Dec 27, 2014

Kisah Hujan


kredit: fb Astro Awani 


Pagi tadi, cuaca mendung-mendung kelam, gloomy bak kata omputih, memang sedap kalau minum secawan Neslo panas.  

Saya bancuh Neslo untuk diri sendiri dan sediakan Vico untuk anak-anak, sama-sama kami bersarapan di depan TV.

Nikmat menghirup Neslo panas, terganggu seketika bila teringat pada mangsa-mangsa banjir (di mana saja, khususnya di pantai timur).

"Allah.." Adakah mereka juga sudah makan? minum? Dapatkah mereka tidur lena? Sihatkah mereka? Selamatkah mereka?

Sebak bila teringat bayi dan anak-anak kecil yang sedang kelaparan, ibu-ibu yang mungkin hendak melahirkan atau sedang berpantang, orang-orang tua, pesakit kronik dan anak-anak oku, haiwan-haiwan peliharaan dan jalanan yang sedang berenang kesejukan dan berusaha untuk terapung demi menyelamatkan diri. Sejujurnya, naik bulu roma setiap kali membaca berita tentang banjir di sana sini.

Berkali-kali saya beritahu anak-anak, "untungnya kita, bertuahnya kita..."

"Ma, rumah kita ni boleh banjir tak? Kalau banjir macamana?"

Saya terdiam sekejap. "Setakat ni, rumah kita tak pernah banjir. Tapi dalam keadaan sekarang, mana-mana tempat sekalipun berpotensi untuk banjir. Kita doa ok? minta hujan reda, minta banjir surut, minta dijauhkan dari banjir (bagi kawasan yang masih selamat setakat ini)."

"Rumah MakTuk macamana?" tanya anak saya lagi. 

Jawapan saya lebih kurang sama.  Belum banjir setakat ini, tapi esok lusa, belum tahu lagi. Mudah-mudahan selamat. 

Sepanjang siang tadi, sekejap hujan, sekejap tidak.  Tapi matahari memang segan-segan nak memancarkan diri. 

Malam ini, hujan agak lebat. Mengimbas kembali, pengalaman banjir saya sangatlah sedikit. Sekali dua semasa bersekolah asrama di Kuantan. Itupun banjir setakat betis. Kemudian, ketika berhari raya di Perlis beberapa tahun yang lalu, waktu itu anak-anak saya masih kecil, air bah naik separas betis juga.  

Waktu banjir, tak ada yang senang. Nak masak/makan susah, nak buang air susah, nak tidur pun tak senang. Melihatkan gambar-gambar banjir di media sosial dan akhbar, hari ini, banjir bukan lagi setakat menyulitkan, bahkan ia sudah sampai ke tahap meragut nyawa. Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un :(

Apapun, semangat dan perikemanusiaan setiap rakyat Malaysia yang tampil membantu misi-misi menyelamat mangsa banjir sangat membanggakan.  Bukan sedikit yang menderma dan menyumbang, ramai juga yang menawarkan diri menjadi sukarelawan, pihak berkuasa dan NGO bertungkus lumus memainkan peranan masing-masing. Saya harapkan semangat dan kesedaran untuk bantu membantu ini terus meningkat dan berkekalan, bukan hanya ketika bencana melanda.

Saya juga mendoakan, setiap bantuan dihulurkan dan berjaya disampaikan secara telus dan berkesan pada setiap yang memerlukan.  Jangan ada yang terpinggir, jangan ada yang tertinggal, jangan ada yang menindas dan tertindas. Bantuan yang diberi biarlah ikhlas, tiada diskriminasi mahupun kontroversi.

Kawan-kawan, jom #tamakpahala. Menyumbanglah walau sekecil mana. Berdoalah.


No act of kindness is ever wasted. 



gambar google

2 comments:

tiga lalat said...

Salam. Hee moga banjir segera surut.

syida said...

Amiin...