Jan 15, 2012

Jom Main Air! (episod 2)



Can you spot Abil?

Hanya RM4 seorang, per entry.
Untuk anak-anak yang 'kemaruk' air macam anak-anak saya, ini sudah cukup.

Children & Water Play

Happy Sunday!!

Jan 12, 2012

Bila Abil, Zarif, Dina belajar... (episod 2)

Bila Abil, Zarif, Dina belajar

Bila anda mempunyai seorang anak istimewa, melakukan intervensi sendiri di rumah adalah 'wajib'. Intervensinya pula mestilah kerap dan konsisten, walaupun sekejap.

Saya akui, bukan senang. Dihambat oleh faktor masa dan virus 'M' yang selalu hinggap, saya sendiri selalu tercungap-cungap. Buat masa ini, saya buat apa yang termampu. Tak dapat banyak, sikit pun jadilah. Tak dapat lama, sekejap pun jadilah. Yang penting, masa berkualiti, betul tak?

Mode cuti-cuti masih 'kuat' walaupun sekolah dah masuk dua minggu start. Kelas tuisyen saya pun dah bermula minggu ini. Bagaimanapun, jadual saya masih agak 'longgar' bulan ini. Sempatlah saya bertuisyen dengan anak-anak sendiri.

Hanya 15-20 minit bersama Abil, Dina dan Zarif semalam. Jom tengok hasilnya!


Disuruh membaca teks, Abil tak mahu. Saya tak mahu paksa. Tak apa, kita warm-up saja dulu. Saya fotostat beberapa mukasurat buku cerita. Saya sebut perkataan. Arahannya, "Bulatkan perkataan .......................". Saya beri Abil pensel warna (yang berlainan) bagi setiap perkataan. Abil dengar. Abil bulatkan. Pandai anak mak! :)
Perkataannya: pulang, ternampak, buah mangga, sebatang.
Saya sebut satu persatu.
Abil cari sendiri dan bulatkan semua.

Bersambung lagi.
Perkataannya: saya, kakak, pen, boleh.
Dan lagi.
Perkataannya: kerana, nampak, dahulu.
Semuanya ok. Tanpa bantuan.
Saya bagi markah penuh.
Selesai membaca. Saya bagi break 2-3 minit.
Kemudian, kami sambung aktiviti. Kali ini, menulis. Arahannya, cari dan salin perkataan yang bermula dengan huruf 'b' dan 'm'.
Tulisan Abil masih tak konsisten. Masih sebesar alam. Anda nampak garisan yang saya buat dengan marker merah itu? Itu untuk membantunya menulis di atas garisan. Kalau tak, tulisannya 'ke laut'. hehe
Habis menulis. Kami sambung aktiviti 'kategori'. Untuk kategori buah-buahan, Abil hanya dapat 5/9. Dia nampak seperti kurang jelas. Tapi selepas saya bantu dengan beberapa perkataan, baru dia mula faham.

Masuk kategori makanan, Abil dapat 7/8. Dia bulatkan sendiri semua perkataan, kecuali satu. Sambil membulatkan perkataan, saya dengar dia sebut "makan nasi", "makan burger", "makan pizza", "makan roti". Seronoknya dapat dengar 'suara emas'.hehe
Habis sesi bersama Abil. Zarif terus datang tanpa dipanggil. "Ok, adik pulak!" hehe. Tak sahla kalau tak buat sesi dengan semua. Tengok tu, tulisannya. Tahun depan nak naik darjah satu, mesti improve lagi ni dik!

Giliran kak Dina. Whiteboard dia yang punya! :)
Selesai sesi, saya hambat semua masuk tidur. Shoooohhh!!


Kawan-kawan, hari ini sudah hari Khamis.
Esok hari Jumaat.
Saya suka!

Jumpa lagi.

Jan 9, 2012

Rutin lama, Rutin baru (episod 3)

Nurhan Zarif. Kembali ke sekolah.

Hari pertama: Bersemangat. Teruja.

Hari kedua: Ok. Macam Biasa.

Hari ketiga: Mula liat bangun pagi. Saya dah cerita di sini.

Hari keempat: Hari ini. Sangat LIAT bangun pagi. Menangis. Merengek.

Tindakan saya? Diam. Diam. Diam. Tidak ada drama menengking,memekik atau marah. Bercakap bila perlu. Dengan nada bersahaja. Macam biasa.

"Adik tak nak pergi sekolah....tak nak pergi sekolah..."

Berulang-ulang kali Zarif mengulang skrip ini. Macam tape recorder. Saya terus diam.

Marahkah? Tidak. Cuma geram. Selebihnya, saya sudah lali. Terlalu lali. Kalau belum lali, confirm saya dah jadi 'mak singa' pagi-pagi.

Sambil memandikan dan menyiapkan Zarif, hanya ini skrip saya.

"Kakak dah pergi sekolah. Abang Abil pun pergi sekolah. Adik pun kena pergi sekolah." (dengan tenang)

Langsung tiada nada marah. Saya cuba sehabis boleh menggunakan nada rendah dan berhemah. Ada sedikit aksi meronta. Tapi masih terkawal. Saya teruskan memberinya makan seperti tiada ada berlaku. Skrip 'tape recorder' masih on.

Sambil makan, saya cuba alih perhatian Zarif. Buka channel kegemarannya, 615. Sambil makan, sambil layan Pink Panther.

"Adik tak nak pergi sekolah...." Lagi dan lagi dan lagi..

Respon saya; "Mak tak marah adik pun. Jom, mak dukung masuk kereta."

Mujurlah fizikal si kenit hampir 6 tahun ini sangat kecil. Ala-ala 4 tahun saja. Advantage untuk saya. Sambil dia merengek, sambil saya masukkan dia ke dalam kereta. Tangisan makin kuat. Saya abaikan dan terus diam. Buka gate. Masuk kereta dan terus memandu ke sekolahnya.

Dalam kereta, ketika berhenti di traffic light, saya kesat air mata dan hidungnya. Saya tanya Zarif; "Adik tengok kawan-kawan yang nangis pergi sekolah tu, cantik ke? Bagus ke menangis kat sekolah?" Kali ini, dia pula diam. Selepas beberapa minit, dia ulang lagi. "Adik tak nak pergi sekolah...."

"Adik tak ada pilihan. Suka atau tak, adik kena pergi sekolah." saya menjawab, masih dengan nada berhemah.

Sampai depan pintu kindy-nya, tangisan makin kuat. Meronta-ronta. Saya masih dalam mode tiada perasaan. Teacher terus ambil alih peranan saya. Zarif diangkat dan didukung ke pintu masuk. Habis cerita.

Sememangnya saya sudah cukup 'lali' dengan episod anak-anak menangis/meragam/mengamuk/yang sewaktu dengannya. Bukan senang nak sampai ke tahap ini. Ambil masa 3-4 tahun juga. Kalau dulu, bila berdepan dengan situasi begini, sayalah yang pertama sekali jadi drama queen. Sekarang tidak lagi. Saya sedar, bila kita keep cool dan bertenang, itulah yang terbaik.

Oh ya, untuk anak-anak autisme, situasi begini juga dipanggil meltdown atau tantrum. Autisme atau bukan, bila kemahuan tidak dipenuhi, memang anak-anak akan 'tunjuk perasaan'. Kita sebagai ibubapa hanya perlu bertenang dan cari jalan untuk meredakan keadaan. Paling tidak pun, kawal perasaan kita sendiri sebelum kita mengajar anak-anak mengawal perasaan mereka.



Jan 8, 2012

Lompat! Jump! Rebound! (episod 2)

Lompat! Jump! Rebound!



Kisah melompat lagi. Tapi di lokasi yang berbeza. Di bandar saya ni, tempat-tempat menarik untuk kanak-kanak tak banyak. Jadi, bila jumpa lokasi baru, memang saya suka. Jawabnya, lagi 5-6 kali lah kami ke sini. Dah boring nanti, kita cari 'port' baru.

Petang Sabtu yang aman. Berlima-lima kami datang. Bertiga-tiga anak saya main sakan. Tengoklah tu!

1 ketul.

2 ketul.

3 ketul.

Ya, semuanya ada tiga. Puas.


Yang ini paling Abil suka. Slide.

Health Benefits of Jumping.

Hari ini hari Ahad. 


Selamat bersuka ria & berehat!

Jan 7, 2012

Jom Google Sketch Up (GSU) !

Google Sketch Up? Apakah?

Dipendekkan cerita, ia satu software yang biasa digunakan untuk buat design 3D. Tuan-tuan engineer dan architect memang 'kenal' dengan program ni.


Adik saya pun gunakan program ni untuk kerja-kerjanya. FYI, dia seorang arkitek.


Baru-baru ni, tiba-tiba Abil jadi 'kemaruk' GSU. Dia terpandang adik saya menyiapkan tugasan di rumah. Terus dia pun nak juga 'melukis' dengan GSU.


Kalau nak tahu, Abil tak ada bakat melukis (dengan pensel). Tapi dia sangat suka komputer. Nampaknya, bila diberi peluang menggunakan GSU, dia juga suka melukis.


OK. terus ke visual..


sesi tutorial dengan PokTeh (adik saya)


Eksplorasi sendiri
Antara hasil kerjanya (dengan bantuan encik Tutor)


Seterusnya, hasil kerjanya sendiri.
Sebenarnya, ada banyak lagi.
Saya hanya sempat snap gambar-gambar ini.



Nampaknya seperti lukisan 'abstrak'. haha
Tak kisahla labu....


Bakal arkitek kah? Mungkin..Mungkin...kita doakan saja ye! Amin!


Jan 6, 2012

Kisah Abil dan Gambar (episod 2)

Autisme dan visual. Sangat sinonim. Mereka suka visual. Melalui gambar-gambar, mereka senang belajar. Cepat faham. Cepat pandai.

Episod 2. Semalam, cikgu Abil minta 4 keping gambar pasport. Kali pertama dan terakhir (setakat ini) Abil bergambar di studio, tiga tahun lalu. Bukan senang.

Sukar memberi eye contact. Bukan masalah besar untuk saya. Walaupun Abil sukar bertentang mata, tapi dia boleh mendengar dan faham arahan serta berkomunikasi dengan agak baik. Belum sempurna tapi agak baik.

Bagaimanapun, untuk ambil gambar pasport, eye contact itu wajib. Selepas hampir 50 snap oleh jurukamera, akhirnya misi bergambar selesai juga. Fuhh!

Terdengar juga skrip kurang enak daripada jurukamera. Sakit hati. Saya abaikan saja.

Saya tak pasti kalau Abil sudah boleh mengambil gambar pasport dengan lebih baik hari ini. Mungkin ya. Saya lihat dia sudah boleh memandang kamera dan memberikan pose yang dikehendaki bila diperlukan. Tidak berlaku setiap kali. Tapi tetap ada progress berbanding dulu.

Semalam, apabila diminta gambar pasportnya, saya sekadar 'mencuci' semula soft copy gambar dulu. Selagi wajah Abil tak banyak berubah, selagi itulah cd gambarnya akan saya simpan dan guna semula.



Oh ya, inilah gambarnya. Handsome.


Salam Jumaat. Jumpa lagi!

Jan 5, 2012

Rutin lama, Rutin baru (episod 2)

"Adik nak tidur...."

Haihh..Baru hari kedua bersekolah, saya sudah dengar skrip ini. hmm...

Pagi tadi saya terlambat bangun. 15 minit saja. Disebabkan ini, saya lewat tiba di sekolah dina. Ralat 10 minit saja. Keadaan trafik sudah teruk. Hampir 1 jam, kereta saya bergerak macam siput. Kesannya, Abil sampai lewat ke sekolah. Dia rileks saja. Saya yang tak keruan.


Balik ke rumah. Biasanya jam 7.45 saya sudah kembali. Menyiapkan Zarif pula. Hari ini, saya tiba jam 8.20 pagi. Tak apa, biar lambat janji selamat. Agak 'liat' sikit Zarif bangun pagi ini. Sudah hilang semangatkah? Mujur sekolahnya dekat saja. Tepat jam 9 pagi, Zarif tiba di depan kindy-nya.

ok kawan-kawan. Nampaknya esok puan supir kena bangun jam 5 pagi.

Salam hari Khamis. Busy! busy! busy! :D

Jan 4, 2012

Rutin lama, Rutin baru

Sesi 2012. Hari pertama ke sekolah. Sekejap saja masa berlalu.

Pagi ini, bermula lagi rutin bangun jam 5.30 pagi. Tugas supir saya bermula jam 6.30 pagi. Hantar kak Dina. Hantar Abil. Balik ke rumah, jam sudah hampir pukul 8. Kejut Zarif. Mandikan, suapkan makan. Hantar pula Zarif ke kindy jam 8.30 pagi. Lebih kurang jam 8.45 pagi, tugas supir (shif pagi) selesai. Alhamdulillah, anak-anak selamat sampai ke sekolah. Saya selamat kembali ke rumah.

Lebih kurang jam 12 tengahari nanti, sambung shif tengahari pula.

Malam tadi, masing-masing teruja mencuba pakaian baru, kasut baru, botol air baru dan beg baru. Walaupun tak semuanya 'baru', sebab bersemangat nak ke sekolah, yang 'lama' pun macam 'baru'.

Pagi ini, masing-masing cukup senang dikejut bangun. Sekali gerak, semua dah buka mata. Dengan senyum, dengan tawa. Cukup ceria.

Hari pertama, begitulah. Kita tunggu, esok lusa, minggu depan, bulan depan dan seterusnya, masih adakah senyum-senyum itu? Masih adakah semangat baru itu? Masih terujakah bangun pagi dan bersiap ke sekolah?

Oh ya, ini tahun ketiga Abil di kelas Pendidikan Khas. Saya masih simpan angan-angan untuk memberinya peluang pendidikan secara inklusif. Harap-harap ada rezeki dan peluangnya suatu hari nanti.





Selamat kembali ke sekolah!

Jan 1, 2012

Cutipedia 2011 lagi dan lagi

Kami ke sini, Cosmo World Theme Park, Berjaya Time Square. Seronok. Puas hati. 

 Jom tengok gambar!


Membaca majalah Kuntum dalam perjalanan ke sana. Abil tekun merenung gambar-gambar pusat rekreasi air yang ada pada majalahnya. Sampai 'hancur' kulit majalah. hehe


Selesai beratur dan membayar tiket, kami naik semua ride yang ada satu persatu. Ride yang sesuai untuk kanak-kanak sajalah.

Botanic Drive. Abil suka stereng. Tempat 'pemandu' memang dia dah booking awal-awal.
Kami juga naik keretapi Fantasy Trail.


Molly-Cool's Swing.

Buddy Go Round.

Crazy Bus.

Flying Bumble Bee.
Di manakah Abil?


Abil sentiasa ada di sebelah Zarif.

Kidz Playground.
Memanjat. Berlari. Melompat.


Honey Bump.
Kali pertama naik, Abil jadi driver. Pemanduan tak berapa lancar. Kali kedua naik, adik Zarif take over. Seronok tengok mereka berdua.


Lebih kurang 3 jam lebih kami di sini. Selesai makan tengahari dan puas bermain, kami pulang. Dah seminggu berlalu, tapi Abil masih sibuk menyebut "Time Square!" "Time Square!". Sah. Dia nak pergi lagi. Tengoklah tu, tekun membelek pamphlet Berjaya Time Square.

*psst..aktiviti menaiki rollercoaster/rides adalah sangat bagus untuk merangsang sensori.


Ok. Siri cuti-cutipedia dah habis.


Back to school!


Cutipedia 2011 lagi

Bila Abil ke library

Perpustakaan Raja Tun Uda. Kunjungan kali kedua. Kali ini saya datang dengan encik suami. Macam dulu juga, Abil masih dalam mode berlari dan berkejar dengan adik dan sesekali, kakak. Dia mahu memanjat, tapi saya tegah. Mesti belajar kawal diri dan perasaan.

Lebih kurang 30-40 minit bergerak aktif di dalam perpustakaan, kak Dina jumpa sebuah buku Toy Story. Memang 'umpan' yang sesuai. Abil berjaya duduk membelek-belek buku. Tengoklah tu!

Sebelum sempat Abil lincah semula, encik suami panggil Abil untuk sama-sama membaca di meja. Penuh berhemah, Abil menurut perintah. Kalau saya yang panggil, pasti situasinya berbeza. haih..


Encik suami membaca dan bercerita secara ringkas. Abil mendengar dan bercakap bila perlu. 5 minit yang sangat berkualiti. Habis 5 minit, dia sambung berlari. hehe

Kami pasti ke sini lagi.

Salam hari Ahad.