Oct 4, 2011

Kongsi tentang Sensori


dari google


Masalah sensori. Sangat biasa berlaku di kalangan individu bermasalah pembelajaran, termasuklah Autisme. Kalau anda baca buku atau menonton fiem Temple Grandin, banyak diterangkan tentang masalah sensori yang beliau hadapi sebagai seorang individu Autisme.

Sebenarnya, bukan individu autisme, bermasalah pembelajaran atau insan-insan istimewa saja yang bermasalah sensori. Individu biasa (bukan autisme) macam saya, anda..anda...dan anda pun sama. Masalah sensori ni sangat luas. Skopnya ialah organ-organ sensori iaitu mata, telinga, hidung, kulit, lidah dan otot-otot dan daya keseimbangan badan. Organ-organ ini biasanya berkeadaan baik. Secara amnya, anda boleh melihat, mendengar, menghidu, menyentuh, merasa dan bergerak secara normal. Cuma, apabila rangsangan/stimulasi diterima oleh organ-organ terlibat dan dihantar ke otak untuk menghasilkan respon atau tindakbalas, beberapa masalah mungkin timbul semasa proses itu berlaku.

HIPERsensitif ialah istilah yang diberi jika organ-organ ini terlalu sensitif, memberi tindakbalas BERLEBIHAN apabila menerima sesuatu rangsangan.

Contoh:
Sensori sentuhan (kulit) yang HIPERsensitif menyebabkan seseorang itu 'tidak tahan' atau rimas dengan sesetengah tekstur pakaian, permaidani, cadar atau air pancutan mandi (shower) yang sederhana. Kadang-kadang ke tahap tak mahu atau mengelak daripada dipeluk atau disentuh (terutamanya secara mengejut).


Sensori merasa (lidah) yang HIPER juga mengakibatkan seseorang hanya mahu makan makanan-makanan yang bertekstur lembut, lembik dan halus.


Sensori pendengaran (telinga) yang HIPER juga menyebabkan seseorang itu 'takut' dan rimas dengan bunyi-bunyi vacuum, blender, alat pemotong rambut, mesin pemotong rumput, mahupun suara individu lain bercakap secara berlebihan atau menjerit.

HIPOsensitif pula apabila organ-organ menerima ransangan tetapi memberikan tindakbalas yang MINIMA atau tidak bertindakbalas langsung.

Contoh:
Sensori sentuhan (kulit) yang HIPOsensitif menyebabkan seseorang itu tidak atau kurang merasa sakit apabila terhantuk, dipukul, terjatuh atau luka. Juga tidak merasa geli atau tidak respon apabila digeletek di sesetengah bahagian badan.


Sensori pergerakan (otot-otot)/daya imbangan yang HIPO pula membuat seseorang itu tidak merasa pening/mabuk walaupun berpusing untuk jangkamasa yang lama. Sentiasa ingin bergerak, tidak duduk diam dan sukakan pergerakan pantas seperti menaiki buaian, melompat di atas trampoline dan berlari juga adalah ciri-ciri sensori yang HIPOsensitif. Mereka nampak hiperaktif (terlalu cergas) sedangkan ia berlaku kerana organ sensori mereka 'dahagakan' input (rangsangan).

Kebanyakan masalah sensori yang berlaku adalah gabungan kedua-dua keadaan, HIPER dan HIPO pada organ-organ atau bahagian tubuh yang berlainan.

Kesan daripada sensori yang HIPO dan HIPER inilah yang menimbulkan banyak kelakuan-kelakuan 'pelik' dan janggal di kalangan individu autisme. Namun demikian, perangai-perangai 'pelik' juga boleh disebabkan masalah perlakuan (behaviour problem). Anda harus faham dan tahu tentang masalah sensori, sebelum membezakannya dengan sikap-sikap negatif seperti moody, malas, mengada-ngada, memilih, tidak mahu bekerjasama dan sebagainya. Mahu lebih info, sila baca sini.

Nak tahu masalah sensori saya? Sensori pergerakan/daya imbangan saya agak bermasalah. Saya gayat pada ketinggian, pergerakan yang laju (macam rollercoaster), takut apabila kaki saya tidak jejak permukaan tanah (seperti naik cable car dan rollercoaster sekali lagi. Untuk pengetahuan, saya takut memandu terutamanya di jalanraya fly-over yang tinggi, sempit dan curam. Dulu, langsung tak berani memandu.Sekarang sudah ok. Tapi rollercoaster dan cable-car, masih NO-NO! hehe

Masalah sensori Abil? Dulu, agak banyak. Sekarang, agak minima. Dulu, tidak mahu bersongkok. Menangis apabila mandi dan bersyampu. Sukar bergunting rambut. Tak suka dipeluk. Kurang gemar dan selalunya 'mengamuk' bila berada di dalam kelompok orang ramai, shopping mall, kenduri kendara atau hari keluarga. Tidak tahan bunyi vacuum,blender, mahupun bunyi motosikal posmen. Suka 'mengunyah ' objek, memasukkan objek ke dalam mulut. Susah memberus gigi. Tidak suka menggunakan tangan untuk bermain pasir, menguli playdoh atau tepung.

Sekarang, sudah boleh bertopi dan bersongkok. Bersikat masih sukar tapi bergunting (dengan alat pencukur) sudah mula diterima (secara perlahan-lahan). Tidak sensitif pada bunyi vacuum dan blender lagi, tapi bunyi powerdrill masih agak 'manakutkannya'(tidak ke tahap menyebabkan tantrum, hanya lari). Motosikal posmen? No problem. Bersyampu dan memberus gigi juga tak ada masalah. Mengunyah objek tiada lagi. Sesekali masih memasukkan objek ke dalam mulut. Boleh memeluk dan dipeluk oleh ahli keluarga dan yang rapat dengannya. Dengan orang asing, dia akan memeluk sambil kepalanya menoleh kiri kanan atau menunduk tanda rimas.

Rawatan untuk masalah sensori? Occupational Therapy, Sensory Integration dan Urut. Saraf-saraf pada tubuh dan otak perlu di'perbetul'kan dan ditingkatkan kualitinya supaya proses menghantar-menerima-memberi tindakbalas di antara organ deria dan otak berjalan lancar. Rawatan di atas perlu dilakukan sekerap mungkin, secara konsisten dan berterusan. Ada yang menunjukkan perubahan cepat, ada juga yang mengambil masa yang lebih lama. Yang penting, usaha.



Sekian perkongsian ilmu untuk hari ini.


Selamat berkenalan dengan sensori-sensori anda!




One of my sensory problems was hearing sensitivity, where certain LOUD noises, such as a school bell, hurt my ears.
It sounded like a dentist drill going through my ears.
- Temple Grandin


3 comments:

Mommy Gaban said...

Assalamualaikum Syahida..

Saya sudah lama menjadi silent reader di blog Syahida. Selalu mencedok ilmu 'tanpa kebenaran' dan mempraktikkan dengan anak saya tanpa mengucapkan terima kasih. Sekarang saya sedang cuba memahami 'autism' berikutan anak kedua saya berkemungkinan mengalami autism. Eusoff berusia 3 tahun. Masih belum boleh bertutur dan toilet manners. Sedang refer ke hospital..hari ni baru selesai ujian audiologi. Terima kasih kerana banyak berkongsi di blog Syahida. Sangat2 membantu saya memahami anak autism ini..walaupun banyak blog medical yang saya baca, tapi saya juga perlu tahu lebih dekat dari perspektif seorang ibu..Terima kasih dan teruskan menulis.. :)

Syahida said...

wa alaikum salam mommy gaban,

saya doakan yang terbaik untuk Eusoff. Terima kasih krn sudi membaca tulisan saya. terima kasih juga atas sokongan.

Marina Ariff said...

ampun tuanku.....mohon share info yg bermanfaat ni....