Jul 23, 2014

Bersiap sedia

imej google


Tinggal beberapa hari saja lagi....
Ramadhan bakal pergi, Syawal muncul lagi.

Persiapan kami biasa-biasa aje...
Baju raya, yang  masih muat di-recycle semula...yang dah singkat senteng saja berganti baru.
Serba sederhana, tak semestinya serba baru.
Serba lama pun ok, janji kemas dan bersih :)

Tinggal beberapa hari saja lagi...
Jom terus beramal, masih belum Syawal.

Tak sabar nak makan ketupat palas,
Oh kampung, kami datang! (insyaAllah)


Doakan ada rezeki,
Berjumpa Ramadhan lagi..Amiin


*tamat sudah cabaran 2 entri sehari, saya sibuk mengemas rumah dan bersedia untuk balik kampung. (tak sabar!)

**Pesanan khidmat masyarakat: Berhati-hati di jalanraya. Berjimba biar berpada-pada. Jangan lupa #doauntukmh370 #doauntukmh17 #doauntukgaza #doauntuksabah #doauntuksemua #doasenjatamukmin


Jul 20, 2014

Sebelum Syawal



"Dah habis 21hari kita puasa?" kata Zarif.
"Iyeeee..dah masuk hari ke 22, minggu last kita berpuasa insyaAllah. Minggu last adik pergi sekolah sebelum cuti raya..." saya beritahu Zarif.
"Yeayy! cepatnya..." teruja.

Hmmm..tau takpe. Inilah budaknya yang sering merungut di hari-hari awal Ramadhan, betapa lambatnya masa berjalan. "Lamanya lagi nak puasa..."dia mengeluh setiap kali tengok carta Ramadhannya di dinding. Saban hari, Abil dan Zarif menanda sendiri di checklist. Sumber motivasi. Selepas tiga helaian selesai di'tanda', perasaan 'lemau' (pada minggu-minggu awal Ramadhan) beransur-ansur hilang.

Menyemai perasaan cintakan Ramadhan bukan proses singkat. Saya faham perasaan anak-anak. Ibadah puasa adalah satu cabaran yang bukan sedikit. Yang dewasa dan 'gagah perkasa' pun ramai yang tewas, alhamdulillah anak-anak diberi kekuatan dan kesihatan setakat ini.  Mengeluh tetap mengeluh, tapi tak pernah pula dia minta 'ponteng' atau cuti puasa sesuka hati.

Sedangkan saya kecik-kecik dulu pun, ada juga 'curi-curi' minum air dari water cooler di sekolah, kemudian sambung 'berpuasa' di rumah. hehe (pecah rahsia) Adatlah tu kalau mereka rasa 'berat' berpuasa. Penghayatan dan rasa seronok berpuasa akan 'lahir' juga dalam hati mereka, when the time comes, insyaAllah.




imej google


Lagu raya dan bunyi mercun sudah kedengaran seawal minggu pertama berpuasa.
Sabar, belum Syawal lagi.
Jom 'kejar' hari-hari terakhir Ramadhan.
Moga ini bukan Ramadhan terakhir.
Amiin Ya Rabb

Jul 19, 2014

Belajar Erti Malu

kongsi dari facebook



Melihat poster ini di facebook, saya tersenyum sendiri.  Well, anak autisme saya, masih belum faham erti malu sepenuhnya walaupun dah berumur 11 tahun.  I hope he will eventually understand the meaning of 'malu'. Sangat penting dan kritikal untuk seorang manusia, apatah lagi seorang muslim, mempunyai sifat malu.

Kalau anda datang ke rumah saya, insyAllah anda tidaklah akan terserempak dengan Abil dalam keadaannya tanpa seurat benang, kecuali kalau dia baru keluar dari tandas, kadang-kadang dia akan terus menjengah ke luar bilik sebelum seluarnya disarungkan.  Pernah juga ada insiden dimana sebaik saja kami sampai ke rumah (pulang dari sekolahnya), buka saja pintu kereta, dia sudah mula mahu buka seluar dan baju. Tak sabar-sabar nak 'kejar' rutinnya untuk mandi sebaik saja masuk rumah. Masalahnya, dia masih di luar rumah dan saya masih terkial-kial nak buka pintu. Terjerit-jerit saya suruh dia bersabar dan tunggu masuk ke bilik.  Ya, dia belum mumayyiz dan belum faham erti malu.  Masih perlu orang di sekeliling untuk ingatkan dan arahkan supaya dia menutup auratnya di depan orang ramai.

Setakat ini, belum pernah dia berbogel di luar bilik. Tapi, memang setiap kali sebelum dan selepas mandi, perlu ada yang memantau.  Jangan sampai dia terlepas keluar sebelum siap berbaju lengkap.  Mungkin kena ada arahan atau 'amaran' secara visual (poster, gambar, memo ringkas) yang ditampal di dalam tandas dan bilik.  Yes, maybe I should try this. Social story pun saya belum buat lagi dengan Abil berkenaan 'malu'.  

'Malu' bukan suatu objek. Susah nak jelaskan.  Tapi kena cuba juga.huhu

Ramadhan masih berbaki kurang dari 10hari lagi. Baca tentang malam Lailatul Qadar di sini ---> Info Berguna Berkenaan Malam Al-Qadar


Salam 21 Ramadhan :)


Jul 18, 2014

Cerita Sahur

Jam 5 pagi tadi, seperti biasa, saya kejutkan anak-anak bangun untuk bersahur. Selepas beberapa minit sesi menggeliat sana sini, stretching sana sini, menguap sekali dua, cubaan tarik selimut semula berkali-kali, akhirnya Zarif dan Abil bangkit juga. Mereka ke tandas dan terus bersedia untuk ke dapur.

Sebelum keluar dari bilik tidur, saya terus off-kan lampu.  Sambil mengekor di belakang saya, sempat Abil tekan on semula.  "Kita nak pergi dapur, padamlah lampu, membazir...."saya cuba beritahu Abil. Saya off-kan semula, dan dia dengan segera on-kan kembali. Hadoila...Abil masih belum boleh tolerate dengan perubahan sesetengah perkara rutin, walaupun hanya lampu bilik tidur.

Memang selalunya lampu bilik dibiar menyala waktu kami bersahur, samada saya terlupa off-kan (gara-gara nak cepat) atau memang sengaja dibiarkan on. Jadi, bila sesekali teringat nak padamkan suis lampu, Abil tak boleh terima. Lampu mesti on! haishh..

Bila dia sudah mula merengek marah (angin moody sepoi-sepoi bahasa dah mula), saya pun biarkan sajalah lampu bilik menyala. Malas nak bertekak pagi-pagi, nanti hilang mood dan keberkatan bersahur.  Small matter aje pun.  Saya terus beredar, tapi Abil terus merengus marah-marah sehinggalah dia duduk di meja makan. Suara tuk ayah-nya yang bertalu-talu bertanya tak membantu meredakan keadaan.  Bagaimanapun, saya terus diam dan malas nak layan karenahnya. Selepas beberapa minit, akhirnya Abil tenang semula. Mujur angin moody sepoi-sepoi bahasa tak bertukar jadi angin moody ribut taufan. Alhamdulillah..

Bangun pagi-pagi dengan 'muka ketat' dan stres sebab mengantuk, itu perkara biasa. Anak-anak yang tipikal pun selalu juga 'buat perangai' begini. Ubatnya, abaikan aje. Untuk Abil, dia tidak bermasalah bangun awal pagi..bila dikejut, dia biasanya mudah untuk bangkit dan buat apa yang patut. Jarang dia moody.  Tapi sesekali, benda-benda kecil beginilah yang selalu 'bikin spoil' moodnya.  Disebabkan keupayaan verbalnya terhad, jalan mudah untuk protes ialah merengus, merengek dan menangis.  Ubatnya, abaikan juga dan diamkan saja selagi dia tak buat sebarang perkara yang menyakitkan dirinya atau orang lain.  Kalau keadaan sudah mula melarat, kena cepat-cepat peluk dia ketat-ketat dan bawa dia beredar ke tempat lain buat sementara waktu.

Sesekali diuji begini, insyaAllah tak ada masalah.  Janganlah selalu, takut nanti 'naik hantu', nauzubillah..

Lebih kurang 9-10hari lagi untuk bangur sahur dan berpuasa. Semoga Allah mudahkan..


gambar google


Sekian kisah sahur. Sahur yang suram. 
#doauntukmh17 #doauntukgaza


Jumaat 20 Ramadhan

imej google

Assalamualaikum

#doauntukmh17
#doauntukmh370
#doauntukgaza
#doauntuksyria
#doauntuksemua


*jom al-Kahfi*


Jul 17, 2014

Sembang-sembang tentang Gaza



Tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan perasaan saya setiap kali melihat visual-visual dan video kekejaman zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang dikongsikan di facebook dan instagram. 

Beyond SADNESS. Sangat sangat sangat sangat SEDIH ;'(

Kecuali beberapa imej yang saya repost di Instagram, saya jarang berkongsi atau memberi komen terhadap isu ini.  Bagaimanapun, 'berdiam diri' tidak bermakna saya tidak peka. 'Senyap' bukan bermaksud saya tidak prihatin dan tidak memainkan peranan. Setiap perkembangan tentang Palestin saya ikuti dan selami. Sebak. Sayu. Marah.

Cerita-cerita, visual dan video tentang Gaza, Palestin dan Israel juga saya kongsikan dengan anak-anak. Zarif terutamanya, sangat mengambil tahu dan selalu bertanya. Bukan susah pun untuk seorang kanak-kanak faham tentang huru-hara yang sedang berlaku.. bahkan mereka sebenarnya lebih terang hati dan telus melihat situasi yang sedang berlaku di Gaza.

Kesengsaraan rakyat Palestin bukan perkara baru. Namun, kali ini saya rasa sangat terkesan dengan apa yang sedang berlaku.  Bahkan, kali ini saya rasa sangat terpanggil untuk berkongsi dengan anak-anak. Sebelum ini, mood boikot Israel pun bermusim, anak-anak juga tidak didedahkan dengan cerita-cerita tentang Gaza secara terperinci.  Kali ini, semuanya berbeza.  Gaza oh! Gaza...

----------------------------------------------------------------------------

Satu hari, waktu tengahari, lokasi; hipermarket

Saya: "Adik, kita beli aiskrim Wall's ni lah, nak vanilla ke, neopolitan?"
Zarif: "Yang belang-belang tu lah, neopolitan..." (sambil tunjuk ke kotak aiskrim).
Zarif: "Ma, yang sebelum ni, kita beli aiskrim Nestle kan? Nestle tak boleh beli kan? Kena boikot kan?"
Saya: "Aa ah...yang dah habis kt rumah tu Nestle, Israel punya. Tak boleh beli..." (sambil mata melilau tengok aiskrim Nestle). Kemudian, saya membelek tanda harga aiskrim Nestle, tiba-tiba terdetik...

Saya: "Hmmm...Nestle murah sikit ni. Jimat hampir 2 ringgit berbanding Wall's" (saya berbisik dalam hati).

Melihat saya diam membelek-belek aiskrim Nestle di sebelah tangan sambil sebelah tangan lagi memegang aiskrim Wall's, Zarif terus menegur...

Zarif: "Ma! Beli Wall's, jangan beli Nestle. Nestle jahat!"
Saya: "Ooo..ok..ok!" tersentak saya dengan suara Zarif. Kemudian, malu sendiri. Saya yang lebih dewasa hampir-hampir kalah dengan tawaran harga lebih jimat Nestle dan anak saya yang baru berumur 8 tahun, lebih tegas pendiriannya. Alhamdulillah..

-----------------------------------------------------------------------------------

Satu hari, pagi (selepas sahur), lokasi; rumah.

Saya nampak Zarif duduk termenung dengan muka sedihnya, airmata bergenang...

Saya:"Ni kenapa menangis pulak ni? Kenapa sedih?"
Zarif: "Game adik...Dragon story, dah tak sama macam dulu. Abang dah tukar-tukar. Dragon adik semua dah kena jual." (dengan suara yang perlahan.)

Saya: "Alaa..game aje pun. Tak luak apa pun. Dah tak payah menangis."
Zarif: (Diam. Masih sedih.)
Saya: "Adik tau tak, budak-budak dekat Palestin sana, dorang menangis sebab dorang cedera kena pukul..kena bom,  mak ayah dah meninggal dunia, rumah dorang hancur kena bom....kat sini, adik menangis sebab game..malu tak?"
Zarif: (Pandang muka saya dan menjawab dengan suara yang sangat perlahan) "Maluu.."

Saya terus minta dia kesat air mata dan bersiap untuk ke sekolah.

-----------------------------------------------------------------------------------

Di satu malam, lokasi; rumah.

Zarif: "Ma tak tido lagi? Ma buat apa tu?"
Saya: "Tak buat apa..tengah ber-sms dengan kakak. Kejap lagi nak tidur dah..."
Zarif: "Ma dah bagitau kakak pasal Gaza? Ma dah suruh kakak doa?"
Saya:"Dah..dah...mak dah pesan dah..." (sambil tersenyum)

----------------------------------------------------------------------------------

Di satu petang, lokasi; rumah.

Zarif: "Ma, adik laparrrr...hausss...tak tahannn.." (dengan muka seposen)
Saya: "Kalau panas, pergi mandi, baring..bukak aircond sekejap. Kejap je lagi...adik kuat.
Zarif: "Tak tahannnn...nak buka..."
Saya: "Ingat kat bebudak gaza dik, dorang lagi kesian...berhari-hari tak makan, tak minum. Bom sana-sini..cuba adik bayangkan..." (dan saya tinggalkan Zarif sendirian untuk berfikir)

---------------------------------------------------------------------------

Bak kata Dr Harlina Halizah Siraj, SILENCE IS NOT AN OPTION!


Jom sebarkan kesedaran, 
beritahu ahli keluarga, cerita pada anak-anak,
bermula dengan diri sendiri (muhasabah)



Gaza, Allah bersamamu :'(


**semua imej dari google


Menunggu Waktu Berbuka (episod 2)



Beberapa hari yang lepas, oleh kerana terlalu lapar dan dahaga, Zarif 'lepak-lepak' di dapur sementara saya dan suami siapkan juadah berbuka puasa. Dengan muka lemau lagi lesu, dia mengeluh, " Lamanya lagi nak bukaaaa..."

"Tak lama dah, lagi 5 minit je..." saya jawab.

Beberapa minit kemudian, "Lamanya 5 minit, macam 3000 minit!" Zarif mengeluh lagi. hahahahahaha (saya gelak besar dalam hati).

"Allah, tunggu ajelah..dah boleh tahan berjam-jam, tinggal berapa minit pun tak boleh sabar ke? Baik adik doa banyak-banyak dalam hati.." saya beritahu Zarif.

"Nak mintak apa Ma? Nak doa apa?" dia tanya.

"Mintak la apa-apa yang adik nak..." saya minta dia fikir sendiri.

"Haaa..adik tau, adik nak doakan abang 'sembuh' dari autism!" Zarif jawab, teruja.

**Ya Allah, jadikan kesemua anak-anakku di kalangan yang soleh dan solehah. Amin :))

Jangan lupa, #doauntukgaza 



dari google





Jul 16, 2014

Hmmmm...


imej google


imej google

Waktu tengahari, lokasi; sekolah. 


Zarif berpeluh-peluh sakan, muka merah padam kepanasan sewaktu saya sampai untuk mengambilnya pulang ke rumah.  Memang itu rutinnya setiap hari, sementara tunggu saya tiba, dia akan bermain-main dulu dengan kawan-kawan. Kalau saya sampai lewat 15 minit, 15 minit itulah dia berlari ke sana sini. Kalau saya tiba lewat 30min, selama itu jugalah dia berkejar-kejar dengan kawan-kawannya.  Bagus, sihat. Tapi di bulan Ramadhan, faham-faham ajelah apa yang berlaku selepas episod bersukaria tu..Hmmm...

Saya: "Apasal berpeluh-peluh sangat ni? kan Ma dah pesan, adik puasa, jangan main lari-lari, nanti hausss...."
Zarif: "Alaaa...kawan ajak main, adik main laa...boring kalau tak main.."
Saya: "La...buat la homework ke, apa ke? Duduk je, rehat. Kalau penat berlari, haus..bukannya boleh minum. Awak tu puasa."
Zarif: "Alaaa...mak ni....adik penat, hausss...nak air!"
Saya: "Bukalah kalau nak. Ma tak rugi apa-apa.."
Zarif: "Alaaaaa mak ni...." (dia teruskan puasa, tak sanggup berbuka)
Saya: "Balik rumah nanti terus mandi!. Esok-esok lari lagi 4-5 round, sampai penat." (menyindir)

Esoknya,

Zarif berpeluh-peluh lagi. Lebih penat,letih dan 'pancit' dari hari sebelumnya...Hmmmm...

Zarif: "Maaaa, nak minum.haussss...adik penat."
Saya: "Haa..tanggung sendiri. Mak dah cakap, jangan main sakan sangat."
Zarif: "Semalam Ma yang suruh adik lari 4-5 round, adik pun larilahhh!"

Hmmmmm...(kali ni siapa sindir siapa? huhuhu)

Tidak memahami bahasa kiasan/sindiran adalah salah satu ciri-ciri individu autisme. Oleh sebab itu, bila berinteraksi dengan mereka, kita perlu menggunakan bahasa-bahasa yang ringkas, tidak terlalu meleret-leret, mudah difahami dan paling penting, straight to the point. Ingat, individu autisme berdepan dengan masalah komunikasi dan interaksi sosial. Mereka tidak faham bahasa tubuh (body language) dan memek muka (facial expression).

Anak saya, Zarif, bukan individu autisme.  Saja-saja nak sindir mak semula (pulang paku buah keras) atau lurus bendul sangat ni? Hmmmm :p


18 Days Ramadhan and counting...

Kongsi Menu Berbuka



Ini menu berbuka kami, 15 Ramadhan yang lepas.
Nasi minyak & Ayam panggang sedap
(hasil gotong royong di dapur bersama suami)

Alhamdulillah.

Nak tahu resepi?
Klik sini : Nasi minyak ABC dan Ayam Panggang Resepi Tradisi


Lebih kurang dua minggu lagi sebelum Syawal, 
apa lagi menu berbuka yang super sempoi tapi lazat? 

Anda ada idea/cadangan? Meh la kongsi :)



imej google


Jul 15, 2014

Suka Tembikai?


imej google

Buah tembikai. Sedapp!
Kami sekeluarga suka makan tembikai, lebih-lebih lagi yang seedless, ngapp terus :)


Teringat masa saya kecik-kecik dulu, mak saya selalu buat cocktail buah tembikai dan betik. Kedua-dua buah ni dipotong dadu, kemudian disimpan dalam fridge. Dimakan sejuk-sejuk. Oh Nikmat!

Khasiat buah tembikai; kaya vitamin C (baik untuk mata dan kulit), mengandungi banyak air, bagus untuk melawaskan sistem penghadaman, boleh mengelakkan sembelit, membersihkan dan mewangikan mulut dan memutihkan gigi.

Sepanjang Ramadhan, kami kerap makan buah sebagai dessert.  Abil tak gemar kuih-muih, jadi semua pakat-pakat 'layan' selera Abil. Selalunya, memang buah tembikai la jadi pilihan.

Oh ya, Nabi s.a.w pun makan buah tembikai tau (sumber: buku Kenali Rasul Kita Muhammad saw, Imam At-Tirmizi, huraian Ahmad Adnan Fadzil).


Daripada Aisyah r.ha., ia berkata (yang bermaksud): Rasulullah saw makan tembikai dengan kurma muda, lalu Baginda bersabda: "Kita mengurangkan kepanasan (iaitu kurma muda) dengan sejuknya ini (iaitu tembikai). Dan sejuknya ini dengan panasnya ini." (Riwayat Abu Daud, no3838)



Anda suka tembikai?



Bila Abil mengaji

dari google

Surah Al-Kautsar

Ayat yang ringkas, mudah dibaca dan dihafal tapi BANYAK kelebihannya.

Ada apa dengan surah al-kautsar?
Kelmarin, di dalam kereta, Abil membaca ayat 3 dari surah ini, berulang-ulang kali.
Bila kami pandang & tanya, "Abil suka surah al-kautsar ke?" Dia senyum.

Setakat ini, kami mengajar Abil beberapa surah dari Juzuk Amma.
Sehingga ke hari ini, dia sudah boleh menghafal dan membaca hampir 10 surah.
Kami mulakan dengan surah-surah yang pendek dan mudah dahulu.

Oleh kerana dia sekadar kenal huruf Jawi dan masih belum 'khatam' Iqra',
kami gunakan teknik Talqin.
Kami baca, dia tiru bacaan. Salah sebutan, dimaafkan buat sementara waktu.

Setiap kali berjaya menghafaz, kami gunakan teknik Tasmik pula.
Dia baca, kami betulkan mana-mana bacaan yang salah.

Alhamdulillah, semakin hari, Abil semakin terang hati.
Kalau di peringkat permulaan, 
dia mengambil masa beberapa minggu untuk menghafal 1 surah.

Sekarang, dalam masa beberapa hari, dia sudah boleh hafal dan baca dengan agak baik.
Cuma, setiap kali membaca, suaranya perlahan.
(kalau telinga yang dah lama tak 'servis', memang susah nak dengar haha)
Kemudian, dia membaca macam dikejar hantu ;p
Terpaksalah kami ajar pula supaya dia memperlahankan bacaan 
dan baca dengan suara yang lebih kuat.
(in progress, insyaAllah)

Sudah 2-3 minggu, kami belum mengajarnya sebarang surah baru.
Tapi, setiap hari dia akan diminta membaca surah-surah yang sudah dihafal. Kalau tak, nanti lupa semua.

"Ma, kita ajar abang surah Al-Ma'un pulak lah.." kata Zarif, teruja.
Ya, seronok tengok bila Abil pandai baca surah, rasa macam dapat duit. hehehehe
Ok, surah Al-Ma'un next...insyaAllah :)




Info: Imam Syafi'e mula menghafaz al-Quran sewaktu berumur 9 tahun dan hafaz 30 juzuk al-Quran dengan mudah.  Sejak itu, beliau dapat membaca al-Quran dengan lancarnya. Pernah suatu ketika, iaitu dalam perjalanan dari kota Makkah ke Madinah yang memakan masa 8 hari, beliau sempat mengkhatamkan al-Quran sebanyak 16 kali.


Salam Nuzul Quran


Jul 14, 2014

S.a.b.a.r

Streamyx di rumah saya sangat sangat sangat mencabar kesabaran saya 
sejak seminggu yang lepas.

Sekejap ok. Sekejap tak ok.
Yang pastinya, bila ok, ia lambat.macam.siput!

pinjam dari google


Saya tak tahu berapa lama lagi saya boleh bertahan untuk menyahut cabaran ini.
Dua blog entri sehari.
Tapi kalau hari-hari streamyx 'berjalan' macam cik siput, yang sekejap ada, sekejap takde, 
hoho memang susah.

Idea pun dah makin 'kering' ni. haha
Rabbi Yassir wa la tua'ssir.

**Apalah sangat ujian bersabar dengan cik streamyx siput ni berbanding mereka yang sedang bertaruh nyawa di Gaza, kan? #doauntukgaza




Belajar 3 digit

2014, Abil sudah 11 tahun. Oh! banyaknya yang saya perlu 'kejar' bab akademiknya. Sangat banyak!

Abil sudah ada asas membaca, mengira dan menulis. Asas yang agak kuat dan baik, cuma perlu selalu di-polish untuk terus maju dan maju. Masalahnya, usaha maknya ni bermusim.

Anak-anak tipikal yang tiada masalah pembelajaran, boleh dilepaskan belajar sendiri dan hanya perlukan pemantauan minima saja. Belajar dengan cikgu di sekolah sudah memadai dan mereka boleh berdikari membuat latihan sendiri dan belajar dengan cepat, insyaAllah.

Anak autisme seperti Abil, perlukan kaedah pembelajaran yang unik dan sistematik. Sebaiknya, cara mereka belajar banyak menggunakan alat-alat bantu mengajar (ABM). Kalau dapat peralatan yang ala-ala kaedah montessori tu, memang terbaikkk.

Apa pun, tak ada rotan, akar pun berguna. So, saya gunakan saja apa yang ada dan mana yang sempat untuk sesi belajar kami. (Jangan tiru saya, sila jadi ibu yang rajin.huhu)

Ok.Belajar nombor. Abil ada asas pengiraan tambah, tapi belum tahap 'master', masih seorang 'beginner'. Dia kenal nombor 1-100, tak ada masalah insyaAllah. Cuma, bila disuruh sebut nombor satu persatu (mengira), masih belum cekap. Kalau membaca dan menulis nombor, sangat ok.

Anyway, saya sekarang mahu dia teruskan dengan nombor-nombor tiga digit. Kalau boleh, tahun ini, saya mahu dia kenal nombor 1-1000. 




Oleh kerana Abil suka painting, saya beri latihan painting sambil mengira.
Senang je ni. Dia boleh buat sendiri. *thumbs up*




Kadang-kadang, saya suruh dia matching warna dengan nombor. Dia senang keliru. So, saya saja uji dia dengan nombor-nombor yang dihujungnya mempunyai angka yang sama.



Kadang-kadang, saya bagi dia latihan simple macam ni saja. 
Dia suka guna krayon, warnanya terang.
Buat masa sekarang, dia masih belajar mengenal 100-300. 
Macam saya katakan tadi, latihan bertulis dan membaca nombor, dia ok. Lulus.
Tapi kalau disuruh sebut nombor secara lisan, masih belum cekap.


It's ok.
Kita belajar lagi dan lagi, ye Abil :)



imej google




Jul 13, 2014

Bila dah besar nanti...

"Adik nak jadi librarian!" tiba-tiba Zarif beritahu saya sebelum kami tidur beberapa malam yang lepas.

"Oh ye? Baguslah kalau nak jadi librarian. Boleh jumpa buku hari-hari. haha..."

Jumpa, tengok, pegang dan 'cium' bau buku adalah satu nikmat tau..tak percaya tanya semua ulat buku dan pembaca tegar di sekeliling anda. hehe

Sembang-sembang mengenai "dah besar nanti nak jadi apa..." agak biasa di kalangan saya dan anak-anak, terutamanya Zarif. Boleh dikatakan, setiap kali dia membaca dan 'terserempak' dengan mana-mana watak pekerjaan, dia akan bertanya dan bertanya..sampai dia faham. Selalunya, mesti akan ada soalan 'wajib' ini;

"Kalau jadi ........, boleh kaya ke Ma?"
"Kalau kerja..........., banyak duit tak Ma?"

Hahahahahaha anak oh! anak ;p

Tapi takpe, at least dia tahu dan faham kepentingan dan keperluan duit dalam kehidupan. Cuma, harap-harapnya janganlah duit yang jadi keutamaan dalam hidup. Memang jenuh juga nak berpesan dan bagi dia faham tentang ini.

"Kakak nak jadi vet!" saya masih ingat lagi skrip kak Dina kalau bab ini yang kami sembang-sembangkan. Berbeza dengan Zarif yang masih 'terpinga-pinga' dan dalam proses discovery tentang potensi dan bakat dirinya, kak Dina nampaknya sudah cekal hati nak jadi doktor haiwan. Itu yang selalu dia laung-laungkan dua tiga tahun kebelakangan ni.  Baguslah, jadi doktor haiwan pun satu pekerjaan yang mulia.  Tolong haiwan, makhluk Tuhan.  Setiap kali kami bawa kucing-kucing ke vet, setiap kali itulah dia akan kata, "Eiiiii best-nya jadi vet, tak sabar!" hahaha memang dia sangat 'geram' dan excited gituuu.

Kalau anda nak tahu, antara cita-cita Zarif sebelum ini ialah; zoologist dan scientist. (pengaruh baca komik sains dan haiwan). Sebelum ini juga, dia pernah kata; "Adik nak jadi macam ayah!" hahaha bagus betul anakku, memang dia anggap ayahnya seorang 'hero'. Alhamdulillah

Well, perjalanan anak-anak masih jauh. Buat masa sekarang, biarlah mereka dengan angan-angan dan cita-cita mereka. Mana yang baik, saya layankan dan saya sokong.  Cita-cita asyik bertukar-tukar? tak apa...biasalah tu. Semuanya bermula dengan angan-angan dulu. Lagipun, kita merancang, biar Allah tentukan. Sebagai ibu, kita doakan yang baik-baik aje, kan?

Abil? Oh ya, anak saya yang sorang ni paling saya risaukan.  Ya, dia autisme. Tapi tak mustahil untuk dia dilatih dan diajar untuk menjadi 'someone'. Kanak-kanak autisme biasanya mempunyai kecenderungan dan potensi dalam sesuatu bidang, kalau ia-nya dikembangkan dan diasah, tak mustahil mereka boleh jadi pakar dalam bidang tersebut.  Masalahnya, buat masa sekarang, saya masih belum 'nampak' apa, dimana dan kemana kekuatan dan minat Abil.

"Abang boleh jadi gimnas!" Zarif jadi jurucakap bila tengok abangnya pandai buat aksi-aksi akrobatik di rumah.  Ya, betul. Saya setuju juga tapi setakat ini, belum nampak ruang dan peluang untuk anak autisme sepertinya dilatih di sini. Kalau saya berduit, memang boleh sangat carikan dia seorang jurulatih profesional *berangan*.

Abil boleh belajar dan diajar, tapi dengan kaedah-kaedah tertentu yang bersesuaian dengan karakter dan keupayaannya. Buat masa ini, kami masih mencari-cari potensi Abil.  Mudah-mudahan ada rezeki untuk Abil, sebagaimana anak-anak yang lain. Amiin!


Dulu-dulu, apa cita-cita anda? :)

gambar google


imej google



Sudah Ok :)


dari google


Hari ni, anak-anak dah kembali ke sekolah. Alhamdulillah.

Mata masing-masing dah tak merah lagi.  Bengkak pun dah hilang. Semua sudah sihat. Syukur.

Lima hari Abil tak ke sekolah minggu lepas.  Zarif pula, empat hari.  Dah macam cuti sekolah, seminggu di rumah. Tapi kena 'perintah berkurung'. Tak keluar rumah langsung. Bosan juga. Kelmarin dan semalam, barulah kami keluar, jengah kakak di asrama.

"Tak berjangkit kat orang lain ke Ma?..Takpe ke pergi sekolah ni Ma?.." Zarif tanya bertalu-talu.
"Ehhhh...insyaAllah tak ada apa. Tak payah risau la berjangkit ke, apa ke. Mata adik dah ok tu.." saya cuba tenangkan Zarif.

"Takkan nak cuti lagi kottt?" hehehehehe

Zarif diam. "Taklahh, adik dah lama tak jumpa kawan-kawan adik..."
"Pergi jelah, kalau berjangkit jugak, nak buat macamana, dah memang Allah nak bagi sakit.."

So, semalam, saya suruh anak-anak kemas beg, baju sekolah yang dah siap bergosok minggu lepas pun dah lama ready. No more tidur berjemaah lepas sahur/subuh hehe. Alaahh, lebih kurang dua minggu je lagi pun sebelum cuti raya pulak, kann?

Harap semua terus sihat walafiat. Amiin..



Jul 12, 2014

Sakit Kepala?


gambar google


"Ma...adik sakit kepala..."
"Ok...ok..sabar ye..pergi baring. Kejap je lagi nak berbuka. Ma pun sakit kepala ni.."

Saya dan Zarif saling mengadu tentang sakit kepada semalam. Zarif memang sudah 2-3 hari sakit kepala di waktu siang. Selepas berbuka dan menjelang isya', biasanya sakit kepalanya beransur-ansur hilang.

Saya pula baru merasa sakit kepala semalam. Bukan setakat sakit kepala, perut pun terasa lapar luar biasa dan sedikit pedih. Alhamdulillah berjaya juga bertahan sehingga berbuka.

Sakit kepala ketika berpuasa adalah simptom biasa. Kenapa?

  • kurang air dalam badan
  • kurang gula dalam badan (hypoglycaemia)
  • ketagihan kafein
  • kurang tidur atau tidur berlebihan

Bagaimana cara mengatasi sakit kepala ketika berpuasa?
  • Minum air secukupnya ketika bersahur, berbuka, sebelum dan selepas solat terawih (seeloknya, dua gelas air kosong setiap kali)
  • Elakkan makanan terlalu manis ketika bersahur. Ini akan menyebabkan kadar kepekatan gula dalam badan naik mendadak, insulin akan keluar dengan banyak untuk menurunkan kadar kepekatan gula. Selepas beberapa jam, akibat terlalu banyak insulin dikeluarkan, tubuh akan mengalami kekurangan gula dan seterusnya menyebabkan sakit kepala.
  • Kurangkan minuman berkafein beberapa minggu sebelum bermulanya Ramadhan. Jika tidak, anda boleh cuba ambil sedikit kafein ketika bersahur dan berbuka.
  • Makan makanan berserat tinggi seperti kurma, labu dan oat.
  • Tidur dan rehat secukupnya.
     
(sumber: Dr Zubaidi.com)

Bila kepala sakit, memang rasa tak selesa nak buat apa-apa. Berdenyut-denyut. Harap-harap lepas ni tak sakit kepala lagi, kena ikut tips yang dicadangkan oleh Dr Zubaidi, insyaAllah.

Sekian sharing untuk petang ini. Take care!


Kenapa Marah?


imej google

Marah. Menyinga. Menjerit. Memekik. Membebel ...dan yang seangkatan dengannya. Sangat sinonim dengan anda? Unfortunately, yes (untuk saya). Ada masanya, graf marah turun naik mencanak-canak. Ada masanya, graf marah rendah mendatar (alhamdulillah, tapi yang ini paling susah nak maintain).

Di bulan puasa ni, rasanya masih belum ada insiden menyinga atau marah.  Mungkin faktor sakit mata membantu (nak marah pun tak larat). Syukur juga karenah anak-anak agak baik. Belum ada yang betul-betul menduga kesabaran setakat ini.  So far, so good. Alhamdulillah.

Masa anak-anak semua kecik- kecik berderet dulu, memang selalu juga saya ber-mode 'ibu tiri'. Allah, huduhnya rupa (menyesal tak sudah, kalau diingat-ingat semula). Bila anak-anak semakin membesar, mood saya bertambah baik, tahap stres juga semakin terkawal tapi masih ada insiden-insiden dan karenah anak-anak yang menyebabkan saya menyinga. Astaghfirullah...

Marah adalah sifat semulajadi, betul tak? Tapi kita kena kawal dan latih supaya ia tidak menguasai diri kita. Manusia kalau dah MARAH, macam-macam benda di luar dugaan boleh berlaku kan? Nauzubillah.

MARAH dan TIDAK sabar. (sayalah tu *nanges*)

So, macamana nak kawal kemarahan pada anak-anak? Selain beristighfar, duduk, beredar, wudhu' dan baca tiga surah Qul serta ayat kursi, saya terjumpa tips menarik dari seorang blogger. Meh saya kongsikan..



gambar google

Tips yang dicadangkan ialah:
  • Gunting beberapa kertas berbentuk heart/love. Digalakkan memilih kertas warna (berdasarkan warna kegemaran anak-anak)
  • Tampalkan atau letakkan kertas-kertas love ini di tempat-tempat yang mana 'drama' selalu berlaku, seperti di bilik tidur anak, bilik tidur anda,  pintu masuk, meja makan, di dalam kereta, boleh juga simpan satu di dalam poket atau handbag.
Lebih baik lagi anda boleh tuliskan kata-kata motivasi pada kertas tersebut, supaya bila anda 'naik angin' dan terlihat kertas ini, hopefully ia boleh menurunkan kadar kemarahan anda atau paling kurang pun, membantu anda berdiam diri dan mengelak dari terus menyinga dan menjerit marah.Kalau suruh anak tulis 'I love u' atau 'Sayang Ummi/Ibu/Mama/Mak' kat situ, lagi bagus kot ek?


Baca lebih lanjut, di sini ---> HOW TO STOP YELLING AT KIDS


Well, saya rasa ia idea yang bagus untuk dicuba.  Cuma kena rajin bab nak menggunting dan menampal kertas love tu. Selebihnya, tingkatkan iman dan kekuatan diri. Kalau tak, apa pun tak boleh haha


Nabi s.a.w bersabda, 
" Muliakan anak-anak kamu dan tunjukkanlah pada mereka adab yang baik." 
(Riwayat Ibn Majah)


Salam 14 Ramadhan :)





Jul 11, 2014

Suka Teh O?

ihsan google

Teh O. Minuman Kegemaran Abil.
Teh O panas. Teh O suam. Teh O ais.
Semua dia suka :)


Bagaimanapun, sepanjang bulan Ramadhan ni, Abil 'berpuasa' teh O. Katanya, minuman berkafein tak digalakkan untuk diminum semasa berbuka atau bersahur. Kalau nak minum juga, minumlah sejam dua selepas berbuka (paling ideal, minum teh O panas semasa sesi moreh, fuhh sedapp).

Kenapa tak elok minum teh O (atau minuman berkafein) untuk sahur dan berbuka? Katanya, kafein boleh menyebabkan kita kerap membuang air kecil, sekaligus mengurangkan cecair dalam badan dan boleh mengakibatkan dehidrasi.

Jadi saya ambil keputusan, No Teh O for Abil sepanjang berpuasa, insyAllah. So apa Abil minum? Air kegemarannya tak banyak. Selain teh O, dia juga minum Milo, soya dan sirap. Sesekali, dia minum jus tembikai (ikut mood dia). That's it. Itu je yang dia suka minum. Fresh orange, sirap bandung, air laici, jus kurma, susu? Semua dia TAK NAK. Takpelah, senang keje mak (ye ke?)..


Ok. Sebelum check out, jom baca...






Jumpa lagi :)





Kuat Menangis?

ihsan google


Kuat menangis? Siapa? Ce citer..

Saya biasa dengar, orang tua-tua cakap, kalau anak-anak kecil menangis..."Itu nangis nak besar tu.."

Oo ye? Betul ke? Wallahualam..


Semalam, saya terserempak dengan fakta-fakta ini;

"Kelebihan menangis untuk seorang anak kecil --> Melatih anggota-anggotanya, meluaskan usus-ususnya, mengembangkan dadanya, memanaskan otaknya dan menggerakkan keinginan kemanusiaannya."

"Seorang doktor Amerika telah membuktikan dengan eksperimen bahawa tangisan air mata seseorang yang menangis boleh membantu membuang protein-protein dan hormon-hormon yang memudaratkan."

(sumber: Buku Anakku Hebat, Anakku Soleh tulisan Ustaz Hj Zahazan Mohamed)

Bagus rupanya menangis ni :)

Bayi menangis adalah perkara biasa. Tapi kalau menangis secara berpanjangan, biasanya ia adalah warning sign yang perlu diberi perhatian dan diambil tindakan. (Baca: 7 Sebab Bayi Menangis)



Anak saya yang paling kuat menangis, kak Dina. Sejak umur bayi sehinggalah di sekolah rendah, memang dia ratu air mata. Alhamdulillah sekarang dah tak pegang title tu lagi. Kalau dulu kak Dina cengeng, sekarang dia sudah kuat semangat. Dah tak mahu lagi nangis depan saya atau adik-adik. Kalau sedih pun, sehabis mungkin dia menahan. 

Abil dan Zarif? Adatlah, mestilah ada adegan air mata juga, cuma tidaklah se-champion kak Dina.

Anyway, menangis is fine, asalkan tidak berlebihan.  Tak percaya? Baca--> Menangis adalah Penawar


Gaza Diserang: Berdoalah tanpa henti, Mendermalah di tabung-tabung kecemasan NGO, Sebarkan kesedaran dan boikot barangan Israel. Ayuh!  


Jul 10, 2014

Mahu minum apa?


gambar google

Saya mahu minum ini. Float ala A&W.
Sebentar saja lagi, tunggu waktu berbuka :)

Anda? Minum apa?

Jangan tiru macam saya. Minum jus buah-buahan ok ;p

Ini bukan minuman hari-hari. Sesekali jek. hehe

Idea Jus untuk Berbuka

Tips Berbuka Cara Sihat

**psst, jangan lupa doakan umat Islam yang sedang sengsara
di Palestine, Syria, Mesir, Afghanistan dan di mana saja.

#doasenjatamukmin

Selamat Berbuka.

Membesar bagai Johan



Dua orang budak comel ni, anak-anak buah saya.
Lain mak, lain ayah. Tapi se-susuan :)
Mereka ni sebaya, lahir tahun 2013.

Sekarang, umur mereka dalam lingkungan 13-18 bulan.
Jangan tanya, exact age. MakNgahnya tak ingat. hehe


Seronok bila ada ramai anak buah.
Lebih-lebih lagi kalau mereka sebaya.
Main dan membesar bersama-sama. Macam kembar, tapi bukan.

Baru-baru ni, Khadijah (kiri) dan Fatihah (kanan) baru pandai berjalan.
Bila tengok fasa mereka membesar, teringat pada anak-anak saya sendiri.
Daripada hanya tahu terlentang, kemudiang mengiring, meniarap, 
merangkak, duduk, berdiri, 
berjalan, berlari dan melompat!
MasyaAllah, beautiful :)

Kalau anda ada anak kecil dan anda terlepas pandang momen-momen tumbesaran mereka, sesungguhnya anda di kalangan orang-orang yang rugi.
Bukan semua orang dapat 'rezeki' ni.

Ok. Nak cerita tentang merangkak.
Anak-anak saya dulu, hanya Zarif yang merangkak.
Kak Dina dan Abil, daripada duduk terus berdiri dan melangkak.
Tak merangkak langsung.

Tidak merangkak, anda mungkin rasa ia perkara remeh.
Tapi sebenarnya ada 1001 hikmah dan manfaat di sebalik kebolehan merangkak.


gambar google


Tahukah anda, merangkak boleh mengasah kordinasi tangan dan mata, juga keupayaan untuk fokus?

Tahukah anda, merangkak boleh merangsang kekuatan memori dan membantu sel-sel saraf otak berhubung?

Tahukah anda, merangkak bukan saja membantu menguatkan skil motor kasar, tapi juga bagus untuk merangsang perkembangan skil motor halus (seperti menulis)?


Boleh baca lebih lanjut di SINI.


Ibu-ibu, galakkan anak-anak anda merangkak.
Bukan saja bagus untuk baby, anak-anak yang berumur 4-6 tahun pun boleh praktikkan.

Ok. saya rindu anak-anak buah saya.

Sekian.


Take care!

Jul 9, 2014

Masih Bermata Zombie


imej google


Sehingga semalam, saya dan Abil masih 'bermata zombie'. Sakit sudah kurang walaupun mata masih 'merenyam'. Fuhh..seksa nak menahan daripada menggaru sesuka hati. huhu

Mata kami berdua masih merah, ala-ala mata vampire pun ye juga. Selain kami, Zarif dan ayahnya juga sudah jadi ahli terbaru geng mata zombie. haha

Suami saya tak habis-habis 'menangis'. Bukan menangis sedih. Air mata memang merembes keluar tak henti-henti.  Saya pulak tak abis-abis menyakat suami yang dah bermata sepet dan jadi 'pelakon air mata 'sepanjang hari. haha (mentang-mentang kita dah kena dulu kannn ;p)

Zarif pun menangis juga. Menangis sedih. Sedih sebab dia terpaksa buka puasa untuk makan ubat yang diberi doktor, selain tak tahan rasa pedih dan tak selesa kerana sakit mata. Saya maafkan dan saya izinkan dia tidak berpuasa sehari dua ni, tapi dia tetap sedih. "Habisla adik..tak dapat puasa penuh 30hari..."

Takpelah dik. Adik kecik lagi. Puasa ikut kemampuan. Pelan-pelan praktis puasa. Kalau dah tak tahan sakit, jangan paksa, ye tak? Kalau nak puasa penuh jugak, moh join mak ganti puasa nanti lepas habis Ramadhan. Amacam? haha

"Drop!nak drop...." abil beritahu saya.

"????" saya pandang Zarif. Zarif pandang saya. Saya blur kejap. Drop? Apakah?

"Abang nak eye drop la ma..." Zarif beritahu saya. hahahahahaha

Rupa-rupanya nak eye drop. Amboiiiiih, sejak-sejak dah tak takut titis ubat mata ni, Abil dah tak sabar-sabar nak pakai eye drop lagi dan lagi, dah tak boleh tunggu setiap 4 jam sekali.

"Tunggu Abil, lagi 3 jam...sekejap lagi, ok" saya beritahu Abil dan dia akur.

Apa rahsianya? Sebelum ni, meronta-ronta bagai nak rak bila nak dititiskan ubat mata. Entah! haha

Mungkin bila dah ramai-ramai kena sakit mata dan kena titis eye drop secara berjemaah, dia jadi seronok pulak kot. haha

Yang pastinya, sekarang ni cukup senang nak titiskan ubat mata pada Abil. No more struggling. No more shouting. No more fear! Alhamdulillah :))))

Allah, sembuhkanlah mata kami. Berikanlah kami kesihatan dan kekuatan. Amiin!

*dah tak tahan kena kuarantin dalam rumah. Cepat-cepatlah sihat hendaknya...

Wassalam.



Suka Kismis?


gambar google

Sembang-sembang pasal kismis ni, teringat masa kak Dina kecik-kecik dulu, hari-hari saya akan beri dia minum air rendaman kismis (macam dalam gambar). Mak saya yang share tips ni.  Saya rendam dengan air panas selama 1-3 jam saja. Kemudian, bila air rendaman dah mula 'keruh', maknanya ia sudah bersedia untuk diminum. Kismis yang dah 'kembang' direndam tadi, anda boleh 'ngap' terus, jangan dibuang. hehe

Setahun dua jugalah saya beri dia minum air kismis hari-hari.  Alhamdulillah, yang jelasnya masa tu, perutnya lawas.  Hingga sekarang, memang terbukti air kismis ni bagus untuk otak dan mindanya.

Tapi sekarang, kak Dina dah tak gemar minum air kismis lagi. Yelah, dah minum macam-macam air. Minuman-minuman lain jauh lebih sedap (walaupun belum tentu berkhasiat). Tapi takpe, sekurang-kurangnya, kak Dina takde masalah untuk makan kismis begitu sahaja (termasuklah Abil dan Zarif).

Bagaimanapun, rumah saya jarang ada kismis. Sesekali beli, memang habis, insyaAllah. Tapi saya pun tak tahu kenapa saya jarang beli kismis. Hmmm...mungkin lepas ni kena jadikan habit membeli kismis setiap minggu. Buat kudap-kudapan pun sedap kan?

Kismis ni bukan saja sedap dikunyah begitu sahaja, dicampur dalam masakan pun boleh. Tapi anak-anak saya tak suka. Kalau ada dalam nasi, mereka asingkan. Kalau ada dalam biskut atau kek pun, akan dibuang juga. Haihhh..

Alkisahnya, kismis ni KAYA khasiat dan nutrisi.  Ia bukan saja bagus untuk minda, kismis juga mempunyai ciri-ciri antioksida, bagus untuk kesihatan gigi, sumber tenaga dan baik untuk penglihatan.

Nak tahu lebih lanjut tentang kismis, boleh klik SINI dan SINI.

Anda suka kismis?


Jul 8, 2014

Buku 4 Khalifah

"Ma, ma tau tak dulu Umar (Saidina Umar) pernah nak bunuh Nabi?" Zarif tanya saya waktu kami berbual-bual dalam kereta pagi tadi dalam perjalanan ke sekolah.

"Tau..." saya jawab.

"Rupa-rupanya dia dulu bukan Islam kan ma?" sambung Zarif.

"Ya betul...Mana adik tau ni?" saya tanya.

"Tu, buku pasal 4 sahabat Nabi tu, yang ayah belikan tu.." pantas dia jawab.

Balik ke rumah lepas menghantar Zarif, saya terus cari buku tu (gambar di bawah). 4 Khalifah Teragung.



Terus saya selak bab Khalifah Umar al-Farooq (mukasurat 37-78) dan baca. Menarik, sangat menarik! Banyak yang saya tak tahu rupanya. hehe

Selain Saidina Umar, ada kisah-kisah Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq, Khalifah Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abu Talib.  Harganya cuma RM16.90 senaskhah (144 mukasurat). Terbitan Edukid Distributors Sdn. Bhd. 



Kalau jumpa di kedai buku, jangan lupa beli. Boleh baca sama-sama dengan anak-anak :)

kongsi dari facebook





Menunggu Waktu Berbuka

  


Semalam, saya layan Zarif main Bingo. Dah tak mampu nak jawab soalan-soalan dia yang berulang-ulang setiap 5 minit. haishh..

"Sekarang pukul berapa ma?"
"Lama lagi ke ma?"
"Berapa jam lagi boleh makan ma?"
"Boringgg la ma. Adik nak buat apa ma?"

Boleh hilang akal hilang sabar  dibuatnya. Saya ajak dia main Bingo. Sekurang-kurangnya untuk tempoh sejam saya berjaya 'lari' sekejap daripada soalan-soalannya yang tak berkesudahan tu.

Saya tuliskan nombor-nombor (1-25) dalam kotak (seperti gambar di atas). Kemudian, saya terangkan cara bermain. Kami gilir-gilir sebut nombor sehinggalah kesemua huruf-huruf B.I.N.G.O berjaya dipangkah setiap kali kesemua nombor pada satu garisan lurus (melintang, kebawah, ke atas, serong) habis disebut (dipangkah).

Alaa...korang pun sure pernah/selalu main kan?

Hilanglah sekejap rasa bosan tu. Tapi lain plak ceritanya bila main Bingo dengan Zarif ni, asal kalah je, dia sedih. Bila saya dah leading, dia dah mula meleleh air mata. Tak aci la ni... haiiiii laaa anak..






Nak tak nak, terpaksalah saya bagi dia ruang dan peluang untuk menang (kalau jadi champion bukan dapat hadiah pun haha). Tak apalah kan, kasik semangat sket kat dia ;p

Bila dah main, tak nak berhenti la pulak. Maknya dah sakit belakang sebab duduk lama-lama. haha

Kena cari idea lagi untuk aktiviti sementara menunggu waktu berbuka. Ada juga saya terfikir nak buat aktiviti kraf . Mesti best kan? Tapi masing-masing masih mode 'lemau' waktu berpuasa.  So, saya tangguhkan dulu plan untuk buat kraf.

Ok. Sekian dulu untuk cerita pagi ni. Jumpa lagi :)

Jom baca: Mengapa Ramadhan kita tidak berkesan?