Nov 3, 2012

Oh! Betto


Orang kata, malang tak berbau...dan malang akhirnya menimpa Betto petang tadi. Dia dilanggar motosikal, betul-betul di depan mata Kak Dina. Perkara yang paling saya takuti akhirnya berlaku. Kami diuji Tuhan dengan kemalangan Betto hari ini.

"Betto!!!!..........." kuat & sayu jeritan kak Dina petang tadi. Walaupun lepas digilis motosikal bersaiz sederhana yang merempit laju, dia masih mampu berlari ke tepi dan kemudiannya, terus bersembunyi di celah  semak di depan rumah kami. Trauma. Itulah yang saya nampak pada matanya. Itu jugalah yang kak Dina rasakan sehingga ke saat ini. Suaranya mengiau tidak seperti biasa. Sakit. Sudah tentu, sakit!

Perlahan-lahan kami cuba memanggil Betto tapi dia tak boleh bergerak. Memang sakit. Dapat saya bayangkan. Kak Dina sudah teresak-esak. Panik dan terlalu sedih. Dia bercerita bagaimana Betto berguling-guling di celah tayar motosikal sewaktu digilis. Saya tak mampu berkata-kata, sekadar menahan air mata.

Selepas maghrib, kami bergegas membawa Betto ke klinik haiwan (vet). Sebelum itu, kami cuba menghubungi hampir semua klinik yang ada melalui telefon. Bad news, semua tutup.

Saya beritahu suami, Betto mesti dibawa ke klinik malam ini juga. Saya risau kalau kami tunggu hingga esok, semuanya sudah terlambat. Ya, memang tidak kelihatan sebarang luka pada mata kasar. Tapi, luka dalaman hanya Tuhan yang tahu. Daripada keadaan Betto, saya jangkakan sudah pasti ada luka dalaman.

"Doa...doa banyak-banyak. Cuma Allah saja yang boleh selamatkan Betto." saya beritahu Zarif apabila dia bertalu-talu bertanyakan samada Betto ok ataupun tidak.

Allah permudahkan urusan kami mencari vet yang masih beroperasi. Alhamdulillah.

Bagaimanapun, selepas sesi pemeriksaan, doktor memberitahu berita yang menyebabkan airmata kak Dina mengalir lagi. Saya sendiri sebak dan terkedu.

Betto ditahan. Diberikan ubat penahan sakit dan dimasukkan air. Esok, besar kemungkinan Betto akan dibedah untuk dijahit semula bahagian-bahagian yang koyak di bahagian perutnya. Ya, koyak.

Betto hanya seekor kucing. Tapi, dia sudah sebahagian daripada famili kami. Sakit dia, sakitlah kami. Menangis ia, menangislah kami.

Orang yang melanggar Betto memang tidak ada perasaan. Hati batu.

Saya faham ia kemalangan. Mungkin beliau tak sengaja. Tapi kenapa perlu merempit laju di jalan dalam kampung. Kalau bukan Betto yang dilanggar tadi, mungkin anak-anak saya yang jadi mangsanya. #mintakdijauhkan

"Berdosa", bak kata Zarif. "Tak minta maaf pun..."sambungnya lagi.

Saya harap semuanya akan dipermudahkan untuk Betto.

Sudah pasti kami mahu Betto pulih dan kembali sihat seperti dulu. Dia hanya seekor anak kucing, umurnya sekitar 7-8 bulan. Masih anak-anak, masih budak-budak. Melompat, menggigit, memanjat, berlari.

"Selamatkanlah Betto, Ya Allah."


Kawan-kawan,

Samada anda pencinta kucing ataupun tidak, atas dasar perikemanusiaan, 
tolonglah Amin-kan doa saya.

"Makbulkanlah Ya Rabb."

Sekian, terima kasih, :,(




A meow massages the heart. ~Stuart Macmillan



No comments: