Nov 18, 2014

Sihat Semula


(Gambar di atas) Abang pada sesi terapi mingguannya pagi ini.

Senyum, ketawa, segar, sihat wal-afiat, selepas lebih kurang seminggu sakit.

Ya, betul-betul 'sakit'. Kesian. Sungguh 'azab' saya tengok beliau begitu.Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Dah lama abang tak sakit kuat macam tempohari. Biasanya, demam sehari dua, kebah. Panas badan 24jam, esoknya segar.

Kali ini, memang demam kuat 4-5hari, lengkap dengan pakej muntah-muntah dan loya selama 3-4hari. Hari keenam, demam mula beransur hilang tapi badannya masih lemah. Keluar pula ruam-ruam merah. Genap seminggu, ruam-ruam mula hilang, demam sudah tiada 100% dan abang sudah mula tersenyum semula.  Alhamdulillah :)

Sejak dah masuk fasa pra-remaja ni, karenahnya semasa sakit agak terkawal.

Dia tak merengek atau menangis. Cuma terbaring, diam. Hampir tak dengar dia bersuara. Bila suhu badannya naik terlalu tinggi, saya suruh mandi, dia mandi (walaupun waktu itu pukul 2-3pagi). Disuruh makan ubat, dia patuh (walaupun selepas itu dia muntah semula ataupun terbatuk-batuk menahan rasa loya).  Disuruh makan, makan juga beberapa suap sebelum dia menolak lembut tangan saya (menandakan dia sudah tak lalu makan lagi).

Hari kedua demam, kami bawa ke klinik. Kebetulan stok ubat demam di rumah sudah habis. Doktor menyebut juga kemungkinan denggi, tapi agak sukar untuk mengambil darah abang untuk dikaji punca demamnya. Doktor mengalah, katanya tunggu lagi sehari dua, sambil mencadangkan abang mula mengambil antibiotik.

Dua hari berikutnya, nampak sedikit progress apabila antibiotik dah mula diberi pada abang.  Muntah-muntah tiada lagi.  Dia juga dah boleh bangun dan bergerak sedikit-sedikit, tidaklah terbaring saja seperti dua hari pertama demam.  Tapi dia masih kelihatan lemah dan selera makannya masih kurang.

Masuk hari kelima, demamnya menjadi 'kuat' semula. Setiap 4jam ubat demam diberi untuk mengawal suhu badan dan mengurangkan sakit. Saya jadi bertambah risau. Saya sangat takut dengan kemungkinan denggi. Bila disuruh minum 100plus, dia menolak. Kami beri dia tembikai merah, hanya sikit saja dimakannya.

Akhirnya, suami cadangkan supplemen Transfer Factor (TF). Selepas lebih kurang biji kapsul TF ditelan (pada 3x pengambilan), demamnya beransur kebah. Ruam mula keluar tapi dia dah kembali 'bersuara' dan berselera makan. Leganya Ya Allah..

Hari ini, masih ada sedikit lagi ruam-ruam merah di kakinya. Tapi beliau dah cergas, mukanya kembali 'bercahaya' dan selera makannya macam orang tak makan 2 hari. haha

Simptom-simptom abang ketika demam tempohari sebenarnya sangat ada persamaan dengan mak mertua saya, ketika diserang denggi sekitar 5-6bulan lepas. Adakah denggi? Wallahualam...

Apapun, alhamdulillah, abang dah sihat sekarang.

Sihat selepas sakit, priceless.#syukur




He who has health, has everything. 
~Thomas Carlyle

No comments: