Mar 31, 2015

Ada Apa Dengan April



Ada apa dengan April? Ada GST! haha

ok ok..tak nak cakap pasal GST kat sini.


April. Bulan Kesedaran Autisme.


Warna tema untuk bulan kesedaran autisme adalah biru. Saya tak banyak baju warna biru. Tapi insyaAllah, saya akan usahakan untuk memakai seberapa banyak baju biru yang ada sepanjang bulan April (kengkawan, jomm!)

Selain daripada GST dan bulan kesedaran autisme, ada apa lagi dengan April? Yang saya tahu, sepanjang bulan April, tiada cuti umum. huhu

"Yeayy, adik suka bulan April!" skrip Zarif tempohari waktu kami sama2 tenung kalendar. hehe

"Kenapa?"

"..sebab lepas April, bulan Mei kan ma? birthday adik dah dekat!"

Alkisahhh. Nampaknya ada orang sudah bagi 'hint' untuk sediakan hadiah, hari lahirnya dah semakin hampir
 :)

Sementara tunggu bulan Mei, kita 'redah' bulan April dulu. Rabbi Yassir wala tua'ssir. Amiin!




Cherish all your happy moments. Smile.


Mar 27, 2015

Cerita Budak Hostel II


Ini bukan iklan aiskrim Wall's. Inilah 'buah tangan' kami semasa menjengah kak Dina di asrama petang tadi.  Dia memang 'hantu' aiskrim. Selepas bersalam-salaman dan berpelukan semasa berjumpa tadi, inilah yang dia 'terkam' dulu. Dah luak hampir separuh, baru dia 'pandang' makanan lain.

Cuaca panas. Berkumpul anak beranak. Bersembang. Makan bersama di bawah gazebo yang redup dan berangin. Nikmat :) #Alhamdulillah

Sejak kak Dina pulang ke asrama awal minggu ini, ada peraturan baru. Semua pelajar diminta menyerahkan telefon bimbit masing-masing untuk disimpan di koperasi sekolah dan hanya dibenarkan untuk mengambil dan menggunakan telefon pada hujung minggu sahaja (petang Khamis- petang Sabtu).

Objektifnya, mencegah pelajar daripada menghabiskan terlalu banyak masa dan $$$ (membeli kredit) kesan bermain sms dan 'bergayut' di telefon. Katanya, ada kes pelajar yang tidur lewat kerana leka dengan telefon. Untuk pengetahuan anda, di asrama, memang tak ada telefon awam dan pelajar boleh menggunakan hanya telefon bimbit yang 'basic' (bukan smartphone).

Saya ok je, walaupun mulanya terasa 'kehilangan'.

Begini, setiap malam, sebelum tidur, memang dah jadi rutin saya dan kak Dina. Berbalas sms. "Salam ma..goodnite. I love you." "Wsalam. Goodnite, Luv u too."

Begitulah message-nya setiap hari. Ya, hari-hari. Diselang-seli nasihat dan luahan hati serba ringkas, sebab kami berbalas sms selepas dia pulang dari 'prep' (kelas malam). Biasanya sekitar jam 11-12 tengah malam. Masing-masing dah penat, jadi memang dah tak cukup kudrat nak berbual panjang. Lagipun, saya mahu dia segera tidur, selain saya sendiri pun nak cepat-cepat lena ;p

Bagaimanapun, rules are rules. Selagi ianya bertujuan baik dan tidak menyusahkan, kita follow ajelah. So sekarang, tiada lagi sms malam-malam buta pada hari persekolahan. Khamis petang dan malam, barulah telefon saya sakan berbunyi-bunyi sebab berbalas sms. Bukan bersembang apa sangat pun, selalunya setakat bertanya khabar dan Kak Dina beri pesanan barang-barang untuk saya bawa bila saya datang melawatnya.

Tadi, sebelum kami sekeluarga berangkat balik, tetiba kak Dina bertanya,

"Ma ayah, boleh tak kalau Dina tak nak simpan handphone dekat koperasi? Ramai je budak yang tak buat..."

Cepat ayahnya menjawab," Tak payahlah. Ikut je peraturan tu. Bukan susah pun. Kalau Dina nak kirim, pesan apa-apa, hari Khamis sempat lagi nak bagitau."

"Ya lah. Ikut je. Nanti kalau cikgu rampas terus handphone tu, tak bagi guna langsung lagi susah." saya sambung.

"Alaa...tapi malam-malam ada hantu..." balas Dina dengan muka berkerut-kerut.

hahaha Kesian anakku, Memang kalau dia stres/susah hati atau tiba-tiba nervous sebab ada kes histeria atau pelajar nampak hantu, dia akan sms saya.

"Alaa..kalau Dina sms mak, bukan mak boleh tolong pun!", sergah suami saya sambil ketawa.

hehehe Saya senyum je. (Dalam hati), "...memang mak tak boleh tolong, tapi skrip-skrip yang mak hantar melalui sms tulah yang bantu Kak Dina bertenang dan tidur lena sepanjang malam." Saya pandang kak Dina sambil tersenyum lagi. Alahaii anak..

"Takpelah, malam-malam kakak 'telepathy' je kat mak. Fikir yang baik-baik aje. Sebelum tidur, ayat kursi (dan surah-surah lain) jangan lupa baca.." (Dalam hati), Think of me and I'll think of you :)

Sebenarnya, saya nak berpesan panjang. Tapi sengaja saya keep it short, nanti tak semena-mena mata 'masuk habuk'. #sindrommakmak

Oh yes, kitorang ni kalau jumpa selalu, memang 'bertekak' aje. Tapi kalau tak jumpa sehari, sibuk "I love you, you love me". haha (complicated)

Dulu, masa saya di asrama, pernah juga menangis di telefon, sampai tak terkata mak saya di sebelah sana. Saya call dan kemudian, terus menangis teresak-esak. Dekat Public phone pulak tu, dulu-dulu mana ada handphone bagai. Saya pun dah tak ingat kenapa. Stres la kot :p

Yang pasti, walaupun mak saya hanya mampu mendengar dan memberi nasihat serba sikit setiap kali saya stres kerana at the end of the day, hanya saya sendiri saja yang boleh bantu diri saya, saya tetap akan call mak bila saya rasa kusut dan serabut. Sekejap pun jadilah, hilang semua 'masalah negara'. Paling tidak pun, hilang separuh. hehe

Itu saya. Dulu. Sekarang giliran anak saya dan saya cukup faham 'rasa' itu. 


Been there. Done that.

Tanpa sms dan telefon bimbit pada hari-hari biasa, sembang-sembang pada hujung minggu akan jadi lebih bermakna, insyaAllah :)

Kak Dina, don't worry. Kita telepathy je hokay :)

Sekian, enjoy your weekend!


**Baca: Cerita Budak Hostel 

Stres? Jom Main Playdoh!

Entri terakhir 21 Mac. Hampir seminggu tak 'bersiaran'. Ini semua gara-gara line internet di rumah saya yang ala-ala biskut chipsmore, kejap ada kejap takde. Lebih tepat lagi, kejap je ada, selalu takde.(grr)

Hari Jumaat. Rugi kalau berterusan stres. Kebetulan, line agak ok pagi ini. (rezeki)

Saya jengah di facebook dan jumpa resepi homemade playdoh oleh ibucergas.com. Saya juga pernah kongsikan resepi playdoh di sini. (Baca: Jom Main Playdoh!)


Bagaimanapun, resepi yang dikongsikan oleh ibucergas.com sedikit berbeza. Adunan playdoh dimasak sekejap di atas api, mungkin itu tips supaya playdoh tahan lebih lama. Menarik :)

"Ma..adik boring ni, nak buat apa ni?" skrip biasa bila hari cuti.
"Jom! kita buat playdoh ikut resepi ni.." sambil saya tunjuk pada Zarif, link di facebook.

Bahan-Bahan: 2 cawan tepung gandum, 1 sudu besar minyak sayuran (saya guna minyak masak), 2 sudu besar cream of tartar (ada jual di bakery shop/hipermart), 1.5 cawan air masak (saya guna air tapisan biasa/air paip pun boleh), 1.5 cawan garam haluspewarna makanan (warna merah je ada kat rumah buat masa ni), beberapa titis glycerine (untuk bagi lebih shine, optional saja. Takde, tak apa. Saya tak letak pun).

Campurkan semua bahan dalam periuk masak. Guna mixer untuk kacau rata (saya guna senduk kayu je). Letakkan pewarna dan kacau/mix lagi. Kemudian, letakkan periuk atas dapur, api yang kecil saja. Panaskan sambil kacau dengan senduk. Jangan tinggalkan sebab proses ini sekejap saja (sekitar seminit dua gitu). Bila playdoh dah mula lekang dari dasar dan tepi periuk, teruskan kacau. Adunannya kental tau!

Sejukkan dan keluarkan dari periuk. Sedia untuk digunakan :)

Lebih kurang lima minit je kot. Siap!




Dapat sebuku playdoh merah. Mak hilang stres, anak happy!

Kalau dulu, main playdoh bertiga-tiga. Hari ni, dia menguli sorang-sorang.
Kakak di asrama (kalau ada, confirm dia join sekali ;p)
Abang abil tak berminat. huhu

Katanya tahan lebih lama kan? Kita tunggu dan lihat ya!

**psst, saya masih 'berhutang' entri Bukit Gambang. 
Gambar sedang dalam proses di-watermark. Sabar ya :)

Selamat hari Jumaat. Senyum.

Mar 21, 2015

Menjelang 23 Mac


Semalam. Selepas solat Jumaat, kami keluar makan. Late lunch. Selesai lunch, kami keluar jalan-jalan di Bandar JB. Nampaknya persiapan-persiapan akhir sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Isnin ini, sedang giat dilakukan. 

Bukan selalu kami jalan-jalan di tengah bandaraya. Tapi semalam, dua kali kami ke bandar, khususnya di kawasan sekitar Danga Bay dan Istana Bukit Serene. Cantik :)

Saya 'belanja' 3-4 keping gambar. Siang dan malam. Sebelah malam lebih happening. Trafik pun sesak. Khemah, kanopi, kain rentang, bendera, pokok-pokok bunga, poster. Fuhh.

"Ma, Isnin nanti kita datang tengok ke?" tanya Dina.


"Ishh, idokk le kot..kecuali kalau nak bersesak-sesak."

Memang tidaklah rasanya. Nanti berpeluh-peluh mak dan anak-anak di celah lautan manusia. Kita tengok dari TV dan baca dari suratkhabar cukuplah. hehe





Mar 20, 2015

Apa Khabar? Khabar Baik!

Seminggu tanpa entri. Sepi.

Hari ni, saya paksa diri menaip sesuatu. Selagi tak mulakan semula rutin blogging, selagi itu lah blog tak ada entri baru.

Not good...not good.

Sakan bercuti? Tak juga. Apa pun, syukur dah sampai rumah semalam. Sihat dan selamat. #Alhamdulillah

JB - Subang Jaya - Kuantan - Subang Jaya - JB. 6 hari 5 malam. Letih.

Misi 'berjimba' di Bukit Gambang Resort, selesai!

Satu saja saya terkilan, dapat singgah sekejap saja di rumah mak. Tak puas 'berjimba' dengan anak-anak buah, ala-ala 'Touch N Go' je. haihh~

Di Bukit Gambang, tak banyak gambar yang sempat saya ambil dengan handphone saya, sebab handphone saya 'bertapa' di dalam loker. hehe

Kebanyakan gambar di Bukit Gambang water park, ada pada kamera encik suami. Tunggu ya :)

Yang ada pada saya, hanya yang ini (gambar bawah). 




Gara-gara 'berjimba' di tengah cuaca Kuantan yang panas berdenting, kami semua sudah lebih 'coklat' dari biasa. Sunburn! haha (kecuali encik suami dan Abil yang setakat bertukar menjadi kemerah-merahan, Zarif, kak Dina dan saya, memang confirm geng budak itam ;p)

Pagi ni, seperti biasa, saya belek-belek kalendar (rutin wajib hehe). Sedar tak sedar, berbaki 90 hari saja lagi sehingga Ramadhan. Errr...hutang puasa dah habis bayar? #peringatanuntukdirisendiri



Happy Friday. Let The Weekend Begin!



Mar 13, 2015

Berani-berani....Takut!


Semalam, selesai misi membawa Abil ke dentist. (Baca: Berdebar-debar)

Misi berjaya setakat gambar di atas. Selepas sesi menunggu giliran lebih kurang sejam lebih, Abil yang melangkah berat masuk ke dalam bilik rawatan, akhirnya berjaya dipujuk dan dipujuk untuk duduk di dental chair dan membenarkan doktor sekadar memeriksa keadaan giginya. Ia masih satu kejayaan, kalau nak dibandingkan dengan keadaannya ke dentist sebelum ini (langsung tak mahu duduk dan buka mulut untuk diperiksa). Permulaan yang agak baik, ditambah dengan layanan mesra dari cik doktor dan pembantunya. Alhamdulillah.

"Saya sebenarnya tak berapa pandai nak handle budak autisme ni kak..." bisik doktor pada saya selepas membaca surat rujukan yang diberikan pada saya susulan pemeriksaan gigi dibuat di sekolah.

Saya senyum saja. "Kita cuba dulu doktor.."

...dan doktor tersebut benar-benar berusaha. Doktor yang jujur. Berani. Tak mudah putus asa. Saya suka :)

Walaupun misi pemeriksaan gigi berjaya, misi mencabut gigi lain pula ceritanya. Walaupun tiga orang memegang Abil (termasuk saya dan suami) untuk membolehkan doktor inject bius pada gusi, misi mencabut gigi belum berjaya lagi. Dia 'bersilat' bila nampak jarum suntikan. Haihh c.o.b.a.a.n!

Mujur cik doktor cekap dan  jarum tu tak tersalah kena pada orang lain. haha

Terpaksalah kami atur temunjanji lain untuk meneruskan misi mencabut gigi sekali lagi. Pesan doktor, bawak seorang lagi lelaki. erkkk.. (Abil ni tak besar mana pun, tapi kudrat 'bersilat'nya memang tak boleh lawan ;p)

Ok. Cerita pendek saja kali ni. Saya mengejar dan dikejar masa.

Giliran kak Dina pula ke dentist. Ya, Abil ikut sekali. Nak bagi 'input' baik-baik tentang jumpa dentist padanya. hehe

Jumaat kan? Jom Al-Kahfi :)

Mar 11, 2015

Sesekali Naik Pentas


Mode: Berkongsi rasa gembira :)

Sesekali Naik Pentas. Siapa? Nurhan Nabil. #anaksyurga

Sepanjang bersekolah, inilah kali pertama Abil terima anugerah. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Memang 'penutup' yang manis untuk Abil tahun ni, sebab tahun depan dia akan berpindah ke sekolah menengah. Saya masih berfikir-fikir dan berkira-kira perancangan untuknya selepas ini.  Adakah akan terus bersekolah di kelas pendidikan khas, atau sebaliknya? Entahlah.

Hari dan tarikh kejadian (di atas); Sabtu, 7 Mac 2015.

Majlis anugerah yang sepatutnya bermula jam 9 pagi, ditunda hampir 2 jam kerana memberi laluan pada mesyuarat pibg sekolah.  Risau saya dibuatnya. Saya takut mood Abil 'terganggu' sebab terpaksa menunggu lama. Sedangkan Zarif yang duduk sebelah saya sepanjang mesyuarat pibg berlangsung pun, dah macam 'cacing kepanasan'. "Laparlah, boringlah, tak tahu nak buat apalah..." Macam-macam!

Abil menunggu dengan cikgu dan rakan-rakan lain (yang bersedia untuk naik pentas menerima hadiah). Saya tak pasti di mana mereka ditempatkan sebab tak kelihatan di dalam dewan. Mungkin di dalam kelas atau di kantin.  Yang pasti, saya rasa sangat lega bila mana mesyuarat akhirnya selesai dan murid-murid penerima anugerah dah mula beratur di luar dewan. Nurhan Nabil masih ok. Nampak relaks dan pada masa yang sama. 'blur'. hehe

Termasuk Abil, ada lima orang penerima hadiah dari kelas pendidikan khas. Peluang untuk terima penghargaan dan naik ke pentas, bersalaman dengan guru besar dan menerima tepukan, nikmat Tuhan yang manakah lagi hendak saya nafikan. Alhamdulillah, rezeki Abil tahun ni :)

Penting sangat ke, terima anugerah? Tak dapat anugerah pun, anak-anak saya semuanya champion (bagi saya). Kalau dapat, kira bonuslah, Maknya tumpang suka aje :p

Oh ya, bila tengok gambar Abil dapat hadiah kat atas nun, saya rasa sangat berterima kasih sebab guru-gurunya faham keadaan Abil. Salah seorang guru, siap temankan Abil berjalan dari bawah pentas naik ke atas. Kemudian, guru besar pula nampak 'sporting' dan tak kisah, walaupun Abil susah nak beri eye contact pada kamera (banyak kamera kat bawah pentas, dia tak tahu nak tengok mana satu agaknya, langsung tutup mata haha).

Kenangan. yang. manis. Sekian :)

Live every moments. Laugh everyday. Love beyond words. (google)


Mar 10, 2015

Berdebar-debar



Berdebar-debar? Haa...ceritanya begini;

Lebih kurang seminggu yang lepas, ada pemeriksaan gigi di sekolah Abil.  Saya diberitahu oleh cikgunya yang beliau dikehendaki ke klinik kesihatan gigi dalam masa terdekat sebab giginya perlu rawatan segera.  Kemudian, cikgu serahkan surat rujukan (yang diberikan oleh jururawat pergigian yang membuat pemeriksaan) untuk saya bawa ke klinik itu nanti.

Pagi tadi, saya ke pejabat sekolah Abil, untuk meminta surat sekolah. Dengan surat sekolah ini, sebarang rawatan di klinik atau hospital kerajaan, insyaAllah percuma. Kalau ikut perancangan, kami akan bawa Abil ke klinik gigi khamis ini. Ya, lusa!

Ok, 'seriau'. Kenapa? sebab...

Nurhan Nabil ni 'spesis' yang susah jumpa doktor. Makan ubat takde masalah. Tapi kalau bab nak diperiksa oleh doktor, terutamanya bahagian mulut, memang mencabar. #autisme

Kali terakhir beliau ke dentist dan dicabut giginya, sekitar 2011. Itu pun terpaksa di'bius pengsan' huhu. Kosnya mencecah empat angka! sebab prosedur cabut gigi Abil ni dibuat di hospital swasta. Kami cuba juga ke hospital kerajaan, tapi waiting list sangat panjang untuk kes-kes yang memerlukan kemudahan GA atau 'bius pengsan' ni. Oleh kerana keadaan gigi Abil dah agak kritikal masa tu, terpaksalah juga korbankan 'poket'. (Baca: Bila Abil ke Dentist (episod 2))

Masuk tahun 2015, bermakna dah empat tahun Abil tak buat rawatan gigi. Bukan tak nak bawa, tapi sebab kami dah faham sangat karenahnya setiap kali ke dentist. Disuruh duduk di dental chair tu pun dia tak nak, walaupun dipaksa. Bagaimanapun, dalam tempoh empat tahun ni, ada juga Abil ikut ke dentist bila saya bawak kak Dina dan Zarif untuk rawatan gigi. Saja nak bagi exposure pada Abil, tapi fobianya masih ada. (Baca: Ke Dentist Lagi )

Di sekolah, lain pulak ceritanya.  Kata cikgu, setiap kali ada pemeriksaan gigi di sekolah, Abil tak ada masalah untuk diperiksa giginya. Mungkin sebab di sekolah, ramai lagi rakan-rakan lain sama-sama diperiksa (mengikut giliran). Bila tengok kawan-kawan ok, dia pun ok juga (agaknya lah).

Setakat ni, yang saya tahu, di sekolahnya, setiap tahun ada pemeriksaan gigi. Tapi, tahun ini baru pertama kali Abil diberikan surat rujukan untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kalau ke klinik kesihatan gigi ni, sah-sah lah tak ada kemudahan 'bius pengsan'. hoho

Seriau? Confirm!



gambar google

Saya sangat sangat berharap semuanya berjalan lancar Khamis ni. Jadi tak perlulah kami korbankan 'poket' sekali lagi untuk merawat atau mencabut gigi Abil. Kos rawatan di klinik kesihatan gigi (kerajaan) memang 'mesra pengguna'. Mudah-mudahan servis daripada doktor dan jururawat bertugas pun, kategori 'mesra' juga. Kuranglah sikit seriau mak nanti..haihh.

Nak pergi dentist, macam nak pergi berperang ;p

Rabbi Yassir wala tua'ssir...amiin!

Life is short. Smile while you still have teeth :)

Mar 9, 2015

Tak sabar!

gambar google


Cubaan untuk me'relaks'kan diri, sebab sebetulnya saya rasa nak fast forward 4-5 hari berikutnya. (mode: cuti sekolah). Tak sabar nak lari sekejap dari rutin. Untuk info, bertukar rutin atau 'lari' sebentar dari rutin boleh membantu mencerdaskan otak.

(Baca: Lari Dari Rutin, Lari Dari Rutin 2)

Semalam, semasa Abil berterapi, saya berbual-bual dengan seorang rakan. Kami bertukar-tukar cerita tentang cuti sekolah minggu depan.  Sambil sembang-sembang, masuk topik 'homestay vs hotel'.

Masing-masing ada pengalaman pahit manis dengan homestay dan juga hotel. Tapi, topik perbualan kami 'berat' kepada kualiti homestay yang pernah kami singgah bermalam. Bila bercakap tentang homestay, lebih banyak yang pahit dari yang manis.


Bagi saya, tak susah untuk melihat dan menilai kualiti hotel sebab boleh tengok di Trip Advisor atau google saja review hotel-hotel yang berkenaan, berderet-deret pendapat dan maklumbalas boleh dibaca dan dinilai sebelum kita membuat keputusan untuk menempah hotel yang disukai.

Tapi, kalau homestay, walaupun boleh google juga untuk review dan sebagainya, jumlah review tak sebanyak review hotel.  (kalau kawan-kawan ada portal yang reliable untuk menempah homestay, silalah kongsi.)

Sebenarnya, pada saya, kualiti hotel pun, bergantung pada pihak pengurusannya. Ada yang bagus, banyak juga yang kurang. Teringat pula pada sebuah artikel yang dikongsikan di facebook. Katanya, kebanyakan bilik hotel tak dibersihkan dengan sempurna, gara-gara staf hotel tak cukup masa. erkk..


5 Rahsia Bilik Hotel Yang 'Wajib' Anda Tahu:

1. Cuci gelas di bilik sebelum digunakan.
Gelas di bilik hotel selalunya jarang dibasuh atau disembur dengan pencuci tingkap. Ada juga yang sekadar dilap dengan tuala kotor. 

2. Cuci cerek air di bilik sebelum digunakan.
Cerek air elektrik di bilik, dikatakan selalu menjadi tempat buangan sisa-sisa yang tak diingini oleh sesetengah pengguna hotel.

3. Pintu hotel mudah dibuka.
Samada anda menempah hotel mewah atau hotel murah, kalau boleh, bawalah sendal pintu untuk keselamatan. Secanggih mana pun sistem keselamatan pintu bilik hotel anda, ia sebenarnya sangat mudah dibuka, samada oleh orang luar atau staf hotel itu sendiri. Sendal pintu dikatakan adalah cara paling efektif untuk menyukarkan pintu hotel dibuka dari luar.

4. Jangan guna air paip untuk diminum.
Kisah anak-anak terkena cirit birit dan sakit selepas balik dari bercuti selalu berlaku. Sebaiknya, minum air mineral sepanjang bermalam di hotel.

5. Jangan bersandar di tingkap bilik.
Tingkap hotel jarang diperiksa tahap keselamatannya, walaupun di hotel-hotel mewah. Elakkan bersandar untuk mengelakkan dari kejadian yang tak diingini.

(dari: SUMBER)

Sejauh mana kesahihan fakta di atas, hanya staf-staf hotel saja yang tahu. Sebagai pengguna, kita kenalah selalu berhati-hati dan ambil langkah pencegahan dan keselamatan, mana yang patut. 

Daripada kisah teruja nak bercuti kepada cerita rahsia hotel, cukuplah untuk hari ini. hehe

**err, korang breakfast apa pagi tadi? 


Semoga Isnin anda produktif :)


What you do today, can improve all your tomorrows. (anonymous)


Mar 6, 2015

"Gigih"

Dua hari 'cuti' blogging. Not good

Kalau ikut target peribadi, nak buat sekurang-kurangnya 40 entri sebulan. Bermakna, hari-hari kena taip lebih dari satu entri. Tapi setakat ni, rekod terbaik pun satu entri sehari. haihh~

So, apa cerita?

Semalam.  Mode hari Khamis; tak berapa rajin nak memasak bekal anak. Maka seawal jam 6.30 pagi, dalam perjalanan ke sekolah anak-anak, saya singgah di gerai tepi jalan (saya biasa membeli di sini, tapi jarang datang awal pagi).

"Adik nak karipap kentang.." zarif bersuara sebelum saya keluar dari kereta.
"Ok..."

Saya pun terus bergegas ke gerai tersebut. Meja jualannya belum penuh. Saya pun pilih apa yang patut. Toleh kiri, kanan, tak nampak pulak karipap kentang, yang ada semua karipap sardin. Hmm..

"Karipap kentang tak ada ke bang?" saya tanya abang gerai.

"Ada..belum sampai..." Tak sampai seminit, "Hah, tu karipap kentang dah sampai!" jawab abang gerai.

Saya pun menoleh ke arah van yang berhenti di tepi gerai. Seorang pakcik, dalam lingkungan umur 70-an, berjalan terbongkok-bongkok sambil mengangkat dua bakul karipap kentang di tangannya. Abang gerai bergegas ke van tersebut untuk menolong beliau.

Sebaik saja pakcik tersebut meletakkan karipap kentangnya di atas meja, dengan cepatnya, saya terus ambil beberapa ketul. Mungkin nampak 'gelojoh' di situ, sebenarnya saya nak cepat-cepat beredar, nak hantar anak sekolah. (alasan hehe)


Sebenarnya, saya terkejut bila melihat seorang pakcik tua yang keluar dari van, menghantar karipap. Sebelum ini, saya biasa juga terserempak dengan pembuat kuih yang menghantar hasil jualan mereka ke gerai tersebut. Tapi kebanyakannya muda-muda dan 'tegap' lagi. Kali ni, lain pulak ceritanya. Hanya satu perkataan saja yang terlintas dalam fikiran saya ketika itu, "Gigih."

Kalau diperhatikan, saya sebenarnya dikelilingi oleh beberapa orang lagi warga emas yang masih gigih bekerja walaupun umur dah lanjut dan kudrat dah semakin tak ada. Gigih.



------------------------------------------------------

Hari ini, bila baca 'paper', jumpa lagi satu contoh manusia gigih. Seorang ibu tunggal, jaga TIGA orang anak autisme. Anak autisme saya yang seorang ni pun, bukan sedikit cabaran dan ujiannya. Inikan pulak tiga orang. Saya bertuah, ada sokongan suami. Puan Nor Zelawati membesarkan anak-anak istimewanya seorang diri. Ibu tunggal. Fuhh. (sumber: Harian Metro, 6/3/15)





-----------------------------------------------------------

Dua hari tanpa entri di blog, antara sebabnya ialah saya rasa 'kusut'. Kusut al-serabut. huhu

Baru kena uji sikit dah 'kusut'. Memang kelemahan saya, jenis susah nak sabar. Dah la tak sabar, banyak sangat fikir. Benda kecik tapi risaunya macam masalah negara. haha

Hidup ni kena banyak sabar. Kena GIGIH. (peringatan untuk diri sendiri) 


imej google

Bercakap pasal 'kusut al-serabut', saya terjumpa info di facebook. Katanya, aktiviti mewarna bukan saja bagus untuk kanak-kanak, tapi ia terbukti boleh mengurangkan tahap stres di kalangan orang dewasa juga. alkisah..haha

Baca: Colouring isn't just for kids. It can actually help adults combat stress.

Berita baik sebenarnya untuk saya. Sebab saya, suka mewarna haha. Kalau anak-anak ada kerja sekolah yang melibatkan aktiviti 'kaler mengaler', memang dengan senang hatinya saya join sekali. hehe

Err, ada geng suka 'kaler mengaler' (macam saya) tak kat sini? ;p

'Kusut al-serabut?' Nampaknya saya kena google colouring sheets dan pinjam pensel warna anak-anak kejap. hehe (Jom Mewarna)

Jangan lupa word-of-the-day untuk hari ini. G.i.g.i.h :)

Have Patience. All things are difficult, before they become easy. (Saadi)


Mar 3, 2015

Jaga Makan, Jaga Kesihatan

Selamat hari Selasa.

Mode sibuk. Ada sikit ruang, kita blogging sekejap :)

Pagi ni, tak sempat beli 'paper'. Sekadar menjengah akhbar online. Terbaca berita tentang bayi perempuan (di India) yang baru berusia 10 bulan tapi beratnya sudah mencecah 18kilogram. Allahu..

Perbandingan dengan anak-anak saya; Kak Dina (13++ tahun) sekitar 40kg. Nurhan Nabil (12 tahun) beratnya 25kg. Nurhan Zarif (8++ tahun) seberat 21kg.

Berat Aliya menyamai kanak-kanak berusia 6-7 tahun.

Katanya, setiap dua minggu, ibu bapa Aliya terpaksa membeli pakaian baru untuknya. Menurut bapanya, berat Aliya semakin bertambah kerana ketagih makan kari bersama nasi. Tambahnya lagi, saiz hidangan untuk Aliya menyamai hidangan orang dewasa, iaitu sepinggan nasi dan dua keping capati.

imej: mstar

Saya doakan Aliya dan kedua ibu bapanya dipermudahkan semua urusan. Harap ada pihak yang membantu mereka untuk mengawal berat badan Aliya demi kesihatan bayi ini. Semoga terhindar dari sebarang penyakit. Amiin

Baca berita penuh di sini: Bayi Paling Gemuk Ketagih Kari, Nasi, Capati


Allah berfirman: "Makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas." (surah al-A'raf: 31)

Jom kawal pemakanan, 
untuk diri sendiri dan ahli keluarga tersayang :)


 

Mar 2, 2015

Shopping? Jom!

Dah lama tak shopping, online mahupun offline.

Bercakap tentang shopping...



"Setiap orang mempunyai citarasa fesyen tersendiri. Hari ini, terdapat banyak jenama fesyen di pasaran. Tetapi, jarang kita jumpa, satu jenama yang memenuhi kehendak ramai individu. Ada jenama fesyen yang sememangnya terkenal, namun koleksi mereka gagal menepati citarasa majoriti. Jenama yang kurang terkenal pula, kurang berjaya menarik perhatian kerana menawarkan pilihan yang terhad.

Bagaimanapun, koleksi fesyen River Island Malaysia jarang mengecewakan. Ramai menggemari jenama River Island kerana jenama ini terus berusaha untuk memenuhi 'selera' fesyen pelanggan dan sentiasa 'up-to-date'. Pada tahun 2015 ini, River Island tampil penuh bergaya. dengan koleksi musim terbaru yang menawan, untuk lelaki dan wanita.



Apabila bercakap tentang high street fashion, memang tidak syak lagi bahawa River Island adalah jenama nombor satu. Kedudukannya sebagai jenama yang menampilkan koleksi fesyen dengan gaya high street masih kekal utuh nombor satu. River Island kekal popular dan sentiasa disebut-sebut oleh peminat fesyen di seluruh dunia.




Jika anda mahukan jenama yang menawarkan koleksi gaya jalanan terbaik maka ini adalah jenama yang wajib ada dalam wishlist anda. River Island Malaysia menawarkan koleksi fesyen terkini yang berkualiti tinggi, pada harga yang sangat berpatutan. Memiliki koleksi pakaian dan aksesori River Island Malaysia, adalah pelaburan fesyen yang sangat berbaloi! "
Tahniah dan terima kasih kerana membaca :)
Secara peribadi, saya sukakan koleksi aksesori River Island, cantik-cantik. Rasa macam sesuai je untuk bagi reward pada diri sendiri ;p


Life is short. Go Shopping. 

Mar 1, 2015

Minggu Ujian


Ya. Minggu ini minggu ujian di sekolah anak-anak saya. Untuk Zarif, ujian bermula esok (Isnin). Abil pula di kelas pendidikan khas, tiada ujian. *lega*

Sebelum ujian, haruslah ulangkaji serba sikit kann? Memang last minute, tapi takpelah, baru darjah tiga pun. Yang penting enjoy belajar dan pergi sekolah.  InsyaAllah boleh 'score' exam.

Bila Zarif ulangkaji, Abil pun belajar juga.  Selalu juga saya bagi latihan yang sama. Kadang-kadang, saya bagi soalan lain, ikut pada tahap latihan, mood dan kemampuan Abil.

Baca: Bila tenang, bila moody , Tips Belajar Berkesan

Ok. Entri saya cukup setakat ini, nak sarung uniform cikgu bedah pulak ;p

**psst, macamana Ahad anda? Ok? :)

Children learn more from what you are than what you teach.(google)



Info Makan Angin




Hari ni, sambil 'mengopi' pagi-pagi, saya 'layan' slot kembara dalam Berita Harian Ahad. Nampaknya, mode cuti-cuti Malaysia dah 'on'. hehe

Ada artikel tentang Pulau Duyong, Terengganu. Ada juga info tentang negeri Kedah.  Antara yang dikongsi, tempat-tempat menarik di Kedah; Kubu perang Tanjung Dawai, Lembah Bujang, 'Kota Paris', pusat rekreasi Air Panas Ulu Legong, Dataran Balai Seni dan banyak lagi.  


10 Tarikan di Malaysia? Yang tersenarai; Pulau Langkawi, Taman Negara, Kuala Lumpur, Pulau Perhentian, Gunung Kinabalu, Pulau Pinang, Sungai Kinabatangan di Sabah, Pulau Sipadan, Cameron Highlands, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan.

 


Merancang percutian, ada yang suka plan awal-awal, ada pula yang suka 'ad hoc'. Yang pastinya, kalau nak bercuti, eloklah merancang awal, lebih tenang dan mudah membuat sebarang urusan tempahan hotel dan sebagainya. Elakkan merancang 'last minute'.  Nanti peningg. hehe

Cuti sekolah lebih kurang dua minggu lagi.  Kami dah ada 'destinasi'. Hadiah harijadi untuk Abil. Ke mana? Di mana? (Hint: Abil suka slide air). Tempat yang kami tuju ada tersenarai dalam artikel 10 tarikan di Malaysia. Bukan tepi pantai, pulau atau sungai, tapi ada air. hehe

Dah pergi nanti, pasti saya kongsikan insyaAllah. Harap segala perancangan dimudahkan dan seisi keluarga sihat-sihat sentiasa. Saya doakan yang sama untuk anda :)

Bersyukurlah untuk hari ini. Another day, another blessing!