Mar 7, 2013

Khamis datang lagi!

Sekejap saja sudah 7 Mac dan Khamis datang lagi. Misi 1 hari 1 blog entri gagal lagi minggu ini nampaknya. Inilah akibatnya bila virus M melanda. sigh

Apa pun, rutin hari Khamis berjalan seperti biasa. Anak-anak dan saya sihat, alhamdulillah.

Kelmarin, saya mengemas rak buku kak Dina dan menyusun koleksi majalah Muslim Teens-nya. Saya pernah sebut tentang majalah Muslim Teens di sini. Baca tentang majalah ini di sini ---> Galeria Buku


Sambil mengemas, sambil menyelak majalah. Memang banyak cerita menarik walaupun target reader-nya ialah golongan remaja. Saya pun 'remaja' juga (remaja expired) haha.


Saya kongsikan cerita tentang Abu Hurairah RA yang saya petik daripada Muslim Teens, keluaran 07.

Alkisahnya, nama sebenar Abu Hurairah ialah Abdul Rahman bin Sakhar al-Dusi Al-Yamani. Siapakah beliau? Abu Hurairah adalah seorang ahli suffah yang selalu berdampingan dengan baginda Nabi s.a.w.

Abu Hurairah selalu menghadiri majlis-majlis ilmu bersama para sahabat. Beliau sangat tekun dan rajin menyebarkan hadis kepada orang ramai. Kalau anda nak tahu, beliau adalah sahabat Nabi s.a.w yang paling banyak meriwayatkan hadis iaitu sejumlah 5374 hadis.

Selain terkenal sebagai perawi hadis, Abu Hurairah terkenal sebagai seorang yang sangat penyayang. Abu Hurairah adalah gelaran yang diberikan oleh Nabi s.a.w kerana kegemaran beliau bermain dengan anak kucing.

Pernah suatu ketika, dalam perjalanan ke Masjid Nabawi, Abu Hurairah melihat seekor anak kucing yang sedang mengiau kerana kehilangan ibunya. Beliau rasa amat kasihan dan tidak sampai hati membiarkan anak kucing tersebut di jalanan. Beliau telah mengambil dan meletaknya di dalam baju besar beliau. Sampai di masjid, baginda Rasulullah s.a.w bertanya apa yang ada di dalam baju beliau. Abu Hurairah menjawab dan mengeluarkan anak kucing tersebut. Dari peristiwa inilah, Nabi s.a.w memberi gelaran 'Abu Hurairah' kepadanya. Maksud gelaran tersebut ialah, 'bapa kucing'.

Beliau amat menyukai gelaran ini kerana ia diberi oleh Rasulullah s.a.w. Abu Hurairah memelihara anak kucing tersebut, memberinya makan, mengendongnya, membersihkan dan memberinya tempat tinggal. Kucing itu selalu mengekori Abu Hurairah seolah-olah ia adalah 'bayang-bayang' beliau.

Begitulah kisah penyayang Abu Hurairah sebagaimana Nabi s.a.w juga bersifat penyayang terhadap haiwan.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud, "Berbuat ihsan pada setiap roh yang masih hidup terdapat ganjarannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah s.a.w lagi, "Seorang wanita memasuki neraka disebabkan seekor kucing yang diikatnya.Dia tidak memberinya makan mahupun membebaskannya untuk makan serangga di tanah." (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Sekian cerita pagi Khamis yang happy, jumpa lagi! :)



dari google

No comments: