Aug 3, 2011

Bila Abil berpuasa

"Anak autisme saya belum faham erti puasa."


Skrip yang biasa saya dengar dari kalangan ibubapa. Saya juga pernah ada masalah itu. Tapi, jangan biarkan ia terus membelenggu diri anda. Anak autisme pun macam anak-anak lain juga. Kalau anak-anak bukan autisme boleh dan mampu berpuasa, anak autisme pun boleh! Cuma, mereka harus dilatih. Berterusan. Tanpa letih. Tanpa jemu.

Mengharapkan kefahaman tentang puasa, ramadhan dan kewajipan kepada Tuhan datang sendiri pada mereka, ibarat menunggu kucing bertanduk. Umpama menunggu buah tak jatuh-jatuh. Ibubapa harus kreatif. Mak ayah kena proaktif, inovatif, positif.

Ya, memang susah. Bukan senang. Kalau anak bukan autisme boleh faham dan berpuasa sekadar kita menerangkan sekali dua, mereka perlu diterangkan berkali-kali dengan pelbagai cara. Tidak ada visual untuk mengungkap makna puasa itu. Tidak ada gambar yang boleh menerangkan apakah Ramadhan itu. Tetapi, jangan biarkan ini membantutkan usaha anda untuk melatih anak autisme anda berpuasa. Mereka akan terus menerus membesar.

Satu hari nanti, Abil akan jadi orang bujang. Akil baligh dalam erti kata Islam. Tanggungjawab seorang Muslim, bersolat dan berpuasa antaranya, kalau tidak diterapkan sedari sekarang, bila lagi?

Ya, hari ini rekodnya berpuasa mungkin sekadar mencecah jam 4-5 petang. Umurnya sudah 8 tahun. Kalau anak-anak lain, berpuasa penuh cukup 30 hari pada umur 5-6 tahun mungkin semudah memetik jari. Tak apa. Yang penting, ada usaha. Yang mustahak, ada inisiatif. Latih tetap latih. Saya yakin dan percaya, bila tiba saatnya nanti, Abil berpuasa sehari penuh bukan misi mustahil lagi. Mak tunggu Abil. Mak tunggu...

Tahun ini, saya rasa sedikit lega. Anak autisme saya sudah mula faham konsep puasa. Tahun lepas hanya separuh hari. Masuk jam tengahari, sudah mengamuk-ngamuk lapar dan haus. Tahun ini Abil lebih steady. Walaupun tidak kedengaran skrip ini, "Ma, sekarang dah pukul berapa?" atau "Ma, lambat lagi ke?" tapi dia tetap bersuara. Seawal jam 10-11 pagi, "Abil nak biskut." atau "Abil nak nasi.". Tunggu. Abil berpuasa. Tak boleh makan dan minum. Itulah jawapan saya. Dia hanya diam. Sesekali senyum sengih. Fahamkah dia? Saya dapat rasakan dia faham sebab dia tidak membantah sebaliknya diam, tanda redha dan boleh menerima.

Self-modelling. Sejak dia mula belajar berpuasa tahun lepas, saya jadikan kakak, ayah dan saya sendiri sebagai contoh. Tak makan dan minum di waktu siang. Bila azan maghrib berkumandang, barulah masing-masing berbuka. Maksud sahur dan berbuka memang sukar diterangkan secara detail kepada Abil. Tapi saya tahu. Tuhan itu maha adil. Kalau anda ikhlas menerangkan, lambat-laun anak akan faham juga.

Saya sendiri selalu rasa buntu. Macamana nak jelaskan. Bagaimana nak terangkan. Kadang-kadang saya guna approach 'redah aje'. Redah bukan sebarang redah, redah dengan DOA sebagai senjata. Kalau anda tak jemu berdoa, Tuhan juga tak jemu mendengar dan pasti memakbulkan.

Setakat ini, target saya supaya Abil berpuasa 3/4 hari sudah tercapai. Tapi belum cukup konsisten. Oleh kerana Abil masih dalam fasa belajar, saya ikutkan juga rentaknya. Melatih anak ni, ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak. Sahur tetap dikejut, puasa tetap puasa, daripada hanya 2-3 jam tahun lepas, sehinggalah 8-10 jam tahun ini. Biar lambat, biar perlahan. Belajar berpuasa bukan satu pertandingan. Cerita-cerita anak autisme yang berjaya belajar berpuasa saya jadikan pedoman.


Bagi saya, umur ideal untuk mula melatih anak autisme berpuasa ialah sekitar 6-7 tahun ke atas. Saat bermula, biarlah misi kita sederhana saja. Jangan tamak. Beri mereka masa. Beri mereka peluang. Kalau anda punya misi yang tinggi, tak salah. Boleh saja. Ibubapa adalah juri terbaik untuk anak-anak mereka. Anda lebih bijak menilai kemampuan sebenar anak-anak anda. Yang penting, JANGAN fikir mereka TAK mampu. Ini salah. Mereka ada harga diri. Mereka ada potensi.

Masih ada lebih kurang 24 hari lagi untuk kita berpuasa tahun ini. Baru 6 hari, tapi sesekali saya tercungap-cungap mengejar Abil yang berlari sambil memeluk biskut dan roti. haha. Penat juga jadi 'jaga' peti sejuk. Penat. Letih. Tapi senang hati. Anak autisme saya belajar berpuasa tahun ini tanpa tantrum, tanpa marah maksimum. Cukup relaks. Cukup tenang. Setenang gambar-gambar di bawah. Dipersilakan layan.


Minum air saat berbuka jam 5 petang. Haus sungguh! :)


Menunggu roti bakar siap untuk 'berbuka'.
Inilah tempat saya dan Abil 'bersilat' sebelum waktu 'berbuka-nya'.
Nasib baik tak ada kamera tersembunyi. hehe



Bersahur.
Mata pejam. Berselimut lengkap.
Mulut mengunyah nasi. hehe


Selamat meneruskan ibadah puasa.
Solat jangan tinggal ya! :)




2 comments:

shogun_na said...

nak cuba didik Ammar berpuasa tp di tadika agak sukar sedikit...Kanak2 berumur 4tahun tdk digalakkan berpuasa krn kanak2 ini sibuk bermain dan berlari2...Hmmm...tahun dpan la gamaknya..but i still need ur advice... ;)

Kalau tips potty train dr kak syida ina berjaya lakukan, takkan la puasa ina tak mampu didikkan... ;) Now turn Farzana utk potty, bila nak start? Masih menjadi tanda tanya......

Norsyahidah said...

ina, baru 4 tahun masih kecik sangat tu. tapi dah boleh la start sebut2/cerita kat dia psl puasa. supaya dia familiar. 5 tahun pun pada akak, masih awal. 6 tahun kira oklah. dah boleh start puasa separuh hari. lain anak, lain approach. yg penting, kita jgn paksa. start will small steps. time anak kecik2 lg, posa 3-4 jam pun dah ok. lepas tu baru naikkan sikit2.

Farzana dah nak masuk 3 tahun ke? kalau dia nmpk dah ready, bolehla mula. tapi tulah mama-nya kena 'bersedia' juga, kan?