hadiahkan pujian dan sorakan pun, mereka dah happy dan puas hati (tak perlu coklat lagi).

Pada saya, sentiasa ukur cost vs benefit. Coklat umpama hadiah bonus RM1 juta untuk Abil. Dia akan buat apa saja untuk Coklat. Jadi, saya gunakan sebagai 'umpan'. Sama seperti sesi bermain. Lambat-laun 'umpan-umpan' sebegini dikurangkan dan seterusnya 'dihapuskan'. Saya pernah cuba. Tak ada masalah setakat ini. Bagaimanapun, bergantung pada pendapat dan 'citarasa' masing-masing. Ikut kesesuaian.

Copy writing, sebaris ayat daripada buku cerita.
Lukis garisan lebar-lebar pada kertas kosong.
Bila dah mahir esok, barulah boleh gunakan buku tulis garis satu, kan Abil kan?

Letih dah mengadap pc. Jumpa lagi!


Feb 26, 2011

Sudah 8 tahun

Macam ibu-ibu lain, saya memang tak pernah puas tengok wajah anak-anak. Tengoklah tu, comelnya ya Allah!

Si kenit dalam gambar ni, harta dunia saya (bersama 2 orang kenit lagi). Mudah-mudahan jadi aset akhirat juga. Kalau tak ada 3 orang kenit ni, memang BOSAN hidup saya. Tak ada colour. Tak ada rasa. Tak ada 'jiwa'.

David Teo kata, Jangan pandang belakang. Bagaimana agaknya 8 tahun akan datang ye? Hmm..

Feb 24, 2011

Idea bidan terjun

Dah hampir 5 bulan ber-sesi bersama Abil secara konsisten di rumah. Banyak juga RM, tenaga dan masa yang dah 'dilaburkan'. Setakat ni, boleh tahan la 'pulangannya'. Janji 'dividen' sentiasa ada. Ini bukan cerita pelaburan ASB, Public Mutual atau Amanah Saham Hartanah. Pulangan = Dividen = Perkembangan Abil = Hooray!!

Relevan-kah dengan tajuk, "Idea bidan terjun"?

Begini, setelah agak lama bersesi, masalah No Idea memang biasa berlaku. Bila No Idea, sesi akan jadi hambar dan boring. Bila Abil tak happy, saya pun rasa tak puas hati. Nak cari idea baru, kadang-kadang terkejar-kejar. Sudahnya, idea bidan terjun sajalah yang saya termampu. Yang penting, lari dari rutin. Masih tak lari daripada objektif bersesi. Masih sesuai untuk jana kreativiti. Elok untuk membaiki kemahiran motor halus, bagus untuk praktis fokus dan macam-macam lagi.


Saya tak tahu nama alat ni.
Macam pembaris, tapi bukan. Macam stensil, tapi bukan.
Tengok corak-corak tu, cantik kan?
Ada yang menjadi. Ada yang tidak. Amatur. hehe

Khusyuk. Menggunakan blocks pelbagai bentuk sebagai stensil.

Mewarna atas permukaan dengan tekstur-tekstur berlainan.Free colouring.
Boleh belajar perbezaan permukaan kasar dan halus juga.

Abil enjoy aktiviti ini.
Biasanya cuma lukis garisan tapak tangan. Kali ni, siap mewarna sekali.

Buat garisan lurus je. Yang kiri sekali tu, cantik-cantik sikit garisannya (saya buat..hehe).Sebagai contoh, kemudian Abil buat sampai habissss...

Dah puas bergaris lurus, berbulat-bulat pulak.
Abil kata, Bubble. :)

Anda pun ada idea bidan terjun? jom kongsi..
sharing is caring!


Feb 22, 2011

Jalan-jalan Terapi

Semalam, hari Isnin. Tiada yang luar biasa. Rutin yang sama. Cuma ada beberapa perkara yang merisaukan saya. Berita mak saya kurang sihat agak merisaukan. Susah saya mahu lena semalam. Setakat ini, saya hanya memantau kesihatan mak dan berdoa dari jauh.

Semalam, saya keluar mencari ink printer. Sempat juga membawa Abil mengikut encik suami bergunting. Ya, Abil masih belum pernah bergunting di kedai. Selama ini, kami hanya DIY rambutnya. Bagaimanapun, kami dalam proses melatihnya bergunting di kedai. Langkah pertama, belajar bercukur dan bergunting dengan mesin sudah kami mulakan secara konsisten. Langkah seterusnya, membiasakan Abil dengan suasana kedai gunting rambut dan juga tukang gunting (selain saya dan ayahnya). Step by step. Tak boleh gopoh.

Sempat saya rakamkan aksi-aksinya.

Lokasi pertama; kedai gunting rambut. Siap boleh duduk baca suratkhabar. Berita yang menarik perhatiannya, halaman sukan, pelumba basikal cedera tertusuk kayu di kaki. Lama dia tenung gambar berita tu (beria-ia dia 'baca'). Hampir 10 minit jugaklah dia duduk diam. Tengok ayahnya bergunting, tengok cermin.

Sambil menunggu, sambil saya menerangkan tentang bergunting di kedai pada Abil.



Di sebelah petang, kami ke kedai komputer.


Encik suami minta saya jaga Abil di luar kedai saja. Saya pun layan dia tengok kedai-kedai lain dan tengok barang-barang yang dipamerkan di dalam cermin di luar kedai. Masalahnya, dia bosan menunggu di luar.Dia nak juga masuk ke dalam kedai. Saya pun benarkan dia masuk, sambil menjalankan tugas camerawoman.


Terus mata dia 'melekat' pada mouse. Ooooiiiii...banyaknya mouse.Tak puas tengok dari jauh. Abil angkat, pegang, belek. Saya rasa dia sukakan tekstur mouse tu yang berduri-duri (bagus untuk sensori ni).



Penat berdiri, dia duduk.Tengok speaker, tengok mp3 player dan macam-macam lagi .Encik suami pulak sibuk bersembang dengan tauke kedai (haihhh..lama la pulak). Saya mula hint-hint pada encik Nas supaya berhenti sembang dan balik (penat dah ni).

Semalam tak sempat berterapi di rumah. Kita buat sesi terapi sebenar di luar rumah. Belajar mengawal diri, melihat persekitaran, mengenal objek dan macam-macam lagi. Jadi, kalau tak sempat bersesi di rumah, jangan bimbang. Gunakan kesempatan yang ada dan manfaatkan sebaik mungkin.

oh ya, nak kongsi site yang bagus untuk anda yang baru nak kenal "Apa itu Autisme?". Sila klik sini. Bahasanya simple dan mudah difahami.


Feb 21, 2011

Bila Zarif berkata-kata (episod 2)

"Mak, gambar adik dengan abang dekat komputer mak dah hilang......" skripnya 2-3 hari lepas.

"Ada la 'manusia' yang delete gambar tu...." saya jawab.

"Kakak la ni...tadi dia yang pakai komputer mak." sambungnya lagi.

"Mana ada!Kakak tak buat la" kak Dina bantah, dengan intonasi MARAH.

Skrip seterusnya, tak ingin anda baca dan tahu. Biasalah kak Dina dan Zarif, title 'musuh ketat' dan 'kawan baik' silih berganti setiap saat dan minit.

Lepas semua reda, saya tanya adik Zarif.

"Kenapa yang adik Zarif marah sangat gambar tu 'hilang'?" soal saya.

"Adik suka gambar tu, gambar adik dengan abang tengah peluk-peluk...tidur." dengan nada perlahan.

"Takpelah, nanti mak cari. Sayang ke dengan abang?" saya cuba 'cucuk' soalan bonus.

