Apr 25, 2011

Bila Abil mengasingkan (sorting)

Abil sudah pun mahir mengasingkan beberapa kategori. Saya pernah bercerita di dalam entri ini. Baru-baru ini, saya perkenalkan dua lagi kategori, 'huruf' dan 'nombor'. Nampaknya mudah saja bagi Abil. Gambar-gambarnya di sini...


Ok. Aktiviti sorting di atas sekadar mengasingkan mengikut kategori. Ada satu lagi aktiviti sorting yang saya pelajari daripada Teacher Syikin(Occupational Therapist Abil). Yang ini lain sikit (banyak aktiviti terlibat). Konsepnya masih sama, mengasingkan. Tengok gambar terus la ye, senang nak cerita...



Dalam bakul ada sepit baju, 2 jenis puzzle dan blocks.
Bercampur-aduk segala, ala-ala cerita P.Ramlee 'Musang Berjanggut'.


Bekas-bekas untuk Abil mengasingkan objek-objek di dalam bakul.

Mula-mula, susun sepit baju pada kotak.


Susun blocks, ikut template yang disediakan.

Kemudian, susun puzzle
kayu. Ada 2 set, nombor dan gambar kenderaan.

Dah siap.
Lupa pulak nak tengok catatan masa.sigh
Kira oklah. Tak laju sangat. Tak juga lambat.
Jumpa lagi!


Apr 24, 2011

Bila Abil main piano

Di rumah kami ada sebiji sebuah piano (eh, betul ke penjodoh bilangan saya ni?). Tuk Mi yang hadiahkan untuk cucu-cucunya. Kalau harapkan hadiah yang serupa daripada mak ayahnya, jawabnya mengidam jelah *hehe.

Ok. Berbalik kisah piano, piano dah lebih kurang setahun lebih sikit umurnya. Buat masa ni, yang boleh main ikut 'tajwid' yang betul hanya kak Dina, sebab dia yang sedang belajar. Encik suami saya pulak, ada sedikit asas muzik dan boleh la main lagu yang simple-simple saja. Dulu, dia pernah belajar main keyboard.

Sebelum ni, Abil TAK pernah berminat dengan piano ni. Pertama kali piano ni sampai ke rumah kami, sehari dua tu sajalah anak-anak saya kerumun piano ni sebab jakun. Yang saya nampak, Abil lebih berminat pada drum. Kalau ke kedai muzik, memang dia suka pergi ke bahagian drum. Ada juga hajat nak masukkan dia ke kelas main drum, tapi buat masa sekarang ni, halangan masa. Mana nak ke sekolah, ber-terapi, ber-swimming dan macam-macam lagi. Lagipun,setakat ni belum berjumpa cikgu muzik yang sesuai.

Entah kenapa, semenjak dua menjak ni, tiba-tiba Abil jadi sangat berminat dengan piano. Saya rasa dia dah mula bosan dengan komputer. Ya, obsesinya bermusim. Bila bosan, dia akan mencari yang lain.

Saya tahu kenapa dia suka piano ni. Piano kami ni jenis elektronik. Ada macam-macam butang, ada skrin kecil (ala-ala mini komputer). Yang saya dah ayahnya PALING 'takut' dan tak suka, ialah bila Abil dengan sesuka hatinya menekan macam-macam butang secara berturut-turut dan main on-off piano tu berkali-kali. *Mahal weiii.. warranty period sudah habis, kalau rosak mak ayah kena jual diriiiiiii nak beli yang baru.hoho.


Biasanya kami cabut plag piano. Tapi, saya jadi kesian pulak. Dia 'mati kutu'. Terasa kejam pulak saya. Jadi, kami akhirnya beri peluang dia main tapi dengan syarat, ayahnya ada sekali *hehe. Bodyguard saya ni memang paling ditakuti Abil. Tak berani dia nak buat sesuka hati.

Kami cuba hentikan tabiat 'tekan sana-sini'. Kami cuba ajar dia bermain piano dengan cara yang sepatutnya. Kebetulan, ada button "Follow Lights" di mana anda boleh bermain lagu-lagu pilihan mengikut lampu yang akan menyala pada key yang patut ditekan. Konon-konon professional lah. Saya selalu cakap pada kak Dina, bagus Follow Lights ni, mak yang buta piano ni pun boleh main lagu *haha..



Anda tengok ya!


Tengoklah tu, siap dengan bantal busuk main piano. Kami pantau dari jauh..

Dah tentu anda nak dengar dan tengok dia main piano kan? Jom.....








Saya tahu dia main ikut lampu (Follow Lights). Dia tak tahu baca note muzik. Dia tak ada asas bermain piano yang betul. Tapi, untuk seorang anak autisme dan ADHD bermain ikut lampu tu pun, bukan perkara yang senang. Kena fokus, kena duduk diam, kena kawal diri. Saya cukup bangga dan senang hati. Permulaan yang baik. Mungkin boleh betul-betul belajar satu hari nanti, siapa tahu kan?

Anda bagaimana? Berapa markah nak bagi Abil ni?

Sekian, jumpa lagi hujung minggu depan.

Have a great week!

Apr 23, 2011

Gunting Rambut (Episod 2)

Episod 1-nya di sini. Hari ini, siaran episod 2. Jangan muak baca ye, tuan-tuan dan puan-puan. Sengaja saya sambung siaran 'Gunting Rambut' ni. Tak sabar nak tunggu episod 3 sebenarnya...sebab episod 3 adalah episod 'Gunting Rambut' yang terakhir, bila mana Abil berjaya menjejakkan kaki dan bergunting dengan tukang gunting 'sebenar' dan kedai gunting 'sebenar'.

Untuk episod ni, seperti biasa, encik 'nama susah nak eja' yang jadi barber-nya. Kalau ikutkan saya, mahu saja saya bawa terus ke kedai gunting. Ya lah, sebulan lepas, dah dua kali bawa dia 'orientasi' di kedai gunting.

Tapi, niat saya dihalang oleh encik (bukan)barber(sebenar) ni. Menurutnya, Abil masih belum bersedia. Jadi, dia usahakan supaya kali ini, Abil bergunting di luar bilik air (bukan di dalamnya seperti selalu). Kemudian, bergunting dengan pakaian lengkap dan dipakaikan lapik plastik serta berkerusi. Sebelum ini, sesi bergunting biasanya ikut gaya bebas, tanpa kerusi, tanpa baju dan tanpa alas segala. Memang betul-betul simulasi kedai guntinglah. Bagus encik suami saya ni. Sangat bertimbang rasa....tak macam saya (hehe).

Oh ya, encik suami saya juga siap beli set pencukur baru, yang sama macam tukang gunting 'sebenar' punya. Murah je ok, promosi di Tesco (hehe). Katanya, kurang sakit kalau pakai pencukur ni dan hasilnya lebih berkualiti. Iya-kan ajelah.....hehe


Ini bahan buktinya;

Muka 'tersiksa' hehe..


Akhirnya, happy face!
Encik suami kata, lagi 5-6 kali dah bolehla bergunting di kedai.
#taksabar

Apr 22, 2011

Bila Abil menulis (episod 2)

Alhamdulillah, anak saya dah pandai menulis. Belajar pegang pensel sejak berumur 3 tahun. Umur 4 tahun, mahir menulis secara tracing (ikut garisan dot-dot). Umur 5 tahun, sudah boleh menulis free hand. Cukup ke sampai setakat ini? Belum lagi.

Bila sudah pandai free-writing, tulisannya pula besar-besar dan macam 'ulat bulu'. Masih belum pandai menulis di atas garisan, ala-ala cacing kepanasan gitu. 2 tahun jugalah saya biarkan tulisannya begitu. Cuba juga untuk ubah tulisannya, tapi saya tak tahu teknik yang sesuai untuk melatihnya. Selain itu, tak cukup latihan.

Hujung tahun lepas, saya nekad. Saya mahu upgrade tulisannya. Dia pun boleh tulis secantik orang lain. Saya lihat tulisan-tulisan anak-anak rakan (yang ada autisme dan bukan), cantik-cantik tulisan mereka. Kagum. Saya bandingkan tulisan Abil dengan kak Dina dan zarif. Walaupun tulisan kak Dina tak berapa nak cantik (hehe), sekurang-kurangnya masih boleh dibaca, kemas, atas garisan dan saiznya 'sedang-sedang' saja.

Berbekalkan sedikit panduan daripada Teacher Syikin (Occupational therapist
Abil) dan juga daripada pembacaan, saya latih Abil di rumah. Tak lama pun. Hanya 10-20 minit setiap hari (tiba-tiba teringat, dah 3-4 hari tak buat latihan menulis huhu). Apa pun, kita layan gambar-gambar Abil menulis...


Abil buat banyak jenis latihan. Sambil menulis, sambil mengenal nombor. Sambil menulis, sambil belajar membaca. Sambil menulis, sambil asah ingatan (buat ejaan, dsbnya). Yang pastinya, misi saya sekarang, belajar tulis atas garisan. Kalau anda lihat gambar-gambar di atas, ada yang Abil tulis dengan bantuan pembaris, ada yang tidak. Anda boleh lihat sendiri perbezaannya. Untuk pengetahuan, sekarang ini, dia sudah boleh tulis di atas garisan (tanpa bantuan pembaris). Bagus anak mak! Lepas ni nak re-size tulisannya, biar secomel orangnya (hehe).

Moralnya, kalau anda mahu anak anda mahir sesuatu (apa-apa perkara pun), setkan misi dan visi. Kemudian, latih, latih dan latih sampai letih! (hehe) Sampai misi tercapai lah. Oh ya, doa pun mesti berbakul-bakul. Ingat, Practise Make Perfect!

Dah habis. Jangan lupa jengah lagi!

Apr 16, 2011

Nama susah nak Eja

Begini, Abil dah lama pandai tulis namanya. Tapi itu belum cukup. Harus pandai pula tulis nama ayah, mak, adik, kakak dan ramai lagi. Oleh sebab namanya berbinkan ayahnya, saya pun mulakan dengan nama encik suami dulu.

Selalunya, Abil salin dan tulis. Ada masanya saya hanya tulis 'Nama ayah:' dan minta dia tulis SENDIRI (tanpa menyalin). Tapi setakat ini dia masih mahu SALIN juga.. Marah-marah dia minta saya tuliskan dulu untuk dia salin kemudian. Saya pula mahu dia belajar menghafal ejaan nama ayahnya sebagaimana dia berjaya hafal namanya sendiri. Tak apa, pelan-pelan kayuh (bak kata orang sekarang). Maka, inilah aktiviti yang saya berikan 3-4 hari lepas untuk misi menghafal nama encik (susah nak eja) ni.....


Bak kata kak Dina, "Nama ayah ni nampak huruf R je!" Haha. Moralnya tuan-tuan dan puan-puan, kalau ada anak lelaki, bagi nama yang senang nak eja ya! hehe.

Dan lihatlah bagaimana khusyuknya Abil mewarna. Untuk aktiviti ini, selain objektif menghafal ejaan nama, saya juga mahu Abil tiru warna-warna yang digunakan pada setiap huruf. Ini supaya dia lebih fokus.



Hah! Dah siap pun. Oklah tu, nanti kita warna pakai cat air pulak. Saya rasa, perlu perbanyakkan latihan. Bila dah berjaya nanti , barulah terasa "Alangkah indahnya dunia........lalala" (ala-ala lagu kumpulan Hujan...hehe).

Sekian, Salam Sabtu :)

Apr 13, 2011

Segalanya tentang bayi

Saya nak kongsikan beberapa fakta tentang autisme dan kelahiran (boleh juga baca dari sini).

Tahukah anda?


Simptom Autisme tidak boleh dikesan sejak lahir. Biasanya ia mula dilihat sekitar umur bayi 18-24 bulan ke atas. Tidak respon pada panggilan nama, perkembangan bertutur yang lambat, tiada 'eye contact', respon yang luar biasa pada sesetengah bunyi, rasa (pada kulit dan lidah), bau, benda yang dilihat dan banyak lagi.Boleh baca sini.

Bagi ibubapa yang mempunyai anak Autisme, peratus risiko mendapat anak autisme dalam kelahiran seterusnya ialah 5%. Untuk info lanjut, boleh klik sini.

Ada pendapat yang mengaitkan masalah semasa mengandung, semasa dan selepas kelahiran sebagai kemungkinan berlakunya autisme. Contoh: pemakanan ibu mengandung yang kurang seimbang, ibu mengandung yang stres, paras hemoglobin darah ibu yang rendah (semasa mengandung), bayi hampir lemas di dalam kandungan, bayi lahir tidak cukup bulan, ibu hamil sekitar usia 35 tahun ke atas dan lain-lain masalah. Boleh baca lebih lagi di sini.

Bagi pasangan kembar seiras, peratus risiko untuk pasangan kembar mempunyai masalah autisme (jika salah seorang adalah individu autisme) ialah 63-98%. Bagi pasangan kembar BUKAN seiras, peratusnya lebih kecil, sekitar 0-10%.

Seterusnya, masa untuk saya ngomel. *hehe

Syukur, akhirnya adik saya selamat melahirkan. Anaknya, anak saya juga. Maka saya juga 'tempias' rasa sakit dan bimbangnya semasa mengandung dan bertarung di wad pembedahan. Sejak kecil sehinggalah dia kini seorang ibu, dia sentiasa berhubung dengan saya. Hubungan saya dengan adik-adik perempuan saya, memang SANGAT rapat. Orang kata, cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Itulah yang terjadi pada saya. Kadang-kadang, paha kiri dicubit, paha kanan yang 'bengkak' * hehe.

Saya masih ingat lagi pada kisah tragis yang berlaku pada cik keen (adik saya yang seorang lagi) suatu waktu dulu. Saya ni tak suka kucing sebenarnya, tapi bila adik-adik saya bersedih. Saya sama-sama sedih.
Over ke saya ni? Tak apa lah. Biar terlebih empati, jangan tak empati langsung, betul tak?

Berbalik kisah adik saya dan bayi barunya. Saya rasa cukup seronok. Dalam hati, bukan setakat ada taman. Saya rasa segala mak nenek kedai bunga, pameran bunga, taman bunga, pokok bunga (dan yang sewaktu dengannya) ada dalam hati saya semalam. Taman bunga rafflesia pulak tu. hehe

Cik meem ni, memang sentiasa
update saya tentang perkembangannya, sejak dari hari pertama dia disahkan hamil sehinggalah ke saat ini. Sambil saya menulis entri ini, sambil saya menatap MMS gambar anaknya yang baru saya terima. Sebelum dia melahirkan semalam sehinggalah malam tadi, saya yang tak keruan. Dah macam orang sewel tak siuman. Mujur la encik suami saya ni dah 'masak' dengan perangai saya. Tak habis-habis dia geleng kepala, senyum, sengih tengok saya yang macam cacing kepanasan.*hehe

Sekarang, saya rasa macam nak 'terbang' balik tengok anak buah saya ni. Tapi apakan daya. Tak ada kepak. Sayap pun tak ada.. maka duduklah saya diam-diam di sini...huhu. (p/s: saya baru saja balik KL seminggu lepas, bajet ketat, kena tunggu bulan mei insyAllah).

Kak dina: Mak, bila kita pulak nak ada baby?
Zarif: Adik nak baby boy.
Kak dina: Tak mau. Dina nak baby girl.
Saya: (diam)

Bukan pertama kali saya mendengar skrip ini. Saya mahu. Sangat mahu. Saya mahu kak Dina rasa betapa seronoknya mempunyai adik beradik perempuan. Kalau ditakdirkan mendapat seorang lagi anak lelaki pun, saya tak keberatan. Secara peribadi, 3 orang anak agak sedikit bilangannya bagi saya. Saya bukan nak ramai sangat. Saya cuma mahu 4 (kalau diizinkan Tuhan).

Jujurnya, saya 50-50. Hati kata mahu, akal kata tak pasti. Bagi ibubapa yang ada anak autisme macam saya, saya pasti anda faham situasi saya. Melahirkan adalah satu perkara. Membesarkan anak-anak ini dengan sempurna melibatkan 1001 cabaran.

Anak autisme nampak normal. Maka umum selalu beranggapan tanggungjawab ke atas anak-anak ini lebih kurang sama saja dengan anak-anak lain. Realitinya, kos untuk mereka adalah 3-4 kali ganda melebihi anak-anak bukan autisme. Berbelanja sekurang-kurangnya RM1000 sebulan untuk anak-anak autisme adalah perkara biasa. Yuran terapi (2-3 jenis terapi), yuran program intervensi, kos makanan tambahan/supplemen dan sebagainya, perlu diperuntukkan. Bukan setakat cukup makan, pakai saja.

Perhatian untuk anak-anak adalah satu isu lagi. Sekarang ini pun, tak cukup 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 365 hari setahun. Untuk anak autisme (dan anak istimewa lain), ibubapa harus involved dalam setiap aspek kehidupan anak. Penat. Cukup penat. Kalau tak cukup kuat, boleh masuk hospital sakit jiwa. Senang saja kalau tak mahu penat. Tak usah ambil tahu. Cukupkan keperluan fizikal saja. Tapi, masa depan anak-anak autisme (dan bukan) harus difikirkan. Usaha yang dilakukan sekarang untuk memastikan mereka boleh berdikari bila sampai masanya nanti. Boleh mencari RM sendiri, mampu menguruskan diri sendiri, menjadi Muslim yang baik, menjadi ASET dan bukan liabiliti (insyAllah).

Orang kata, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Ini bukan dalih-dalih saya. Saya juga tidak berani berkata 'ya' atau 'tidak' kepada persoalan samada saya ingin tambah anak lagi. Umur pun dah makin bertambah. Stamina berjaga malam dan gigih melayan anak kecil dah makin kurang. Bagaimanapun, semangat dan kehendak masih ADA. Cuma, saya dihimpit macam-macam kerisauan kalau saya teruskan ikut kata hati. Bukan risaukan statistik-statistik mengenai autisme (seperti di atas). Itu semua hanya teori manusia. Tuhan yang maha berkuasa menentukan.

Dipendekkan cerita, siapa yang tak happy menerima 'orang baru'? Kalau berpeluang sekali lagi, mampukah saya? wallahualam.

Sekian, semoga-semoga hari-hari kita terus positif, produktif dan inovatif! ;D

Apr 9, 2011

Jalan-jalan bersama NASOM


Saya hampir-hampir tidak hadir untuk acara ini. Di saat akhir, saya buat keputusan. Saya tinggalkan sementara segala 'huru-hara' di JB. Bersama encik Nas dan anak-anak, kami gigihkan diri. Walaupun JB-KL hanya 3-4 jam saja kalau memandu tanpa henti, kudrat kami yang 30-an ini nampaknya makin menipis. Selepas berpuluh kali menguap di jalanan dan juga sesi berhenti rehat setiap sejam dua, kami sampai juga ke sana. Dapat juga hadir acara seumpama ini sekali lagi. Syukur.

Ada yang kata, acara sebegini buang masa. Secara peribadi, persepsi saya berbeza. Sekurang-kurangnya terpampang juga nama autisme di tengah-tengah bandar Kota Damansara, setidak-tidaknya masyarakat tahu bahawa sebenarnya ramai anak autisme 'wujud' di celah-celah anak-anak BUKAN autisme lain di Malaysia ni. Secara tidak langsung, masyarakat setempat boleh lihat bagaimana 'komuniti autisme' seperti kami juga hidup sebagaimana mereka, walaupun dihambat tekanan membesarkan anak-anak dengan sempurna. Yang lebih penting, kami dapat sesi riadah beramai-ramai yang paling menyeronokkan setahun sekali. Best!!

Sempat juga seorang pak guard bertanyakan saya, "Dik, AUTISM tu apa?" Dengan lancar dia menyebut perkataan autism. Kagum juga saya. Ada orang tak berani langsung nak menyebutnya, takut tersilap/tersasul dan sebagainya. Dengan ringkas saya menerangkan, sambil menunjukkan Abil yang sedang happy melompat dan berlari sana sini sebagai contoh. Kalaulah ada sekeping risalah di tangan saya ketika itu. Dah tentu senang tugas seorang duta kecil autisme macam saya ni...hehe. *Mungkin lepas ini, NASOM boleh ambil inisiatif menerbitkan risalah, sekurang-kurangnya untuk acara-acara sebegini.

Kebetulan, pada hari yang sama (2 April 2011), Majalah3 TV3 pun memaparkan kisah Autisme untuk slot 30-40 minitnya. Permulaan yang baik, walaupun paparannya (pada saya) masih belum cukup komprehensif. Apa pun, syabas buat TV3. Saya harap rating pada malam itu tinggi, supaya objektif mewujudkan kesedaran tentang Autisme tercapai sebagaimana yang diharapkan.

Ok. cukup-cukuplah saya menaip. Layan mata anda dengan beberapa pose menarik daripada saya, kawan-kawan dan keluarga.

Encik Nas yang sempat di-interbiu oleh Bernama TV.*entah keluar tv ke tidak, kami pun tak tau ;)

seperti biasa, adik saya (PokTeh Syafiq) menjadi hero penyelamat Abil..*hehe
setia mengejar Abil ke mana saja. *THANK YOU syafiq!


Katanya, jarak berjalan lebih kurang 3.5 km saja, tapi saya rasa macam dekat 5-6 km kami berjalan....memang kami antara kelompok yang akhir sampai. Nampak sangat 'pancit' haha..Tengoklah tu, Abil pun dah tak larat, tapi kami layankan juga suruh dia berjalan sendiri. Minta didukung, tapi mak ayah tak larat Abil oiiiii....

Adik zarif? berdukung hampir 90% perjalanan, oleh Syafiq sekali lagi. Besar pahala adik saya sorang ni....kak Dina? siap melecet walaupun berstokin..haha...dia juga terduduk 5 saat ketika garisan Finish hanya 5 meter di depan mata..*haha. Syabas anak-anakku! ;)

Penat berjalan, kami lepak-lepak di kaki lima The Curve, sambil perhatikan Abil yang tiba-tiba dapat stamina entah dari mana untuk lari sana sini lagi....fuhh! akhirnya dia jatuh dalam lopak air...kihkih! tengoklah muka budak comot tu bila kena gelak...hehe

Kali kedua saya bertemu anak ini secara live. Sedap dia menyanyi semasa acara pembukaan. Ada rezeki boleh jumpa lagi InsyAllah! ;)

T.A.M.A.T

Apr 1, 2011

Bila Abil buat kraf lagi

Anak-anak saya, terutamanya Abil, dah buat beberapa jenis kraf sebelum ni. Ada kraf ayam, kraf matahari, kraf caterpillar dan kraf tikar. Tolong jangan 'muak' tengok Abil buat kraf ye...Saya suka layan dia buat kraf, sebab dia berminat dan boleh bekerjasama dengan baik.

Kraf seterusnya, kraf pasta. Ya, pasta. Dapat idea daripada hasil tangan adik Zarif di kindy-nya juga. Sila lihat gambar...

Cuma perlu tali dan pasta, dah siap pun...
bagus untuk kemahiran motor halus, kordinasi tangan dan mata, konsentrasi. Kepada yang nak cuba, Selamat Mencuba!

p/s: Saya akan 'berehat' seketika sehingga hari Rabu. 



Kisah Abil, Gorilla dan coklat


Saja nak share klip video ini, iklan coklat Cadbury sebenarnya. Entah kenapa, 2-3 hari ni, dah berulang kali Abil menonton klip ini, over and over and over again (bak kata orang putih). Saya dah rasa nak muntah gorilla...mana tidaknya, dia akan fast forward, rewind, pause dan play berkali-kali sebab dia hanya suka tengok part gorilla tu naik syeh main dram..hehe.

Oleh kerana saya sangat-sangat musykil, saya pun nak tengok jugaklah klip ni...sebab nak tahu apa yang menarik sangat sampai Abil boleh terpegun dan tak muak-muak tengok. Klip YouTube ni memang Abil yang discover sendiri. Masih ingat lagi entri ini? Ya, dia google. Dia klik Images, kemudian dia klik Videos. Yang ditaip di kotak search ialah, GORILLA. Jangan ditanya kenapa dia suka gorilla. Saya pun tak tahu. Tapi, dia ketawa bagai nak rak setiap kali tengok klip ni. Kemudian, mulutnya tak putus-putus sebut " Gorilla!...Gorilla!" haha.

Bila saya, encik Nas, kak Dina dan Zarif tengok sendiri, barulah kami tahu betapa kelakarnya bila lihat gorilla tu main dram sepenuh perasaan. Adoiii..tak tahan. Anda nak tengok jugak?? apalagi, layannnn...