Nov 28, 2011

Jom membaca! (episod 2)

"Hmmm...sedapnya bau buku.." dialog kak Dina sebaik saja kami melangkah masuk ke pintu utama pusat jualan besar-besaran Kedai Buku Popular di DCM minggu lepas. Bau buku-buku memang best. Heaven, bak kata orang putih.


Di celah-celah kesihatan anak-anak yang tak begitu memberangsangkan dan permulaan cuti sekolah yang agak hambar buat kami, kunjungan ke jualan Popular ini memang satu bonus.


Ini bahagian buku-buku yang menjadi target kak Dina dan Zarif. Abil ikut saja.



Pilihan kak Dina. 5 buku dalam 1.
Dear Yayah edisi Istimewa.
Memang dah lama dia idam-idamkan.



Komik Lawak Kampus, pilihan adik Zarif.
Sekarang sudah ada 5 dalam koleksinya.
Ada lagi 5 siri untuk dibeli.



Tengoklah tu! Bersepah-sepah mereka membaca..hehe
Saya cukup lega sebab rumah saya aman 2-3 hari tanpa suara sebab mereka leka membaca.



Ini ensiklopedia yang saya pilih untuk Abil.
Saya sudah faham dengan citarasanya. Dia sukakan buku-buku hard cover dan banyak gambar. Dia sangat suka dengan set ensiklopedia.
Kalau anda sudah lupa, boleh baca tentangnya di sini.




Oleh kerana tabiat anak Autisme yang agak rigid dan tak sukakan perubahan, pada mulanya Abil buat tak endah dengan buku baru. Masih mahu berulit dengan eksiklopedia lamanya. Saya biarkan, malas nak paksa. Lepas sehari dua, perlahan -lahan dia mula mahu menyelak buku baru.

Dia suka tengok gambar-gambar di dalam ensiklopedia. Walaupun hanya tahu dan faham perkataan-perkataan mudah di dalamnya, dia boleh duduk baca berjam-jam. Sesekali saya tolong bacakan.




Bila Abil ke konvo

Sudah sebulan saya peram gambar-gambar ini. Sudah 'basi', tapi saya tetap nak buat juga satu entri..hihi.


Majlis konvo adik saya di UiTM Shah Alam.

Saya sukakan suasana konvo dan persekitaran universiti. Terasa ingin belajar lagi dan lagi. Peluang untuk hadir majlis konvo ini memang saya tunggu. Walaubagaimanapun, keadaan Abil dan tempoh majlis yang sangat panjang tak memungkinkan kami menonton di dalam dewan. Tak apalah, tunggu di luar dewan pun ok. Yang penting, dapat aura universiti.



Penantian itu memang satu penyiksaan. Tunggu dan tunggu dan tunggu.Sehingga sejam dua, memang bosan. Mujurlah Abil sudah boleh mendengar arahan. Dengan encik suami di sisi, Abil memang bersopan santun dan terkawal. Sesekali kami lepaskan dia bangun dan main-main di kawasan berdekatan. Risau juga kalau dia melompat dan berlari tak tentu hala, bunga-bunga, coklat dan hadiah untuk para graduan ada dimana-mana. Almaklumlah, ramai lagi yang menunggu di luar dewan macam kami. Jadi, segala pergerakan Abil harus diperhati.

Sebenarnya, bukan senang melatih anak Autisme menunggu. Practise make perfect. Susah atau senang, suka atau tak, kena juga belajar menunggu. Anak-anak bukan Autisme pun bermasalah juga bab menunggu ni. Jadi, kalau ada cabaran semasa melatih, biasalah tu. Lama-lama oklah.


Kenapa kena belajar menunggu? Sebab dalam hidup ni, kita memang sentiasa kena menunggu. Menunggu giliran untuk membayar di kaunter. Menunggu makanan terhidang di meja. Menunggu waktu berbuka puasa. Menunggu itu. Menunggu ini. Fuhh memang penat. Jadi, anak-anak Autisme harus dilatih bersabar. Mulakan dengan tempoh masa yang singkat dan cabaran yang mudah-mudah dahulu.

