Jun 12, 2011

Abil pun BOLEH!




Saya seronok melihat gambar-gambar ini. SEJUK hati. Selama ini, hanya melihat gambar-gambar anak-anak lain bersolat atau duduk di tikar sejadah. Risau. Bimbang. Takut. Ya, itulah yang saya rasa. Kenapa? Sebab saya selalu rasa 'mustahil' untuk mengajar Abil bersolat. Selalu rasa susah melatihnya bersolat. Tapi melatihnya solat adalah satu TANGGUNGJAWAB. Susah, senang, cepat, lambat, mesti diajar juga.

Tahun ini Abil 8 tahun. Saya tahu ramai ibubapa muslim di luar sana melatih anak mereka lebih AWAL. Sesetengahnya, seawal 4-5 tahun. Lebih awal, lebih baik. Bagi Abil, walaupun umurnya 8 tahun, perkembangannya setara dengan anak-anak berumur 5-6 tahun. Saya rasakan tahun ini adalah tahun yang sesuai memulakan latihan kerana saya lihat kemahiran menirunya (imitation skill) semakin bertambah baik. Selain saya sendiri sudah rasa agak 'terdesak' kerana tak lama lagi Abil akan jadi 'anak bujang'. Orang kata, melentur buluh biar dari rebungnya.

Pergerakannya ketika solat masih belum sempurna. Tapi dia sudah mula melakukan dengan 'rela hati'. Sudah boleh menjadi 'makmum' tanpa kami memberinya arahan di sebelah. Bermula dengan 1 rakaat, 2 rakaat dan akhirnya 4 rakaat, Abil sudah ok.

Tapi adatlah, ala-ala anak 4-5 tahun bersolat. Orang lain membaca surah, dia menyanyi. Lagu-lagu dalam cerita Shrek, lagu-lagu yang dipelajarinya di sekolah, semua kedengaran ketika dia bersolat. Bila berdiri juga, kadang-kadang tegak, kadang-kadang macam ulat bulu (tapi masih di dalam saf). Kepalanya kadang-kadang toleh kiri, toleh kanan, tapi masih mengikut setiap pergerakan imam. Bukan senang untuk sampai ke tahap ini.

Fasa 'main-main dan keluar daripada saf' ketika jemaah lain masih bersolat biasa berlaku(sebelum ini). Hukumannya (ya, kami akan denda dia), dia KENA bersolat semula dari A-Z dengan kami (saya dan ayahnya) duduk jadi 'pengawas' di tepi. Sambil marah, sambil menangis dia 'dihukum'. Tapi denda TETAP denda. Sekarang, kami sudah mula ajar dia berwuduk. Tapi, kami bantu Abil sepenuhnya. Masih belum boleh meniru pergerakan wudhu dengan baik. Pelan-pelan kayuh, betul tak?

Banyak lagi yang perlu diajar. Bacaan-bacaan wajib dalam solat juga mesti diperkenalkan. Kemudian, kalau sekarang dia hanya solat 1 atau 2 waktu dalam sehari. Akhirnya nanti, mesti 5 waktu sehari. Target kami, Abil boleh dibawa bersolat Jumaat di masjid dalam masa setahun dua akan datang. Tips untuk ibubapa anak istimewa, anak anda BOLEH buat apa saja! (sama seperti kanak-kanak normal yang lain). Kuncinya, Latih, latih dan LATIH. Kemudian, beri mereka ruang. Beri mereka MASA. Abil dan saya bukanlah contoh terbaik. Ramai lagi anak-anak Autisme dan ibubapa HEBAT di luar sana, sumber inspirasi saya :)



Sekian, jumpa lagi!

7 comments:

ICAZIESYIRA said...

sedihnya nengok...
alhamdulillah

Syahida said...

Alhamdulillah..mudah2an terus dipermudahkan urusan melatih Abil. Amin

shogun_na said...

HEBATNYA....terharu mak ngah baca... Kak syida, hebatnya kalian berdua.... (mode meleleh)

Syahida said...

ina, susah jd ibubapa ni...tanggungjawab BESAR...mak takuttt..huhu

Sophia @ Tinta Akhyar said...

Salam K Syida. Alhamdulillah, sejuk mata memandang Abil solat di sisi Ayahnya. I totally agree with you, kanak-kanak autisma boleh DILATIH untuk buat macam-macam. Faris setakat ini sudah boleh meniru gerak-geri solat tanpa bantuan, tapi cabaran terbesar apabila Ayahnya membaca Surah Fatihah. Dia akan ambil peluang untuk 'tawaf' Ayahnya :D Harap-harap Faris akan ikut jejak Abg Abil nanti, mengerjakan solat dengan penuh berdisiplin. Amin..

Syahida said...

Wa alaikum salam sophia, Alhamdulillah. susah nak sampai ke tahap 'berdisiplin' ni...itu pun masih belum cemerlang lagi.masih goyang sana sini, cuma tawaf2 tu dah tak adalah..hehe..bacaan dalam solat pun masih belum mula lagi. insyAllah pelan2 kayuh...gud luck to u & faris also. :)

Mengharap RedhaMu said...

tiada susah jika kita mengikut ajaran sunnah.
1.Makanan kita hendaklah mengikut sunnah. Jangan ada syubahah/haram
2.Persekitaran perlu jua ikut sunnah.
3.Doalah tika mana manusia sedang nyeyak tidur(malam hari)kerna tika itu doa2 yang ikhlas diterimaNya.
4.Perbayakkan baca al-quran. Kerna al-quran adalah syifa.
5.Hentikan melihat atau melakukan perkara lagha. kerna itu akan menjauhkan dariNya.

Sedang anak itu adalah amanah dariNya.
Wallahualam....