Feb 28, 2015

Risau

Semalam. Rutin Jumaat, melawat kak Dina di asrama.

Kebetulan, waktu kami sampai, kak Dina baru bangun dari tidur.  Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Kalau tak kerana dia masih 'mamai' atau mengantuk, biasanya dialah 'champion' bercerita. Dari satu kisah ke satu kisah. Tak sempat orang lain mencelah. 

Kami makan bersama, lebih kurang jam 3 petang. Late lunch. Sambil makan, masing-masing agak letih dan kurang selesa bersembang di bawah gazebo di tepi padang sekolah. Panas berdenting!

Bagaimanapun, sempat kak Dina mengadu sakit tekak dan terasa 'tak sedap badan'. Suaranya serak. Berkali-kali saya pesan supaya sentiasa minum air kosong, mandi dan jangan lupa makan vitamin yang sudah dibekalkan.

"Esok ada merentas desa.." katanya.
"Kalau tak larat, jalan je tau. Make sure makan pagi esok sebelum berlari tu." pesan saya.

Pagi tadi, saya beritahu encik suami, "..entah apa cerita Dina merentas desa.."

"Dia ada sms?"

"Belum lagi.." saya menjawab sambil jari terus menaip dan menghantar sms pada kak Dina.


"ok je" katanya. Alhamdulillah.

Biasanya kalau ditanya, memang itu jawapannya. Mungkin tak nak saya risau. Tapi hati ni tetap risau. Cuma, saya tahu saya tetap kena positifkan diri. Fikir yang baik-baik, doa yang baik-baik. InsyaAllah ok la tu :)

Hari ni, asyik tengok kalendar aje. Sambil koyak helaian bulan Februari, mata dok renung dan tenung tarikh cuti sekolah. Lebih kurang dua minggu lagi.

Dua. minggu. saja. lagi! #sindrommakmak

S.a.b.a.r  *sambil renung dan tenung kalendar lagi dan lagi ;p*


A mother's treasure is her daughter. (Catherine Pulsifer)


Nak Cari, Beli dan Baca!


Dah dua, tiga kali 'terserempak' dengan buku ini secara online.
Allah bagi sign agaknya, suruh pi beli :)

Jalan-jalan hari Sabtu ke kedai buku, ok gak kan?
Jom.


You can't buy happiness but you can buy books and that's kind of the same thing. (google)



Berjimba di Meeraland

Meeraland. Indoor playground.
Lokasi: Tesco 


Saya bawa anak-anak 'berjimba' di sini beberapa hari lepas.
Harga tiket masuk: RM10/seorang untuk dua jam.

Oklah. Not bad.
Di sini, hanya 3 benda yang hero berdua saya ni suka sangat, trampoline dan inflatables yang ada slide tinggi dan 'tembok' tinggi.






Mereka main lebih kurang sejam. Memang sakan ber-exercise.
Habis je bermain, baru mengeluh "penat...haus..nak air..".
Berpeluh-peluh.
Selagi tak panggil balik, tak kenal penat. Tak ingat haus.

Lain kali boleh datang lagi :)

Selamat 'berjimba' hari Sabtu. Senyum selalu!

Children need the freedom and time to play.
Play is not a luxury. Play is a necessity.
(Kay Redfield Jamison)


Feb 27, 2015

Baca Kosmo!

Dalam banyak-banyak akhbar bahasa melayu, saya suka beli dan baca Kosmo! sebab harganya RM1 saja. hehe

Walaupun lima ke sepuluh minit saja sudah cukup untuk 'mengkhatamkan' Kosmo!, saya rasa kebanyakan pengisiannya menarik, banyak visual, sesuai dengan harganya yang sangat mesra pengguna.  Paling penting, akhbar ini jarang menggunakan berita-berita 'sampah' atau yang berunsur s*k* sebagai berita muka depan untuk melariskan jualan. (tak macam sesetengah 'akhbar' tu kannn..)

Pagi ini, selak-selak Kosmo!, ada tiga mukasurat penuh, liputan tentang autisme. Alhamdulillah :)





Ada perkongsian pengalaman ibubapa yang mempunyai anak-anak autisme dan juga sedikit latar belakang tentang Pusat Perkembangan Minda (LetzHop) di Selayang.





Usaha akhbar Kosmo! memberi ruang untuk berita berkaitan autisme memang wajar dipuji.  Kenapa? sebab ia membantu mewujudkan kesedaran dan pengetahuan tentang autisme di kalangan masyarakat.

Penting ke? Kalau anda nak tahu, statistik kanak-kanak autisme makin bertambah setiap tahun. Mengikut kajian oleh National Autisme Association (NAA) USA, nisbah kanak-kanak yang berjaya dikenal pasti mempunyai sindrom autisme meningkat dari 1:500 orang (pada tahun 2000) kepada 1:150 orang (pada tahun 2007) dan 1:110 orang (pada tahun 2010). Scary.

Setakat ini belum jumpa statistik dari kajian yang dijalankan di Malaysia. Apapun, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, memang saban tahun, bilangan kanak-kanak autisme makin ramai.

Anak-anak autisme ni mempunyai banyak potensi, sama seperti anak-anak tipikal (normal) yang lain. Boleh diajar dan belajar, dilatih, diasah bakat dan kebolehannya, tapi ada 'caranya'. Tanpa ilmu tentang autisme, susah nak bantu mereka. Bayangkan kalau anak-anak kita, saudara mara atau anak-anak rakan atau jiran terdekat yang termasuk dalam statistik di atas, tentulah kita nak beri sokongan dan bantuan, kan? 

Ok. Saya tak mahu bercerita panjang. Yang beli Kosmo! jangan lupa baca ruangan ini. Yang belum beli Kosmo! silalah beli kalau anda berminat dengan info berkaitan autisme. ('iklan' percuma untuk Kosmo! pagi ini ;p) 

Yang nak tahu lebih lanjut tentang autisme, bole baca link di bawah, atau pm saya :)


Jumaat yang santai. Anda baca akhbar apa hari ni? Ada apa-apa cerita menarik?

Selamat hari Jumaat. Jom selawat :)


Feb 26, 2015

Apa Dah Jadi?!


Balik dari sambutan maulud, ada orang hilang kasut.

Siapakah? Nurhan Zarif. huhu

Waktu saya hantar beliau ke sekolah agama tadi, kawan-kawan yang lain sudah pun mula berselawat (memulakan acara sambutan maulud) beramai-ramai di tapak perhimpunan sekolah. Zarif tiba di sekolah terlewat lima minit.

Sambil dia berlari keluar dari kereta, saya sempat berpesan, "Bukak kasut, letak jauh sikit dari kasut-kasut lain. Nanti senang nak cari.." sambil mata saya memandang puluhan, (mungkin ratusan) pasang kasut yang terkumpul di tepi kawasan berhimpun. Dalam hati saya terdetik,  "...hilang juga kasut anak aku ni nanti." dengan muka berkerut risau.

Jadi ibu ni, kena jaga perkataan dan fikiran juga. Sebarang 'lintasan' dalam hati atau 'kepala' adalah tidak digalakkan sebab dikhuatiri makbul! (setuju? tak setuju?)

...dan nampaknya yang 'terdetik' dalam hati saya tadi, sudah jadi realiti.

Petang tadi, saya bersama Abil ke pusat terapi. Zarif balik dari sekolah agama bersama ayahnya. Gambar di atas, dihantar melalui whatsapp, "anak awak hilang kasut". erkk..

Tak apalah dik, kasut je pun. *senyum kelat*

Biar hilang kasut, jangan hilang 'tuan kasut'. #ujiankecilje #esokbelikasutbaru

Zarif: "Hari ni hari paling sedih.."
Saya: "Kenapa sedih?"
Zarif: "..sebab adik hilang kasut..pastu adik rasa macam nak demam.."

Malam ini, Zarif tidur awal. Memang dia demam. Alahaii anak...

Esok saya update lagi.

Salam :)



Sedondon Merah


Ya, sedondon merah hero-hero saya hari ni.

Hari Khamis. Ada sambutan maulud di sekolah masing-masing.

Kebetulan juga, hari ini hari lahir Nurhan Nabil (dalam gambar; kiri) yang ke-12! #cepatmasaberlalu #mohondoasemua #syukur

Saya tak mampu menulis panjang. Sekadar memetik prakata penulis buku Genius Dari Syurga, puan Ainizal Abdul Latif;



"....apabila Allah dengan rahmat-NYA menganugerahkan kita cahaya mata, kita tidak boleh memilih, tetapi bersyukurlah kerana kita dipilih oleh Allah untuk memiliki mereka."



Alhamdulillah. Hujung minggu dah semakin hampir. 

Salam.


Feb 25, 2015

Hati-hati

imej google

Setiap pagi, jam 6.40 pagi saya dan anak-anak sudah ada di depan sekolah Zarif.  Walaupun belum jam 7, kereta-kereta lain sudah mula berderet-deret melalui kawasan sekolah. Kebetulan, kawasan ini memang kawasan tumpuan. Selain sekolah Zarif, ada empat buah sekolah lain di situ, ada sebuah asrama dan sebuah pejabat pendidikan daerah. Kalau saya tiba lewat 5-10 minit dari biasa, memang akan 'sangkut' di situ hampir setengah jam. So, saya tak boleh lewat, agak-agak jam 6.35-6.40 mesti sudah ada di luar sekolah Zarif.  Selepas itu, terus ke sekolah Abil pula.

Rutin saya, parking dulu di luar sekolah, kemudian turunkan Zarif dan temankan beliau untuk melintas jalan sebelum dia berjalan masuk sendiri ke dalam sekolah.


Hari ini seperti biasa, saya dan Zarif berdiri di tepi jalan (sebelum melintas) dan menunggu pak guard (merangkap penjaga lalulintas) mengangkat sepanduknya (tanda berhenti), sekaligus kereta yang lalu lalang akan berhenti sebentar untuk memberi laluan kepada anak-anak sekolah yang mahu melintas. Oh ya, ada lintasan zebra (untuk pejalan kaki) juga di situ.

Pagi ini, semua kereta laju-laju belaka walaupun pak guard sudah angkat sepanduknya dan cuba untuk berdiri di tengah jalan bagi memastikan semua kereta berhenti dan memberi laluan.

Tiga empat kereta berlalu tanpa memperdulikan pak guard mahupun kami yang sedang menunggu di tepi jalan. Dahlah tak beri ruang ataupun sebarang tanda-tanda untuk berhenti, semuanya memandu dengan laju! (hello, ini kawasan sekolah bukan highway huhu)

Bahaya. Sangat bahaya.

"Ni dah kenapa semua kereta bawak laju macam puting beliung ni?!" pak guard dah mula 'bising'.

Ya tak ya juga, dia bergadai nyawa berdiri di tengah jalan untuk menjalankan tugasnya. Pemandu-pemandu semua sangat selfish dan tak pedulikan keselamatan orang lain. Agak-agaknya kalau anak mereka yang sedang menunggu untuk melintas tu, macamana ya? hmmm..

Akhirnya, selepas beberapa minit menunggu, dapat juga Zarif melintas dengan selamat. Alhamdulillah

Moralnya, supir-supir sekalian, silalah memandu dengan berhemah ya. Hati-hati di jalanraya.

**psst, kalau lalu kawasan sekolah tu, tak payahlah memandu laju. Sabar. Be extra careful.

Road Safety. Better Safe than Sorry.


Panas!


Cuaca kebelakangan ini memang panas. Allah..

Sana sini orang bercerita dan mengeluh tentang panas. Di akhbar, di TV, di radio, di pejabat, sekolah, kedai makan dan di rumah. Pendekata, kita semua terjejas dek cuaca panas ni. Tekak cepat kering, badan cepat letih, kepala mudah berdenyut-denyut sakit, ada yang berpeluh-peluh sehingga kena ruam panas. Macam-macam ujian.



Kelmarin, hujan petang di tempat saya setelah sekian lama tak hujan. Syukur alhamdulillah walaupun hujannya sekejap saja.  Kesan hujan, rasa panas berkurang sedikit di sebelah malam hingga pagi semalam. Hari ini, belum jam 8 pagi, matahari dah mula memancar terik.

Harap-harap selepas ini, ada lagi hujan di celah-celah musim panas, insyaAllah.


sumber: Berita Harian


Musim panas ni, anda apa khabar? 
Saya doakan anda semua kekal sihat dan bertenaga selalu :)

Feb 23, 2015

Seronoknya Mendobi!

Cerita dobi ekspres.

Begini, minggu lepas kami balik ke rumah mak dengan se-beg pakaian kotor kak dina (dari asrama). Beliau pulang ke rumah petang Rabu. Sebelah malamnya, kami sudah memulakan perjalanan. Maka beg itu kami angkut bersama. hehe

Pergi mendobi je pun. Cerita biasa. Tapi ia pengalaman pertama untuk anak-anak. Kalau anda lihat betapa seronok dan terujanya mereka, rasa nak tergelak pun ada. Tapi sebenarnya, saya tumpang suka tengok mereka berebut-rebut nak mencuba proses mendobi satu persatu :)

Pagi Jumaat. Suasana masih lengang sebab ramai yang jalan-jalan bercuti.  Kami? Pagi-pagi dah 'jalan-jalan' ke kedai dobi. hehe


Proses mendobi DIY ni mudah saja.

Langkah 1: Tukar duit syiling (mesin disediakan, jangan risau)
Langkah 2: Beli sabun (juga dari mesin, kalau nak jimat, bawa sabun dari rumah)
Langkah 3: Masukkan baju kotor ke dalam mesin.
Langkah 4: Masukkan sabun dan masukkan duit syiling (mengikut amaun yang dikehendaki) dan tekan butang 'start'.
Langkah 5: Selesai dibasuh, pindahkan pula baju-baju ke dalam dryer.
Langkah 6: Masukkan duit syiling ke dalam dryer. Proses mengering baju bermula.
Langkah 7: Selesai! Jangan lupa keluarkan semua baju dan bawa pulang.



Langkah 1


Langkah 2


Langkah 3

Kami masukkan baju-baju ke dalam dua mesin basuh berasingan. 
Satu untuk baju-baju berwarna gelap. Satu lagi untuk baju-baju berwarna putih/cerah.


Langkah 4

Masukkan pakaian, duit syiling, sabun, tekan pilihan basuhan dan tekan 'start'.



Langkah 5 & 6

Dari mesin basuh, terus ke dryer. Senang. Tak perlu sidai, terus kering. Boleh terus dilipat.


Langkah 7

The End. Baju dah bersih. Jom balik :)

Kos mendobi untuk sabun, dua mesin basuh dan satu pengering; RM16
Masa menunggu: 35 minit untuk basuhan. 35 minit lagi untuk proses mengering.

Kami habiskan waktu menunggu di kedai makan. Sambil mendobi, sambil sarapan pagi. hehe


Untuk yang bujang, masih belajar atau mempunyai saiz keluarga yang kecil, memang lebih mudah dan berbaloi mendobi secara DIY ni. Jimat masa dan tenaga. Ia sesuai juga untuk kami yang sedang bermusafir dan perlu siap mendobi dengan kadar segera.

"Ma, best-nyaaa! Lepas ni setiap kali balik rumah maktok, kita pergi dobi eh.." skrip Zarif.

Saya senyum, tak terkata haha. Betapa naifnya anak-anak, mendobi aje pun seronok ^^

Anda bagaimana? Pernah cuba dobi ekspres?

Happiness is..appreciating the little things in life. 



Salam mesra :)


Sunyi

Alhamdulillah. Semalam, saya sudah selamat pulang ke rumah.

Kembali ke bilik saya, katil saya, tv saya, kucing-kucing saya. Santai. Aman. Damai. Tapi sunyi. #blues

Balik rumah mak tiga hari. Macam tak cukuplah. hehe

Kak Dina pun dah balik ke asrama. Zarif dan Abil masih bercuti. Esok, back-to-school. #blueslagi


Sementara saya layan 'blues', saya hadiahkan anda, visual anak buah saya yang comel-comel.  **psst, ada 5 orang lagi anak buah tersayang (tiada dalam gambar).

Sunyi. Nanti saya sambung cerita lagi :)

Having somewhere to go is a home. Having someone to love is a family. Having both is a blessing.


Feb 21, 2015

Cerita 7E dan Anak Kecil

sumber: google


Pagi semalam, saya ke 7-Eleven. Nak beli suratkhabar. Melangkah masuk ke dalam kedai...

"Good morning!" sapa cashier 7-E, seorang remaja lelaki berbangsa India.
"Morning.." saya jawab sambil tersenyum.

Sampai di rak suratkhabar, hanya akhbar kosmo dan NST saja yang ada. Saya tahu mak saya suka baca The Star.

"The Star tak ada?" saya tanya pada cashier tadi.

"Tak ada. We only have those two newspapers today." katanya

Saya ambil Kosmo. NST memang ada, tapi sudah diikat kerana katanya, ada yang sudah tempah suratkhabar tersebut lebih awal.

Selepas membayar, "Thank you. Have a nice day!" ucap jurujual tadi dengan penuh ceria.

"You're welcome.." saya senyum kembali.

Bukan senang nak dengar ucapan terima kasih daripada cashier. Kekadang bila ke hipermarket atau mana-mana kedai, kita bayar dan beredar tanpa ada sebarang ucapan terima kasih. Nak tengok muka cashier tersenyum pun payah.


--------------------------------------------------

Di rumah,

"Nak...nakk.." sapa anak buah saya semasa saya duduk di meja makan. Saya pun terus hulurkan buah oren yang diminta.

"asyihhh...." balas anak buah saya, umurnya setahun lebih.

"Sama-sama.." saya ucapkan sambil tersenyum sengih dengar suara comel tadi.

Tengok tu, budak kecik pun pandai ucap terima kasih. Bukan susah sangat pun.  Kalau sejak kecil/bayi, memang sudah dibiasakan dengan situasi dan perlakuan "terima kasih..sama-sama" insyaAllah ia akan jadi kebiasaan yang berlaku secara semulajadi dan tak perlu dipaksa-paksa atau dibuat-buat.

--------------------------------------------------

Moralnya, jangan 'kedekut' nak ucap terima kasih atau thank you. Nampak macam isu remeh aje. Tapi hakikatnya, impak ucapan terima kasih atau thank you ini sangat besar. Betul tak?

Jom 'viral'kan ucapan terima kasih.

Thank you is a magic word. It costs nothing but is priceless! 


Terima kasih kerana membaca. Thank you :)


Feb 20, 2015

Library di Rumah Ibu

Dari rumah mak saya;

Sudah 24 jam di sini. Berbaki lebih kurang 36 jam lagi sebelum saya balik ke rumah sendiri. Perjalanan ke sini agak lancar, walaupun banyak kereta atas highway dan hujan pada separuh perjalanan.  Yang penting, selamat. Alhamdulillah.

Semalam, mode 'mandom'. hehe

Makan, tidur, berbual (dengan mak dan adik-adik). Kemudian, makan, tidur dan berbual lagi. Tengok TV. hoho #ohsedapnyamasakanmak

Hari ini, cadangnya nak jalan-jalan cari makan. Mungkin juga pergi main bowling. Nanti bolehlah saya belanja review tak berbayar. hehe (ini baru perancangan saja, harap Allah izinkan)

Tajuk: Library di Rumah Ibu. Dah sebut tentang 'rumah ibu'. Library, apa cerita? hehe

Begini, rumah mak saya ni, ada banyak buku. Mak saya bolehlah dikategorikan sebagai 'ulat buku'. Suka beli buku, baca buku. Maka banyaklah koleksi bukunya. Semua ada dalam bilik tidur mak. Bilik tidur itulah 'library' mak. Buku atas katil, tepi katil, bawah tv, tepi tv. (Ada rezeki nanti boleh buatkan mak sebuah bilik bacaan. Paling tidak pun, buatkan rak-rak cantik untuk buku-bukunya. amiin!)

Sejak semalam, saya sibuk 'menggali' mencari buku. Tak jumpa pulak yang saya berkenan. Kebanyakannya yang saya pernah baca. Pagi ni, saya 'gali' lagi. Akhirnya, jumpa :)

Cinta Tiga Rasa. Tulisan isteri Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Puan Noraslina Jusin.

Motivasi Gaya Rasulullah. Tulisan saudara Mohd Khairul Nizam.


Pagi ni, sempat belek-belek saja. Baca sinopsis di kulit belakang buku. Selak-selak tengok kandungan dan bab-bab menarik. Orang putih kata, browsing :)

Nanti dah khatam, saya belanja review buku-buku ni ya insyaAllah.

Ok, nak breakfast. Pastu nak sambung baca buku. Lepas solat Jumaat, baru jalan-jalan cari makan :)

Kongsi sedikit petikan dari buku, Motivasi Gaya Rasulullah;

Direkodkan daripada Aisyah, nabi berkata, "Wahai sekalian manusia, lakukan amalan sesuai dengan kemampuan kalian, kerana Allah tidak bosan sehingga kamu merasa bosan. Ketahuilah, amalan yang dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit." (sahih Bukhari, no hadis: 5523)

Feb 18, 2015

Siap Sedia

Siap sedia untuk apa? ...semestinya untuk cuti! :p

Cuti tahun baru cina yang ditunggu-tunggu. Rabu yang dinanti-nanti. Bagaimanapun, kak dina masih di sekolahnya. InsyaAllah dia akan pulang menjelang petang nanti. #budakhostel





Zarif dan Abil masing-masing dah mula bercuti hari ini.  Mode santai saja kami bertiga beranak pagi tadi.  Kerja-kerja sekolah pun dah siap semuanya malam semalam. Saya kerah supaya ia disiapkan awal. Cuti tahun baru cina memanglah sehingga hari Isnin. Tapi lebih baik buat sekarang, daripada ditangguh-tangguh. Kejar masa lapang sebelum sibuk :)


Pagi ini, tak disangka-sangka, rezeki 'masuk'. Tiba-tiba ada tempahan mee goreng (bungkus) untuk 120 orang.  Saya, Zarif dan Abil yang kebetulan sedang bersarapan di restoren pak mertua, terus diarahkan untuk bantu tugas membungkus. Tak sampai sejam, tugas kami selesai. Alhamdulillah.

Sejak kelmarin juga, saya dah mula packing beg 'balik kampung'. Tak sabar nak balik jumpa mak, Oh ya, anak buah baru saya dah selamat dilahirkan awal pagi tadi.  Subhanallah, rahmat-Nya untuk kami sekeluarga. Syukur!

Yang akan travel sempena cuti ni, selamat bermusafir dan hati-hati di jalanraya.
Yang tidak kemana-mana, selamat berjimba, have a good rest!
Yang bekerja walaupun di hari cuti umum, semoga dipermudahkan urusan bekerja.

Sekian.

Feb 16, 2015

Percuma!

Ok. Apa cerita?
Saya dapat minyak bernilai RM50. Percuma! #alhamdulillah
Seronok. Gembira. Happyyy!

Memang saya sangat gembira hari ini.  Rasa macam nak 'lompat bintang' berkali-kali. haha

Saya memang pengguna minyak petrol BHP. Setiap kali mengisi minyak, memang saya tak pernah lupa untuk swipe e-card saya. Saya dan BHP, tidaklah 100% setia. Kalau minyak sudah minta diisi, saya singgah saja ke mana-mana stesen minyak berdekatan, walaupun ianya bukan BHP. Bagaimanapun, lepas ni, rasanya kena berikrar janji setia dengan BHP. haha


Saya dah lama nampak notis (gambar di atas) sejak beberapa minggu yang lepas. RM5 nilai petrol atau barangan dengan setiap 550ePoints. Tapi, setakat tengok dan baca saja. Nak masuk dalam dan bertanya baki ePoints saya dan menguruskan pertukaran dengan nilai petrol atau barang-barang yang tersenarai, memang saya tak sempat.  Setiap kali isi minyak, terkejar-kejar dek masa.

Kebetulan, selepas zuhur tadi, selesai menghantar Zarif ke sekolah agama, saya ada sedikit masa senggang. Terus saya singgah di stesen BHP, masuk ke dalam dan bertanyakan baki ePoints saya pada cik jurujual yang bertugas. 




"Puan ada baki 5800++ point, cukup untuk tukar dengan petrol RM50." sambil tersenyum.
"Hah? RM50? Tukar point je, tak payah bayar la ni?" Dalam hati saya, "biar betul?!"

"Ya puan, betul la tu. Nak tukar dengan barang pun boleh. Tapi saya syorkan tukar dengan minyaklah." cik jurujual tersenyum lagi, mungkin tengah tahan ketawa tengok muka saya yang separuh blur, separuh excited sebab nak dapat minyak percuma RM50. haha

"Err...saya nak minyaklah!" dengan pantas saya menjawab.



Dengan cekapnya, cik jurujual swipe e-card saya dan keluarkan resit. "Puan nak tukar dengan apa-apa barang tak? ada baki lagi 200++ point ni.." sambil jarinya menunjuk ke arah katalog barang-barang yang tersenarai untuk penebusan. Mata saya terus nampak gambar-gambar air tin Yeo's. hahaha

"Saya nak air cincaulah. Haus ni. Panas!" 
"Puan ambil sendiri ye di sana.." sambil beliau menunjuk ke arah chiller.

Dengan lajunya saya berjalan dan ambil air Yeo's cincau yang diidamkan. hehehe

Selesai urusan di kaunter, saya terus menuju keluar. Sebelum membuka pintu, "Terima kasih ya, lepas ni saya tak isi minyak lain dah kot.." sambil saya senyum sengih pada cik jurujual tadi.

"Terima kasih puan.  Isi minyak BHP jelah, ramai customer yang memang berpuas hati." dia membalas senyuman saya.

Rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Hari ini, Allah bagi saya rezeki minyak petrol, air cincau sejuk di kala cuaca panas terik, layanan mesra dari cik kaunter dan 'bahan' untuk entri blog!

Wahh, tengok tu, 4-in 1! Syukur  :)

Be grateful for small things, big things and everything in between. (picturequotes.com)


Feb 15, 2015

Sabtu Bekerja

Semalam.

Kami sefamili bergotong-royong membungkus nasi briyani untuk tempahan katering 350 orang. Untuk pengetahuan anda, pak mertua saya ialah seorang pengusaha restoren dan katering.  Kami pula, selaku 'staf separuh masa' akan dipanggil berkhidmat bila-bila diperlukan. hehe

Tugasan bermula lebih kurang jam 9 pagi semalam.  Zarif jaga bahagian acar nenas.  Saya pula bertugas bahagian ayam masak merah.  Bahagian nasi, pak mertua yang uruskan. Abil? of course dia pun sama-sama bertugas, beliau jadi tukang letak sudu dan tutup bekas plastik.



Tengok tu, khusyuk anak-anak saya bertugas.  Tapi, selepas mengisi lebih kurang 100 bekas nasi, masing-masing dah mula 'drama'. Zarif tak habis-habis mengeluh, "Ishh penat la ma..lenguh ni berdiri.." aih, banyak lagi ni dik. Tak lepas separuh pun lagi ni.

"Abil, sudu!"
"Abil, mula-mula letak sudu, lepas tu baru tutup."

Saya terpaksa mengingatkan Abil berkali-kali sebab sebagai seorang anak autisme, memang ada masanya dia nampak seperti 'mengelamun'. Setiap 5minit bekerja, dia 'pause' seketika. Kadang-kadang dia terlupa mengisi sudu. Memang kena bersabar dengan rentak Abil. Tapi kena bagi dia peluang.  Selagi dia ok, kita teruskan. Lambat sikit pun tak apa.



Zarif terus menceduk acar nenas dengan penuh bersemangat, sambil sesekali mengeluh penat. Abil? Dia tak pandai mengeluh, tapi nampak dahinya dah mula berkerut-kerut. Sampai satu tahap, agaknya dah tak tahan letih, Abil sebut "exora!" Hah, tu diaaa. Dah sebut kereta tu, maknanya nak ajak balik la tu. haha

"Kejap ye Abil..kejap. Sikitt lagi" Ada lebih kurang 100 bekas nasi lagi ni kot. Selang beberapa minit, Abil dah mula merengek-rengek. Penat sangat agaknya. Akhirnya, saya benarkan Abil duduk rehat dan saya beri upah sekotak air soya. Terus diam. Hmm...




Selesai bungkusan yang ke -350, kami bungkus makanan dari restoren pak mertua untuk lunch. Selain upah makan, upah $$$ pun ada. Nurhan Zarif lah yang paling teruja sekali. Tadi sibuk mengeluh. haha Alhamdulillah, rezeki Sabtu :)

Sesi gotong royong berakhir lebih kurang jam 11.30 pagi. Kami terus pulang untuk makan dan bersiap-siap untuk bawa Abil ke sesi terapi mingguannya. Fuhh penat, tapi puas hati. hehe



Sabtu yang produktif untuk kami. Anda?


It's good to have money and the things that money can buy.
But it's good too, to check out once in a while, 
that you haven't lost the things that money can't buy.
(myquoteshome.com)


**psst, beberapa hari lagi untuk cuti raya cina. #taksabar



Feb 14, 2015

Surat Kasih Sayang


Siapa yang tulis surat? Nurhan Zarif. Untuk siapa? Saya, maknya :)

Apa kes? Kurang kasih sayang. haha

Lagi? Nak perhatian. hehe

Kenapa? Maknya khusyuk mengadap pc. Anak suruh layan, maknya 'bolayan'.

Akhirnya, dapat surat kasih sayang. 



Ok. Tulisan doktor ;p

Ayat yang dimaksudkan sebenarnya ialah, 
" Mak tengah buat apa? Mak boleh bagi adik quiz?"

Hmmm. Beberapa minit sebelum itu, dia sibuk minta saya beri dia soalan teka teki.
Saya sibuk nak siapkan entri blog, kemahiran multitasking ku terhad.
Taip entri. Fikir soalan teka teki. Gagal.

Dapat surat. Terpaksalah saya mengalah.
Ok jom buat soalan matematik. hahaha



Cukup tiga mukasurat, ada orang tu sudah ngantuk.

"Ma ni asyik amik gambar je!" katanya.

Kesian adik jadi 'bahan'. hehe

Sekian.

Happiness is...spending time with your children.

Feb 13, 2015

Cerita Dari Akhbar

Pagi Jumaat.

