Apr 4, 2012

April Oh! April (episod 2)

Bulan Kesedaran Autisma. Bersambung...

Hentikan Buli

Buli? Ada ke budak autisme kena buli? ADA. Banyak kes sebenarnya.
Ada buli fizikal. Ada buli emosi. 
Ada buli psikologi.
Apa pun istilahnya, buli tetap buli.
Kesannya sangat mendalam.  
Yang dibuli rasa sedih, tertekan, rendah diri.

Kenapa dibuli? 
Sebab mereka 'lain' daripada yang lain. 
Sebab mereka nampak lemah, blur dan vulnerable.
Sebab mereka tidak pandai bersosial. 
Tak reti komunikasi.
Sebab mereka non-verbal. Tak boleh bercerita. Tak boleh mengadu.

Yang verbal pun kadang-kadang dibuli juga. Dikutuk, dimaki, dihamun, kononnya biadap, kononnya bodoh, kononnya 'cacat'.

Siapa yang buli? Selalunya rakan sebaya. 
Kadang-kadang, cikgu pun ada. 
Ada juga yang 'dibuli' ibubapa. 
Ada juga di kalangan kaum keluarga.
Saya tak tuding jari pada sesiapa.
Tuhan tahu siapa yang buat. 
Ini hari anda (pembuli), esok esok hari mereka (yang dibuli) pula.

Hentikan diskriminasi

Diskriminasi? Apakah? Adakah? Bagaimanakah?
Hmm, lebih kurang macam buli juga.
Anak autisme 'dikecualikan', disisih, dipinggir.
Di sekolah, di rumah, di mana saja, mereka diasingkan.
Macam-macam alasan, terlalu hiper, sukar dikawal, selalu tantrum.
Sebenarnya, mereka harus diberi peluang.  
Tak mahu seribu dalih, kalau mahu sejuta daya. 
Memang sukar, bukan senang. 
Tapi, beri mereka pendedahan. 
Beri mereka peluang.
Selain anak-anak ini belajar 'bercampur' dengan dunia luar, yang bukan autisme pun belajar sama.
Belajar menerima dan menghormati. 
Belajar berkawan dengan semua, tanpa mengira identiti.

Hapuskan prejudis

Memang senang untuk prejudis. Buruk sangka. Sentiasa negatif.
Autisme salah ibu mengandung, salah genetik, salah keturunan. 
Autisme salah ibu ayah mendidik. 
Autisme jelek. Autisme pelik.

Helloooo...Cuba bayangkan kalau anda yang ada autisme?
Bayangkan kalau anda yang dipandang sinis, dijeling tajam dan ditegur dengan garang.
Insan Autisme juga makhluk Tuhan. 
Insan Autisme juga satu kurniaan.
Ia satu ujian. Ia satu cabaran. 
Ia bukan tragedi, bukan malapetaka.
Bukan susah sangat. Redha dan berlapang dada.
Lihat dengan mata hati. Buka minda.
Terima mereka seadanya.  

Kalau tak tahu, belajar dan cari ilmu.
Kalau tak faham, tanya.
Kebanyakan ibubapa anak autisme adalah duta autisme yang terbaik.
Sebarang soalan dan kemusykilan pasti akan dilayan.
Tanyalah mereka dengan berhemah.  
Sapalah mereka dengan ramah.

Kurangkan simpati. Lebihkan empati.

Ok. Macam susah. Tapi senang sebenarnya.
Macam saya kata tadi, bayangkan kalau anda jadi mereka.

Kalau anda speechless dengan mereka, 
senang saja, senyum. Maniskan muka.
Aura anda akan jadi positif.  

Anda panggil, mereka tak pandang, tak hirau, tak kisah.  Sebenarnya, mereka dengar.
Anda bertanya, mereka tak jawab, mereka ulang soalan.
Ada yang anggap mereka kurang ajar, mereka biadab.
Sebenarnya tidak. Mereka kan ada masalah sosial dan komunikasi.
Mereka tak pandai meluahkan, tak pandai mengekspresi.
Cara paling mudah, elakkan bertanya, 
lebihkan memberi komen dan statement
Ayat anda biarlah ringkas dan mudah.  
Sebut biar terang, cakap biar jelas. 
Biar mudah untuk difahami.  
Biar mudah untuk diikuti.

Kalau mereka tantrum dan agresif di depan anda, jangan panik. Jangan cepat melatah.
Cuba cari punca dengan tenang. 
Cuba pujuk mereka dengan aman.
Beri kasih sayang. Beri pelukan. 
Bukan jeritan dan pukulan.

Masalah kecelaruan saraf. Masalah sensori. Masalah perlakuan. Masalah pembelajaran.
Ada spektrum pula. 
Ada mild, ada moderate, ada severe.
Memang sangat kompleks.
Tapi, jangan risau, mereka boleh dilatih. 
Beri mereka masa. Sabar, konsisten, gunakan visual. Itu antara 'kunci'nya.

Oh ya, 
Mereka istimewa. Mereka 'berbeza'.
Tapi asuhan, didikan dan bimbingan tetap sama seperti anak-anak lain.
Jangan dibiarkan jadi 'Maharaja'. 

Diajar berdikari, dibentuk jadi soleh.

Kawan-kawan,
Saya tulis untuk anda, sambil ingatkan diri sendiri juga.
Saya pun masih belajar. 
Selalu juga 'terbabas', kadang-kadang terlupa.

Bersama anak autisme,
Sukar. Mencabar. Tapi tak mustahil. 
Ingat Tuhan, insyAllah BOLEH!




dari google

4 comments:

smsaroni said...

hari ini Syahmi kena buli di sekolah...sbg ibubapa mmg sedih...tapi nak mengadu pd siapa...guru2 di mainstream mmg x terlatih utk handle anak pendidikan khas......sedangkan guru2 di pendidikan khas dah terlupa pd anak didik yg duduk di mainstream...kdg2 rasa bosan ....sekali jolok baru nak bertindak....kdg2 jenuh nak dijolok.....buat x nampak jer...

syida said...

en samsul, sy tumpang sedih :(
itulah sebabnya kesedaran kena ada. kalau tak, sampai bila2 pun penyakit buli ni tetap ada. grrr...

semoga Allah permudahkan Syahmi, Abil dan semua anak2 di sekolah, di rumah & di mana saja mereka berada. Amin

Maisya said...

I like this entry very much. Padat isinya.

syida said...

Tq maisya :)