Masa kecil, Abil pun susah juga menunggu. Tapi, makin dewasa, dia makin faham. Bukan semua kehendaknya boleh diikutkan walaupun dia 'tunjuk perasaan'. Sekarang, semuanya jadi lebih mudah. Cuma, pastikan anak-anak kita menunggu dalam keadaan yang selesa. Episod tunjuk perasaan boleh dielakkan.


Inilah dia budak yang sudah bosan menunggu.
Jemu tetap jemu..hehe.

How to teach the concept of waiting?


Kisah Abil dan Betty

Pets can do wonders to autistic children.

Ok. Sebelum saya ulas statement di atas, nampak kucing putih di dalam gambar di bawah. Itulah Betty. Betty the pet cat.

Saya bukan pencinta kucing. Bela kucing? Memang tak ada dalam kamus hidup saya. Tapi, kak Dina punya pasal, saya mengalah. Syaratnya, segala hal ehwal berkenaan kucing adalah tanggungjawab kak Dina, termasuk hal-hal kebersihan kucing. Ya, kak Dina yang buat sendiri. Sesekali, encik suami tolong mana yang patut.

Berbalik kisah Abil dan Betty. Agak menarik. Saya lihat Abil berminat dengan Betty.


"Nak Betty..."

"Betty, kejar! Cat, kejar!"

Itulah skrip-skrip Abil bila bersama Betty. Setiap kali kami sampai ke rumah, dia akan terus meluru ke 'rumah' Betty dan melepaskan ia keluar. Kalau Betty di dalam rumah, selalulah Abil panggil ia untuk main kejar-kejar. Kadang-kadang Betty kejar, kadang-kadang Betty buat tak nampak. Biasanya, kak Dina akan ajar Betty untuk kejar Abil.



Kalau anda nak tahu, binatang peliharaan atau pet boleh membantu individu Autisme dalam macam-macam perkara. Kalau di Barat, biasanya mereka menggunakan anjing. Kita sebagai Muslim masih boleh memilih haiwan-haiwan lain sebagai alternatif. Bagaimanapun, sebelum anda mempunyai pet, pertimbangkan juga faktor-faktor lain seperti kebersihan, kesihatan dan sebagainya.


Bila Abil bersama Betty, dia lebih responsif. Selalu mahu bermain dengan Betty sedangkan dengan kakak dan adik, cukup susah untuk melihat Abil memulakan langkah. Abil juga sangat suka tengok Betty melompat dan berlari...terkekek-kekek dia ketawa. Penuh perasaan.


Walaupun Abil sukakan Betty, dia tak suka bila Betty datang gesel-gesel atau melompat ke arahnya. Bila ini berlaku, Abil akan melompat menjauhkan diri atau lari. Mungkin Abil geli. Jadi, Abil memang tak akan peluk-peluk Betty sebagaimana kak Dina dan adik Zarif.


Banyak lagi aksi-aksi Abil bersama Betty yang tak sempat saya rakamkan. Yang pasti, gelagat mereka buat saya tersenyum.





Salam hari Isnin. Jumpa lagi!

Nov 20, 2011

Kakak Oh! kakak



N.u.r S.y.a.h.d.i.n.a



Ini bukan dedikasi harijadi. Sudah 6 hari terlewat pun. Entri ini sengaja saya tulis sebagai peringatan kepada saya. Nur Syahdina is a blessing.

Tanpa saya sedar, sebenarnya saya banyak 'mengorbankan' Dina untuk Abil. Terlalu banyak kalau saya nak sebutkan di sini. Syukur. Setakat ini, Dina memahami. Tak pernah saya tengok tanda-tanda dengki, iri hati, sakit hati, geram ataupun benci. Sebaliknya, yang sering saya lihat ialah empati, simpati, perhatian dan kasih sayang.

Bukan sengaja nak puji lebih-lebih. Tapi itulah realitinya. Dalam diam, saya musykil dan hairan. Yang pasti, saya kagum.



Bila Abil tak tahu, Dina ajar.

Bila Abil tak mahu, Dina tak paksa.

Bila Abil mahu, Dina mengalah.

Bila Abil menangis dan menjerit, Dina pujuk dan peluk.

Bila Abil berlari, Dina kejar.

Bila Abil berjaya, Dina tepuk dan sorak.



Sesekali saya lihat Dina terleka. Sesekali dia terlupa. Adatlah. Baru 10 tahun umurnya. Saya sebagai ibu pun, kadang-kadang cuai, selalu juga alpa.

Kak Dina punya cita-cita tinggi.

"Nanti dah besar, kak Dina nak jadi apa?" Nak jadi doktor. Nak jadi vet. Nak jadi cikgu. Banyak lagi. Sentiasa bertukar.

Ikut mood, ikut angin.

Kalau tanya saya, saya mahu dia jadi Occupational therapist, Speech therapist, pejuang Autisme, duta kanak-kanak istimewa. Tapi saya bukan Nur Syahdina. Pilihan di tangannya. Saya tak boleh paksa. Bukan saya juga yang tentukan. Allah lebih tahu :)



Salam hari Ahad!


Nov 9, 2011

Bila Abil ke library

Library. Perpustakaan. Kalau di JB, memang sentiasa tak sempat. Bad time management. Nak seribu daya, tak hendak memang sentiasa tak berdaya hehe..

Alhamdulillah. Sampai juga kami ke perpustakaan baru di Shah Alam. Dulu, masa zaman gila-gila remaja, selalu juga ke perpustakaan Shah Alam (yang lama). Terima kasih untuk adik saya, Keen yang sudi jadi supir saya.


Jom layan gambar-gambar yang dah diperam 2-3 minggu..


Bahagian kanak-kanak. Penuh warna-warni. Cukup selesa. Mode santai. Banyak buku. Besar. Luas. Saya suka gabungan konsep perpustakaan dan playground. Sesungguhnya kanak-kanak dan bermain memang tak boleh dipisahkan. Tak percaya, tengok di bawah...


Anak-anak saya, terutamanya Abil buat macam rumah sendiri.
Nak marah pun tak jadi.
Kenapa?
Sebab kiri, kanan, depan, belakang,
kanak-kanak lain pun 2 x 5!
Selagi terkawal, saya tengokkan dari jauh.



Orang lain pergi library baca buku.
Bila Abil pergi library, dia guling-guling bawah pokok..hehe.



Muka penat,
selepas berkali-kali guling, panjat dan berlari dalam library.
Mujur la 'penat' masih ada dalam kamus hidup Abil.



Duduk-duduk main mata.



Selepas lebih kurang sejam setengah, kami pun pulang. Sebelum aksi-aksi anak-anak saya mencecah tahap mengganggu ketenteraman awam, lebih baiklah kami beredar dulu.

Bagaimanapun, saya tak serik. Nanti saya nak bawa anak-anak datang ke sini lagi.Sangat sesuai untuk memupuk minat suka membaca. Abil mungkin 'tak sempat' membaca pada lawatan kali ini. Tapi saya harap aura kawan-kawan yang membaca di sekeliling akan 'diserap' juga akhirnya.

Nov 7, 2011

Kisah Abil dan Ombak

Abil dan Ombak. 3 hari 2 malam.

Dari JB ke Mersing.

Dengan mode Aidiladha, dalam perjalanan kami singgah membeli lemang dan rendang.


Selepas 2 jam meredah jalan bandar, jalan kampung, ladang kelapa sawit dan hutan, kami sampai ke destinasi.
Felda Residence Tanjung Leman.


Happy Faces!
Kalau boleh mereka mahu kisah ini sehingga 10 hari 9 malam. hehe




Macam-macam aktiviti. Dari tepi laut ke kolam mandi.


Mula-mula adik main air pancut.
Kemudian, Abil cuba tiru aksi adik.
Khusyuk. Tekun. Fokus.
Akhirnya, ooopppsss...cubaan untuk minum air pancut itu.
Oh tidakkkk..



Bermula dengan sesi tanam kaki.
Kemudian, advance ke sesi tanam satu badan.
"Eeeiiii....eiiiii..."
Abil menahan geli.
Mak tolong tengok & senyum je ye!





TukAyah dengan gaya seorang pembuat kuih terkemuka.
Gaya 10 markah! hehe
Dan hasilnya......




Kami ke tepi pantai di waktu pagi.
Kami ke tepi laut di waktu petang.
Seronok. Puas. Relaks. Tenang.



Sentuh. Rasa. Pegang. Tengok. Dengar.
Melompat. Merangkak. Berenang. Terjun. Berendam.
Pakej 10 dalam 1.



Abil suka ombak.
Zarif suka pasir.
Kak Dina suka kutip seashell.



Berlari berdua.
Berjoging berempat.
Penat. Tapi sihat.



Sesi mengenal spesis laut.
Tapak sulaiman.
Siput.
Ketam.



Penat main air, kita ke jeti. Tengok bot.

Seperti biasa, kenangan terindah.
Abil yang semakin matang dan mudah diurus.
Abil yang semakin faham dan terkawal.

Lain-lain tips bercuti dengan anak Autisme;

7 Tips
Autistic child & Holidays
Kembali ke realiti. 
Jom produktif!

Nov 2, 2011

Ada apa dengan OT ( episod 2)

Occupational therapy. Antara terapi dan intervensi yang bagus untuk individu autisme. Ada banyak pilihan rawatan dan terapi yang sesuai. Yang penting ibubapa harus bijak memilih yang sesuai dan serasi untuk anak-anak mereka. Harus diingat, apa juga program terapi dan intervensi patut dimulakan seawal yang boleh, sebaik-baiknya pada usia 2-6 tahun. Ada yang bermula sejak bayi, tiada masalah. Lebih cepat, lebih baik.

Untuk mendapatkan kesan yang optimum, rawatan dan terapi juga mesti dibuat secara konsisten. Bukan bermusim. Bukan sekejap ada, sekejap tak ada. Lebih kerap, lebih baik.

Saya suka dengan occupational therapy (OT). Pada saya, terapi ini ibarat pakej 5 dalam 1. Selain ada latihan senaman untuk otak (ala-ala sensory integration atau brain gym), ia juga mengajar aspek pengurusan diri, komunikasi dan apa saja yang berkaitan dengan rutin harian kita.

Sebelum ini, Abil hanya hadir sesi OT setiap 2-3 bulan sekali di hospital kerajaan. Ya, sesi yang agak jarang-jarang dan tidak konsisten. Temujanji di hospital kerajaan memang tidak boleh dibuat sekerap yang kita mahu sebab kekurangan kemudahan dan terlalu banyak permintaan (waiting list yang panjang).

Oleh itu, saya cuba penuhi keperluan terapi Abil dengan menghantarnya ke Happyland Special Education Centre untuk program sensory integration 1-2 kali seminggu. Sudah 3 tahun ini menjadi rutinnya.

Sekarang, sudah hampir setahun Abil ber-OT di IndeBrain. Saya diperkenalkan dengan Syikin, jurupulih terapi OT oleh kawan 'sekapal' saya, cik Dila. Pada mulanya, temujanji Abil dengan Syikin hanyalah 2-3 kali sebulan. Sejak bulan lepas, sesi OT Abil sudah meningkat kepada 8 kali sebulan (2 kali seminggu). Memang penat ulang alik ke IndeBrain yang lokasinya agak jauh dari rumah saya. OT yang lebih kerap juga bermakna kos yang lebih tinggi. Tapi tak apa, saya anggap ini semua 'pelaburan' untuk Abil. Harap-harap rezeki Abil akan berterusan.


Jom tengok aksi-aksi Abil dalam sesi OT.

Melompat di atas trampolin (sambil tepuk tangan, sambil mengira)

Melompat di dalam gelung rotan

Merangkak di dalam terowong

Summersault

Table activity
Aktiviti meniru tulisan
(Latihan menulis, fokus dan kordinasi mata)



Ada banyak lagi aktiviti. Berbuai, berguling, brushing, flash cards, memory game, puzzle, bermain bola. Macam-macam ada. Sesi 1 jam setengah yang sangat produktif!

Lebih info tentang occupational therapy? Boleh klik sini.


Hari ini sudah hari Rabu.

Cepatnya masa berlalu. Jumpa esok lusa!