"Sayang." Pendek saja jawapannya. Antara pasti dan tidak. Antara mahu dan tak mahu (diluahkan). Ikhlas, tak ada tanda-tanda berbohong.



Inilah gambar yang dimaksudkannya (lihat bawah). Dah hampir 2 minggu dalam netbook saya. Kelmarin, gambar ini di-cut and paste ke dalam folder (tempat asalnya, di skrin desktop saja).



'Mengamuk' hero kenit penyelamat dunia ni.'Manusia' mana punya angkara? Entahlah. Macam biasa, semua tak mengaku. Tak apalah. Yang penting gambar ni selamat, tak kena delete pun.


Saya snap gambar ni di waktu pagi. Mereka belum bangun.Tiba-tiba saya jadi 'emosi'. Kalau bukan dalam keadaan tidur, cukup susah nak tengok mereka berpeluk macam ni (kecuali disuruh). Selalunya, adik yang akan volunteer peluk abang.

Saya bersyukur.Anak-anak saya cepat matang (berbanding rakan sebaya). Kakak dan adik lebih prihatin dan bersikap empati (berbanding kawan seusia). Sentiasa kreatif dan mengintai peluang untuk connect dengan Abil. Melihat Abil menyanyi dan melompat-lompat sendiri, mereka pun tumpang sekaki. Melihat Abil lari sana sini tanpa henti, mereka join main kejar-kejar sesama sendiri. Merasa pipi diusap atau dicuit spontan, mereka cuit dan gentel pipi Abil bergilir-gilir. Magik.

Orang putih kata, Blood is thicker than water. Saya setuju, 100%.

Yang rajin membaca, boleh klik di sini dan sini. Ada artikel bagus tentang kehidupan anak-anak dengan adik beradik autisme.

Dah habis :)

Feb 17, 2011

Saya dan secawan Neslo

Pic: google

Mukadimah di pagi hari, secawan Neslo. Panas. Tanpa susu. Sesudu gula organik. Ummphh!!


Hari Khamis. Sudah masuk 2 hari kak Dina dan adik Zarif MC. Batuk. Selsema. Agak teruk. Alhamdulillah, demam minima. Hanya pada waktu malam, tapi suhu masih di dalam kawalan. Antibiotik sudah dimulakan, kena habiskan (pesan doktor).


Seminggu dua ni, terasa 'liat' melakukan sesi terapi untuk Abil. Biasanya saya buat sesi bersamanya setiap Isnin, Rabu dan Jumaat. Sabtu dan Ahad, kalau tiada program bersama keluarga atau aktiviti-aktiviti lain. Inilah momentum yang ter-paling mampu setakat ini.Boleh saja nak bersesi setiap hari . Tapi, tugas menyediakan pengisiannya tak terkejar oleh saya. Abil cepat jemu. Jadi, membuat flash card , mencari gambar-gambar baru, memerah idea vasss untuk bermain dan belajar dengan seronok, fuhhh! Bukan senang.

Triangle of productivity
1.Knowledge 2.Action 3.Continuity


Daripada facebook Wardina Safiyyah, idola saya. No.1 Knowledge. Tanpa no.2 dan 3, knowledge tak kan ke mana. Itu yang sedang cuba saya lakukan.

"Do it with love" kata Intan( Andi Initiative). Saya sedang cuba yang terbaik, walaupun selalu diserang angin m.a.l.a.s. Orang kata, 'Istiqamah'. Membuat sesuatu secara berterusan, walaupun sedikit. InsyAllah akan tetap menampakkan kesan.

Dengan momentum yang sederhana, sempat juga saya melihat beberapa kemajuan oleh Abil. Contohnya, aktiviti sorting. Saya sudah mula memperkenalkan beberapa kategori padanya. Jenis-jenis haiwan, serangga, pakaian, makanan dan juga manusia. Kemahiran mengasingkan mengikut kategori-kategori ini masih belum sempurna tapi semakin baik. Bermula dengan zero, Abil kini hanya keliru dengan jenis-jenis haiwan dan serangga. Yang lain sudah boleh diasingkannya dengan baik.