Duduk-duduk minum teh O, sambil makan laksam (yang dibeli dari gerai kegemaran), sambil baca suratkhabar. Rezeki. Nikmat. Alhamdulillah :)

Selain berita pemergian TGNA dan Hasbullah Awang, saya tertarik dengan cerita tentang pasangan suami isteri, encik Mohd Jusoh@Ramli Yusof, 70 dan puan Hasanah@Shamsiah Hasnah Samad, 65, yang mempunyai 17 orang anak! SubhanAllah. MasyaAllah. (sumber: Sinar Harian, 13Feb2015)




Dipendekkan cerita, berikut antara fakta tentang kisah pasangan dengan 17 orang anak ini;
  • Anak-anak mereka berusia di antara 20 hingga 49 tahun.  10 orang perempuan, 7 orang lelaki. Ada yang bergelar peguam, pegawai kerajaan, guru, ahli perniagaan dan beberapa kerjaya lain.
  • Kesemua 17 anak berjaya belajar sehingga ke peringkat universiti.
  • Encik Ramli adalah seorang pesara dari Kementerian Kesihatan, sekarang seorang imam Masjid Kampung Banggol Pauh dan pernah bekerja sebagai pemandu ambulans.
  • Puan Hasanah seorang surirumah dan pernah berpantang bersama dua orang anak perempuannya ketika mereka bertiga bersalin serentak, 20 tahun dulu. Anak bongsunya kini, sebaya dengan dua orang cucunya.
  • Segantang beras atau 3.5 kg beras hanya cukup untuk dimakan dua hari bagi keluarga besar ini.
  • "Sebagai surirumah, kebanyakan masa makcik dihabiskan bersama anak dan walaupun tidak belajar tinggi, makcik sentiasa bersama anak ketika mereka belajar di rumah", cerita puan Hasanah.
  • Encik Ramli menegaskan, didikan agama perlu dijadikan tunjang dalam mendidik anak bagi memastikan kejayaan mereka di dunia dan lebih utama, di akhirat.
Saya tumpang seronok dan bangga bila membaca kisah 17 anak ni. Dengan pendapatan yang sederhana, seorang bapa gigih mencukupkan keperluan seisi rumah.  Si ibu pula, setia memberi sokongan moral dan melaburkan masa untuk anak-anak.   "...ikan selayang makcik potong tiga supaya anak-anak dapat sama rata."

Allahu. Saya doakan semoga pasangan warga emas dan seluruh keluarga ini terus diberkati dan dimurahkan rezeki. 

Fuhh, hebat kan? Saya yang ada tiga anak dan 8 ekor anak bulus pun dah pening dan selalu stres. Inikan pulak kalau ada 17 orang anak.  Kalaulah anak saya, Zarif baca artikel ini, entah apa dia komen hehe.

Ada apa-apa lagi cerita menarik (dari akhbar) yang anda baca hari ni?

Kejar dunia, akhirat akan meninggalkan kita. 
Kejar akhirat, dunia akan bersama kita. 
(dari twitter Sahabat Ustaz Don)

Feb 12, 2015

#TGNA


kredit foto: instagram


Perginya seorang murabbi.
Semoga rohnya diberi ketenangan, kemudahan, keampunan dan keredhaan Allah. Amiin.

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.


Al fatihah.

#sedih

Aura Khamis


Khamis. My favourite day.

Setiap hari Khamis, skrip saya kepada Abil di dalam kereta,"Abil, hari ni hari Khamis. Abil pergi sekolah macam biasa. Esok Jumaat, cuti!" oh yes, perkataan cuti tu, disebut dengan tanda seru (!) tau haha

(Gambar di atas) Pagi ni saya bersarapan biskut saja.  Tak lupa, secawan 'neslo'. Menu simple, tapi penuh 'kasih sayang'. Nak tahu kenapa? sebab biskut tu, encik suami yang buatkan malam tadi.  Gigih membiskut ala-ala esok lusa nak sambut raya (raya cina kot?!) haha. #alhamdulillah

Sejak semalam, dah 'riuh' tentang tarif baru elektrik yang akan turun bermula 1 Mac ini. Berita baik. Bolehlah kita 'all out' dengan kempen menabung dan jimat cermat, insyaAllah.

Oh ya, resepi biskut di atas, boleh baca di sini : Red Pearl Cookies Biskut yang Sedap sangat

Seperti biasa, waktu santai saya agak singkat di pagi Khamis.  Nanti saya sambung cerita :)

**psst, apa sarapan anda pagi ni??

Friday is almost here. Happy Thursday!



Feb 11, 2015

Menunggu Hari

Menunggu. hari. bersalin.

Fuhh..seksa! #bukansaya

Yang tengah sarat menunggu tu, adik saya. Dah masuk minggu ke-40. Belum lagi bersalin. Kali ini, anak yang ketiga, insyaAllah. Anak-anak terdahulu, minggu 38 dah selamat dilahirkan (katanya).

Menunggu saat-saat melahirkan memang mencabar. Makan tak kenyang, tidur tak lena, mujur la mandi tetap basah macam biasa. hehe

Pagi tadi, di dalam kereta, saya berbual dengan Nurhan Zarif masa dalam perjalanan ke sekolah. Nurhan Nabil duduk diam (mendengar), sambil mengunyah sarapannya. hehe

Saya: Adik, makcik tak beranak lagi..doakan dia cepat bersalin. Nanti kita balik raya cina, dah boleh jumpa baby.

Zarif: Oo ye? Belum lagi? (Diam 2-3saat)..Ini tak adil.

Saya: Hah? Tak adil? Apa yang tak adil?

(Sebenarnya, setiap kali kalau kami berbual tentang makciknya yang mengandung, nak dapat baby lagi, nak bersalin bagai, memang skrip 'tak adil' tu selalu keluar hehe. Adik saya seorang ni, dapat anak baru setiap dua tahun (setakat ini). Rezeki Allah, ikut sunnah (katanya))


Berbalik pada perbualan kami tadi...

Zarif: Ya lah...laju sangat! Nak masuk tiga dah.

Saya: HAHAHAhahahaha (memang saya tergelak besar. Laju? Nak masuk tiga? Skrip budak darjah tiga ke ni? ^^)

Zarif: Kenapa ma gelak?

Saya: Ya lah, mak pun dulu laju gak. Mula-mula kakak, tak sampai dua tahun, abang. Tiga tahun lepas tu, adik pulak. Laju gak kann?

Zarif; Ya lah. Tapi lepas adik, terus stop!

(Mendengar skrip ni, saya tergelak besar lagi).

Zarif: Kalau mak laju lagi, mesti sekarang dah ada enam! (fuhh bersemangat dia mencongak hehe)

Saya; Kann? hahaha (seronok pulak saya melayan imaginasi anak bujang saya).

Perbualan tak berhenti setakat ini, dengan lancarnya, Zarif sambung bercerita..

Zarif: Kalau ada enam, maknanya adik (dia membahasakan dirinya) ada tiga orang adik. Tak boring. Pagi-pagi mesti ada empat orang yang nak pergi sekolah sama-sama kan ma? sorang lagi baby.

(hmmm, betul la tu, kakak di asrama. Saya dah tak larat nak gelak. Senyum sengih memanjang).

Zarif: Tapiiii...kalau ada enam, mesti semua selalu gaduh.  Nak main game pun mesti rebut-rebut kan ma? hmmmm...

Saya: Ya lah, takkanlah ma nak belikan komputer sorang satu pulak..kena la kongsi-kongsi enam orang.

Zarif: Tu la...kacau je. (Diam 4-5 saat)...Tapi ada enam orang, bestttt! (dengan sepenuh perasaan)

Hahahahaha. Saya sambung gelak lagi dan lagi. Tak larat nak sambung dialog. Sekolah pun dah dekat. Tak lama lagi bujang petah ni dah nak kena turun dari kereta.

Sambil tersenyum dan bercakap dalam hati, "Memang best pun kalau ada enam orang adik beradik. Meriah!" Dalam kepala, terus teringat masa saya, abang dan 4 orang adik-adik masa kecik-kecik dulu.

Sebelum Zarif turun dari kereta, saya beritahu dia,

"Adik doa ajelah ada rezeki adik nak tambah adik lagi.  Allah bagi ma tiga ni pun, mesti ada hikmahnya, kan?"

Mendengar skrip saya, Zarif tersenyum. Entah dia faham atau tidak maksud 'hikmah' tu. Lain kali ajelah saya cerita panjang, dah sampai pintu pagar sekolah. hehe

Nurhan Nabil 'khusyuk' mendengar perbualan kami, sambil mengunyah lagi dan lagi. Zarif sudah turun, tambah lagi 20minit perjalanan, baru sampai sekolah Abil pula.

Agak-agaknya la kan, kalau Abil pandai menyampuk perbualan, apalah pulak skrip dia kann? hehe

Baca sini: Bila Abil berkata-kata


Kenapa penting dengar setiap perbualan anak-anak?
Kerana saat itulah kita dapat perbetulkan sebarang 'misconception' dalam kepalanya.
(kongsi dari fb Fatimah Syarha)

Salam Rabu. Ingat Allah selalu :)

Feb 10, 2015

Terkandas Dua Hari

imej:naturalbeauty.wordpress.com


Dua hari tanpa entri blog. Dua hari cuti sakit. Dua hari 'terkandas'!

Semua sebab sakit gigi. (Bila sakit gigi, nak buat apa pun, tak boleh). Allah :(

Alhamdulillah, selepas dua hari, sakit gigi sudah reda 95%. Hanya tinggal saki baki 5%. Dah boleh beraktiviti dan sambung rutin macam biasa, insyaAllah.


Baca: Tips untuk kurangkan sakit gigi

Apa yang saya buat untuk merawat sakit gigi saya, sementara menunggu ke dentist ?
-kerap berkumur(gargle) dengan air garam
-telan supplemen bawang putih (tak mampu nak kunyah bawang putih 'ori')
-'tenyeh' garam ke bahagian gigi dan gusi yang sakit.

Muhasabah daripada insiden sakit gigi:
-sakit penghapus dosa (insyaAllah)
-lebih menghargai nikmat sihat dan nikmat makan
-dah lama tak 'servis' gigi (Allah bagi 'petanda', suruh ke dentist segera)

**psst, memang sepatutnya terus ke dentist, tapi 'seriau' la pulak nak jumpa doktor waktu gusi bengkak.  Takut kena marah dengan doktor pun iye juga. hehe

Semoga Allah bagi kekuatan untuk saya jumpa dentist dalam masa terdekat.

***Ehemm, bilakah kali terakhir anda ke dentist?

nota kaki: bila sakit gigi, idea blogging pun 'lari' :(

Health is the greatest gift. Indeed.