Sep 29, 2015

Jerebu??




Salam Selasa. Masih jerebu lagi ke? Ya kot. Ini gambar-gambar semalam. Teruk, kan? IPU? Entah hehe. Malas nak cek IPU. Kekadang dah terasa 'lemas' dan susah bernafas, tapi bila tengok IPU, taklah tinggi mana. Biar betul.

Apa pun, menjelang petang semalam, lepas ambil anak dari sekolah agama, sengaja saya ajak suami ronda-ronda hingga ke tepi laut. Nak tengok sejauh mana tahap jerebu. Masih boleh nampak Singapore atau tidak....confirm tak nampak! fuhh

Dalam hati, tolonggglah sekolah cuti esok..tolongglaaah. Kalau tak diumumkan cuti, saya dah pasang niat nak 'mencutikan' sendiri anak-anak saya hehe. Jerebu maaa... Tak bagus untuk kesihatan :)

Menjelang maghrib semalam, sah diumumkan cuti untuk sekolah-sekolah di Johor dan Melaka pada hari ini (selasa). Alhamdulillahh...






So. apa aktiviti pada hari Selasa yang masih jerebu ni? Tak tahu lagi. Kami semua baru selesai minum pagi. Dapat cuti sekolah free sempena jerebu memang best. Yang tak best, bila tengok luar, nampak asap tebal dan kabus yang sangat mengganggu dan bikin sesak nafas. haihh..

Cepat-cepatlah jerebu hilang. #hazegoawayplease


Take care
:)



Sep 11, 2015

Dulu vs Sekarang


Saya baru selesai membantu Nurhan Zarif mencari gambar-gambar peralatan eletrik di dapur untuk tugasan subjek English-nya. Hanya lebih kurang 10-15 minit. Google image - copy- paste - print. Siap!

Teringat zaman saya kecik-kecik dulu, komputer memang dah wujud, tapi tak semua orang ada komputer dan printer. Kalau cikgu suruh cari gambar, memang kalutlah selak suratkhabar dan majalah-majalah lama, kemudian digunting satu persatu. Kadang-kadang, buku pun jadi mangsa. hehe

Itu dulu. Sekarang lain.

Saja nak mengomel, sementara mood blogging tengah 'on' dan alang-alang dah mengadap komputer selepas selesai sesi 'meng-google image' ;p

Salam Jumaat. Jom al-Kahfi :)


kredit: google


Sep 9, 2015

JB-KL-Ipoh



Weekend getaway.

Ke mana? Ipoh!

Minggu lepas, suami ada reunion di sekolahnya, beliau bertolak awal sehari dari kami. Saya dan anak-anak, naik tren ETS ke Ipoh. Selain saya, Zarif dan Abil (kak Dina tak ikut, tinggal di asrama), kami naik tren bersama-sama seorang anak buah saya, Maryam dan mak ayah saya. Lebih kurang 2 jam 20 minit perjalanan dari KL-Ipoh. Tren yang selesa, agak sejuk, ada TV walaupun nun jauh di hujung.

Kami beli tiket tren ETS secara online. Untuk perjalanan sehala, harga tiket untuk dewasa RM33, kanak-kanak RM22. Sepatutnya saya boleh beli tiket pada harga diskaun untuk Abil (pemegang kad oku) dan mak ayah saya (warga emas). Bagaimanapun, untuk belian secara online, saya tidak nampak sebarang cara untuk kami mendapatkan diskaun ini. Mungkin hanya untuk belian tiket di kaunter :(






Di Ipoh, kami bermalam di Hotel Impiana. Tempahan dibuat melalui booking.com. Rate yang berpatutan, saiz bilik pun ok. Tak ada swimming pool, bath tub aje yang ada. hehe

Oleh kerana objektif ke Ipoh hanya untuk merasai pengalaman menaiki tren ETS. So kami memang lebih banyak berehat-rehat di hotel, selain singgah ke Mydin Manjoi. Tiada sesi jalan-jalan cari makan ya tuan-tuan puan-puan. haha



Selepas check-out dari hotel, kami singgah ke Kellie's Castle. Untuk pengetahuan anda, saya memang dah lama teringin nak ke sini, siap masuk wishlist hehe. Oh ya, baca tentang sejarah Kellie's Castle di SINI.



Bak kata Maryam (budak comel berbaju pink tu), "This castle has no princess!" haha

Ya, ia hanya sebuah bangunan tinggal yang usang dan penuh misteri. Mistik? Yang itu anda kena jawab sendiri. Kami pergi waktu tengahari buta, memang tak sempat nak 'fefeeling' mistik. hehe

Kalau diperhatikan pada deskripsi yang ditampal pada dinding-hampir setiap ruang dan bilik di sini, memang akan ada perkataan 'roh', 'jelmaan', 'suara-suara' dan pelbagai lagi cerita. Kisah benarkah? Wallahua'lam.

Harga tiket masuk; dewasa RM5, kanak-kanak (3-12 thn) RM3, warga emas RM4, percuma untuk oku.






ETS ke Ipoh. Checked!
Kellie's Castle. Checked!

Lepas ni, kita ber-ETS ke Padang Besar pula insyaAllah.. 

Senyum.



Aug 31, 2015

"Patriotik tu apa?"


"Ma, patriotik tu apa?"


"..semangat cinta dan sayangkan negara."

Full stop. Tiada lagi soalan. Harap Nurhan Zarif betul-betul faham makna patriotik, bukan 'buat-buat faham' hehe.

Beberapa minggu yang lepas, seorang rakan yang sudah migrate ke US sejak usia kami belasan tahun bertanyakan tentang persiapan hari merdeka dan perasaan saya menjelang hari kemerdekaan tahun ini. Jawapan saya kepada beliau, persiapan macam biasa..ada perbarisan, pertunjukan bunga api dan macam-macam lagi (yang biasa dilakukan saban tahun sempena hari kebangsaan). Perasaan saya? Entahlah, saya speechless. Semangat kemerdekaan itu agak 'terganggu' sejak kebelakangan ini. Tak nak komen panjang-panjang. Full stop.

Anyway, hujan ribut, taufan atau tsunami sekalipun di sini, nyanyi lagu Negaraku, tetap rasa syahdu, masih 'menangkap' di kalbu. #Malaysiatanahairku #disinilahirnyasebuahcinta

Semoga esok, esok dan esok esok, everything will be better, Malaysia. #salammerdeka #sehatisejiwa






kredit foto: Instagram Petals&Bakes

May 11, 2015

Edisi 11 Mei

Tahun-tahun awal sebagai blogger, saya kerap buat entri dedikasi. Sempena hari lahir.

Sekarang, dah jarang saya menulis entri-entri begitu.  Bukan tak ingat. Bukan tak suka. Malas pun bukan. Tapi sengaja saya 'eksklusifkan' ucapan-ucapan hari lahir dari saya di blog (cewah). Tiada entri dedikasi di blog, tapi selalunya saya ucapkan secara 'live' pada orang-orang tersayang.




Hari ini, bangun dari tidur, semua rutin bersiap dan menyiapkan anak-anak ke sekolah berjalan seperti biasa. Saya kejut Abil. Kemudian, saya kejut Zarif. Rutin Zarif, bila dikejut, dia akan bingkas bangun dan terus memeluk saya. Pelukan rutin biasanya sekadar dua tiga saat sebelum dia dikerah supaya mandi segera. hehe

Pagi ini, sengaja saya biarkan beliau memeluk saya lebih dari 2-3 saat. Sempat saya nyanyikan lagu happy birthday untuknya sambil gelak ketawa dan dia tersengih dengan mata yang masih 80% tertutup.

"Abil, say happy birthday adik!...." saya beritahu Abil.

"Happy. birthday. adik..." ucap Abil dengan gaya robotiknya (nada suaranya pun monotonous saja, seolah-olah tanpa perasaan. Tapi saya tahu, sebenarnya, ia diucap dengan perasaan yang 'penuh'. hehe)

Selepas solat subuh, saya peluk Nurhan Zarif sekali lagi dan saya doakan beliau secara 'live'. Momen yang cukup manis. Moga Allah makbulkan :)

Saya tak mahu menaip panjang-panjang, susahh ada #sindrommakmak ni. Nanti 'mata masuk habuk' ;p

Syukur..syukur..dan syukur, untuk 9 tahun yang Allah pinjamkan bersama Nurhan Zarif. #Alhamdulillah #bliss



Sekian.


Salam Isnin :)


Don't wait for the perfect moment. 
Take the moment and make it perfect.



May 7, 2015

Cerita Tentang Cookies

Syoknya minggu ni. Cuti panjang hujung minggu lepas, so hari bekerja hanya Selasa, Rabu, Khamis di tempat saya. hoyeahh ;p

Kalau setiap minggu macam ni, best! #dalammimpi 


Hari ni hari Khamis. Asal Khamis je, saya blogging. Asal saya blogging je, hari Khamis. Buat masa ni, macam tu lah rentaknya.  Bak kata rakan blogger saya, "...yang penting, jangan abaikan blog."

Baik bos :)

Ok. Berbalik pada tajuk. 

Semalam, saya dan suami bertungkus lumus menyiapkan lebih kurang 50 mini pek cookies (party pack) untuk sambutan hari lahir kelas kanak-kanak pendidikan khas di sekolah Abil.  Hampir 4 jam juga baru siap, dari mem-baking sehinggalah kepada membungkus dan men-deko.

Bak kata suami, ini baru buat 50 bungkus. Bayangkan macamana kalau buat beribu-ribu bungkus..fuhh!

Penat tapi seronok. Berpeluh-peluh tapi puas hati. Sebab semuanya kami buat sendiri dan kosnya, jauh lebih menjimatkan daripada party pack yang diisi dengan 'jajan-jajan' yang pelbagai. Semuanya homemade, lebih sihat kott. hehe

Semasa melihat saya dan suami menyiapkan party pack untuk kawan-kawan Abil, Zarif mencelah;

"Adik punya nanti, jangan lupa tau! Nak yang macam ni jugak..." sambil tersengih.

Tengok-tengok kalendar pagi ni, tinggal beberapa hari je lagi nak ke 11 haribulan.  Ok dik, don't worry, esok lusa mak ayah membiskut lagi insyaAllah.






psst...kawan-kawan sekitar JB, kalau nak tempah doorgift/goodies/party pack/hadiah hari guru dan yang sewaktu dengannya, bolehlah hubungi 017-8449575.

Jangan lupa 'skodeng' Ig cookies kami: Crunchy Cookies 

Oh ya, bercakap pasal umur dan hari lahir, baru-baru ni saya terbaca fakta menarik tentang usia orang jepun dari fb Dr Hamid Arshat.  Katanya, di sebuah pulau namanya, pulau okinawa ramai penduduknya berumur 90 tahun keatas. Mereka banyak makan ikan dan sea weeds, selain hidup cara mudah dan stress-free. Dalam usia yang lanjut itu juga, orang-orang Jepun di pulau itu masih boleh berkebun. MasyaAllah :)

Jom baca lebih lanjut tentang tips awet muda di SINI.

Selamat hari Jumaat (esok!) ;p



Age is just the number of years, the world has been enjoying you.

(pinterest.com)




May 1, 2015

Intai-intai di Petrosains


Dua hari lepas, Abil dan kawan-kawan dari pusat terapi-nya melawat Petrosains. Di sini, Petrosains-nya ala-ala saiz mini saja (tak macam yang kat KL nun). Boleh baca sini: Jom Petrosains

Kebetulan, lokasi Petrosains ni betul-betul di sebelah sekolah agama Zarif. Jadi, saya hantar Abil untuk bersama-sama cikgu dan kawan-kawannya. Kemudian, saya tunggu di situ sehingga Zarif habis sesi di sekolah agamanya.




Sambil intai-intai dari jauh (dan dekat hehe), saya join 'sekaki' melihat pengisian yang diberikan oleh staf Petrosains pada anak-anak ini. Seronok!

Sambil-sambil tunggu Abil beraktiviti di Petrosains, sempat saya mendaftar jadi ahli Perpustakaan awam (di bangunan yang sama). Sebenarnya, dah lama saya berangan nak daftar, tapi asyik bertangguh je. Alhamdulillah, akhirnya dah ada kad library sendiri. Entah kenapa, rasa 'jakun' dan teruja pulak lepas jadi ahli perpustakaan awam haha. (Kecik-kecik dulu, tak berpeluang. Setakat jadi ahli perpustakaan sekolah je. hehe) #syoksendiri ;p




Ok. Saya cuti-cuti hari buruh & wesak di rumah sendiri saja. Anda?

Happy Labour Day :)

Take care!


Apr 30, 2015

Drama Pagi Khamis

imej google

Pagi ni. Ada urusan di pejabat pos. Saya bawa Abil bersama sebab dia tak ke sekolah. Cuti hari buruh diawalkan sehari. hehe

Saya sampai di pejabat pos sekitar jam 8.45. Masih lengang. Saya ambil nombor dan duduk dengan Abil, tunggu giliran.

Sampai giliran saya, urusan pengeluaran wang pun dibuat. Seterusnya, saya nak beli setem dari kaunter yang sama. Malangnya, cik kaunter kata, kena ke kaunter setem juga untuk beli setem. Alahai :(

Saya dan Abil pun beredar, kami tekan nombor giliran sekali lagi. Nampaknya ada 4-5 nombor sebelum sampai giliran kami. Lambat sedikit berbanding nombor giliran yang kami ambil untuk urusan pertama tadi.

Kali ni, kami menunggu sambil berdiri saja.

"Jom..jom.." Abil mula bersuara.

"Kejap ya Abil. Ma beli setem kejap. Sekejap je.." saya beritahu perlahan.

Tak sampai 5minit, dia mula bersuara lagi. Kali ni, nampak dahinya dah mula berkerut, Dia dah mula hentak kaki sekali dua. Ok. Not good.

"
Sabar Abil. Tunggu beli setem. Kejap je..." saya cuba pujuk Abil sambil usap-usap belakangnya.

Tak sampai seminit lepas saya pujuk, dia angkat kaki dan hantukkan kepalanya ke lutut. Allah...

Tiga empat orang di depan saya, menoleh. Saya abaikan saja. Sambil terus usap-usap tengkuk dan belakangnya.

Mungkin expectation Abil, pergi pejabat pos. Selesai di kaunter, terus balik. Malangnya, terpaksa pergi dua kaunter, ambil dua nombor dan terpaksa menunggu lebih lama. Dia kusut. Sedikit frust. Tak pandai luahkan emosinya secara verbal. Maka, itulah reaksi dan tindakannya.

Bukan kali pertama jadi begitu. Tapi dah lama juga tak 'berdrama' macam tu. Dugaan..

Apa pun, saya cuba rileks. Setakat orang toleh dan tengok sesaat dua tu, boleh lagi diabaikan. Tapi dalam hati sarat berdoa, janganlah Abil menjerit di situ. Budak 12 tahun, menangis keterlaluan sambil meronta-ronta, not a good sight.

Apa lagi yang boleh saya buat, selain berzikir "Ya Lathiff..ya Lathiff..."

Selepas dua tiga kali Abil menghentak kaki dan menghantuk kepala ke lututnya, tiba-tiba seorang kakak (yang nombor gilirannya lebih awal daripada saya) menyapa saya, "Adik, pergilah dulu, ambil giliran akak..."

Mungkin dia faham dan kesian dengan kami. Alhamdulillah. Allah mudahkan.

Tak sampai lima minit, tiba giliran kakak tadi. Dia signal suruh saya ke depan dan urusan saya selesai tak sampai lima minit. Lega.

Sebelum balik, saya pandang kakak tadi dan angguk kepala, tanda terima kasih.

Tak sempat tanya nama kakak tu tadi, jumpa pun beberapa minit saja tadi. Saya doakan  semoga semua urusan beliau dipermudahkan Allah. Amiin.

Moralnya, bila-bila anda (termasuk saya sendiri) berdepan dengan situasi begini, tak salah kalau kita beri ruang dan peluang untuk memudahkan urusan individu yang berkenaan. Bantuan kecil saja, tapi sangat bermakna.

Remember people with autism have feelings too. Be sensitive and tolerant. 

Ok. Back to happy mode.

Happy long weekend 
semua. Ingat Allah selalu :)




Apr 23, 2015

Lajunya!

imej google


Malam tadi,


"Esok dah hari Khamis?" skrip Zarif masa beliau sedang sibuk mengemas buku-buku sekolahnya mengikut jadual.

"Yelahh, dah Khamis..."

"Laaaajuuuunya!" katanya lagi.

"Kann? Minggu lepas, waktu ni, ma tengah dok packing barang-barang adik nak 'camping' kat sekolah...kejap je dah seminggu, rasa macam baru je lagi."

Fuhh, memang laju. Masa yang beredar dengan cepat, tanda-tanda akhir zaman.

Pagi ini, (di dalam kereta)

"Abil, hari ni hari apa?" soalan rutin saya untuk Abil setiap pagi.

Diam.

"Hari ni hari apa Abil?" individu autisme memang selalunya 'pause' sebentar sebelum menjawab sebarang soalan atau memberi respon kepada anda. Jadi, kena bersabar dan beri mereka sedikit masa.

"....." seperti suara berbisik-bisik.

"Hari apa?" saya ulang soalan. Masih bernada lembut, tak boleh main 'terjah'. Nanti dia langsung tak mau jawab. Tak pun, dia akan frust dan langsung jadi moody. Macam kita gak la kan, pagi-pagi dah kena 'petir', harusslahh marah. hehe

"Khamis..." jawab Abil, sayup-sayup je suaranya.

"Yeayyy, betul!" nyaris saya nak lompat bintang sambil memandu. hahaha

Kebetulan saya berhenti di traffic light, terus saya hulurkan sebelah tangan untuk 'hi-5' dengan Abil di belakang. Berseri-seri mukanya. Senyum. Sengihh.

"Sukanya mak!" komen Zarif di sebelah saya.

Ehh, mestilah suka. Hari-hari soalan "hari ni hari apa?" tu ditanya. Dalam 10 kali ditanya, yang dijawab dengan betul, adalah 2-3 kali kot. Jawapan kegemaran Abil; "Hari Selasa." Entah kenapa dengan hari Selasa. Memang hari favourite-nya. Untuk Abil, setiap hari adalah hari Selasa. hehe

Bila Abil berjaya jawab dengan betul, rasa macam dapat duit di pagi hari. hehe

Rezeki dan nikmat saya di pagi Khamis. #Alhamdulillah

Khamis anda bagaimana? :)


Parents who have children with special-needs, 
are always thankful for progress, not perfection. (pinterest)


Apr 18, 2015

Sembang Sabtu

Entri blog terakhir sebelum yang ini, ialah pada 8hb yang lepas. Fuhh, 10 hari tanpa sebarang update. Rekod paling lama saya 'mandom' untuk tahun ini.

Sibuk ke? sibuk sikitlahh. Tak la sibuk sangat. hehe (alasan je sebenarnya)

Sebenarnya, saya masih lemah bab multitasking, kurang stamina. Buat yang ini, lupa yang itu. Sibuk yang ini, tak buat yang itu. Kalaulah boleh fokus semuanya seiring, kan bagus? hmmm..

Anyway, pagi tadi, macam biasa, rutin Sabtu saya ialah bawa anak-anak bersarapan di restoren pak mertua. Teh tarik, milo tarik, roti canai, soto nasi, kuetiow goreng. Fuhh alhamdulillah! (err...menu tiga orang ye tuu hehe)

Lepas bersarapan, saya duduk-duduk sebentar di belakang restoren. Layan Abil berlegar-legar tengok sekeliling, pantau Zarif main pasir ('fefeeling' tepi laut, sebenarnya tepi jalan hehe) dan layan anak-anak bulus jalanan.

Bercakap tentang Zarif. Kelmarin, dia terlibat dengan kursus smart leadership di sekolahnya. Tidur di sekolah. Kiranya, dia ke sekolah pada pagi Khamis, terus dengan beg pakaian, sleeping bag dan segala keperluan. Kursusnya selesai sebelum solat jumaat, semalam.

Anak 9 tahun, pergi kursus, tidur di sekolah. Risau? Saya ok je :)

Sebab, tidur dalam bangunan sekolah, bukan khemah. Ada cikgu-cikgu yang bertugas untuk memantau anak-anak yang terlibat. Makan ditanggung. Tempoh kursus pun agak pendek, lebih kurang 2hari 1malam saja. Tak sempat nak rindu-rinduan pun haha. "Satu malam je kottt.." bak kata Zarif waktu saya beritahu yang saya akan ke'boring'an sementara beliau tak ada di rumah. hehe

Bagaimanapun, macam biasa, Nurhan Zarif  agak nervous sewaktu kami packing barang-barangnya malam Rabu yang lalu. "...rasa macam sakit jantung la ma!" hahaha

"Alaaaa..rilekk je. Kawan-kawan kan ramai. Semua sama macam adik. Nanti ikut je cakap cikgu.." ujar suami saya.

"Adik risau tak boleh bangun awal pagi. Kat rumah kan adik susah sikit nak bangun..."

"Cikgu kan ada...mestilah dia kejutkan nanti.." saya cuba tenangkan beliau.

Alhamdulillah, sejak balik ke rumah tengahari semalam, 'tak cukup mulut' dia bercerita tentang pengalaman dia bermalam di sekolah hehe. Dari bab makan beramai-ramai dalam dulang, dijamu makan otak-otak waktu makan malam, tidur berdua dengan bff-nya dalam satu sleeping bag, bangun lewat untuk solat subuh dan aktiviti berkumpulan yang dilakukan,  semuanya seronok belaka!

"Adik nak tidur kat sekolah dua bulan!"

Tu diaa, sebelum pergi kursus, 'sakit jantung'. Dah habis kursus, nak sambung lagi dua bulan pulak. haha

"Lepas ni ada kursus lagi ke ma?" tanya Zarif.
"Entahlah, adik baru darjah tiga. Ada tiga tahun lagi kat sekolah (sampai darjah enam). InsyaAllah ada la kott" saya jawab.

Alhamdulillah untuk peluang mencipta kenangan yang seronok lagi menyeronokkan. Mudah-mudahan, ada lagi ruang dan peluang untuk anak-anak. Amiin :)


Saturday. It's a good day to have a good day. (google)

Apr 8, 2015

Oh! Teluk Cempedak

Sesuai dengan mood hari Rabu yang sedikit santai dan lebih relaks berbanding awal minggu, saya kongsikan gambar-gambar semasa kami ke Kuantan tempohari. #throwback

Dulu, masa saya bersekolah di Kuantan, paling tidak pun, setahun sekali saya ke pantai Teluk Cempedak. Kali terakhir saya ke sini ialah semasa kak Dina berumur sekitar 6-7 bulan, lebih kurang 12-13 tahun yang lalu. Fuhh #timeflies

Anak-anak saya suka laut. Tapi kunjungan ke TC yang lalu, kami datang bersiar-siar saja. Jalan-jalan, makan aiskrim, ambil gambar, tengok gelagat manusia, rakam aksi monyet! 

Terkejut saya tengok monyet-monyet di TC. Memang meriah mereka berkampung di situ. Aiskrim di tangan Zarif pun selamat kena 'cilok'. haha 







Cer teka, di mana saya, kak Dina dan Abil? ^^




Seingat saya, pantai TC dulu, tak se-happening sekarang. Macam-macam ada di TC. Boleh rasa suasana tepi laut, pasar malam, mini karnival, semua dalam satu :)

Kami sekeluarga sebenarnya tak berapa gemar tempat yang sesak dengan manusia. Tapi semasa menuju ke TC, saya tak sangka ia sudah 10x lebih meriah berbanding dulu.  Apapun, kali ini, kami just join the crowd. Sesekali ;p




Beredar dari TC, kami makan malam di restoren Nasi Lemak Tree Under.
Kami makan nasi kukus dan ayam goreng berempah.
Maaf tak ada gambar juadah, menu dan yang sewaktu dengannya.
Yang ada cuma gambar anak dara saya yang bosan menunggu makanan tak sampai-sampai. hehe




Wednesday. Half way to the weekend. Enjoy! 

Apr 7, 2015

Dulu Lain, Sekarang Lain.

Dari sehari ke sehari nak menulis entri, asyik bertangguh. Penat. Tak sempat. Macam-macam alasan. Bab mengurus masa memang saya agak 'kureng' sikit. Kagum tengok kawan-kawan yang produktif setiap hari, juggle dua tiga tugas dan multitask macam-macam kerja dalam satu masa. Saya sendiri? selalu fail. haishh~


Berbalik pada tajuk. Dulu lain, sekarang lain.

Baru-baru ni, cikgu kelas Zarif membuka whatsapp group untuk ibubapa anak-anak muridnya. Selain berkongsi info/pertanyaan, group tersebut 'meriah' dengan gambar aktiviti anak-anak di sekolah.

Balik dari sekolah, hampir setiap hari Zarif akan tanya saya, apa cikgunya beritahu di whatsapp hari ni? ada gambar tak? dan macam-macam soalan lagi ;p

"Cikgu kata, kalau nakal-nakal, nanti cikgu ambil gambar, letak kat whatsapp!" katanya.

Untunglahh. haha

Zaman dulu, takda teknologi telefon bimbit, whatsapp bagai. Sekarang dah maju. hehe InsyaAllah lebih senang nak pantau dan ambil tahu hal persekolahan anak-anak.

Selain daripada info tentang aktiviti Zarif, whatsapp juga jadi sumber info aktiviti Abil. Kelmarin, beliau ikut rombongan sekolahnya bermain bowling. Terima kasih untuk cikgu dan para PPM (pembantu pengurusan murid) yang bertungkus lumus membawa anak-anak kelas Pendidikan khas ke sesi terapi bowling. Walaupun semua balingannya 'masuk longkang', yang penting happyyy :)



Teknologi, asalkan tahu batas dan hadnya, insyaAllah ada manfaat dan banyak positifnya.


No matter how much you think you hate school, 
 you'll always miss it when you leave. 
(instagram)


Apr 3, 2015

Oh Biru!




#throwback

2 April 2015. Hari Kesedaran Autisma Sedunia.


Khamis yang biru. Birunya Khamis! ;p

Meriah. ceria dan penuh kasih sayang. #Alhamdulillah

Semalam, saya beritahu Zarif, bulan April ni, saya mahu kerap pakai baju warna biru. "Kenapa?" "..sebab April ialah Autism Awareness Month. 2hb April pula ialah Hari Kesedaran Autisme." saya jawab.

"Laa...patutnya cutilahh!" katanya. haha

"Cuti?!" hehehe confirm zarif ni anak mak ;p

Well, kata-kata tu kan satu 'doa'. Secara tak sengaja, 'doa' Zarif untuk bercuti hari ni dimakbulkan hehe. Semalam, dia jatuh di sekolah. Kakinya terseliuh, buku lalinya bengkak. Langsung saya rehatkan beliau di rumah. ^^

Adik berehat di rumah sebab sakit kaki. Abang sambut hari Autisme dengan kawan-kawan dan cikgu-cikgu di pusat terapi.

Oh ya, terima kasih dan tahniah juga untuk ikim.fm atas usaha meningkatkan kesedaran tentang autisme melalui siaran diskusi pagi mereka. #jomdengarikimfm


Sekian. Salam Jumaat :)


Apr 1, 2015

Cerita Hari Sukan

Sabtu. 28 Mac 2015.

Hari Sukan di sekolah Nurhan Zarif. Walaupun Zarif tak terlibat dengan sebarang acara padang, dia terpilih untuk berbaris mewakili rumah sukannya, Rumah Rajawali (Merah).

Meriah dan Bersemangat! Thumbs up untuk semua guru dan pelajar yang bertungkus lumus membuat persiapan.

Nurhan Zarif seperti biasa, nervous tak habis-habis (walaupun acara perbarisan adalah secara berkumpulan). Hmmm..nyaris-nyaris dia tak nak hadir hari sukan sekolahnya. Mujurlah maknya excited nak tengok anak berbaris di padang. Saya pujuk-pujuk dan 'paksa' juga dia pergi sekolah. Bukan selalu, kann?

Saya hantar Zarif ke sekolah lebih awal (untuk persiapan peserta perbarisan) sebelum kami datang sekitar jam 8.15 pagi. Alhamdulillah majlis baru nak bermula. Kalau terlepas, memang mak nangis tepi padang. huhu





Sebelum perbarisan bermula..



Rumah Kuning

Rumah Merah



Saya dan suami tersenyum sengih sampai ke telinga bila nampak Zarif :)

Tengok anak berbaris pun dah rasa terharu dan bangga. 
Agaknya kalau menang acara padang, memang mak lompat bintang. hehe





Rumah Hijau





Rumah Biru




Pancaragam sekolah






Bacaan ikrar



Khemah cantik. Cuaca pun cantik :)



Selesai berbaris. Baru dapat close-up. Kreatif hasil tangan cikgu-cikgu menghias anak murid :)
Kami beredar sekitar jam 10, tak dapat tunggu sehingga semua acara sukan selesai sebab ada urusan dengan Abil pula. Lewat petang, kami lihat update hari sukan di facebook sekolah. Memang tak rugi Zarif hadir dan terlibat acara perbarisan tahun ini, Rumah Merah (Rajawali) dapat jadi Johan Perbarisan. Yeayy Alhamdulillah!




Acara sukan hari Sabtu. Zarif hanya terima pingatnya pada hari Isnin. Sesampai saja dia di rumah, terus dia serahkan pingatnya pada saya.

"Thank you adik, bagi mak pingat.."

"Eh, apa pulak..adik punyalah!" (erkk kedekut la pulak)

"Yelah, pingat adik, pingat mak juga.."

"Bukanlah, adik punya!" dengan penuh perasaan.

(Dalam hati) Apa-apalah Zarif. Jadi 'Johan' atau tidak, dapat medal atau tidak, tengok awak berbaris pun dah cukup puas hati. Kembang kuncup hidung hati mak, tengok dari jauh. hehe

Sekarang, pingat itu ada saya gantungkan di pintu bilik saya. Pingat saya. hehehe


**psst, teringat zaman kecik-kecik dulu, masuk acara lari pecut, tak menang pun, tapi tetap 'gumbiraa' ;p


If you carry your childhood with you, you never become older. (google)