Kawan-kawan,

Kakak-kakak, adik-adik, abang-abang, pakcik-makcik,

Doakan saya rajin. Saya selalu dengar orang kata 44x sebut, insyAllah makbul.

Nyahhhhhh kau, virus M.

Sekian, saya sambung entri minggu depan. Masa untuk memproduktifkan diri :)

Feb 15, 2011

Suatu hari di pagi Ahad III

Home Alone. Filem yang sangat popular pada awal 1990-an. Heronya, Macaulay Culkin.
Ahad lepas, Home Alone (versi JB). Heroin, Nur Syahdina. Lebih kurang 30 minit 'tertinggal' seorang di rumah. Gelabah.Panik.Cemas. Tapi masih sempat ber-SOS di facebook.


"tlg,dina tinggal sorang dekat rumah.tlg call mak.dina x de credit."

Itulah statusnya (selepas menyedari dia seorang diri di rumah). Betul, telefon bimbitnya tak ada kredit. Taktiknya menjadi, adik saya yang membaca status ini, terus menghubungi saya.


"Awat kak dinot minta tolong di facebook?"

Adik saya bertanya, begitulah lebih kurang bunyinya. Kisahnya panjang. Dipendekkan cerita, saya dan suami, serta adik Zarif keluar untuk mengambil Abil balik dari sesi terapinya. Tempoh keluar lebih kurang sejam. Kami tinggalkan kak Dina di rumah, dengan sangkaan TukMi dan TukAyahnya ada bersama dan tak kemana-mana petang itu.

Semasa di highway (dalam perjalanan balik), saya nampak kelibat kereta TukAyah di jalan yang bertentangan. Rupa-rupanya mereka keluar tanpa sedar bahawa seorang cucu sedang tidur di rumah. Salah saya juga, tak beritahu mereka.

Maka memecutlah encik suami balik ke rumah. Terang benderang rumah kami semasa saya melangkah masuk ke dalam. Rupa-rupanya SEMUA lampu rumah (bilik-bilik dan ruang depan, tengah, dapur) dibuka, langsir-langsir pula dikuak luas.

Belum sempat pintu depan dibuka, saya sudah dengar raungan pelakon air mata terkemuka. Terus saya dipeluknya. Saya tak tahu nak kata apa. Nak gelak pun ada. Kesian pun ada. Tapi saya tak sengaja. Mujur tak apa-apa. Mujur juga berlaku di waktu petang, belum sempat gelap, kami dah pulang.

Adik Zarif sempat berpesan dengan saya "Lain kali adik tak payah ikut mak, biar adik temankan kakak. Adik berani. Adik boleh jaga kakak."

Terbaik. Selalu kena marah dengan kakak. Selalu kena jeling dan disakat oleh kakak. Tapi masih ada hati nak 'jaga' kakak.:D


Feb 14, 2011

Yang comot

Secara am-nya, kanak-kanak sangat suka painting. Bila saya buntu dan tak tahu nak main apa dengan Abil (dalam sesi terapi), kami 'layan' cat air. Messy Play. Ya, memang comot tapi ia aktiviti yang sangat praktikal (untuk berseronok dan melepaskan tensi).

Oleh sebab comot, saya tak sempat berkamera semasa aktiviti. Jom lihat hasilnya!


Praktis yang bagus untuk kemahiran motor halus. Memegang berus cat tak sama dengan memegang pensil. Kemahiran mewarna dengan cat air juga perlu untuk menyiapkan tugasan seperti ini. Sebahagian bentuk-bentuk segi empat, hati dan daun dilukis oleh Abil, ada beberapa yang saya lukis. Paling saya suka bila Abil lukis urat-urat pada daun. Saya kagum tengok ketekunannya :)

Kak Dina dan Adik Zarif pun nak juga. Tengoklah tu!