Sep 15, 2011

UPSR Oh! UPSR

dari google

Sudah 2 hari anak-anak darjah 6 menduduki UPSR. Entri ini saya tujukan buat semua anak istimewa, khususnya anak autisme yang berjaya mengambil UPSR tahun ini, juga tahun-tahun sebelumnya.

Yang ambil periksa tahun ini, keputusannya masih belum pasti. Yang ambil UPSR tahun-tahun sebelumnya, keputusannya dah pun lama tertera. Apa pun keputusan yang bakal atau dah pun diterima, TAHNIAH dan SYABAS sebab anak-anak autisme ini sebenarnya sudah pun mencatat satu rekod peribadi. Menduduki peperiksaan bukanlah satu perkara mudah bagi anak-anak ini. Tak kiralah UPSR ke, PMR ke, SPM ke, hatta peperiksaan peringkat sekolah sekalipun, keupayaan anak-anak ini untuk fokus dan duduk diam menjawab soalan-soalan dalam masa yang ditetapkan adalah satu KEJAYAAN.

Kejayaan ini pastinya dikongsi bersama guru-guru dan ibubapa yang terlibat sama melatih, membimbing, mengajar, memberi perhatian dan paling penting, memberi PELUANG kepada anak-anak ini. Samada dalam aliran pendidikan khas, lebih-lebih lagi yang berpeluang berada dalam aliran perdana (mainstream), semua yang terlibat dari awal sehinggalah ke saat anak-anak autisme ini menggenggam keputusan mereka, harus diberi PUJIAN. Sesungguhnya jasa anda akan dikenang sepanjang hayat. Hanya Tuhan yang mampu membalasnya.

Keputusan mereka, samada sekadar memuaskan atau sederhana, usahlah ditanya dan dipersoal. Yang mendapat keputusan cemerlang, ianya satu BONUS yang tak ternilai. Yang bagus terus dilatih. Yang sekadar 'cukup makan' pun terus dilatih dan dipimpin bersama. Jangan ada yang dibiarkan tercicir. Jangan ada yang dilepas pandang. SEMUA ada potensi. Keputusan akademik hanyalah satu aspek kecil dalam kehidupan. Banyak lagi aspek-aspek lain yang perlu dikejar dan terus dikejar.

Anak saya, Abil baru 8 tahun umurnya. Saya harap nanti dia juga bakal diberi peluang yang sama seperti rakan-rakan lain ,yang autisme dan bukan. Bukan hanya untuk UPSR, tetapi untuk apa juga bentuk penilaian dan peperiksaan yang diperlukan untuk masa depannya.

Mudah-mudahan ada rezekinya. Mudah-mudahan juga ada rezeki untuk semua anak-anak autisme di luar sana.

Jangan lupa klik link di bawah, tulisan Temple Grandin.



Hari ini sudah hari Khamis. Esok hari Jumaat.

Selamat hari Malaysia :)

2 comments:

Azma said...

Sbg parents kita ada hak utk memastikan anak kita mengambil exam UPSR (dan lain2) wpun sekolah tidak menggalakkan/membenarkan atas alasan mengganggu prestasi sekolah..

Syahida said...

Azma, betul3x. saya sangat SETUJU.