Jun 25, 2011

Hari ini hari Sabtu

gambar google

Sabtu. Tiada yang luar biasa tentang hari Sabtu, melainkan yang biasa-biasa saja. Pagi tadi, saya hantar kak Dina untuk aktiviti ko-kurikulumnya di sekolah. Kemudian, saya terus ke sekolah Abil untuk sesi perjumpaan Ibubapa dan Guru.

Masih ingat lagi dengan entri ini? Ya, entri emosi yang saya coretkan sewaktu Abil mula-mula berpindah ke sekolah baru. Masih di dalam kelas pendidikan khas tetapi di sekolah yang berlainan.

Untuk pengetahuan anda, cerita mengenai kelas pendidikan khas di Malaysia tidak pernah habis. Macam-macam pendapat. Macam-macam versi.

Kelas pendidikan khas yang baik (di mata saya) mencakupi beberapa keperluan. Antaranya termasuklah cikgu-cikgu yang berdedikasi,rajin dan faham karenah murid-murid khas, sistem pembelajaran yang tersusun, kemudahan pembelajaran yang lengkap, staf Pembantu Pengurusan Murid (PPM) yang sentiasa bekerjasama baik dengan cikgu dan ibubapa dan bilangan murid khas yang tidak terlalu ramai.

Tahun ini, keadaan Abil di kelas pendidikan khas lebih baik daripada dulu (walaupun masih belum yang terbaik).

Saya melihat hasil-hasil kerjanya di sekolah. Pandai, boleh ikut arahan dengan baik. Antara komen yang diberikan oleh cikgunya. Masalah utamanya, mood dan emosi. Masih belum dapat dikawal dengan baik.
Sekarang Abil di dalam kumpulan 1. Level 1 lah kiranya. Kalau semua berjalan baik dan Abil terus maju, dia akan 'dinaikkan' ke kumpulan 2, 3,4 dan seterusnya.

Ramai yang berpendapat, kalau anak autisme(spektrum ringan ke sederhana) diserapkan ke kelas Pendidikan Khas, mereka sukar untuk progress. Mungkin ya, mungkin tidak. Entahlah.

Saya tahu, ramai anak autisme yang memasuki kelas perdana (mainstream) dan menunjukkan kemajuan yang seiring (sesetengahnya, lebih baik) daripada murid-murid normal. Saya tumpang bangga dan gembira. Kalau boleh, saya juga mahu Abil menjadi seperti mereka. Bagaimanapun, memasukkan anak autisme ke mainstream memerlukan komitmen luar biasa, kerjasama padu daripada SEMUA pihak (khususnya ibubapa/guru) dan juga kemudahan teacher aide (guru pendamping, jika ada).

Setakat ini, rezeki Abil di kelas pendidikan khas. Perkembangannya baik. Namun, saya tahu masih BANYAK yang boleh diperbaiki dan dimajukan lagi. Kalaupun tidak ada rezeki ke kelas mainstream, dunia masih belum berakhir. Saya akan pastikan anak saya mendapat haknya untuk belajar dengan baik dan berkesan, tak kiralah samada di mainstream atau
pendidikan khas.

Bagi saya, tidak ada jawapan muktamad tentang pilihan yang TERBAIK untuk anak-anak istimewa (khususnya Autisme). Setiap anak harus dinilai secara berbeza, tidak boleh dipukul rata sama macam anak-anak lain, walaupun sesama anak autisme. Kekuatan, kekurangan, persekitaran, peluang dan kemudahan yang ada di sekeliling anak autisme juga TIDAK serupa. Apa yang lebih penting, peranan ibubapa dan guru. Walau dimana saja pun anak ini diletakkan, ibubapa dan guru yang komited dan prihatin adalah FAKTOR utama yang akan melonjakkan anak-anak ini terus maju dan maju.

Saya sudah memilih aliran pendidikan khas untuk Abil. Sampai bila? Saya sendiri tak tahu. Bergantung pada rezekinya. Buat masa ini, saya hanya mahu buat yang TERBAIK untuknya menggunakan kemudahan-kemudahan yang sedia ada. Kalau ada 'rezeki' yang lebih baik, pasti saya akan pilih yang itu. Hidup tidak boleh statik. Dari semasa ke semasa, perubahan itu perlu.

Kalau saya sibuk memikirkan tentang pendapat-pendapat negatif mengenai kelas Pendidikan Khas dan lain-lain yang berkaitan, saya akan jadi 'kusut' terus-terusan.

Sebagai ibubapa, anda harus jadi 'juri' dan buat pilihan sendiri.

Sekarang, saya mahu enjoy hari Sabtu saya yang 'luar biasa'.

Selamat berhujung minggu.


2 comments:

Dila Si Mama Dzariff said...

Perghhhh...panjang post ni. Dah baca sekerat, boleh lak mata tengok Tv kejap, pastu dah lupa apa baca tadi. Dah kena repeat dari atas semula...hihihii...chaiyokkk abil! Haihhh...lama tak jumpa abil and try to hug him..( huahuahua...ofcoz dia larik2 tak mo auntie dila hug kiss dia...laalalalala)

Syahida said...

Dila, mekasih! Abil kan mmg takmo orang peluk dia...sensitip bebeno badan dia tu...lagi kena peluk selalu..haha dok berborak on the phone & online je ngan awak, bila nak hug2 betul2 ni?? huhu