Nov 3, 2012

Oh! Betto


Orang kata, malang tak berbau...dan malang akhirnya menimpa Betto petang tadi. Dia dilanggar motosikal, betul-betul di depan mata Kakak. Perkara yang paling saya takuti akhirnya berlaku. Betto kemalangan.

"Betto!!!!..........." kuat & sayu jeritan kak Dina petang tadi. 

Walaupun lepas digilis motosikal bersaiz sederhana yang merempit laju, dia masih mampu berlari ke tepi dan kemudiannya, terus bersembunyi di celah  semak di depan rumah kami. Trauma. Itulah yang saya nampak pada matanya. Itu jugalah yang kak Dina rasakan sehingga ke saat ini. Suaranya mengiau tidak seperti biasa. Sakit. 

Perlahan-lahan kami cuba memanggil Betto tapi dia tak boleh bergerak. Memang sakit. Dapat saya bayangkan. Kakak dah teresak-esak. Panik dan terlalu sedih. Dia bercerita bagaimana Betto berguling-guling di celah tayar motosikal sewaktu digilis.

Selepas maghrib, kami bergegas membawa Betto ke klinik haiwan (vet). Sebelum itu, kami cuba menghubungi hampir semua klinik yang ada melalui telefon. Bad news, semua tutup.

Saya beritahu suami, Betto mesti dibawa ke klinik malam ini juga. Saya risau kalau kami tunggu hingga esok, semuanya sudah terlambat. Ya, memang tidak kelihatan sebarang luka pada mata kasar. Tapi, luka dalaman hanya Tuhan yang tahu. Daripada keadaan Betto, saya jangkakan sudah pasti ada luka dalaman.

"Doa...doa banyak-banyak. " saya beritahu adik bila dia bertalu-talu bertanya, samada Betto ok ataupun tidak.

Allah permudahkan urusan kami mencari vet yang masih beroperasi. Alhamdulillah.

Bagaimanapun, selepas sesi pemeriksaan, doktor memberitahu berita yang menyebabkan airmata kakak mengalir lagi. Saya sendiri sebak dan terkedu.

Betto ditahan. Diberikan ubat penahan sakit dan dimasukkan air. Esok, besar kemungkinan Betto akan dibedah untuk dijahit semula bahagian-bahagian yang koyak di bahagian perutnya. Ya, koyak.

Betto dah sebahagian daripada famili kami. Sakit dia, sakitlah kami.

Saya harap semuanya akan dipermudahkan untuk Betto.






A meow massages the heart. ~Stuart Macmillan



No comments: