Apr 27, 2012

Bila Abil belajar 3M (episod 2)

Bersesi bersama Abil memang seronok.Tapi untuk bersesi secara konsisten memang satu cabaran.Saya 'tabik' pada ibu-ibu yang boleh buat sesi homeschool secara rutin untuk anak-anak mereka. Sejujurnya, ia masih satu cabaran untuk saya.Mode 'sekejap rajin, sekejap tak berapa rajin' masih ada. 

Di peringkat awal dulu, cabarannya ialah bagaimana mahu tarik perhatian Abil untuk belajar bersama saya.Alhamdulillah, setelah berbulan-bulan dan bertahun-tahun bersabar dan belajar memahami diri masing-masing, cabaran itu sudah berjaya dilepasi. 

Sekarang, saya perlukan disiplin diri yang cukup kuat untuk bersesi bersama Abil sekerap mungkin.Momentum yang ada sekarang ini sangat tidak memuaskan. 

Pada pendapat saya, kalaupun tidak dapat melakukannya setiap hari.Saya perlu buat sekurang-kurangnya 3 atau 4 kali seminggu.Sesinya pula tak perlu terlalu lama.Mungkin 30 minit ke 1 jam setiap sesi sudah cukup buat masa ini.Kalau boleh ditambah lagi tempohnya, memang marvellous

Bukan apa, saya rasa seperti dikejar masa.  Usia anak saya makin meningkat, semakin banyak yang perlu diajar dan diperkenalkan.  Kebanyakannya pula memerlukan ABM yang kreatif dan menarik.Ini untuk membantu mereka fokus dan meningkatkan kefahaman mereka.  Untuk anak autisme (dan anak-anak istimewa amnya), penggunaan buku dan pensel saja tidak cukup. Disebabkan ini, saya rasa tak cukup masa, tak cukup tenaga, tak cukup kaki dan tangan juga. Haha

Ok.Disebabkan saya dikejar masa dan tugas-tugas lain, dipersilakan layan visual-visual ini.Sempena Jumaat yang penuh ceria ini (sebab mode cuti Hari Buruh sudah datang haha), saya perlukan suntikan motivasi untuk terus bersesi bersama Abil.

Belajar  Numbers dengan flash cards (buat sendiri)
Match!
Abil masih confused dengan nombor-nombor ini.
Kena praktis lagi dan lagi..
Kadang-kadang belajar dengan guli.
Untuk anak-anak yang suka masukkan objek ke dalam mulut, tak digalakkan  guna guli.
Kadang-kadang kami gunakan ikan-ikan comel ni ..


Guna sepit baju pun boleh!


Ok. Sudah T.A.M.A.T


Apr 23, 2012

Bila saya belajar (episod 2)


Sudah pun masuk minggu terakhir bulan April. Fuhhh...

Hujung minggu lepas, saya sempat hadir seminar Autisme di JB. Penceramah jemputannya, Dr Hasnah Toran (idola saya). Saya pernah bercerita tentang seminar ini di sini.

Syukur.  Semuanya berjalan lancar. Syabas! kepada pihak penganjur.

Setiap kali sesi menambah ilmu, memang saya suka.Sebenarnya, terlebih suka!

Setiap kali itu juga, semangat untuk terus belajar dan belajar membuak-buak...hadoi...

Oklah. Saya sebenarnya sedang rushing.  Ini antara gambar-gambar yang sempat dirakam.


Gambar-gambar ini ihsan Cik Dila


Dr Hasnah Toran in action!
gambar ihsan rakan baru saya, Azwana.

demonstrasi OT bersama Pn Syikin, terapis Inde Brain.
Urut dan urut lagi

Salah satu teknik mengurut dengan therapy ball
Habis sudah seminar 2 hari

Salam Isnin.

Panjang umur, murah rezeki, 
esok kita jumpa lagi. :)


Apr 20, 2012

Hanya 30 saat





*video dari YouTube

Hari Sedih sedunia (episod 2)

Sudah seminggu dia pergi.

Sebetulnya, saya tidak mahu menulis entri tentang 'dia'.  
Saya sebak.  Saya sedih.

Terlalu banyak perkara yang mengingatkan saya kepadanya. 

Dia atuk perempuan saya. 
Allahyarhamah Hajjah Mahbubah bt Hj Bustani.  

Atuk bukan sekadar seorang nenek. 
 Dia jugalah 'ibu'. 
Dia adalah segala-galanya buat saya, abang dan adik-adik.

Waktu mak saya keluar bekerja, dialah yang menjaga dan membesarkan kami. 

Saya makan dan minum air tangannya.

Dari kecil hingga dewasa, dia peluk saya. 
Dia cium saya. Dia doakan saya. 

Ya Tuhan, ampunkanlah dosa-dosanya. Kurniakanlah rahmat buatnya.

Terlalu banyak jasanya pada kami.  
Setiap keringat dan air matanya yang telah tumpah kerana kami akan saya hargai, tak akan saya lupa, sampai bila-bila.

Al Fatihah :'(





A.U.T.I.S.M.E (Episod 2)

kredit untuk fb Autism Spectrum Disorder



Ramai lagi yang TAK tahu tentang Autisme.

Ramai juga yang hanya tahu sikit-sikit tentang Autisme.

Autisme bukan penyakit ye, kawan-kawan.

Ia TIDAK berjangkit. Bukan macam AIDS.

Ia dikesan selepas kelahiran, sewaktu bayi membesar.

Ciri-ciri autisme boleh mula dilihat ketara pada umur 18 bulan ke 3 tahun.

Ia sejenis masalah kecelaruan saraf pada otak.

Dipendekkan cerita, wiring pada struktur otak mereka berbeza dari individu 'tipikal'.

'Tipikal' maksudnya individu bukan Autisme.

Autisme dan Skizofrenia berbeza.

Autisme berkaitan masalah saraf. 
Skizofrenia berkaitan masalah mental.

Individu Autisme sihat dan waras, macam kita.

Mereka ada perasaan, macam kita.

Mereka ada kebolehan, macam kita.

Mereka ada keperluan, macam kita.


Rupa paras cantik dan sempurna, macam kita.

Cuma berbeza sedikit dari segi perlakuan, komunikasi, sosial dan cara berfikir.

Sukar atau tidak suka memberi eye contact. Mempunyai rutin atau tabiat yang berulang-ulang. Biasanya tertarik pada objek yang berpusing. Mempunyai masalah komunikasi
Lebih suka menyendiri. Ada banyak lagi. 
Boleh baca di sini.

Sesetengah orang mentafsir Autisme sebagai masalah pembelajaran. 
Learning Disorder.

Sekian.

Salam Jumaat.

dari google

Jangan lupa singgah lagi :)

Apr 16, 2012

April Oh! April (episod 4)

Plan ke Golf Amal Autisma UKM tercapai. Yeay!

Misi ke Autism Walk 2012 gagal (seperti yang dijangka). Sedih. Tak ada rezeki tahun ini. Bila tengok gambar kawan-kawan yang join, rasa sangat terkilan :(

Sempena Autism Awareness Month, ada satu lagi aktiviti yang bakal berlangsung hujung minggu ini. InsyAllah saya akan turut serta. Kawan-kawan yang berminat, ini info-nya:-


Seminar berkenaan Autisme akan diadakan di :


-> Setia Tropika, JB 


Tarikh: 21 dan 22 April 2012 (9am-5pm). 

Yuran penyertaan: RM 80/seorang, RM100/pasangan

Penceramah: Dr Hasnah Toran, UKM. 

Juga ada: Tips berkaitan Sensory Integration, OT  

dan teknik Braingym
-> Sila hubungi 0192283791 untuk pendaftaran/keterangan lanjut.


OK. Saya kongsikan visual sekitar majlis Golf Amal Autisma UKM 2012. Sebahagian gambar-gambar adalah ihsan Autisme Malaysia.



Lokasi

Jualan CD Umar. Siapa Umar? Sila baca di sini.

Berkumpul dan makan ramai-ramai :)

Muka-muka ceria di lokasi :D

Do You Know Autism?
Buku terbitan Makmal Autisma UKM
Ada artikel sumbangan saya didalamnya :)
Mahu dapatkan buku ini? cuba hubungi makmalautisma@yahoo.com

Sekian.

Jumpa lagi!



Symptoms of Autism

Apr 5, 2012

April Oh! April (episod 3)

dari google


Autism Walk 2012
15 April 2012
Citta Mall, Ara Jaya, PJ
Hubungi NASOM at Tel: 603 7886 8233  or 603 7886 8986
(untuk pendaftaran & pertanyaan)

Autism Walk datang lagi. Tahun ini, mungkin rezeki tidak menyebelahi saya.  Event sempena Bulan Kesedaran Autisme lebih banyak tahun ini (berbanding tahun lepas). Saya terpaksa memilih sebab tak mampu untuk ke KL setiap hujung minggu berturut-turut. 

Saya ralat dan terkilan juga sebenarnya kalau tak turut serta sekali lagi tahun ini. Tapi terpaksa. InsyAllah minggu ini saya akan sama-sama menyertai aktiviti yang dianjurkan Makmal Pembelajaran Autisma UKM. Saya akan cuba untuk hadir seminar ini:-


Tarikh: 7 April 2012 (Sabtu)

Masa: 9.00pg - 12.30tgh

Tajuk: Pengurusan Tingkah Laku

Penceramah: Pn Intan Meranti
Tempat: Dewan Budiman, Fakulti Pendidikan UKM
Bayaran: RM20 seorang, RM30 pasangan -walk in
Childcare disediakan RM10/seorang 
booking melalui makmalautisma@yahoo.com


Intan Miranti adalah seorang 'selebriti' Autisme. Orang kuat ANDI INITIATIVE. Menyertai ceramah beliau pada kos hanya RM20 adalah satu peluang keemasan.  Saya rasa sangat rugi kalau peluang ini dilepaskan. Saya harap ada rezeki saya untuk datang ke UKM Sabtu ini.

Selain seminar ibubapa, ada juga acara Golf Amal UKM pada hari Ahad, 8 April.  Saya akan cuba untuk sama-sama turun padang memberi sokongan.

Saya harap segala perancangan berjalan lancar. Tak sabar nak jumpa kawan-kawan. Excited!


Kawan-kawan, tunggu apa lagi?

JOM!

Apr 4, 2012

April Oh! April (episod 2)

Bulan Kesedaran Autisma. Bersambung...

Hentikan Buli

Buli? Ada ke budak autisme kena buli? ADA. Banyak kes sebenarnya.
Ada buli fizikal. Ada buli emosi. 
Ada buli psikologi.
Apa pun istilahnya, buli tetap buli.
Kesannya sangat mendalam.  
Yang dibuli rasa sedih, tertekan, rendah diri.

Kenapa dibuli? 
Sebab mereka 'lain' daripada yang lain. 
Sebab mereka nampak lemah, blur dan vulnerable.
Sebab mereka tidak pandai bersosial. 
Tak reti komunikasi.
Sebab mereka non-verbal. Tak boleh bercerita. Tak boleh mengadu.

Yang verbal pun kadang-kadang dibuli juga. Dikutuk, dimaki, dihamun, kononnya biadap, kononnya bodoh, kononnya 'cacat'.

Siapa yang buli? Selalunya rakan sebaya. 
Kadang-kadang, cikgu pun ada. 
Ada juga yang 'dibuli' ibubapa. 
Ada juga di kalangan kaum keluarga.
Saya tak tuding jari pada sesiapa.
Tuhan tahu siapa yang buat. 
Ini hari anda (pembuli), esok esok hari mereka (yang dibuli) pula.

Hentikan diskriminasi

Diskriminasi? Apakah? Adakah? Bagaimanakah?
Hmm, lebih kurang macam buli juga.
Anak autisme 'dikecualikan', disisih, dipinggir.
Di sekolah, di rumah, di mana saja, mereka diasingkan.
Macam-macam alasan, terlalu hiper, sukar dikawal, selalu tantrum.
Sebenarnya, mereka harus diberi peluang.  
Tak mahu seribu dalih, kalau mahu sejuta daya. 
Memang sukar, bukan senang. 
Tapi, beri mereka pendedahan. 
Beri mereka peluang.
Selain anak-anak ini belajar 'bercampur' dengan dunia luar, yang bukan autisme pun belajar sama.
Belajar menerima dan menghormati. 
Belajar berkawan dengan semua, tanpa mengira identiti.

Hapuskan prejudis

Memang senang untuk prejudis. Buruk sangka. Sentiasa negatif.
Autisme salah ibu mengandung, salah genetik, salah keturunan. 
Autisme salah ibu ayah mendidik. 
Autisme jelek. Autisme pelik.

Helloooo...Cuba bayangkan kalau anda yang ada autisme?
Bayangkan kalau anda yang dipandang sinis, dijeling tajam dan ditegur dengan garang.
Insan Autisme juga makhluk Tuhan. 
Insan Autisme juga satu kurniaan.
Ia satu ujian. Ia satu cabaran. 
Ia bukan tragedi, bukan malapetaka.
Bukan susah sangat. Redha dan berlapang dada.
Lihat dengan mata hati. Buka minda.
Terima mereka seadanya.  

Kalau tak tahu, belajar dan cari ilmu.
Kalau tak faham, tanya.
Kebanyakan ibubapa anak autisme adalah duta autisme yang terbaik.
Sebarang soalan dan kemusykilan pasti akan dilayan.
Tanyalah mereka dengan berhemah.  
Sapalah mereka dengan ramah.

Kurangkan simpati. Lebihkan empati.

Ok. Macam susah. Tapi senang sebenarnya.
Macam saya kata tadi, bayangkan kalau anda jadi mereka.

Kalau anda speechless dengan mereka, 
senang saja, senyum. Maniskan muka.
Aura anda akan jadi positif.  

Anda panggil, mereka tak pandang, tak hirau, tak kisah.  Sebenarnya, mereka dengar.
Anda bertanya, mereka tak jawab, mereka ulang soalan.
Ada yang anggap mereka kurang ajar, mereka biadab.
Sebenarnya tidak. Mereka kan ada masalah sosial dan komunikasi.
Mereka tak pandai meluahkan, tak pandai mengekspresi.
Cara paling mudah, elakkan bertanya, 
lebihkan memberi komen dan statement
Ayat anda biarlah ringkas dan mudah.  
Sebut biar terang, cakap biar jelas. 
Biar mudah untuk difahami.  
Biar mudah untuk diikuti.

Kalau mereka tantrum dan agresif di depan anda, jangan panik. Jangan cepat melatah.
Cuba cari punca dengan tenang. 
Cuba pujuk mereka dengan aman.
Beri kasih sayang. Beri pelukan. 
Bukan jeritan dan pukulan.

Masalah kecelaruan saraf. Masalah sensori. Masalah perlakuan. Masalah pembelajaran.
Ada spektrum pula. 
Ada mild, ada moderate, ada severe.
Memang sangat kompleks.
Tapi, jangan risau, mereka boleh dilatih. 
Beri mereka masa. Sabar, konsisten, gunakan visual. Itu antara 'kunci'nya.

Oh ya, 
Mereka istimewa. Mereka 'berbeza'.
Tapi asuhan, didikan dan bimbingan tetap sama seperti anak-anak lain.
Jangan dibiarkan jadi 'Maharaja'. 

Diajar berdikari, dibentuk jadi soleh.

Kawan-kawan,
Saya tulis untuk anda, sambil ingatkan diri sendiri juga.
Saya pun masih belajar. 
Selalu juga 'terbabas', kadang-kadang terlupa.

Bersama anak autisme,
Sukar. Mencabar. Tapi tak mustahil. 
Ingat Tuhan, insyAllah BOLEH!




dari google

Apr 3, 2012

April Oh! April

April. Autism Awareness Month.

Bulan Kesedaran Autisme.

So, apa pengisiannya?

Sebarkan pengetahuan tentang Autisme. 
Beritahu keluarga. Beritahu kawan. 
Ceritakan pada semua.

Ambil tahu tentang Autisme. Baca. Risalah. Majalah. Suratkhabar. Internet. Google!

Tonton. Di TV. Di radio. Filem.

Dengar. Dari keluarga. Dari kawan. Dari jiran.
Dari doktor. Dari pakar terapis.

Kenapa sibuk-sibuk nak bagitau dunia?
Supaya individu Autisme difahami.
 Tiada lagi buruk sangka. 
Tiada lagi pandangan negatif.
Hentikan buli. Hentikan diskriminasi. 
Hapuskan prejudis.

Kenapa nak sibuk-sibuk ambil tahu?
Individu Autisme makin ramai. Dikesan sejak usia kanak-kanak. 
Selalunya sekitar dua ke tiga tahun. 
Manalah tahu, tiba-tiba berlaku di kalangan keluarga atau kawan rapat. 
Diagnosis awal sangat membantu. 
Intervensi awal boleh dimulakan segera.  
Umur pra-sekolah paling ideal.

Tak kenal mana-mana individu Autisme. Kena tahu juga ke?
Apa salahnya. 
Anda tambah ilmu, anda dapat pahala.  
It's a small world
Di mana-mana nanti, anda akan 'terserempak' dengan individu Autisme. Ilmu ini sedikit sebanyak akan membantu.  
Sebarkan ilmu.  Sebarkan kasih sayang. Kurangkan simpati. Lebihkan empati.




Tunggu apa lagi?
Peluklah insan Autisme yang terdekat dengan anda. Senyumlah pada mereka. Hargai mereka. Walaupun mereka tidak respon atau membalas, Percayalah, mereka membalasnya di dalam hati. Penghargaan anda akan diingati.

Kalau selama ini ada rasa benci. Buanglah. Tak rugi sayang menyayangi. 
Autisme hanya satu label. 
Ada orang sebut insan istimewa. 
Ada yang panggil OKU. Ada yang kata cacat.  
Saya tak peduli itu semua. 

Different but not less. 
Unik dan berbeza. Tapi bukan kurang upaya. Tidak kurang walau sebesar hama.
Mereka juga ada potensi. Ada bakat. 
Ada kebolehan. Cuma, bagi mereka peluang.
Autisme atau tidak.  Mereka juga manusia. Sedangkan haiwan lagi dibelai dan disayangi. Inikan pula mereka.

Kenali Autisme. Sayangi mereka.
Jom!

Salam Selasa.
Jumpa lagi :-)


*semua visual dari google