Apr 2, 2013

Autisme: Tahukah Anda?

Sudah lama saya simpan gambar-gambar ini.

Visual tentang Ciri-ciri Autisme.
Dari kalendar yang disediakan oleh:
Guardian Malaysia dan NASOM (Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia)


*Saya jumpa kalendar ini semasa menunggu Abil untuk sesi OT (Terapi carakerja) 




Sebahagian ciri-ciri Autisme secara ringkas.

Saya akan cuba kupas ciri-ciri di atas satu persatu.
Untuk entri kali ini, saya pilih karakter ini.

'Benci perubahan'

Individu autisme sukar adjust atau adapt dengan perubahan, terutamanya jika ianya perubahan yang mendadak, tidak dijangka atau berlaku serta-merta. Contohnya: Jika mereka seringkali melalui jalan A untuk ke sekolah atau pulang ke rumah, perbuatan anda menukar laluan ke jalan B (secara tiba-tiba) boleh menimbulkan kemarahan dan menyebabkan tantrum.

Mengikut pembacaan, faktor kelainan saraf otak dan sensori mungkin salah satu penyebab.  Mereka sangat selesa dan 'rasa selamat' dengan rutin yang sama. Sebarang perubahan mendadak menyebabkan mereka dalam keadaan tidak bersedia dan menimbulkan rasa 'tidak selamat' (insecure). Perubahan menyebabkan mereka tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku seterusnya (what-to-expect).

Kebanyakan individu autisme belajar/melihat dan menilai sesuatu melalui visual.  Jadi, jika kita sekadar menerangkan secara verbal (dengan perkataaan) kepada mereka, peratus kefahaman adalah agak tipis berbanding jika menggunakan gambar-gambar atau tulisan (bagi yang sudah pandai membaca).

Contoh: Ali sudah biasa ke tadika selama setahun.  Tahun depan, Ali akan bertukar sekolah kerana umurnya sudah menjangkau 7 tahun. Untuk membiasakan Ali dengan sekolah barunya dan mengelakkan kecelaruan emosi dan mencegah tantrum, mungkin Ali boleh dibawa melihat-lihat sekolah baru dan kawasan persekitaran beberapa minggu sebelum sesi persekolahan baru bermula. Lebih baik lagi jika Ali diperkenalkan dengan cikgu-cikgu dan kawan-kawan baru. Gambar-gambar bangunan, bilik, kawasan sekolah serta aktiviti/rutin yang bakal dibuat di sekolah baru juga boleh ditunjuk, diperkenalkan dan diterangkan secara ringkas dan berulang-ulang kepada Ali sehingga sesi persekolahan barunya bermula.

Tahap rigidity seseorang individu autisme berbeza antara satu sama lain. Mereka juga sebenarnya boleh dilatih menjadi lebih 'fleksibel' dan mengawal emosi apabila berdepan dengan sebarang perubahan. Practise makes perfect.

Pengalaman saya dan Abil: Semasa berumur sekitar 2-5 tahun, Abil sangat rigid. Tidak sukakan perubahan. Senang 'mengamuk' dan meragam jika rutinnya memetik suis kipas setiap kali masuk rumah dihalang.  Menukar laluan ke sekolah/rumah juga satu masalah besar untuknya. Menghadiri sekolah atau tempat baru, berjumpa dengan orang 'asing' (baginya) dan banyak lagi contoh-contoh rigidity yang saya sendiri sudah hampir lupa dan tak mahu ingat lagi. Waktu itu, kami stres hampir setiap masa. Itu tak kena. Ini tak betul.  Abil sangat kerap dan sangat mudah tantrum apabila rutinnya terjejas, walaupun sedikit.

Semakin Abil membesar, tabiat ini hilang secara perlahan-lahan. Mungkin juga selepas melalui sesi OT secara konsisten, Abil kini mampu adapt dengan lebih senang dan cepat. Dia tidak lagi kisah dengan perubahan-perubahan kecil, malah semakin selesa dengan sebarang perubahan besar. Mungkin dia sudah semakin peka, matang dan sudah mula faham apa yang berlaku di sekelilingnya.

Bagaimanapun, dari semasa ke semasa, kami masih menggunakan gambar atau menulis perkara-perkara baru yang bakal dihadapinya bagi memudahkan Abil berdepan dengan situasi/perkara baru dalam rutin hariannya. Tahap stres semakin kurang dan Abil sekarang lebih happy berbanding sewaktu mula-mula mendapat diagnosis dahulu.

Sedikit tips mengatasi ciri 'bencikan perubahan' ialah: cuba lari dari rutin secara perlahan-lahan, elakkan terlalu terikat dengan rutin yang 100% sama setiap hari, beri pendedahan kepada anak/individu autisme kepada pelbagai objek/tempat/aktiviti, cuba atau lakukan perkara baru satu persatu (bukan pelbagai perkara serentak), perbanyakkan social stories (ala story-telling beserta gambar dan penerangan ringkas) tentang perkara yang relevan dengan anak/individu autisme.

Kefahaman dan ilmu tentang autisme sangat PENTING. Ia memudahkan kita berinteraksi, berkomunikasi  dan memahami keperluan individu autisme.

Terima kasih kerana membaca. Anda memang prihatin. 
Jumpa lagi :)


kredit: Instagram


AUTISM: Understand, Accept, Aware!



No comments: